Ahad, 6 Oktober 2013

ubah

Pelik dengan dunia ni... Pelik dengan orang atasan, ternama, VIP dan seangkatannya. Kita diajar untuk tepat pada masa, diajar dari kecik. Bila join sesuatu organisasi, ataupun belajar secara teori untuk menetapi masa. Biasalah orang yang mahu berjaya dan berdisiplin mestilah kena tepat pada masa kan? 

Tapi kenapa bila sesuatu majlis, atau apa-apa event, VIP selamba datang lambat. Bajet dia je la yang busy, dia je la yang terkejar masa, masa dia je yang berharga... Buat orang yang hina macam kita ni tertunggu-tunggu... Ohhh duniaaa, takde teladan langsung... Then, orang bawah akan sambung tradisi itu sehinggalah berabad... takkan hilang tradisi tu kan?

*Menyatakan ketidakpuasan hati pada orang atasan
*Bermakna orang atasan hanya bijak berkata tapi disiplin kurang memuaskan
*Alasan jalan jammed, ada kerja dan sebagainya sangat tidak munasabah sebab kita yang hina ni kalau bagi alasan camtu konfirm kena reject gak. Tak boleh gerak awal ke beb?
*Ketidakadilan terus berleluasa walaupun benda ni nampak kecik
*Banyak majlis aku pergi, tak pernah pun tepat pada masa... Ape punya sikap lah manusia yang dipandang mulia buat macamtu -__
*Sebab tu orang yang bawah2 ni susah nak tepat pada masa... tengok je lah orang atasan, orang yang untuk diteladani... hehehe
*Stress baca nota tak habis lagi, minggu test bermula esok!!!!

#Harap sape2 yang jadi orang ternama, atasan, VIP dan sebagainya tolong ubah tradisi ini...

kasih kurang

Seorang guru wanita sedang menyemak satu persatu karangan anak mu ridnya.

Sewaktu melihat satu karangan yang ditulis oleh seorang pelajarnya, dia menjadi sangat emosi dan setelah melihat nama di muka hadapan buku itu, dia menangis teresak-esak.

Lalu ditanya oleh suaminya

'Kenapa menangis ni?'
'Lihatlah karangan budak ni..'
Suaminya pun membaca dengan penuh khusyuk.

Jadikan Saya Sebuah Televisyen
"Oh Tuhan, malam ini saya ingin meminta kepada-Mu sesuatu yang sangat istimewa. Jadikan saya sebuah televisyen.

Saya ingin mengambil kedudukan televisyen. Menikmati kehidupan sebagaimana peti telivisyen di rumah saya. Saya akan memiliki 'tempat' tersendiri dalam hati keluarga sehingga mampu menjadikan keluarga sentiasa berada di sekeliling saya.

Saya akan diberi perhatian serius ketika bercakap. Saya ingin menerima penjagaan yang sama seperti televisyen.

Ayah akan menemui saya setiap kali ayah pulang dari tempat kerja walaupun keletihan. Ibu pula bersama-sama saya saat sedih dan kecewa, bukan mengabaikan seperti sekarang. Seterusnya, saya mahu abang dan kakak berusaha memperuntukkan masa untuk bersama-sama dengan saya.
Saya mahu merasakan bahawa keluarga sanggup mengetepikan kepentingan lain untuk meluangkan waktu bersama-sama saya.

Akhirnya, jadikan saya mampu membuat semua individu yang saya sayangi itu merasa gembira dan saya menghiburkan mereka. Tuhan, saya tidak meminta lebih dari itu. Saya hanya mahu hidup seperti televisyen pada setiap masa."

Selesai suaminya membaca esei tersebut, suaminya berkata
'Kasihannya, anak ini miskin kasih sayang. Ibu bapanya terlalu teruk!'
Mendengar itu, tangisan si isteri semakin kuat.

'Abang, itu karangan anak kita!'

Jika diperhatikan skrg ni.. suami & isteri masing2 dok sibuk belek n focus hp masing2..layan email..facebook.. whatsapp..wechat.. kdg2 anak2 dok tgk je dri jauh sambil main mainannya.. jgn pulak nnti anak2 kita pulak buat essei..
'Jdikn saya sebuah Handphone'.. huhu
Sama2 la kita berikn prhatian pd insan2 dsekeliling yg perlukn perhatian n kasih syg kita..

Amanah

Negara-negara umat Islam hari ini tidak kekurangan jubah dan serban. Tidak juga kekurangan mereka yang bercakap agama dan berlagak ‘beragama’. Tidak pula kekurangan mereka yang berzikir kuat di khalayak ramai dengan pelbagai lagu dan dendangan. Tidak juga kekurangan penceramah yang pelbagai style lawak jenaka dan seloka sehingga ceramah agama menjadi ‘new entertainment’ dalam mencari pasaran pendengar dan ‘pembayar’.

Tidak pula kita kekurangan orang-orang politik yang cuba menempelkan diri dengan agama. Sama ada menjadi penaja kepada program-program agama yang membolehkan mereka mendapatpolitical mileage, ataupun mereka sendiri melafazkan kalimah-kalimah yang berunsur agama bagi memboleh rakyat lebih mempercayai mereka. Tidak kurang juga program-program yang dirasmikan oleh orang politik yang ‘tidaklah beragama sangat’. Di samping terdapat juga yang memang ikhlas melibatkan diri dalam semua itu.


KEKURANGAN
Kita tidak kurang kesemua itu. Apa yang menjadi kekurangan kita ialah penghayatan sebenar kepada hakikat agama Islam yang diturunkan Allah untuk manusia. Kita sering mempamirkan agama ini dalam bentuk upacara-upacara yang direka dan diadakan oleh pihak-pihak yang mempunyai agenda yang tersendiri seperti upacara berteriak tangis zikir di khalayak ramai bagi memukau orang ramai agar begitu terpengaruh kepada tokoh-tokoh dan mempercayai mereka sebagai ‘orang-orang Tuhan’. Orang politik juga boleh menumpang sekaki supaya kelihatan mereka manusia yang mendapat ‘blessing’ dari orang-orang Tuhan itu. Dalam masa yang sama kita melupai inti-pati ajaran Islam seperti amanah dalam pengurusan harta awam ataupun kepimpinan negara.

Maka jangan hairan jika setiap negara Islam ada mufti dan pelbagai jawatan agama yang lain, ada pelbagai upacara agama, ataupun ‘agama yang diupacarakan’, malangnya dalam masa yang sama index rasuah, penyalahgunaan kuasa, salah tadbir urus juga cukup tinggi. Rakyat ramai yang tertipu dan terdiam kerana mata mereka terlindung oleh jubah-jubah tokoh agama, telinga mereka tersumbat oleh degungan doa yang dibaca memuja dan memuji penguasa samada menteri, presiden, raja ataupun sultan sekalipun mereka itu mencemari segala amanah yang Allah tanggungkan atas bahu mereka.

Saya hairan bagaimana ada rakyat di negeri ‘entah berentah’ yang memuji sultannya melangit tinggi bagaikan wali Tuhan kerana isteri sultan berkenaan bertudung. Dalam masa yang sama mereka melupai bagaimana sang sultan itu sedang membina istana yang harga berbilion dari wang rakyat jelata. Kehebatan seorang sultan, raja, presiden, perdana menteri dan seumpamanya bukan kerana berjubah ataupun berserban, isteri bertudung, pergi ke masjid dan segala amalan peribadi yang lain. Itu adalah tanggungjawab setiap muslim tanpa mengira siapa pun dia, rakyat ataupun raja. Namun kehebatan seorang penguasa apabila dia amanah terhadap jawatan dan harta negara yang berada di bawah kawalannya. Itulah perkara yang tidak dapat dibuat oleh rakyat, hanya mampu dibuat oleh yang berkuasa kerana dia memegang tampok kuasa.

KHIANAT

Jika mereka tidak amanah, sekalipun memakai pelbagai gelaran agama, ataupun dipagari oleh jubah-jubah agama, mereka tetap pengkhianat. Dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, seorang yang menyertai misi jihad bersama Rasulullah s.a.w telah dibunuh. Orang ramai mengucapkan tahniah kerana beliau telah mati syahid (martyrdom). Namun Nabi s.a.w menyebut:
“Tidak! Sesungguhnya selendang dari harta rampasan perang yang dia ambil pada hari Peperangan Khaibar tanpa pembahagian (yang betul) sedang menyalakan api neraka ke atasnya”.
Betapa, seorang mati semasa berjuang bersama Nabi s.a.w tetap Allah hukum kerana telah mengambil harta awam dengan cara yang salah. Itu sehelai selendang, bagaimanakah pula jutaan, bahkan ratusan juta harta awam?!
Maka sebahagian Negara Barat, walaupun mereka tiada paderi negara yang bertaraf jusa, tiada upacara doa mingguan memuja penguasa tapi apabila mereka amanah, maka negara mereka lebih teratur dan baik urus tadbirnya dibandingkan negara-negara umat Islam. 

Ini kerana di Barat, samada secara ‘terpaksa’ ataupun terbudaya dalam sistem yang mereka bina dan pakai, mereka memegang kepada prinsip pentadbiran yang terpenting iaitu amanah. Kita pula sibuk dengan upacara-upacara agama yang sebahagian itu tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w dan para sahabah pun, tapi dalam masa yang sama kita melupai inti ataupunessence kepada ajaran Islam ini, iaitu amanah dalam pentadbiran.

Justeru itu al-Quran sebelum mendatangkan ayat yang memerintah taat kepada penguasa, didatangkan terlebih dahulu ayat yang memerintahkan amanah diberikan kepada yang layak dan penguasa yang diberikan amanah itu hendaklah memerintah dengan adil. Maka Allah terlebih dahulu menyebut:(maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha melihat”. (Surah al-Nisa: 58).
Selepas itu barulah diikuti dengan firmanNYA: (maksudnya)
“Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya” (Surah al-Nisa’ 59).
Al-Imam al-Qurtubi menyebut riwayat daripada khalifah Ali bin Abi Talib r.a bahawa beliau menyebut:
“Tanggungjawab imam (pemerintah) adalah memerintah dengan adil dan menunaikan amanah. Apabila dia menjalankan tanggungjawab sedemikian maka wajib ke atas muslimin mentaatinya. Ini kerana Allah menyuruh agar ditunaikan amanah dan melaksanakan keadilan kemudian diperintahkan agar rakyat mentaatinya (pemerintah)” (Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/259, Beirut: Dar al-Fikr).

Amanah adalah isu utama kegagalan good governance ataupun urus tadbir yang baik dalam dunia umat Islam hari ini. Di samping soal ‘al-quwwah’ ataupun keupayaan sebagai pentadbir yang baik. Kebanyakan Negara Islam bukannya miskin. Banyak hasilnya, tetapi diuruskan oleh yang tidak amanah dan tidak berkemampuan, maka lemah dan rosaklah negara.

KESAN

Seringkali mimbar-mimbar Jumaat dan ceramah agama menyebut nama ‘Umar bin al-Khattab, khalifah kedua yang sangat hebat. Apa yang kita teladani daripadanya?! Pada tahun 17 dan 18 Hijrah telah berlaku kemarau teruk di Madinah. Rakyat menjadi susah. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata:
“Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr).
‘Umar ilmuwan besar yang menjadi rujukan dalam Islam. Beliau tidak berkata: ‘kenaikan harga barang merupakan takdir Allah, bersyukur dan berterima kasih kepada penguasa’. Beliau juga tidak membuat fatwa dungu yang menyatakan ‘subsidi tiada dalam Islam’. Sebaliknya beliau dengan penuh amanah dan tanggungjawab di hadapan Allah menghadapi keadaan tersebut.
Kita perlu membetulkan asas kefahaman kita tentang agama. 

Bukti kesan ajaran Islam bukan pada fesyen pakaian, ataupun hiasan doa upacara yang gaji pembacanya dibayar atau dendangan lagu agama atas pentas yang dihadiri oleh mereka berpangkat dan jawatan. Tetapi kesannya terhasil akidah yang bersih, ibadah yang sahih dan nilai etika yang luhur yang diamalkan oleh para penguasa dan diikuti oleh rakyat jelata. Dalam konteks politik dunia Islam, perlukan manusia-manusia yang amanah untuk memerintah, bukan sekadar berjubah atau berdamping dengan yang berjubah tapi tidak amanah terhadap harta negara dan rakyat.

Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Pak Gad

Saya bekerja sebagai Pegawal Keselamatan. Gaji saya lebih kurangRM 1000 sebulan. Saya sebutkan lebih kurang sebab ramai orang tidak tahu berapa gaji asas kebanyakan Pegawal Keselamatan. Sebenarnya gaji RM 1000 sebulan yang diwar-warkan kononnya gaji Pegawal Keselamatan tinggi sekarang ini, hanyalah indah khabar dari keadaan yang sebenarnya. Inilah pengalaman yang saya alami sendiri bekerja disalah sebuah syarikat Kawalan Keselamatan. 

Gaji pokok saya hanyalah RM 650 saja sebulan. Gaji yang saya katakan lebih kurang RM 1000 sebulan kaedah kiraannya macam ini. Saya terpaksa bekerja 12 jam sehari. Tiap-tiap hari biasa bekerja, saya dapat bayaran kerja lebih masa empat jam. Hari-hari cuti samada cuti am atau cuti umum, saya tetap juga bekerja. Hari-hari tersebut saya dapat bayaran kerja lebih masa sebanyak 12 jam.

Pendek kata kalau dalam sebulan itu saya kerja tiap-tiap hari 12 jam termasuk hari cuti maka pendapatan saya lebih dari RM 1000 sebulan. Tapi kalau saya kerja lapan jam sehari, hari cuti saya cuti, maka gaji saya hanyalah RM 650 sebulan. Itu belum lagi ditolak caruman KWSP. Maknanya Pegawal Keselamatan kalau nak pendapatan lebih dari seribu sebulan, terpaksalah bawa anak bini sekali ke pondok pegawal terutama pada hari-hari cuti. Sebab mereka tak ada masa untuk  bawa anak bini berjalan-jalan seperti kakitangan kerajaan.

Dalam pada itu seseorang Pegawal Keselamatan yang telah beberapa tahun bekerja, memang ada kenaikan gaji. Misalnya seseorang Pegawal Keselamatan yang telah bekerja lima atau enam tahun gajinya mungkin telah meningkat RM 800 atau RM 900 sebulan. Namun harus diingat kontrak Syarikat Kawalan Keselamatan disatu-satu tempat saling bertukar ganti. Misalnya saya bekerja Pegawal Keselamatan disebuah sekolah yang tidak jauh dari rumah saya. Setelah tiga tahun bekerja dan menikmati kenaikan gaji tahunan, tiba-tiba syarikat kawalan keselamatan tempat saya bekerja tidak lagi disambung kontraknya. 

Saya terpaksa membuat dua pilihan. Jika ingin bekerja dengan syarikat baru, maka terpaksalah saya terima gaji baru. Kalau gaji yang ditawarkan lebih tinggi dari syarikat dahulu, saya bernasib baik. Tapi kalau syarikat baru menawarkan gaji dan kemudahan yang tidak memuaskan dari syarikat lama, maka pilihan saya mungkin akan terus bekerja dengan syarikat lama.

Namun saya terpaksa ditugaskan ditempat lain pulak. Kalau dekat dengan rumah tidak jadi masalah. Tapi kalau beratus kilometer dari rumah, tentunya tidak berbaloi hanya sekadar menikmati gaji lebih seratus dua. Maka pilihan saya kerja dengan syarikat baru, meskipun terpaksa menerima gaji rendah semula.

Disamping itu, ada juga syarikat pegawal keselamatan menipu helah pekerja. Pegawal Keselamatan yang telah lama bekerja dan gajinya telah agak lumayan, tiba-tiba ditukarkan ditempat jauh. Macam-macam alasan diberikan.Kononnya majikan tempat saya jaga itu mahu pegawal lain. Sebenarnya ini adalah tektik untuk membuang pekerja lama yang telah menerima beberapa kenaikan gaji. Pengawal yang ditukar ke tempat jauh mungkin tak mahu pergi. Jalan mudah mereka mungkin berhenti. Dan inilah peluang syarikat kawalan keselamatan mengambil pegawal baru dengan bayaran gaji permulaan yang murah.

Pendek kata kerjaya sebagai pegawal keselamatan macam bola. Ada kalanya melambung tinggi dan adakalanya jatuh ke tanah. Tapi yang selalu orang lihat yang melambung tinggi itulah, sedangkan penyebab yang melambung itu orang tidak tahu. Macam Pegawal Keselamatan yang dicanangkan pendapatan lebih RM 1000 sebulan, tapi yang menyebabkan mereka dapat RM 1000 sebulan ramai orang tidak tahu iaitu bekerja sehari suntuk dan sebulan penuh tanpa ada hari cuti. Sedangkan gaji pokoknya  ramai yang tak ambil berat dalam membela nasib Pegawal Keselamatan. 

Lagi pun Pegawal Keselamatan sekarang rata-ratanya ada sijil SPM. Malah lepasan Institusi Pengajian Tinggi pun ada yang jadi Pegawal Keselamatan.

Sabtu, 5 Oktober 2013

zakat niaga

Soalan
Saya pernah terdengar jawapan oleh seorang penceramah, bahawa jika kita menyimpan wang di dalam bank, dan bank itu mengeluarkan zakatnya pada setiap tahun, maka sebagai penyimpan, saya tidak perlu lagi mengeluarkan zakat atas wang yang saya simpan di bank berkenaan. Adakah benar kenyataan berkenaan?

Jawapan
Terima kasih kerana mengajukan persoalan di atas dan semoga Allah SWT sentiasa memberkahi urusan kita dan menyelamatkan kita di akhirat, atas kesungguhan kita memahami dan melaksanakan tunutan ibadah zakat, amin.

Sememangnya benar, timbul persoalan yang agak meluas dalam kalangan umat Islam yang menyimpan wang mereka di dalam akaun di bank (sama ada akaun simpanan atau akaun semasa), iaitu adakah pihak bank telah pun mengeluarkan zakat atas wang simpanan mereka? Dan sekiranya pihak bank telah pun mengeluarkannya sebagai zakat, maka apakah mereka masih lagi perlu mengeluarkannya sebagai zakat?

Demi menjawab persoalan ini, pertama sekali harus kita fahami bahawa fiqh zakat menetapkan: “Tidak ada zakat yang sama atas harta yang sama sebanyak dua kali dalam tahun yang sama.”

Maka, para fuqaha menyatakan, andainya jelas wang yang kita simpan itu, katakan di dalam Bank ABC dan ia telah pun dikeluarkan zakatnya oleh pihak bank berkenaan bagi pihak kita, maka tidak perlulah lagi kita mengeluarkannya. Kerana, jika sekali lagi ia dikeluarkan, maka kita sudah menunaikan zakat yang sama atas wang yang sama dua kali pada tahun yang sama.

Namun begitu, perkara kedua yang saya fikir harus diteliti dengan lebih mendalam dalam isu zakat wang simpanan ini ialah, apakah benar pihak bank itu telah pun mengeluarkan zakat simpanan itu bagi pihak kita sebagai pendeposit atau penyimpan? Hal ini perlulah diperhatikan, kerana dibimbangi pihak bank hanya mengeluarkan zakat ke atas perniagaan yang mereka jalankan, dan bukannya atas wang yang disimpan.

Baiklah, apabila pihak bank hanya mengeluarkan zakat atas nama perniagaan, timbul persoalan seterusnya iaitu, siapakah yang berkewajipan atas zakat perniagaan berkenaan? Pastinya yang wajib mengeluarkan zakat perniagaan atas Bank ABC adalah pemilik bank berkenaan. Maka, adakah kita ini pemilik Bank ABC?

Jawapannya, pemilik Bank ABC adalah para pemegang saham bank berkenaan; manakala para pendeposit hanyalah merupakan entiti berasingan yang bersifat penyimpan, kita bukanlah pemilik Bank ABC. Maka, apabila Bank ABC mengeluarkan zakat atas perniagaan Bank ABC, yang sudah terlepas kewajipannya adalah para pemegang sahamnya, manakala para pendeposit masih lagi belum terlepas zakatnya.

Mungkin ada orang berhujah, bukankah wang yang disimpan itu jugalah yang diperniagakan? Jika wang itu diperniagakan, bukankah sudah memadai?

Baiklah, dalam hal ini kita kembali kepada niat awal seseorang itu, adakah semasa dia memasukkan wangnya maka ia dikira simpan atau melabur? Jawapannya, ia menyimpan. Jika melabur, maka ia hendaklah memasukkan wangnya ke dalam instrumen lain yang memang bersifat pelaburan.

Maka, di sini pun sudah jelas bahawa dia menyimpan, bukan memiliki Bank ABC berkenaan. Lagi satu, pelaburan ada untung dan rugi, jika dia menyimpan RM10 ribu, tiba-tiba bank berkenaan rugi, maka adakah memberi kesan kepada simpanannya? Tidak, kerana dia hanya menyimpan bukannya melabur, maka atas sebab itu dia wajib berzakat atas simpanannya, kerana niatnya menyimpan dan bukan untuk pelaburan (perniagaan).

Maka, andai pihak bank menyatakan mereka telah pun mengeluarkan zakat bagi bank mereka, para pendeposit atau penyimpan wang hendaklah bertanya kepada pihak bank, adakah mereka mengeluarkan zakat bagi pihak bank atas nama perniagaan atau penyimpan. Setakat yang saya maklumi, bank di Malaysia mengeluarkan zakat atas perniagaan mereka, dan bukannya atas pencarum mereka. Dalam konteks ini, pencarum masih wajib mengeluarkan zakat mereka biar pun zakat perniagaan sudah pun dijelaskan oleh pihak bank.

Ketiga, mungkin juga ada pihak yang berkata, bahawa bank-bank ini mengambil model pengurusan Tabung Haji bagi melunaskan zakat pendeposit mereka, kerana pihak Tabung Haji apabila sudah mengeluarkan zakat perniagaannya, maka semua pencarum atau pendepositnya tidak lagi perlu mengeluarkan zakat mereka secara berasingan.

Baiklah, suka saya nyatakan di sini bahawa, ada perbezaan yang ketara di antara Tabung Haji dan juga pihak-pihak bank. Apakah perbezaan itu? Perbezaannya adalah pada aspek pemilikan. Di Tabung Haji, apa yang kena kita tahu dan fahami ialah, Tabung Haji tidak dimiliki oleh pihak tertentu, sebaliknya semua pendeposit adalah pemilik Tabung Haji. Tiada pemegang saham yang memiliki Tabung Haji seperti mana bank; tetapi semua pihak yang menyimpan di Tabung Haji adalah pemegang saham, yakni pemilik Tabung Haji. Yang berbeza, semakin besar simpanan maka makin besar sahamnya dan makin besar keuntungannya.

Maka, atas sebab itulah di Tabung Haji, kita akan diberikan keuntungan saban tahun atas perniagaan yang mereka lakukan. Jika Tabung Haji untung, maka kita diberikan hasil keuntungan berkenaan dalam bentuk dividen. Ia menunjukkan, kita sebenarya bukanlah penyimpan; tetapi pelabur di Tabung Haji atau dalam erti kata mudah, kita adalah pemilik kepada Tabung Haji. Maka, apabila Tabung Haji sudah mengeluarkan zakat perniagaannya, bermakna wang yang disimpan (hakikatnya dilabur) di Tabung Haji itu, sudah pun dikeluarkan zakatnya oleh pihak Tabung Haji. Maka, tiadalah lagi zakat yang perlu kita keluarkan, kerana ia sememangnya sudah pun dizakatkan.

Kesimpulannya, selagi mana pihak bank mengeluarkan zakat atas nama zakat perniagaan, maka kita masih wajib mengeluarkan zakat simpanan di bank berkenaan. Kecuali Tabung Haji, kerana kita memang melabur di dalamnya dan apabila ia dikeluarkan atas nama zakat perniagaan, ia bermakna wang yang disimpan di Tabung Haji itu pun sudah dibersihkan dengan zakat berkenaan, wallahua’lam.

http://www.hamizul.com/