"Hikmah Surah Al-Baqarah Ayat 216"
Alkisah ada seorang petani miskin mempunyai seorang anak lelaki dan seekor kuda betina. Kehidupan mereka ala kadar saja.
Suatu hari, tanpa disedari kuda betina petani itu telah hilang. Maka, orang kampung yang simpati pun pergilah ke rumah petani tersebut. Sudahlah kuda betina seekor, hilang pula.
"Kesian!" kata orang kampung.
Tapi, si petani tidak bersedih, sebaliknya berkata, "Yang tak baik itu tidak semestinya tak baik! Yang baik itu tak semestinya baik!"
Tidak lama kemudian, kuda betina yang hilang itu balik semula ke rumah si petani dan didapati telah bunting.
Orang kampung datang ke rumah petani itu untuk melihat kuda betina yang bunting itu.
"Tak sangka, kuda betina itu bunting! Untungnya dia!" kata orang kampung.
Petani itu berkata seperti biasa, yang baik itu tidak semestinya baik, yang tak baik itu tak semestinya tidak baik!
Tidak berapa lama kemudian, si kuda betina yang bunting itu beranak seekor kuda jantan. Setiap hari anak lelaki petani itu menghabiskan masa bermain-main dengan anak kuda jantan tersebut.
Tanpa disangka, suatu hari anak petani itu ditendang oleh anak kuda jantan yang tiba-tiba melenting.
Cederalah si anak muda itu. Patah tangan. Orang kampung seperti biasa datang berziarah. Kesian! Anak ada seorang, patah tangan pula!
Si petani miskin itu memberitahu ungkapan yang sama, "Tak semestinya yang tak baik itu tidak baik! Yang baik itu tidak semestinya baik!"
Tibalah saatnya kerajaan memerintahkan semua anak muda dalam kampung itu diwajibkan menjalani kerahan tenaga untuk persiapan ke medan perang.
Hanya anak petani miskin tadi yang tidak disuruh berperang, sebab dia masih cedera dan patah tangan. Ditakdirkan, semua anak muda yang pergi berperang itu, terkorban.
Maka yang tinggal dikampung itu hanyalah anak gadis yang belum berkahwin.
Orang kampung datang kerumah petani tadi mengucapkan tahniah sebab hanya anak lelaki petani miskin itu yang terselamat.
Beruntunglah si anak petani itu sebab ramai gadis berebut-rebut hendak berkahwin dengannya.
Petani itu lalu berkata, "Dari dulu lagi aku dah cakap, yang baik itu tidak semestinya baik dan yang tidak baik itu tidak semestinya tidak baik. Setiap kebaikan dan keburukan yang diuji oleh Allah itu ada hikmah disebaliknya!"
Pembaca sekalian, apabila mendapat sesuatu kebaikan, jangan terlalu gembira, tapi bersyukurlah! Begitu juga jika mendapat sesuatu musibah atau keburukan, jangan kecewa atau putus asa.
Percayalah, ada hikmah disebalik Qada dan Qadar Allah itu. Jangan terlalu cepat melatah bila ditimpa musibah/ujian. Tiba-tiba teringat lagu damasutra , "Bukan sengaja aku merahsiakan cinta , Tapi curiga kau kan tersalah sangka , Kerana kita rasa bangga bila dipuja dan rasa keji bila dihina , Keran kita menolak segala bencana dan asyik bergembira dengan nikmat-Nya sedangkan semua itu adalah takdirnya dan kita harus bersyukur sentiasa...."
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu." Surah Al-Baqarah Ayat 216.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan