Hidupnya susah sejak di zaman kanak-kanak... Dia dari keluarga miskin... Bapanya mewarisi kemiskinan datuknya... Lalu dia terpaksa mengharungi kefakiran itu dengan tabah.... Dia tidak tahu apa erti kemewahan dalam hidup.... Dia makan hanya sekadar untuk menyambung nyawa meneruskan hidup... Dia pakai baju dan seluar sekadar untuk menutup tubuh sahaja.
Pernah satu ketika, hari raya aidil fitri jatuh pada akhir bulan dua belas, sedangkan awal bulan satu tahun berikutnya penggal baru persekolahan akan dibuka.... Dia tidak lupa bagaimana ayahnya berkira-kira samada nak beli untuk dia baju raya atau baju sekolah.
Baju raya, baju sekolah... baju raya, baju sekolah... Akhirnya ayahnya belikan untuk dia sepasang baju sekolah yang boleh dibuat raya.... Suka benar dia dapat pakai baju dan seluar baru di hari raya, dan itu lah juga pakaian sekolahnya.
Waktu rehat di sekolah, dia selalu memencilkan diri dari kawan-kawan lain... Dia pergi makan nasi bekalnya di bawah pokok di penjuru pagar sekolah, lantaran malu kerana bekalannya hanya nasi beras usang berlaukkan ikan sepat atau ikan puyu atau ikan haruan.
Seorang murid perempuan yang juga rakan sekelasnya kerap juga datang menemaninya makan... Budak perempuan itu anak askar... Hidupnya agak senang sebab bapanya bergaji tetap... Tidak diketahui kenapa budak perempuan itu selalu datang makan bersama dia... Mungkin atas dasar simpati, atau mungkin budak perempuan anak askar itu memang suka berkawan dengan dia.... Kadang-kadang anak askar itu memberikan makanan yang dibawanya, tetapi.... roti disapu majerin, dia hampir termuntah kerana itu lah pertama kali dalam hidupnya dia merasa makan majerin.
Hari berlalu musim berganti... Dia dan budak perempuan anak askar itu terus berkawan sampai naik sekolah menengah bahkan sampai ke tingkatan lima.
Selepas tamat MCE, dia dapat masuk ITM melanjutkan pelajaran, sedangkan budak perempuan anak askar itu masuk kursus jururawat.
Tahun 1974, ketika masih bergelar mahasiswa, berlaku tunjuk perasaan di Baling, Kedah akibat ada penduduk yang mati kebuluran akibat terlalu miskin.... Dia ikut serta dalam demonstrasi itu... Ramai pemimpin mahasiswa yang ditahan dan ada yang melarikan diri ke luar negeri.
Dia...? Ya, dia juga dikenakan tindakan... Dia digantung pengajiannya oleh pihak ITM.
Dalam keadaan yang gawat tidak tentu hala tujuan masa depan itu lah, kawannya yang jadi misi hospital itu datang berjumpa dengannya, bertanyakan tentang kesediannya untuk mengikat hubungan itu dengan perkahwinan, kerana menurut perempuan itu, ada orang datang melamarnya, tetapi ditangguhkan jawapan samada menerima atau menolak, kerana mahu bertanya pendapat dia terlebih dulu.
Dengan perasaan yang amat berat dia menasihatkan jururawat itu supaya terimalah lamaran itu, kerana dia sendiri tidak menentu masa depannya selepas digantung pengajian di ITM.
Akhirnya dia dapat berita perkahwinan jururawat itu akan dilangsungkan pada sekian-sekian haribulan... Dia tenang saja, tabah mengharungi gelombang hidup yang serba kekurangan.
Setenang-tenang dia, walau bagaimana tabah hatinya menghadapi dugaan, tetapi pada hari perkahwinan jururawat kawan baiknya sejak di sekolah itu, dia menjadi tidak keruan.... Di ambil basikal ayahnya, dan dia kayuh basikal keliling kampung, hingga sampai di tempat yang tak ada orang, akhirnya dia menangis huhuhuhuuu sambil mengayuh basikal tua ayahnya... Dia membiarkan air mata jatuh ke pipi lalu mengalir hingga membasahi dagunya.
Ya, dia menangis sungguh-sungguh... Dia pun tidak tahu kenapa dia harus menangis.
Itu peristiwa yang berlaku lebih 40 tahun yang lalu.... Sekarang dia hidup bahagia bersama isteri dan anak-anaknya yang telah besar-besar belaka.
Dia ialah Abang Mat, Menteri Pertahanan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan