Selasa, 31 Disember 2013

azam 2014

sebahagian besar daripada kita yang berazam sempena tahun baharu tidak dapat mempertahankan azam itu. Ia tidak kekal kerana ramai yang merangka azam tahun baharu pada malam tahun baharu itu sendiri apabila ramai yang bercakap mengenainya. Bila dilakukan, hasilnya hanyalah seperti jerk reaction ~ sebuah reaksi luaran yang dilakukan tanpa berfikir panjang sebagai respon kepada apa yang berlaku di sekelilingnya. 

Bagaimana pun, ramai juga di kalangan kita yang telah berjaya mempertahankan atau menunaikan azam masing-masing bukan kerana memasang azam di tahun baharu. Sebaliknya kita berjaya mencapai azam itu kerana keinginan yang tinggi untuk menjayakannya atas sebab-sebab yang tersendiri.

Misalnya, ada yang berazam untuk tidak memandu melebihi had laju kerana pernah mengalami kecelakaan di jalan raya hingga patah kaki. Ada yang berazam berjaya dalam pelajaran sebagai syarat dari si gadis sebelum dapat memperisterikannya. Ada yang berazam menjadi orang beriman kerana insaf setelah terjerumus dalam ajaran sesat.

Azam baharu sempena tahun baharu biasanya gagal kerana ia tidak kukuh. Azam yang dipasang itu hanya punyai satu tiang iaitu visionary thinking. Hanya memandang ke hadapan. Azam yang kukuh mesti mempunyai dua lagi tiang iaitu reflective thinking atau memandang ke belakang dan contemplative thinkingiaitu memandang ke dalam diri.

Pendek kata, berazam itu mesti dipasak dengan memandang ke hadapan, ke belakang dan juga ke dalam diri. Visionary thinking atau memandang ke hadapan(berwawasan) itu penting kerana ia membantu kita melihat matlamat. Reflective thinking atau memandang ke belakang(bertaddabur) itu kita lakukan supaya kita tidak mengulangi kesilapan lampau. Dan, contemplative thinkingatau memandang ke dalam diri(muhasabah) itu penting kerana ia berhubung dengan hati. Jika hati mengikut apa yang diazamkan, insyaALLAH sesuatu azam itu bukan sahaja dapat dicapai, malah boleh dipertahankan.

Dengan kenaikan pelbagai barangan harian dan perkhidmatan, kita wajib memasang azam supaya bajet tidak lari. Dalam pada itu, agak over seandainya kita berikrar pula sempena tahun baharu untuk berjimat cermat. Bukankah berjimat cermat itu sudah semestinya menjadi amalan sesiapa sahaja?

Lagi pula, berjimat cermat itu pendekatan yang tidak tepat. Yang tepat, yang seharusnya menjadi azam, iltizam dan istiqamah kita semua ialah menjauhi pembaziran. Mengelak pembaziran itu amat dituntut kerana, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (al-Isra’27)

Ada sesiapa di antara kita yang ingin terus bersaudara dengan syaitan pada tahun 2014 ini?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan