Selasa, 17 Februari 2026

Kuil haram

 Isu KUIL HARAM


SURAT TERBUKA UNTUK YAB PERDANA MENTERI


Assalamualaikum YAB Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia


Saya seorang warganegara Malaysia, beragama Islam dan berbangsa Melayu.


Izinkan selaku salah seorang rakyat Dato Seri untuk memberikan sekelumit nasihat, pandangan dan saranan. 


Sejak akhir-akhir ini, negara kita dilanda banyak masalah. Samada masalah besar, maupun kecil. 


Masalah pendidikan, ekonomi, sosial, politik, hubungan antara kaum dan agama, masalah alam sekitar dan berbagai masalah dan isu lagi.


YAB Dato Seri,


Pada suatu ketika dulu, hampir setiap kali berucap di hadapan khalayak, Dato Seri selalu menjadikan Islam dan konsep pentadbiran Islam sebagai rujukan dan sandaran. Mungkin kerana itu jugalah sebahagian rakyat memberi simpati dan dokongan.


Namun setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh, Islam dan agendanya secara perlahan-lahan mula di pandang Bukan sekadar itu, sesekali Islam seolah-olah diberi pandangan sinis dan disindir dengan cara yang tidak sepatutnya.


Maaf Dato Seri, 


Masalah-masalah dan isu-isu yang sedang melanda rakyat dan negara sekarang bolehlah diibaratkan seperti serpihan dan bongkah kayu terbiar yang berkumpul sedikit demi sedikit di hulu batang sungai, di celah-celah bukit bukau di Aceh. 


Arus sungai itu pula bolehlah kita kiaskan sebagai perasaan kecewa, marah dan protes rakyat. Jika ada hujan yang lebat turun, arus akan semakin kuat, membawa dan menunda segala kayu-kayu yang tersekat.


Di waktu itu sesuatu yang sudah dapat dijangka akan boleh berlaku.


YAB Dato Seri,


Menjelang PRU-16 akan datang, umur Dato Seri menjengok ke 80 tahun. Satu angka yang tidak pasti samada Allah masih izinkan Dato Seri terus memimpin Malaysia atau tidak. Apa yang pasti kita semua akan kembali kepada Allah. Dato Seri pasti yakin dan faham tentang itu.


Oleh itu, masa ini adalah peluang dan ruang terbesar yang Allah berikan kepada Dato Seri untuk mengotakan kata-kata. Bukankah perjuangan itu membuktikan kata-kata?


Dato Seri yang dikasihi,


Negara sedang menghadapi berbagai masalah yang sebahagian besar sangat membebankan rakyat. Manakala setengah isu itu pula cukup mengguris dan melukakan hati dan perasaan rakyat majoriti.


Antara isu-isu tersebut ialah;


- ART (United States-Malaysia Agreement on Reciprocal Trade (ART)

- Isu 5207 hektar tanah diserah ke Indonesia

- Isu perlantikan Ketua Halim & Peguam Negara

- Isu gejala LGBTQ yang dibiarkan semakin berleluasa

- Geng tuala putih yang tidak didakwa

- Isu entiti bumiputera Islam yang dianiaya seperti GISBH, Madad dan lain-lain

- Isu integriti penjawat awam dan anggota penguatkuasaan

- Kes pergaduhan dan pembunuhan yang semakin menjadi-jadi dan kerap berlaku

- Isu kios putih merah yang membazir dan tidak mencapai okjektif

- Kes Zara (nampak mcm sudah senyap)

- Isu pengiktirafan UEC

- Isu kemasukan murid bermula umur 6 tahun

- Isu pilihanraya Datuk Bandar

- Isu rasuah melibatkan pegawai tinggi ATM

- Isu penternakan babi hingga dapat respon Sultan

- Isu Ketua Pesuruhjaya SPRM

- TERKINI, isu KUIL HARAM yang sedang menjadi fenomena


Dalam surat ini, saya ingin memfokuskan kepada isu KUIL HARAM.


Kuil haram bermaksud kuil yang dibina tanpa kebenaran. Samada di bina atas tanah kerajaan maupun tanah persendirian. 


Sebenarnya di situ ada dua kesalahan. Menceroboh dan membina tanpa kebenaran.


Jadi isu kuil haram ini adalah isu pelanggaran undang-undang. Bukan isu agama atau perkauman.


Dato Seri baru-baru ini ada menegaskan bahawa pembinaan kuil juga mesti melalui proses yang betul seperti mana proses pembinaan masjid dan surau.


Syabas Dato Seri. Ini yang rakyat mahu dengar dan mahu lihat sejauh mana perlaksanaannya berlaku.


Pembinaan masjid atau surau sejak sekian lama telah mematuhi proses undang-undang. Bukan sahaja dibina di atas tanah halal, tetapi juga mendapat kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.


Sebab itu isu kuil haram ini sangat mengguris hati dan perasaan orang Islam yang merupakan rakyat dan warganegara terbanyak dalam Malaysia.


Kenapa?


Perlembagaan Persekutuan jelas meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain dibenar diamalkan di Malaysia. Islam juga mengajarkan toleransi terhadap amalan agama lain. Itulah apa yang orang Islam dan rakyat negara ini amalkan.


Jika semua pihak mematuhi undang-undang, tidak timbul isu atau pertembungan antara agama dan kaum sebenarnya.

 

Tetapi bilamana ada satu kelompok yang berbuat sesuka hati, mendirikan kuil dengan menceroboh tanah persendirian atau tanah kerajaan dan tidak mendapat kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa, ini sangat mengundang keresahan yang mendalam di kalangan rakyat.


Sikap begini sebenarnya mencerminkan pihak terbabit iaitu pendiri kuil haram tidak mempedulikan undang-undang dan sentimen kaum dan agama lain. Ini cukup membahayakan.


Sekiranya pentadbiran Dato Seri terus membiarkan perkara ini tanpa tindakan yang tegas dan jelas, tidak mustahil keharmonian masyarakat di negara ini akan terus terancam.


YAB Dato Seri,


Dato Seri tentu tidak mahu meletakkan kesalahan ini kepada pentadbiran kerajaan terdahulu. 


Bukankah semasa menawarkan diri menjadi Perdana Menteri, Dato Seri berjanji untuk membaiki segala kepincangan yang berlaku sebelum itu? Bukankah begitu Dato Seri? 


Jika begitu apa perlunya menuding kelemahan dan kesalahan kepada pentadbiran terdahulu. Inilah masanya untuk bertindak memperbaiki dan meluruskan segala kebengkongan yang ada.


Pemerintahan yang baik dan bermaruah tidak akan meletakkan sebarang kelemahan dan kesalahan kepada pihak lain. Sememangnya orang yang baik dan berwibawa itu mempunyai misi dan visi untuk membaiki segala tatakelola yang bejat sebelumnya.


Seperti yang Dato Seri pernah syarahkan tentang pemerintahan Khalifah Umar Ibnu Aziz. YB Lim Guan Eng juga pernah mengangkat Khalifah Umar Ibnu Aziz sebagai contoh tauladan.


Inilah harapan yang rakyat letakkan kepada Dato Seri. Lagi pun kerajaan Dato Seri ini disebut sebagai kerajaan pilihan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang DiPertuan Agong. Tentulah itu juga harapan DYMM Seri Paduka waktu itu. 


YAB Dato Seri yang dikasihi rakyat,


Tentu Dato Seri sedar yang Dato Seri dilantik menjadi PM bukan kerana menang dalam PRU-15. Parti Dato Seri juga tidak mendapat majoriti mudah. Tetapi dengan segala apa yang berlaku waktu itu, hakikatnya Allah yang mahukan Dato Seri duduk di kerusi tertinggi dalam kerajaan.


Bila Allah yang berkehendak, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Kehendak Allah pun terjadi. 


Walhal, beberapa hari sebelum itu, Dato Seri sendiri hampir berputus asa untuk mencapai impian yang sejak lama diimpi-impikan. Tentu Dato Seri ingat, bukan?


Kenapa dan mengapa Allah izinkan Dato Seri ke Putrajaya? 


Dato Seri pun tahu, dunia ini darul bala wal imtihan. Negeri bala dan ujian. Dato Seri pasti faham kenapa Allah jadikan manusia? Iaitu semata-mata untuk beribadah kepada Allah.


Beribadah kepada Allah bukan sekadar mendirikan solat, berpuasa, zakat, menunaikan haji, menutup aurat dan lain-lain kawajipan ain atau kewajipan individu. 


Konsep beribadah kepada Allah yang sebenarnya jauh lebih luas. Iaitu mencakupi seluruh aspek kehidupan. Itulah yang diajarkan dalam Islam. 


Menjadi Perdana Menteri juga adalah ibadah. Tetapi kenalah mengikut acuan Al Quran dan Sunnah Rasulullah saw. Semua perkara ini memang sudah menjadi keyakinan dan kefahaman Dato Seri. 


Dato Seri pasti sedar bahawa memandang sepi akan kepentingan ajaran dan agenda Islam, negara tidak akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Bahkan nasib dan masa depan Dato Seri sendiri yang akan lebih berbahaya dan lebih terancam, percayalah. 


Maaf Dato Seri, saya langsung tidak berniat hendak mengajar Dato Seri. Hanya sekadar untuk memberi peringatan dan nasihat. 


Allah menganjurkan agar sesama Islam nasihat menasihati tentang kebenaran dan kesabaran. Itulah yang cuba saya praktikkan.


YAB Dato Seri,


Berbalik kita kepada isu kuil haram. Walau pun ini bukan isu agama dan kaum, tetapi orang Islam dan kaum Melayu yang paling merasai sakit dan pedihnya. Dato Seri pasti sedar bahawa orang Islam dan orang Melayu sudah lama bertolak ansur demi agar semua rakyat dapat hidup sejahtera.


Pembinaan masjid dan surau telah lama mematuhi undang-undang. Jika ke atas orang Islam undang-undang boleh dikuatkuasakan, kenapa perkara yanag sama tidak dapat dilakukan ke atas penganut hindu?


Pembinaan kuil haram dengan menceroboh tanah orang Islam adalah isu yang cukup sensitif. Kenapa mesti terus dibiarkan. Tidak cukup dengan itu, tuan tanah pula diminta memenuhi tuntutan dan proses undang-undang yang rumit dan dengan kos yang sangat besar.


Sedangkan isu sebenarnya ialah pencerobohan dan pembinaan struktur haram. 


Bukankah sepatutnya awal-awal lagi, penceroboh itu sudah boleh didakwa? 


Kenapa pihak berkuasa tidak bersemangat hendak mendakwa penceroboh walau sudah bertahun-tahun laporan polis dibuat? 


Apa yang menghalang undang-undang ditegakkan ke atas penceroboh?


Alasan kerana itu rumah ibadat? 


Tetapi rumah ibadat yang melanggar undang-undang. Pelanggaran undang-undang tidak sepatutnya diabaikan hanya kerana namanya rumah ibadat. Tidak sepatutnya ada kompromi.


Dato Seri ada hujah yang cukup kuat untuk melaksanakan penguatkuasaan undang-undang ke atas segenap rakyat. Tidak kira apa bangsa dan agama. Tidak kira apa isu.


Pertama kerana undang-undang. Kedua kerana menegakkan undang-undang dan menjaga keharmonian rakyat juga adalah ibadah kepada Allah.


Dato Seri pasti yakin, apabila beribadah kepada Allah, di Akhirat nanti Allah akan masukkan Dato Seri ke dalam syurgaNya. 


Manakala jika Dato Seri bertindak membiarkan ada keompok rakyat yang melanggar undang-undang dan dalam masa yang sama mengancam kesejahteraan rakyat, ini sudah dikira zalim. 


Pemerintah yang zalim, bukan sahaja di dunia akan dibenci dan dimusuhi oleh rakyatnya, lebih dahsyat lagi di Akhirat pasti Allah akan humbankannya ke neraka, nauzubillah.


Dato Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang dihormati,


Besarlah harapan rakyat majoriti agar Dato Seri tidak membiarkan isu kuil haram ini berlalu begitu sahaja. Janganlah Dato Seri memperkirakan isu ini akan senyap dan rakyat akan melupakannya setelah berlalu beberapa waktu. Tidak mungkin!


Isu ini bukan isu politik. Bukan isu agama dan perkauman. Tetapi ini isu undang-undang. 


Isu ini dibawa ke persada rakyat. Kini menjadi isu rakyat. Dimulakan oleh seorang rakyat biasa tetapi jiwanya luarbiasa. Saudara Tamim Dahari Abdul Razak. Beliau tidak ada ambisi kuasa dan harta. Beliau digerakkan oleh jiwa tauhidnya kepada Allah dan bangganya dia dengan agamanya, Islam. Beliau mengidamkan syahid sebagai penutup hayatnya. 


Jadi perjuangan ini, tidak mudah terhenti begitu sahaja.


Sebagai penutup surat terbuka ini, saya menyeru Dato Seri menilai semula segala ucapan, ulasan, pendekatan dan tindakan berkaitan isu kuil haram ini. Samada yang dikeluarkan oleh Dato Seri sendiri, maupun oleh mana-mana anggota pentadbiran dan badan penguatkuasaan.


Wahai Dato Seri, tegakkanlah undang-undang dan perlembagaan tanpa mengira kaum dan agama. Jangan takut kepada undi dan pengundi. Sebaliknya takutlah kepada Allah Rabbul Jalil. 


Seperti diingatkan sebelum ini, Dato Seri diberi kuasa atas kehendak dan izin Allah. Jangan sampai Allah timpakan kehinaan di dunia, manakala di Akhirat diseksa di dalam neraka.


Sekian, wassalam.


29 Syaaban 1447

Madrasah Kehidupan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan