Jumaat, 26 Oktober 2018

Graduasi

Walaupun mungkin ramai yang marah, walaupun mungkin ramai yang tak senang, Saya tetap berpendapat bahawa trend majlis graduasi tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah adalah pembaziran dan merepek.

Pembaziran, kerana dana sekolah untuk urusan  hakiki pun compang-camping, terkontang-kanting, lagi sibuk nak disalurkan kepada majlis yang direka-reka ini. Ada sekolah yang menyewa jubah, ada guru yang terpaksa mencari jubah untuk dipakai. Tapi nak fotokopi bahan pdp tiada dana.

Merepek, kerana graduasi berjubah itu adalah identiti menara gading. Jubah dan 'mortar board' adalah manifestasi tradisi ilmu dan kesarjanaan. Setiap perkara ada kedudukannya.

Hujahnya apa? Nak bagi pelajar bermotivasi masuk universiti? Salah tu. Berpuluh tahun kita tak pernah buat majlis sebegitu, tiadakah yang masuk universiti? Eh, anak kita di tadika itu tak tahu pun apa itu graduasi. Kita je pandai-pandai menormalisasi.

Percayalah, benda-benda beginilah yang lama-kelamaan nanti akan merosakkan sekolah kita. Kalau nak hargai anak-anak, majlis anugerah kecemerlangan sudah memadai. Tak perlu berjubah bertopi. Majlis yang disertai oleh kita, guru dan ibu bapa, sudah menjanjikan kebahagiaan kepada anak-anak kita.

-Sahul HM-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan