Isnin, 26 Oktober 2015

Rumah

#TabungHartanah

LAGI 2 TAHUN HARTANAH JATUH HARGA?

1. Saya ditanya tentang pandangan Prof Dr Ho Ke Ping tentang saranan beliau agar orang muda jangan beli hartanah. Tunggu harga hartanah akan jatuh 2 tahun dari sekarang.

2. Ini pandangan saya yang bukan Profesor dan hanya pelabur di kampung. Saya sarankan anak muda dengar pandangannya, kerana dia seorang Profesor. Jangan ambil pandangan saya kerana saya bukan pakar.

3. Izinkan saya beri sedikit pandangan bila banyak yang bertanya. Saya dan beberapa sahabat saya senantiasa menulis tentang celik hartanah sejak tahun 2013. Kita cuba beri kesedaran hartanah pada golongan muda.

4. Saranan ini bukan baru anak muda, tahun 2007-2008 saya pernah dengar saranan yang sama dimedia. Semua orang kelam kabut dan 'share' merata dunia. Jangan beli hartanah katanya.

5. Kita sambut 'baik saranan' ini dan akhirnya nilai hartanah terus kekal menaik. Hari ini heboh lagi agar jangan beli rumah atau hartanah.

Anak muda yang kacak dan jelita,

6. Belian hartanah ada 3 cara, beli  dari pemaju, pasaran sekunder dan pasaran lelongan. Pasaran yang dimaksudkan oleh Profesor ini mungkin belian dari pemaju.

7. Ada dua pasaran lagi yang kita boleh beli, iaitu sekunder atau bahasa kampungnya rumah terpakai dan hartanah terlelong. Pasaran ini sering dipandang sepi oleh golongan muda.

Kata mereka rumah ini tak cantik dan tidak wangi. Pasaran sekunder mula terjual banyak dibawah harga pasaran tahun ini, dan kadang kala harga ditentukan pembeli bila penjual terdesak.

8. Beli hartanah bukan soal waktu, ia soal kita telah bersedia atau tidak. Jika kita telah bersedia untuk ada komitmen membayar pembiayaan rumah, silakan beli sahaja.

9. Jika  kita tunggu sampainya waktu hartanah jatuh harga, waktu itu ekonomi mungkin dah caca marba dan gila. Bank bank tentu sukar beri pembiayaan pada kita, kadar pinjaman juga pasti tinggi macam dulu kala (1997-1998). Bolehkah kita membeli?

Cadangan,

10. Jangan bermula membeli rumah yang mahal, saya seringkali sarankan anak muda membeli berdasarkan median gaji kita. Bukannya rumah yang kita suka.

Rumah pertama biar kecil dan sederhana. Hitung harga rumah berdasarkan kaki persegi (psf),  bukan beli yang ada kolam mandi.

11. Malangnya ramai orang muda tidak tahu pengiraan rumah yang layak mereka beli berdasarkan gaji. Beli bukan hanya lihat harga tetapi nisbah kemampuan kita. Berapa harga rumah yang sesuai?

Gaji tahunan x 5.5 = harga kediaman yang layak kita dibeli.

12. Hartanah merupakan aset yang paling lambat terkesan akibat perubahan ekonomi. Ia tidak seperti instruments pelaburan lain yang cepat berubah.

13. Saya selalu pesan anak muda beli hartanah pada kadar 10%-20% dibawah harga pasaran, jika perubahan berlaku kita masih tidak terkesan.

Beli hartanah ini perlu ada ilmu, jangan terlalu awal atau terlalu lewat, sebab itu kita ajar.

14. Pemaju juga semakin tertekan tetapi margin keuntungan mereka masih mampu menampung 3 tahun kedepan, mereka telah hitung harga paku dan simen untuk 3 tahun kedepan baru letak harga rumah.

15. Kebarangkalian pemaju menurunkan harga rumah agak rendah, mereka mula menawarkan pelbagai hadiah percuma dari kipas, aircond dan tv plasma agar iman kita cair dan terus beli rumah.

16. Menyalahkan kerajaan, pemaju dan pelabur hartanah bukan langkah bijak. Mereka tidak membantu kita, kita harus bantu diri sendiri. Mereka terus rakus sebab mereka suka.

Bak kata ular dalam bangau oh bangau "dah memang makanan saya"

17. Skim kerajaan dan PR1MA masih dianggap mahal, pasaran sekunder jika kita bijak kita akan ada rumah pertama yang lebih murah dari yang ditawarkan.

18. Saya juga sarankan anak muda beli kediaman permulaan  bawah RM200 000 sahaja, pasaran sekunder banyak kediaman jenis ini dimana mana.

19. Hartanah dan kouta bumiputra jika tidak terjual selepas tempoh tertentu akan dibuka kepada golongan bukan bumiputra, ia tidak kekal disitu selamanya.

Apakah kita nak biarkan tanah sekangkang kera ini dibuka kepada bukan bumiputera lagi ?

20. Ahli akademik dan politik seringkali merungut tentang statistik hartanah di Malaysia mahal, tetapi mereka tidak sediakan jalan keluar kepada masalah ini. Mereka juga suka salahkan orang.

Apakah ia penyelesaian yang baik, bila mahal kita "jangan beli?" Rumah adalah keperluan manusia.

21. Pelabur tegar hartanah terus kekal membeli dalam keadaan pasaran sekarang, mereka ada matlamat kewangan dan stategik yang disasarkan. Ingat, kita tak tinggal seorang didunia ini. Jika kita tak beli ramai lagi akan membeli.

22. Hartanah lelong dijangka bertambah mulai tahun depan, bersedialah.

23. Akhir kata, mengapa saranan 'hebat' ini hanya keluar di media Bahasa Melayu tetapi tidak dimedia bangsa lain. Kita memang suka perkara yang bawak kita kebelakang bukan?.

"Jika air dalam cawan masih panas jangan minum ditengahnya, minumlah dibahagian tepi".  Jika belum mampu beli yang mahal, beli yang kecil dan kawasan pinggiran dulu.

Bermulalah sekarang atau 2 tahun nanti kita menyesal.

Wallahu A'llam

Dr Azizul Azli Ahmad
Abah Aqilah
Pelabur Hartanah Kacak
Penulis buku Mudahnya Beli Rumah
Pernah Membeli 6 Rumah Setahun.
Masih kekal membeli 2 rumah setahun.
www.sewaidaman.com

#sekadar pandangan saya yang lemah ini, saya raikan perbezaan pandangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan