Khamis, 30 Mei 2024

Jerman

 Sistem pendidikan Jerman (Berbeza dengan sistem pendidikan British)


Sistem pendidikan di Jerman bermula di peringkat kanak-kanak. Anak-anak kecil berusia sekitar 6 tahun akan memasuki ‘Kindergar(t)en’ (huruf ‘t’) bukan (huruf ‘d’) seperti Kindergar(d)en di Malaysia. 


‘Kindergarten’ adalah istilah bahasa Jerman yang mempunyai makna literal iaitu taman permainan kanak-kanak.


Sesudah mencapai usia sekitar 7 tahun kanak-kanak di Jerman memasuki alam persekolahan iaitu dikenali sebagai ‘Grundschule’. 


Di Jerman, sistem pendidikan berada di bawah bidang kuasa negeri persekutuan yang terdiri daripada 16 ‘Bundesländer’. (16 negeri-negeri di bawah Jerman)


Ertinya terdapat 16 kurikulum persekolahan yang menjadi garis panduan bagi sistem persekolahan di Jerman. 


Sebagai contoh kurikulum persekolahan di negeri Bayern, Bavaria, Berlin, Hesse, Hamburg dan lain-lain.


Subjek atau ‘Fach’ yang diajarkan di ‘Grundschule’ adalah subjek asas seperti bahasa Jerman, Matematik, Seni, Sukan dan Jasmani, Muzik, Agama dan Moral. 


Anak-anak kecil ini didedahkan dengan pengetahuan asas serta mereka dibawa melawat ke tempat-tempat awam seperti pasar, zoo, muzium, galeri dan sebagainya sebagai lawatan sekolah dikenali sebagai ‘Ausflug’.


Di bawah sistem pendidikan Jerman, kanak-kanak tidak dibebankan dengan bebanan kerja rumah yang bertimbun-timbun serta peperiksaan yang sentiasa mewujudkan kasta di sekolah akan siapa yang pandai dan siapa yang kurang pandai. 


Percaya atau tidak di Jerman tidak ada peperiksaan seperti UPSR sewaktu sekolah rendah. 


Yang ada cuma ‘Abschlussprüfung’ iaitu satu pengesahan peperiksaan bagi menentukan halatuju di peringkat sekolah menengah. 


‘Grundschule’ berlangsung selama kira-kira 5-6 tahun bergantung pada negeri.


Sesudah itu kanak-kanak akan memasuki peringkat sekolah menengah yang mempunyai 4 jenis sistem berbeza iaitu ‘Gymnasium’, ‘Gesamtschule’, ‘Realschule’ dan ‘Hauptschule’. 


Keempat-empat sistem persekolahan menengah ini berbeza mengikut kecenderungan pelajar.


‘Gymnasium’ bagi anak-anak yang mempunyai kecenderungan sains dan mereka yang bercita-cita untuk menyambung pengajian di Universität dengan mengambil peperiksaan akhir dikenali sebagai ‘Abitur’ yang dianggap hampir setara dengan STPM atau A-Level di Malaysia. 


Seperti anak bongsu aku Marea bakal bersiap-sedia membuat persiapan mengambil peperiksaaan akhir ‘Abitur’ pada tahun 2025. 


‘Gymnasium’ ini bukan tempat bersenam tu. Ianya adalah nama sekolah bertahap tinggi di Jerman seakan-akan sekolah berasrama penuh (SBP) di tempat kita.


Pelajar akan belajar subjek seperti bahasa Jerman, bahasa Inggeris, bahasa Latin, bahasa Perancis, Sains, Matematik, Geografi, Asas Agama, Moral, Sejarah dan Muzik.


Bagi mereka yang kurang cemerlang, mereka boleh menyambung pengajian di sekolah ‘Realschule’ atau ‘Hauptschule’. 


Di ‘Realschule’ dan ‘Hauptschule’ mereka akan diajar asas kemahiran sewaktu di usia muda lagi. Uniknya mereka belajar di sekolah akan subjek atau ‘Fach’ yang bersesuaian dengan minat mereka. 


Katakan Niklas kurang cemerlang dalam akademik dan berminat dengan baik-pulih kenderaan maka Niklas akan diajar akan asas baik pulih kenderaan iaitu ‘Fahrzeugreparatur’ dengan kerjasama di antara pihak sekolah dengan bengkel atau ‘Werkstatt’. 


Begitu juga bagi Ramona yang meminati bidang pembuatan roti maka dia akan belajar sejak usia belasan tahun kaedah penghasilan roti yang diasuh oleh ‘Bäckermeister’ iaitu ‘master’ atau guru di dalam bidang bakeri dan pastri.


Sistem pendidikan Jerman menekankan kepada keseimbangan teori dan praktikal selain fokus kepada sesuatu bidang secara terperinci iaitu bermula daripada A sampai Z. 


Jika belajar tentang buat roti maka Ramona akan belajar tentang bahan membuat roti. Apa itu jenis tepung? Apa kandungan zatnya? Bagaimana kaedah menguli dengan betul? Bagaimana cara membakar roti dengan betul?


Mengapa Jerman tekankan begini rupa? Kerana Jerman mahu memastikan setiap rakyatnya mampu menyumbang kepada kemajuan negara berasaskan potensi dan keupayaan seseorang. 


Ertinya potensi dan keupayaan individu diasuh sejak daripada muda agar dapat menjana keperluan negara dalam memenuhi sektor industri Jerman.


Oleh itu bagi mereka yang kurang kecenderungan akademik mereka tidak akan dipaksa belajar Matematik Tambahan seperti di Malaysia. 


Bila pelajar tidak berminat maka mereka akan memberontak dan akibatnya dihukum sebagai malas dan dirotan di khalayak ramai oleh guru disiplin mereka.


Bagi pelajar lulusan ‘Realschule’ dan ‘Hauptschule’ mereka akan keluar menjadi tenaga kerja mahir yang terlatih dan mendapat sijil persekolahan ‘Mittlere Reife’ yang setaraf dengan SPM jika di Malaysia. 


Mereka ini sudah punya asas pemahaman bidang masing-masing sejak di sekolah menengah sebelum mengikuti program apprentice iaitu ‘Ausbildung’ selama 3 tahun atau mana-mana ‘Fortbildung’ dengan kerjasama industri seperti Mercedes-Benz, BMW, Siemens, Bosch dan lain lain.


Ertinya tiada pembaziran tenaga manusia. Yang cerdik pandai masuk ‘Gymnasium’ kemudian bila keluar boleh masuk ‘Universität’ atau Universiti jadi ahli akademik dan pakar dalam pelbagai bidang. 


Yang kurang cemerlang boleh jadi tenaga pekerja mahir hasil didikan ‘Realschule’ dan ‘Hauptschule’. 


Bagi yang mahukan kombinasi boleh masuk ‘Gesamtschule’ dan seterusnya belajar di ‘Fachhochschule’ untuk jadi jurutera dalam pelbagai bidang.


Beza di Malaysia remaja ini akan ketinggalan dan tidak tahu hala tuju. Masuk universiti pun ikut-ikut kawan.


Kawan ambil IT, dia pun ambil IT. Sudahnya dapat kursus pengurusan hutan. Sudah lah tak minat tapi terpaksa ambil sebab malu bila jiran sebelah rumah asyik bertanya, kamu tak belajar ke? 


Apa benda pun tak tahu. Niat nak masuk universiti tapi takut silap hari bulan termasuk pusat serenti. 


Yang lagi parah dah berusia baru nak masuk kursus teknikal. Nak guna kikir dan spanar pun tak tahu. 


Buat pula pinjaman PTPTN. Berhutang lagi. Di Jerman sistem pendidikan percuma. 


Kerajaan Jerman menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas keperluan manusia. 


Ingat ya, pendidikan sekolah di Jerman wajib seimbang. Pengalaman sahaja tak memadai jika tidak bersijil atau sijil latihan harus seiring bersama dengan pengalaman kerja. Baru seimbang bagi memenuhi kehendak industri. 


Sebab itu di Jerman sangat sukar ditemukan universiti swasta sebab Jerman menganggap pendidikan ialah tanggungjawab kerajaan.


#MelayuJerman #BudayaJerman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan