Khamis, 19 November 2020

Aliran

 *WUJUDKAN CUMA SATU ALIRAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN DEMI NEGARA TERCINTA (SEPERTI INDONÉSIA & THAILAND*


Sistem Pendidikan Kebangsaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan. Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan mewajibkan bahasa Melayu bagi segala urusan rasmi dan segala aktiviti dalam institusi pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun di peringkat tinggi seperti di  kolej dan universiti. Aktiviti berupa pengajaran dan pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran kurikulum dan kokurikulum yang meliputi aktiviti di kelas, dewan kuliah, mesyuarat dan sebagainya adalah rasmi. Hal tersebut jelas diamalkan di sekolah atau institusi milik kerajaan khususnya tetapi berbeda halnya di institusi persendirian atau swasta seperti sekolah persendirian dan vernakular. 

Jelas semasa pemimpin terdahulu seperti era almarhum Tun Abdul Razak dan Menteri Pelajaran, almarhum Abdul Rahman Talib dengan Penyata Pelajaran 1961, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Aminuddin Baki sangat tegas membendung sikap ekstremis kecinaan Dong Zong ketika itu manakala almarhum Tun Abdul Rahman Yaakob gigih berusaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan dengan usaha yang bermula seawal 1970-an hingga 1983 hampir bagi semua bidang ilmu di sekolah hingga universiti. Beliau telah mengubah dwisistem ketika itu, aliran pendidikan berbahasa Inggeris dan berbahasa Melayu kepada satu aliran sahaja iaitu berbahasa Melayu melalui Dasar Bahasa Kebangsaan. Perubahan dibuat secara berperingkat mulai tahun 1970 sehinggalah akhirnya pada 1983 seluruh institusi sekolah dan universiti menggunakan bahasa Melayu dalam semua bidang meliputi segala jurusan berkaitan dengan sains dan teknologi seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, teknologi, farmasi, undang-undang dan lain-lain.

Tujuannya mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan bagi masyarakat majmuk di negara ini demi perpaduan sebenar dan memartabatkan serta  meraikan bahasa rasmi negara sebagai bahasa ilmu dengan erti yang sebenarnya. Namun malangnya panas tidak sampai ke petang, segala usaha murni tersebut mulai hancur oleh pimpinan terkemudian khasnya oleh Tun Dr. Mahathir yang mempelopori PPSMI dengan hujah yang dangkal dan sesat di samping mengalah kepada golongan èlit dan anglophile yang "mabuk" bahasa Inggeris. Lupa jati diri sebenar negara ini walaupun disuratkan tentang acuan sendiri dalam Wawasan 2020. Pimpinan negara dan Melayu sendiri buta, keliru atau pura-pura keliru antara kepentingan menguasai bahasa Inggeris dengan kaedah yang betul daripada kepentingan dan status yang sebenarnya wajib dibezakan antara bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di negara ini. Semua tamadun dunia terbangun dalam bahasa bangsanya sendiri, malah bahasa Inggeris pun berhempas pulas dengan perjuangan oleh golongan bangsanya yang sedar untuk memartabatkan English dan bukan Latin pada abad tersebut. 

Pimpinan negara ini seterusnya, Dato Seri Najib Tun Razak pula pernah dianggap "menderhakai" ayahandanya sendiri dengan merestui PPSMI di samping menggugurkan kuasa Menteri untuk menutup sekolah jenis kebangsaan. Hampir semua Menteri Pendidikan dalam era kemudian sehingga kini tiada ketegasan dan kelihatan "lembik" kecuali Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berani memansuhkan PPSMI. Itu pun secara "soft-landing" walaupun sepatutnya secara serta-merta yang akhirnya telah memungkinkan PPSMI menjelma semula dengan "menyamar" sebagai "program Dual Language Programme (DLP). Jelas terlihat kepada segolongan rakyat bahawa pimpinan negara terkemudian tiada keberanian dan ketegasan untuk mempertahankan perjuangan pemimpin terdahulu demi kebaikan seluruh rakyat. Sama ada Menteri Pendidikan, pemimpin tertinggi KPM seperti Ketua Pengarah Pendidikan, semuanya (kecuali Timbalan KPPM, Datuk Abdul Raof) hanya menurut sahaja kehendak pemimpin politik popular dengan mengetepikan landasan yang benar sedangkan misalnya antara tugas pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan ialah memberi "nasihat profesional" tentang pendidikan kepada sang Menteri yang sekejap datang, dan sekejap boleh hilang. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dibuang ke tong sampah dan prinsip berani kerana benar tidak diamal. Yang diamal ialah takut kerana benar? Yang rosak, rugi dan diperjudikan ialah rakyat dan negara ini sendiri. Tidak mustahil yang lebih diutamakan oleh politikus ialah harga undi segolongan rakyat sahaja, elaun bulanan yang melimpah dan bukan demi kebaikan jangka panjang untuk negara ini. Akibatnya walaupun sudah lebih 60 tahun, perpaduan sebenar gagal dicapai dan terpaksa dilaungkan dengan kos dan belanjawan yang tinggi mungkin selama 60 tahun lagi dan nasi akhirnya terus menjadi bubur? Kita tidak bermaksud untuk menghapuskan mana-mana bahasa yang  dituturkan di negara ini. Semua bahasa merupakan anugerah Tuhan untuk diraikan, diajar dan dipelajari malah telahpun diizinkankan dalam Perlembagaan untuk diajar sebagai satu mata pelajaran dan bukannya sebagai bahasa penghantar. Kita juga tidak bersetuju akan mana-mana bahasa sama ada Mandarin, Inggeris atau lainnya diharamkan. Itu adalah zalim dan merugikan. Kita cuma menentang selain bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa penghantar pendidikan. Cukuplah bahasa lain dijadikan satu mata pelajaran malah  digalakkan pelajar keturunan lain seperti Melayu mempelajarinya. Ada perbedaannya antara bahasa sebagai satu mata pelajaran daripada bahasa penghantar walaupun ada golongan yang telah memutarbelitkan tentang ini. Oleh itu Kementerian Pendidikan wajib menyediakan ruang, peluang dan kemudahan mempelajari bahasa vernakular di sekolah aliran kebangsaan di seluruh negara. Dengan kewujudan pelbagai sistem pendidikan seperti pendidikan kebangsaan dan pendidikan vernakular, mahu tidak mahu, secara jujur kita perlu mengaku bahawa anak bangsa negara ini telah terpisah-pisah secara sengaja dari sejak kecil hingga dewasa(?) sedangkan pada masa yang sama kita mahu mereka bersatu-padu, bermesra, saling berkenalan, bermain bersama-sama, belajar bersama-sama. Tidakkah itu satu hal yang sangat ironis? Bercanggah sama sekali. Malah sejarah institusi Dong Zong jelas memaparkan sikap ekstremis badan itu dan pemimpinnya yang menolak dengan keras sekali sistem pendidikan kebangsaan dan segala unsur yang berkaitan umpamanya tulisan Jawi yang jelas merupakan satu ciri bahasa kebangsaan, sengaja membutakan diri tentang sejarah bahasa Melayu dan sejarah negara ini. Mereka seperti rakyat yang tidak tahu bersyukur. Sepatutnya di mana bumi dipijak di situlah langit di junjung. Seolah-olahnya golongan tersebut ibarat kacang lupakan kulit dan habis manis sepah dibuang. Tidak keterlaluan agaknya jika kedengaran ada yang mengumpamakan hal tersebut seperti pepatah melepaskan anjing yang tersepit, akhirnya yang melepas dan menolongnya pun digigit? Justeru eloklah kewujudan  sistem vernakular dikaji semula dan pertubuhan yang ternyata sejarah ekstremnya diharamkan sahaja daripada terus menggugat sistem pendidikan dan perpaduan anak bangsa negara ini. Tugas besar Kementerian Pendidikan ialah terus menjadikan bahasa Melayu bahasa penghantar tunggal dalam sistem pendidikan di negara ini dari sekolah hingga universiti, mewajibkan bahasa Inggeris untuk semua, manakala Mandarin dan Tamil wajib bagi kaum Cina dan India di samping pelajar Melayu diwajibkan memilih sama ada Mandarin, Tamil atau Arab. Ribuan pakar pendidikan dan bahasa di universiti dan KPM bolehlah berbincang lanjut tentang kaedah dan pelaksanaannya sama ada bermula dari peringkat rendah atau menengah dan sebagainya dengan meneliti pelaksanaan di beberapa negara maju lain serta disesuaikan dengan negara kita. Banyak profesor berpengalaman luas di negara ini yang sedia membantu. Antaranya termasuk Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron, Prof Datuk Dr. Ir Wan Ramli Wan Daud, Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Prof Emeritus Dr. Shaharir Mohd. Zain, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusof Othman, Dr. Alinor dan lain-lain. Negara kerugian amat besar jika kepakaran dan pengalaman mereka terbazir begitu sahaja dan hanya khidmat pakar luar negara sahaja yang digunakan yang belum tentu memahami mendalam akan kompleksnya sistem ekobudaya masyarakat negara ini. 


Kamal Shukri Abdullah Sani,

Ketua Kluster Bahasa, Budaya, Sejarah dan Seni, 

MAJLIS PERUNDINGAN MELAYU MALAYSIA (MPM)


(0122002811)

Covid

 *Setiap penyakit ada kaedah untuk merawatnya*


Walaupun kami sebagai doktor perubatan, bukannya Tuhan, usaha dan ikhtiar untuk mencegah dan merawat dipelajari setiap hari. Pasti ada perbaharuan dalam kaedah berubat sesuai dengan ruang lingkup ilmu yang Allah berikan jua.

Mencegah dan merawat penyakit berjangkit itu dibuat berdasarkan ujikaji demi ujikaji sehinggalah mencapai satu tahap yang diyakini. Adakah 100% sembuh? Tidak, kuasa penyembuhan itu kembali kepada Allah jua. Kami hanya menyambung titik titik kaedah yang semuanya di bawah keluasan Ilmu Tuhan yang berikan. Tidak lebih dari itu. Sunnatullah.

Apa yang sudah kita pelajari setakat ini?

1️⃣ COVID-19 adalah PANDEMIK, kerana definisi pandemik itu sendiri merujuk kepada keseluruhan manusia di majoriti negara-negara di dunia terlibat dalam wabak. Kalau hanya negara China sahaja atau Amerika sahaja, ianya diberi nama epidemik. Istilah ini tidak perlu dipertikaikan kerana ianya sudah maklum seentero dunia.

2️⃣ COVID-19 bukannya Influenza Bermusim. Struktur virus pun berbeza walaupun gejala hampir sama. Namun kedua-duanya tetap serius dan wajib kita putuskan rantaian jangkitan. Tidak bermakna jika wabak influenza, kita berlepas diri dan tidak membuat SOP! Terdapat garis panduan dan mekanisma yang telah pun ditentukan dalam pengurusan kesihatan awam.

3️⃣ Pemalar kebolehjangkitan (R0) COVID-19 vs Influenza pun jauh beza. Terkini, R0 COVID-19 antara 2.0 to 2.5, bermakna virus COVID-19 boleh menjangkiti 2-2.5 orang lain. Generasi jangkitan akan bertambah seperti sistem Multi-Level Marketing. Manakala Influenza adalah kurang dari 1.3. Walaupun kes influenza agak tinggi seluruh dunia, kebolehjangkitan virus dapat kita anggar dan kekang supaya tidak cepat merebak. Lagi pun influenza sudah dapat dicegah melalui vaksin.

4️⃣ Kematian COVID-19 amat membimbangkan: Lebih 1.32 juta setakat ini sudah dicatat. Angka ini meningkat setiap saat. bayangkan ketika kes awal di Amerika, dari 4,200 kes, 508 (12%) dimasukkan ke hospital. Mengejutkan kita 36.4% dari pesakit yang dimasukkan ke ICU menemui ajal akibat COVID-19. Kadar kematian COVID-19 seluruh dunia 1 - 3.4%. Sebaliknya influenza hanya <1.0%.

5️⃣ Serangan utama COVID-19 adalah paru-paru sehinggalah menyebabkan si penghidap akan sukar untuk bernafas dan akhirnya boleh membawa maut. Bantuan alat pernafasan amat penting. Manakala influenza, mode serangan adalah lebih kepada jangkitan otak, jantung dan otot badan. Jangkitan sekunder dari bakteria boleh berlaku dalam kes serangan influenza.

Memang penemuan itu agak teknikal dan klinikal jika dibincangkan. Hanya doktor yang berdepan terus dalam pengurusan kes mengetahui perbezaannya.

Sebab itu kita merasa kesian apabila masyarakat dengan mudah di kelentong oleh "penceramah luar" yang tidak pun mengetahui bagaimana merawat pesakit COVID-19. Akhirnya cuba menegakkan benang basah serta mengelirukan orang ramai bahawa COVID-19 itu tidak merbahaya, SOP tidak perlu dan pelbagai dakyah lagi.

Saya sendiri pun akan merujuk kes kepada pakar dan melihat segala maklumat dari ahli yang berwibawa dalam isu ini. Bukan merujuk kepada youtube atau laman web yang tidak diketahui kesahihan maklumat.


Dr Suhazeli Abdullah 

16.11.2020

Tengkawang

Rabu, 18 November 2020

Bantu

 Jika anda adalah golongan yang tidak terjejas dalam pandemik ini, sesungguhnya tips ini untuk anda semua.


Tips 'belajar' membantu peniaga jalanan;


1. Jika makcik jual kuih RM2, 5 keping. Belilah RM4 dan bayar RM5. BELAJAR tak mahu menerima baki. Nampak kecil, tapi makcik gembira bukan kepalang.


2. Jika ada pakcik penjual nasi bajet, sebungkus RM4, manakala 3 bungkus RM10. 


BELAJAR ambil 2 bungkus, dan bayar RM10. Pakcik ada tambahan RM2, juga lebihan sebungkus lagi untuk dapatkan RM4. Senyum bahagia pakcik, kita akan turut bahagia.


3. Jika pergi ke kawasan jualan, carilah gerai makan yang paling sikit pengunjung. Atau carilah penjual yang sedang termenung resah. Sila datang, berbual, bertanya khabar dan belilah daripadanya. 


Selain membeli jualannya, kita BELAJAR empati, ambil berat dan mengurangkan gusar di hatinya. Melihat ada pengunjung yang hadir ke gerainya pun sudah cukup membahagiakan.


4. Jika datang ke gerai jualan yang tidak mahir beroperasi, jangan banyak komplen itu ini. Barangkali itu hari pertama dia berniaga dan tak mahir susun letak barang, tak bersedia dengan duit kecil dan pelbagai lagi.


BELAJAR maniskan muka, tak perlu marah dan herdik. Berakhlak baik kepada mereka adalah rezeki perasaan untuk mereka.


5. Jika kita lalu di satu gerai, yang jualannya tinggal satu atau dua bungkus, BELAJAR berhenti dan beli semuanya. Walaupun kita tak menginginkannya, kita boleh beri kepada orang lain.


Selain membeli barang jualannya, kita sedang menyedekahkan waktu untuk mereka. Supaya mereka dapat tutup gerai dengan lebih awal, pulang ke pangkuan keluarga dan melepaskan lelah seharian bekerja.


----


Begitulah rakan-rakan yang baik,

Belajar memberi walau sedikit.

Ikhlaskan hati, moga semuanya dalam perhatian dan perhitungan Allah.


Peniaga jalanan,

Mereka bukan golongan yang senang-senang mahu terima wang kita tanpa usaha. 

Lihat sajalah kecekalan mereka berpanas-panas sepanjang hari di gerai jualan.


Untuk semua yang sedang menerima ujian, Allah menguji kita dengan kasih sayang yang sarat. Sambutlah ujian ini dengan redha dan harungi bersama. 


Fasa ini bukan kegelapan panjang, hanya gerhana. Kita mampu hadapinya!🥰🤗

Adab pelajar

 Di manakah ADAB kita sebagai seorang pelajar? 

Beginikah akhlak kita yang kononnya mahukan kejayaan? 

Sampai bila nak datang kesedaran tentang ilmu ini? 


Adik-adik yang saya kasihi, tolonglah sedar dan peka tentang guru/pensyarah kita. Usah terlalu selesa sangat dengan keadaan duduk di rumah sepanjang hari. 


Guru/pensyarah kita bukan sahaja berkorban masa untuk memandaikan kita. Ada juga antara guru/pensyarah yang sanggup keluar duit sendiri, beli gajet tambahan yang boleh memudahkan mereka mengajar adik-adik. 


Tak cukup dengan itu, pergi duduk menuntut ilmu dengan orang yang lebih pakar tentang dunia IT. Cukup-cukuplah kelakuan kita semasa berhadapan secara realiti dengan guru/pensyarah. 


Saya cukup sedih bila keadaan seperti ini berlaku. Yang peliknya, adik-adik lebih 'advance' tentang IT daripada para guru/pensyarah. Namun masih malas lagi, tidur, tak join kelas online dan sebagainya. 


Adik-adik yang saya kasihi, inilah cabaran yang sebenar untuk adik-adik terpaksa lalui. Awak marah bila orang yang lebih berusia daripada awak, membandingkan zamannya dengan zaman awak. 


Tapi, hakikatnya? 

Adik-adik sendirilah yang memikirnya. Untuk itu, saya menyeru kepada semua yang bergelar pelajar...kita berubahlah menjadi lebih baik. Suka saya memetik sebuah hadith Nabi SAW bermaksud, 


"Mulakan pagimu sebagai seorang guru atau pelajar atau pendengar atau orang yang cinta akan ilmu, jangan jadi orang yang kelima, anda akan binasa."

( Hadis Riwayat At-Tabrani )


Adik-adik yang dikasihi, jom kita buat LIMA PERKARA ini pada saat, waktu dan ketika ini;

1. Betulkan niat kita sebelum menuntut ilmu. Ingat kembali azam, matlamat yang kita dah tulis semasa sekolah sebelum mula PKP pada 18 Mac yang lepas. 


2. Mohon maaf pada guru/pensyarah yang kita tak hadir ke kelas online mereka. Supaya mereka redha dan memaafkan kita. InsyaAllah, moga ilmu yang kita dapat itu lebih berkat. 


3. Minta bantuan ibu ayah atau adik-beradik untuk ingatkan kita tentang jadual kelas kita. Boleh print jadual kelas kita bersaiz A3 di tempat yang senang nampak. Boleh juga suruh rakan sekelas kita, call kita jika kita tak masuk kelas online lagi. 


4. Buat persediaan awal sebelum kelas. Tak perlulah nak main games lagi kalau dah tahu ada kelas awal pagi esoknya. Tidur awal. Siapkan tugasan yang guru/pensyarah berikan. Yang dah terskip kelas, boleh bertanya pada kawan-kawan yang datang. 


5. Sentiasa fikir positif, kuatkan semangat mental dan fizikal. Ingat dik, bukan awak seorang saja yang terkesan dengan PKP ini. Satu Malaysia terkesan dan terasa bebannya. Sentiasa cari positive vibes, kata-kata motivasi yang boleh bantu boost up semula diri kita. 


InsyaAllah, saya doakan adik-adik yang berazam nak berubah diberikan kejayaan yang cemerlang.


Khalil Ismail

Online Learning Facilitator

#KhalilKongsi

#MotivasiAbangKhalil

#InspirasiPelajarCemerlang

Sabtu, 14 November 2020

Bahagia

 SAYA NAK TENGOK MUKA TUAN SEKALI LAGI... 


Dalam satu temuramah radio, Pengacara bertanya kepada seorang tetamu, seorang Jutawan "apa yang boleh membuatkan Tuan merasa bahagia dalam kehidupan?"


Jutawan tersebut menjawab :


Saya sudah melalui 4 Fasa kebahagiaan dalam hidup dan akhirnya saya memahami apa erti kebahagiaan yang sebenarnya.


Fasa pertama, saya mengumpulkan harta sebanyak mungkin. Tetapi pada tahap ini saya tidak menemui kebahagiaan yang saya cari.


Kemudian datang Fasa kedua di mana saya merubah kepada mengumpul koleksi barang-barang antik dan lukisan-lukisan yang berharga. Tetapi saya sedar keseronokannya hanya sementara dan kepuasan mengumpul barang antik tidak kekal lama.


Kemudian datang Fasa baru yang ketiga, di mana saya menceburi bidang hartanah dan membeli pusat pelancungan dan gedung-gedung perniagaan. Tetapi di sini juga saya tidak dapat mengecapi kebahagiaan yang saya impikan.


Kemudian, satu hari kawan saya meminta saya belikan kerusi-kerusi roda untuk dihadiahkan kepada anak-anak kelainan upaya.


Atas permintaan kawan, saya terus belikan sebilangan kerusi roda yang diperlukan. Tetapi kawan saya mendesak saya ikut bersamanya menyerahkan kerusi-kerusi roda tadi kepada mereka. Saya luangkan masa  dan ikut sekali bersamanya. 


Di sana saya serahkan kerusi-kerusi roda tadi dengan tangan saya sendiri. Saya dapat lihat cahaya keriangan terpancar di wajah anak-anak OKU ini, semuanya duduk dan berpusing-pusing bermain seolah-olah mereka baru sampai di tempat perkelahan. Saya rasa amat gembira sekali. 


Tetapi sesuatu berlaku. Apabila saya berpusing untuk pulang, salah seorang kanak-kanak OKU tadi datang memeluk kaki saya. 


Dengan cermat saya cuba melepaskan diri tetapi kanak-kanak itu menatap wajah saya dan enggan melepaskan pelukannya. Saya tunduk dan bertanya "ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu?" 


Jawapan dari kanak-kanak ini bukan sahaja membuatkan saya sangat gembira tetapi mengubah kehidupan saya sepenuhnya menjadi seorang dermawan. 


Dia berkata *"saya nak tengok muka tuan sekali lagi dan cuba ingat, supaya apabila kita bertemu kembali di akhirat nanti, saya boleh kenal wajah tuan dan saya boleh ucapkan terima kasih sekali lagi."*