Jika anda adalah golongan yang tidak terjejas dalam pandemik ini, sesungguhnya tips ini untuk anda semua.
Tips 'belajar' membantu peniaga jalanan;
1. Jika makcik jual kuih RM2, 5 keping. Belilah RM4 dan bayar RM5. BELAJAR tak mahu menerima baki. Nampak kecil, tapi makcik gembira bukan kepalang.
2. Jika ada pakcik penjual nasi bajet, sebungkus RM4, manakala 3 bungkus RM10.
BELAJAR ambil 2 bungkus, dan bayar RM10. Pakcik ada tambahan RM2, juga lebihan sebungkus lagi untuk dapatkan RM4. Senyum bahagia pakcik, kita akan turut bahagia.
3. Jika pergi ke kawasan jualan, carilah gerai makan yang paling sikit pengunjung. Atau carilah penjual yang sedang termenung resah. Sila datang, berbual, bertanya khabar dan belilah daripadanya.
Selain membeli jualannya, kita BELAJAR empati, ambil berat dan mengurangkan gusar di hatinya. Melihat ada pengunjung yang hadir ke gerainya pun sudah cukup membahagiakan.
4. Jika datang ke gerai jualan yang tidak mahir beroperasi, jangan banyak komplen itu ini. Barangkali itu hari pertama dia berniaga dan tak mahir susun letak barang, tak bersedia dengan duit kecil dan pelbagai lagi.
BELAJAR maniskan muka, tak perlu marah dan herdik. Berakhlak baik kepada mereka adalah rezeki perasaan untuk mereka.
5. Jika kita lalu di satu gerai, yang jualannya tinggal satu atau dua bungkus, BELAJAR berhenti dan beli semuanya. Walaupun kita tak menginginkannya, kita boleh beri kepada orang lain.
Selain membeli barang jualannya, kita sedang menyedekahkan waktu untuk mereka. Supaya mereka dapat tutup gerai dengan lebih awal, pulang ke pangkuan keluarga dan melepaskan lelah seharian bekerja.
----
Begitulah rakan-rakan yang baik,
Belajar memberi walau sedikit.
Ikhlaskan hati, moga semuanya dalam perhatian dan perhitungan Allah.
Peniaga jalanan,
Mereka bukan golongan yang senang-senang mahu terima wang kita tanpa usaha.
Lihat sajalah kecekalan mereka berpanas-panas sepanjang hari di gerai jualan.
Untuk semua yang sedang menerima ujian, Allah menguji kita dengan kasih sayang yang sarat. Sambutlah ujian ini dengan redha dan harungi bersama.
Fasa ini bukan kegelapan panjang, hanya gerhana. Kita mampu hadapinya!🥰🤗
Tiada ulasan:
Catat Ulasan