Jumaat, 27 Februari 2015

DAO

Assalamualaikum & Salam Sejahtera,

Sudah tiba masanya anak bangsa saya merubah persepsi kepala hotak kita dari mentaliti makan gaji dan subsidi kepada mentaliti berniaga (walaupun agak jauh ketinggalan dari segi penguasaan ekonomi tetapi pengguna yang agak ramai).

Semalam saya diundang bercakap di dalam satu seminar bersama usahawan-usahawan muda di bawah penganjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Bukanlah tradisi saya menerima undangan memberikan keynote address, speaking untuk 1 atau 2 jam apatah lagi dari agensi kerajaan kerana bagi saya, kesannya tidak sama dengan melatih mereka untuk tempoh 4 jam ke 30 jam (beberapa hari).

Tetapi saya terima undangan ini dan luangkan masa saya kerana menghormati arwah ayah saya yang dahulunya ketika bekerja banyak berurusan dengan mereka dari LPP ketika saya membesar di Pontian Johor.

Sebelum saya mula bercakap di atas pentas, biasanya saya agak ambil masa beberapa minit untuk bertanya dengan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah tentang apakah isu yang mahu saya tekankan dan bantu perbaiki melalui sesi 2-jam, masa saya yang sangat singkat.

Anda nak tahu apa feedback yang saya dapat dari Pengarah-pengarah ini?

Mereka meluahkan rasa kesedihan dan kekecewaan mengenai bagaimana betapa ramainya anak bangsa kita yang mereka berikan subsidi baja, racun, benih untuk penanaman, bantuan kewangan serta pelbagai lagi bantuan, tetapi ramai daripada anak bangsa saya yang menjualkannya semula atau memajakkan tanah-tanah yang sepatutnya mereka usahakan, dipajakkan kepada bangsa Tiong Hua dan tidak diusahakan oleh mereka sendiri.

Dan pihak LPP ini menyebut bahawa bajet tahunan mereka beratus juta ringgit tetapi ia tidak dimanfaatkan oleh ramai yang menerima bantuan.

Mereka juga menyebut tentang usahawan yang berniaga hanya mampu menjana RM2, 000 - RM3, 500 sebulan.

Saya dengar dengan tekun dan sabar kerana saya tahu jika saya berikan solusi kepada masalah negara ini, belum tentu mereka mampu melaksanakannya kerana saya bukan sesiapa untuk beri nasihat kepada pihak kerajaan.

Banyak agensi hari ini melahirkan usahawan pinjaman dengan memberikan pinjaman tetapi akhirnya usahawan tersebut salah guna dan tidak mampu membayar balik pinjaman tersebut. Bila duit dah habis, mereka mahu pinjam lagi banyak dan bila agensi kerajaan tidak berikan lagi pinjaman, mereka kata agensi kerajaan tidak adil.

Well, bagi saya terpulang kepada anda yang nak jadi usahawan. Kerana jika sikap anda begitu, sampai bila pun hidup anda tidak akan berubah dan penuh dengan masalah.

Anak didik saya (Lebih 600,000 orang telah hadir seminar-seminar saya sejak tahun 2008 dan berpuluh ribu telah mula berniaga serta beribu telah mencapai jualan yang mencecah jutaan setahun). Mereka diajar untuk berniaga bermula dengan tiada modal atau modal yang kecil. Mereka ada yang sampai sekarang masih tidak meminjam dan bermula dari hampir kosong, hanya dengan bekalan ilmu, mentor, sistem dan strategi yang mereka bayar untuk dapatkan ilmu melalui seminar-seminar intensif saya yang mahal iteww.

Tetapi mereka mampu membina pendapatan RM20,000 sebulan, RM50,000 sebulan, RM200,000 sebulan dan ada yang mencapai RM2 juta ke RM5 juta sebulan. Saya mengajar anak didik saya untuk mulakan perniagaan tanpa pinjaman dan kemudian bila telah benar-benar berjaya dan mahu besarkan perniagaan untuk besarkan kilang, baru gunakan OPM (Other People’s Money).

Sebenarnya setiap usahawan perlu diajar oleh mereka yang telah berniaga dengan jayanya terlebih dahulu agar mereka belajar proven success result. Seminar 1 - 2 jam jemput penceramah bukan tidak bagus, tetapi apa yang mereka perlukan adalah seseorang yang terbukti berjaya dalam bisnes dan telah terbukti berjaya.

Mereka perlu dilatih bukan sejam tetapi beberapa hari untuk beberapa sesi dengan teknik latihan serta kandungan program yang proven success. Bukan diajar oleh kakak tua yang cuba mengajar anak helang bagaimana untuk terbang. Mampu ke kakak tua terbang tinggi?

Saya ingin membantu pihak agensi-agensi kerajaan yang komited dan bersungguh-sungguh untuk membantu usahawan-usahawan ini lebih berjaya tetapi kebanyakkan mereka adalah sombong dan ego untuk bekerjasama kerana nanti jatuh maruah mereka.

Jangan bercerita tentang perniagaan jika sebatang pen pun tidak pernah jual. Dan tahniah kepada LPP kerana berusaha untuk mengundang mereka yang proven success untuk membantu usahawan-usahawan yang mereka cuba bangunkan. Jika satu struktur latihan keusahawanan yang betul dan proven success dibangunkan, Insya-Allah LPP akan menjadi salah satu tonggak perubahan usahawan bumiputera yang berjaya, apatah lagi LPP ada sumber yang boleh digunakan untuk membantu usahawan-usahawan ini tetapi percayalah, apa yang mereka perlukan adalah ilmu, mentor, sistem dan strategi yang terbukti berjaya.

Kita jangan buang duit rakyat dengan berikan kepada rakyat terutamanya anak bangsa yang tidak tahu menghargainya. Ia akan menjadi ibarat kera mendapat bunga tahi ayam.

Jangan buang masa mencuba melakukan sesuatu tanpa ilmu. Itu adalah umpama sudahlah bodoh, jatuh dan timpa tangga.

Anda yang berjaya hari ini mungkin akan berkata, aku dulu berniaga tak payah mentor, ilmu, sistem dan masuk kursus ni semua. Dan suka saya katakan, itulah orang yang sombong dengan Allah swt.

Bukan semua orang pandai macam anda yang berniaga tidak ada cabaran dan mampu jadi jutawan dalam masa sehari. Iya ke sehari? Bukan anda struggle buat silap berulang-kali dan belajar dari kesilapan tersebut bertahun-tahun lamanya.

Dan jika anda berjaya hari ini pun, tapi tidak bermanfaat kepada ramai orang pun tidak guna, jika anda tidak kongsi dengan orang lain bantu anak bangsa lain untuk berjaya macam anda pun tidak guna. Ilmu dan pengalaman anda akan ditanam bersama anda bila anda mati nanti.

Jangan terasa, saya bukan bercakap pasal anda, saya sedang bercakap dengan diri saya tentang apa yang saya fikir.

Dr Hj Azizan Osman
Jurulatih Kejayaan & Pakar Pemasaran No. 1 Asia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan