Ahad, 2 Februari 2014

Sawad bin Qarib

Ketika Umar bin Al-Khattab r.a menyampaikan khutbah kepada orang ramai di atas mimbar Rasulullah S.a.w, tiba-tiba dia mengatakan; "Wahai sekelian manusia, apakah ada di antara kalian yang bernama Sawad bin Qarib?" Namun tidak ada seorang pun memberikan jawaban pada tahun itu. 

Dan ketika tahun berikutnya tiba, Umar dalam khutbahnya bertanya lagi; "Apakah di antara kalian ada Sawad bin Qarib?"  

Lalu kutanyakan," lanjut al-Barra', "Wahai Amirul Mukminin, siapakah Sawad bin Qarib itu?" 

Umar r.a menjawab; "Sesungguhnya Sawad bin Qarib itu memulakan keIslamannya dengan suatu yang aneh." Ketika inilah Sawad  muncul. Umar r.a berkata; "Wahai Sawad, beritahukan kepada kami tentang awal keIslamanmu, bagaimana kejadiannya?"

Sawad r.a menjawab, "Sungguh aku dulu pernah menetap di India dan aku mempunyai seorang kawan dari bangsa jin. Dan pada suatu malam, ketika aku sedang tidur, tiba-tiba jin itu datang dalam tidurku, dan ia berkata kepadaku; "Bangunlah, fahami dan berfikirlah jika engkau memang berakal. Sesungguhnya telah diutus seorang Rasul dari Lu-ai bin Ghalib.

Setelah itu dia bersenandung;

Aku kagum dengan para jin dan upayanya
Menaiki unta diikat dengan talinya
Pergi ke Mekkah untuk mencari petunjuk
Tidaklah jin yang baik itu sama dengan jin yang jahat
Maka, bangkitlah untuk menemui orang pilihan dari Bani Hasyim
dan arahkanlah pandanganmu kepada puncaknya."

Lebih lanjut Sawad berkata, "Lalu ia membangunkan ku dan mengejutkan ku seraya berkata, "Wahai Sawad bin Qarib, sesungguhnya Allah telah mengutus seorang Nabi, bangkit dan pergilah kamu kepadanya, nescaya kamu akan mendapat petunjuk.

Pada malam kedua dan malam ketiga jin itu datang bersenandung lagi.

Seterusnya Sawad bin Qarib menceritakan, "Setelah aku mendengarnya berkali-kali, malam demi malam, maka timbullah dalam hatiku dengan kehendak Allah kecintaan kepada Islam, berkenaan dengan perkara Rasul Allah S.a.w. Kemudian aku ambil pelanaku lalu kuikatkan pada kenderaanku dan menaikinya, dan aku tidak melakukan hal lain sehingga aku mendatangi Rasulullah S.a.w.

Ternyata beliau sedang berada di kota, iaitu Makkah, sedang orang-ramai telah mengelilingi beliau. Setelah Nabi S.a.w melihatku maka beliau berkata; "Selamat datang wahai Sawad bin Qarib, kami telah mengetahui sebab kedatanganmu."

Katanya lagi, "Maka ku katakan; "Ya Rasulullah, aku telah membuat syair, maka dengarkan lah." Maka beliau pun bersabda; "Ucapkanlah wahai Sawad." Lalu ku ucapkan;

"Telah datang kepadaku seorang kawan dari jin di tengah malam pada waktu tidur
Dia bukanlah seorang pendusta, menurut pengalamanku
Tiga malam berturut-turut, setiap malam ia katakan;
Ia telah datang kepadamu, kepadamu seorang Rasul dari Lu-ai bin Ghalib
Aku pun bergegas menyingsingkan kain
Berkenderaan unta yang besar pipinya di tengah padang pasir
Maka, aku bersaksi bahawasanya hanya Allah sebagai Rabb
dan tiada yang lain, dan sesungguhnya engkau telah
diberi kepercayaan kepada setiap yang ghaib.
Dan engkaulah Rasul yang mempunyai jalan paling dekat
kepada Allah, wahai putera orang-orang mulia lagi baik.
Maka, perintahkan kepada kami apa yang engkau bawa, wahai Rasul yang terbaik.
Sekalipun di antara apa yang dibawa itu berkenaan
uban orang-orang yang luhur
jadilah engkau pemberi syafaat bagiku,
pada hari tidak ada lagi yang dapat memberi syafaat kecuali
dirimu, sungguh Sawad bin Qarib sangat memerlukan."

Rasulullah S.a.w pun tersengih sehingga nampak gigi-gigi geraham beliau, lalu bersabda kepadaku, "Beruntunglah engkau wahai Sawad."

Kemudian Umar r.a bertanya kepadanya, "Apakah kawanmu dari jin itu masih juga datang sekarang?" Dia menjawab; "Sejak aku membaca Al-Quran, ia tidak lagi datang. Sungguh, ganti yang baik dari jin ialah Kitab Allah 'Azza wa Jalla."

[Petikan-petikan dari Tafsir Ibnu Katsir, tafsir surah Al-Ahqaaf ayat 29 - 31]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan