Khamis, 17 Jun 2021

Bunian

 INFO MISTIK | Bentuk Gangguan Ghaib Di Melaka Yang Ramai Tidak Tahu


Ketika saya mula-mula berpindah ke Melaka (kerana bernikah dengan isteri yang merupakan orang Melaka) sekitar tahun 2019 dahulu, apa yang saya perasan di Melaka ini adalah; kebanyakan rumah-rumah di kawasan kampungnya mesti ada menanam pohon bidara di bahagian jalan masuk ke rumahnya, hairan juga.


Sebelum itu saya ingin 'flashback' sekejap, saya sebenarnya tidaklah begitu mengenali isteri saya sebelum saya bernikah kerana saya lebih banyak berhubungan secara jarak jauh sahaja (saya di Kuantan/Shah Alam dan isteri pula di Melaka).


Saya hanya bertemu bakal isteri hanya sekali sekala sahaja iaitu ketika beliau ada urusan di Selangor. Setelah beberapa minggu bernikah, barulah saya dapat mengesan bahawa beliau dilahirkan sebagai 'anak indigo'; tetapi dirinya sendiri tidaklah mengatahui.


Ramai yang bertanya, apakah anak indigo itu? Anak indigo adalah seorang insan yang memiliki pancaindera ke-6 yang sungguh tajam, firasatnya boleh tahan tepat. Lazimnya ciri-ciri indigo akan tamat ketika kanak-kanak itu memasuki usia 5-7 tahun tetapi isteri saya kekal sehingga sekarang lalu digelar indigo dewasa (jarang-jarang ada).


Indigo ini terbahagi kepada 2-jenis iaitu:


+ Indigo akibat gangguan dan bersifat tidak kekal,

+ Indigo memang semula jadi dan bersifat kekal.


Isteri saya jatuh di bawah Indigo yang semula jadi dan bersifat kekal. Ianya banyak kelebihan untuk saya sebagai suaminya yang berkerjaya sebagai perawat alternatif.


Sebenarnya isteri saya tidak menceritakan apa-apa pun kepada saya mengenai dirinya, saya sendirilah yang terperasan 'trait indigo' yang ada pada dirinya selepas beberapa minggu bernikah. Untuk bab ini saya akan ceritakan pada penulisan yang lain, insha'Allah.


GANGGUAN 'UNIK' YANG BERLAKU DI MELAKA 


Mungkin ramai yang pernah mendengar berkenaan mitos/lagenda jin bunian. Saya amat yakin bahawa rata-rata ramai yang percaya mengenainya dan tidak kurang juga ada yang tidak percaya. Mana-mana yang tidak percaya itu, hormati sahaja kepercayaan orang lain dan usah diganggu dengan tuduhan-tuduhan liar seperti orang itu 'hisap gam', minum ketum, schizophrenia dll. Adab dan akhlak kena jaga.


Jika tuan-tuan bertanya saya yang merupakan seorang perawat alternatif, jawapan saya adalah; makhluk bunian itu adalah wujud dan benar! Ia adalah sejenis bangsa jin yang paling hampir/mirip dengan manusia. Ada yang gelarkan mereka sebagai 'manusia halus'.


Mungkin ada di antara kita pernah sahaja terserempak dengan bunian tetapi langsung tidak tahu mereka itu bunian. Iya, mereka boleh menjelma ke alam kita pada bila-bila masa sahaja samada pergi ke surau, taman dll.


Cuma saya ingin perbetulkan sedikit fakta, bunian ini sebenarnya ramai yang bukan muslim (kafir) malah bersifat jahat berbanding yang muslim dan baik pula budi pekertinya.


Mungkin ramai yang terkejut jika saya menyatakan bahawa di Melaka ini sungguh banyak perkampungan bunian jenis bukan muslim malah jahat pula perangainya!


CIRI-CIRI BUNIAN DI MELAKA 


Setelah 2-tahun saya menetap di Melaka, barulah saya mendapat satu persatu jawapan kenapa orang-orang lama di Melaka (kawasan kampung) gemar menanam pohon bidara di jalan masuk ke rumahnya. Semuanya gara-gara untuk elakkan gangguan oleh bunian-bunian yang sungguh jahat! Gangguan berada di mana-mana sahaja.


Bunian di Melaka ini sudah tidak tinggal di kampung-kampungnya lagi tetapi mereka lebih gemar tinggal di dalam rumah-rumah manusia. Mungkin di dalam sebuah rumah memiliki 10 hingga 20 orang bunian yang tinggal bersama-sama.


Saya mendapat tahu perkhabaran ini setelah isteri saya ('indigo adult') mengesan dan menganalisisnya.


Bunian di Melaka ini agak unik dan di bawah ini adalah ciri-cirinya:


+ Mereka masih menggunakan bahasa sanskrit dan tidak beberapa mahir berbahasa melayu,


+Mereka berpakaian tradisional Majapahit dan Srivijaya iaitu gabungan pakaian dari India dan tradisional Melayu,


+ Rata-rata agamanya adalah Hindu dan Buddha kuno.


+ Jumlahnya berkali-kali ganda lebih ramai berbanding penduduk Melaka itu sendiri.


Saya percaya, mungkin di negeri-negeri lain mengalami perkara yang sama juga tetapi mungkin di zon-zon yang tertentu sahaja.


GANGGUAN BUNIAN TIDAKLAH BERAT TETAPI TIDAK PULA RINGAN


Bunian ini sifatnya degil dan berhati kering. Apabila sesebuah rumah itu memasangkan Mp3 alunan ayat-ayat suci Al-Quran, maka si bunian akan lari ke kawasan di dalam bahagian rumah yang lain seperti bilik, porch kereta dll.


Jangan sesekali berniat memasangkan Mp3 itu bagi bertujuan menghalau gangguan kerana pemikiran bunian ini cerdik dan sama seperti manusia. Setelah tamat bacaan Mp3 Al-Quran, lazimnya serangan bunian akan berlaku lebih-lebih lagi ketika hendak tidur.


Bunian sentiasa memerhatikan apa yang dilakukan oleh penghuni rumah seperti anak-anak muda yang menonton lucah, anak dara yang berjoget-joget bersendirian di dalam bilik dll.


Cuma yang tidak tahannya adalah; bunian gemar menganggu anak-anak kecil dan menyebabkan anak kecil terjaga malam sebab bermimpi yang bukan-bukan lalu menangis 'sawan'.


Orang-orang yang dewasa juga turut boleh diganggu bunian samada gangguan mimpi, sentakkan anggota badan seperti kaki ketika hampir terlelap dan juga tusukan senjata ghaib di bahagian tengkuk yang menyebabkan sakit otot/sendi leher selama berhari-hari.


Energi yang terhasil dari bunian yang jahat boleh menyebabkan tubuh manusia itu menjadi lemah lalu terasa berserabut ('moody'), tidak bersemangat, atau ingin terbaring sepanjang masa. Inilah dipanggil sebagai 'energy sucker', ianya boleh menyebabkan hidup jadi malang.


#NOTA: Kita kena redha bahawa dunia kita ini adalah berkongsi dengan jin. Allah menutup pandangan kita tidak boleh melihat jin kerana jin ini terlalu lemah kerana tidak berjasad. Hakikatnya jin jauh lebih takut kepada manusia berbanding manusia yang takut kepadanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan