Yasmin baca tujuh jenis akhbar
Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN
KETIKA mengetahui satu-satunya wakil guru dari Malaysia, Yasmin Noorul Amin, 38, tercalon sebagai 50 guru terbaik dunia, kru Jurnal segera mengadakan temu janji untuk menemubualnya bagi mencungkil rahsia wanita itu.
Anggun mengenakan baju kurung berwarna merah jambu, Yasmin yang tercalon menerusi anugerah Hadiah Guru Global anjuran Yayasan Varkey GEMS yang berpusat di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu itu berkata, dia tidak pernah tahu mengenai kewujudan anugerah tersebut.
“Semuanya bermula pada Oktober tahun lalu apabila saya menerima e-mel daripada yayasan tersebut yang menyatakan nama saya tercalon dalam senarai 50 guru terbaik dunia bersama guru-guru dari Kanada, Australia, Kemboja, Turki, Itali, Madagascar, Uganda dan China.
“E-mel tersebut memerlukan saya membuat pendaftaran tetapi saya tidak percaya langsung kerana mana ada orang mahu menawarkan AS$1 juta (RM3.63 juta) dengan begitu mudah. Jadi saya ingat e-mel itu merupakan satu bentuk penipuan tetapi mereka tetap menghantar e-mel sama.
“Namun, beberapa hari sebelum tarikh tutup penyertaan baru saya tergerak hati untuk membalas e-mel itu. Rupa-rupanya bekas pelajar yang telah mencalonkan nama saya dan selepas menerima surat barulah saya percaya yang saya tercalon,” kata graduan dalam bidang Sarjana Muda Sains Gunaan jurusan Perindustrian Kimia dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu.
Ujar Yasmin, calon yang tersenarai dalam anugerah itu akan disenarai pendek menjadi 10 orang pada bulan ini sebelum pemenang sebenar diumumkan pada April depan di Dubai.
Baca kamus
Ketika ditanya tentang rutin hariannya pada setiap hari, guru Kimia itu memberitahu, dia akan membaca berita daripada tujuh jenis penerbitan sama ada melalui surat khabar mahupun portal berita.
Rutin hariannya itu bermula sejak kecil lagi apabila bapanya, Noorul Amin Mohd. Mohaideen, 64, membeli pelbagai jenis bahan berita untuk dibaca dan diletakkan dalam bilik bacaan di rumah.
“Aktiviti ini sudah bermula sejak kecil lagi kerana ayah ingin menerapkan nilai membaca kepada kami adik-beradik. Kini, saya pula mengikut jejak langkah ayah tetapi saya akan membaca melalui internet sahaja,” ujarnya sambil memberitahu, bapanya juga sering menyuruh mereka membaca kamus bagi menajamkan ilmu pengetahuan dan mengetahui perkataan-perkataan baharu.
Bercerita lanjut mengenai kerjaya yang diceburi, wanita yang berasal dari Taiping, Perak itu memberitahu, pada asalnya dia tidak bercita-cita untuk menjadi seorang guru sebaliknya mahu menjadi jurutera.
Walaupun begitu, dia reda apabila terpaksa meninggalkan kerjaya sebagai jurutera demi memenuhi impian bapanya yang mahukan dia menjadi seorang pendidik.
“Sebelum ini, saya berkhidmat sebagai jurutera selama dua tahun di sebuah syarikat swasta sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menyambung pengajian dalam bidang pendidikan di Institut Perguruan Guru Tuanku Bainun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Apabila memasuki institut itu, saya merasakan kursus pendidikan bersesuaian dengan jiwa dan dari situ, saya mula menanam azam untuk menjadi seorang pendidik,” katanya yang turut mendapat sokongan daripada ibunya, Siti Hajar Ibrahim Ghamy, 63, sehingga berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Teknik bercerita
Lebih membanggakan, Yasmin juga dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik 2002 ketika menuntut di institut berkenaan.
“Sebaik sahaja menamatkan pengajian, saya menjadi guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Jambu, Taiping dengan mengajar dalam mata pelajaran Kimia dan Sains.
“Selepas itu, saya berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle, Petaling Jaya pada tahun 2005 kerana mengikut suami, Amiruddin Abd. Aziz, 42, yang berpindah tempat kerja ke Kuala Lumpur,” jelas wanita berdarah campuran mamak dan Arab itu.
Sepanjang sesi temu bual yang berlangsung di makmal kimia sekolahnya, kru Jurnal tertarik melihat tingkah laku wanita itu bersama anak-anak muridnya yang diibaratkan sebagai anak sendiri.
Ditanya apakah pendekatan yang dilaksanakan wanita itu dalam memastikan anak murid mendengar kata, Yasmin memberitahu, dia sering berkongsi cerita mengenai hal-hal semasa yang sedang berlaku di dalam mahupun luar negara.
“Cara saya mengajar sama sahaja seperti guru-guru lain cuma saya menggunakan teknik bercerita dengan pelajar supaya mereka tidak cepat bosan, malah saya juga berkongsi ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui pembacaan bersama mereka,” ujarnya mengakhiri bicara.
Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3QVJOdQHL
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan