Khamis, 19 November 2020

Aliran

 *WUJUDKAN CUMA SATU ALIRAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN DEMI NEGARA TERCINTA (SEPERTI INDONÉSIA & THAILAND*


Sistem Pendidikan Kebangsaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama pendidikan. Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan mewajibkan bahasa Melayu bagi segala urusan rasmi dan segala aktiviti dalam institusi pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah mahupun di peringkat tinggi seperti di  kolej dan universiti. Aktiviti berupa pengajaran dan pembelajaran, pengurusan dan pentadbiran kurikulum dan kokurikulum yang meliputi aktiviti di kelas, dewan kuliah, mesyuarat dan sebagainya adalah rasmi. Hal tersebut jelas diamalkan di sekolah atau institusi milik kerajaan khususnya tetapi berbeda halnya di institusi persendirian atau swasta seperti sekolah persendirian dan vernakular. 

Jelas semasa pemimpin terdahulu seperti era almarhum Tun Abdul Razak dan Menteri Pelajaran, almarhum Abdul Rahman Talib dengan Penyata Pelajaran 1961, Ketua Pengarah Pelajaran, Dr. Aminuddin Baki sangat tegas membendung sikap ekstremis kecinaan Dong Zong ketika itu manakala almarhum Tun Abdul Rahman Yaakob gigih berusaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pendidikan dengan usaha yang bermula seawal 1970-an hingga 1983 hampir bagi semua bidang ilmu di sekolah hingga universiti. Beliau telah mengubah dwisistem ketika itu, aliran pendidikan berbahasa Inggeris dan berbahasa Melayu kepada satu aliran sahaja iaitu berbahasa Melayu melalui Dasar Bahasa Kebangsaan. Perubahan dibuat secara berperingkat mulai tahun 1970 sehinggalah akhirnya pada 1983 seluruh institusi sekolah dan universiti menggunakan bahasa Melayu dalam semua bidang meliputi segala jurusan berkaitan dengan sains dan teknologi seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, teknologi, farmasi, undang-undang dan lain-lain.

Tujuannya mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan bagi masyarakat majmuk di negara ini demi perpaduan sebenar dan memartabatkan serta  meraikan bahasa rasmi negara sebagai bahasa ilmu dengan erti yang sebenarnya. Namun malangnya panas tidak sampai ke petang, segala usaha murni tersebut mulai hancur oleh pimpinan terkemudian khasnya oleh Tun Dr. Mahathir yang mempelopori PPSMI dengan hujah yang dangkal dan sesat di samping mengalah kepada golongan èlit dan anglophile yang "mabuk" bahasa Inggeris. Lupa jati diri sebenar negara ini walaupun disuratkan tentang acuan sendiri dalam Wawasan 2020. Pimpinan negara dan Melayu sendiri buta, keliru atau pura-pura keliru antara kepentingan menguasai bahasa Inggeris dengan kaedah yang betul daripada kepentingan dan status yang sebenarnya wajib dibezakan antara bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di negara ini. Semua tamadun dunia terbangun dalam bahasa bangsanya sendiri, malah bahasa Inggeris pun berhempas pulas dengan perjuangan oleh golongan bangsanya yang sedar untuk memartabatkan English dan bukan Latin pada abad tersebut. 

Pimpinan negara ini seterusnya, Dato Seri Najib Tun Razak pula pernah dianggap "menderhakai" ayahandanya sendiri dengan merestui PPSMI di samping menggugurkan kuasa Menteri untuk menutup sekolah jenis kebangsaan. Hampir semua Menteri Pendidikan dalam era kemudian sehingga kini tiada ketegasan dan kelihatan "lembik" kecuali Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berani memansuhkan PPSMI. Itu pun secara "soft-landing" walaupun sepatutnya secara serta-merta yang akhirnya telah memungkinkan PPSMI menjelma semula dengan "menyamar" sebagai "program Dual Language Programme (DLP). Jelas terlihat kepada segolongan rakyat bahawa pimpinan negara terkemudian tiada keberanian dan ketegasan untuk mempertahankan perjuangan pemimpin terdahulu demi kebaikan seluruh rakyat. Sama ada Menteri Pendidikan, pemimpin tertinggi KPM seperti Ketua Pengarah Pendidikan, semuanya (kecuali Timbalan KPPM, Datuk Abdul Raof) hanya menurut sahaja kehendak pemimpin politik popular dengan mengetepikan landasan yang benar sedangkan misalnya antara tugas pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan ialah memberi "nasihat profesional" tentang pendidikan kepada sang Menteri yang sekejap datang, dan sekejap boleh hilang. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dibuang ke tong sampah dan prinsip berani kerana benar tidak diamal. Yang diamal ialah takut kerana benar? Yang rosak, rugi dan diperjudikan ialah rakyat dan negara ini sendiri. Tidak mustahil yang lebih diutamakan oleh politikus ialah harga undi segolongan rakyat sahaja, elaun bulanan yang melimpah dan bukan demi kebaikan jangka panjang untuk negara ini. Akibatnya walaupun sudah lebih 60 tahun, perpaduan sebenar gagal dicapai dan terpaksa dilaungkan dengan kos dan belanjawan yang tinggi mungkin selama 60 tahun lagi dan nasi akhirnya terus menjadi bubur? Kita tidak bermaksud untuk menghapuskan mana-mana bahasa yang  dituturkan di negara ini. Semua bahasa merupakan anugerah Tuhan untuk diraikan, diajar dan dipelajari malah telahpun diizinkankan dalam Perlembagaan untuk diajar sebagai satu mata pelajaran dan bukannya sebagai bahasa penghantar. Kita juga tidak bersetuju akan mana-mana bahasa sama ada Mandarin, Inggeris atau lainnya diharamkan. Itu adalah zalim dan merugikan. Kita cuma menentang selain bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa penghantar pendidikan. Cukuplah bahasa lain dijadikan satu mata pelajaran malah  digalakkan pelajar keturunan lain seperti Melayu mempelajarinya. Ada perbedaannya antara bahasa sebagai satu mata pelajaran daripada bahasa penghantar walaupun ada golongan yang telah memutarbelitkan tentang ini. Oleh itu Kementerian Pendidikan wajib menyediakan ruang, peluang dan kemudahan mempelajari bahasa vernakular di sekolah aliran kebangsaan di seluruh negara. Dengan kewujudan pelbagai sistem pendidikan seperti pendidikan kebangsaan dan pendidikan vernakular, mahu tidak mahu, secara jujur kita perlu mengaku bahawa anak bangsa negara ini telah terpisah-pisah secara sengaja dari sejak kecil hingga dewasa(?) sedangkan pada masa yang sama kita mahu mereka bersatu-padu, bermesra, saling berkenalan, bermain bersama-sama, belajar bersama-sama. Tidakkah itu satu hal yang sangat ironis? Bercanggah sama sekali. Malah sejarah institusi Dong Zong jelas memaparkan sikap ekstremis badan itu dan pemimpinnya yang menolak dengan keras sekali sistem pendidikan kebangsaan dan segala unsur yang berkaitan umpamanya tulisan Jawi yang jelas merupakan satu ciri bahasa kebangsaan, sengaja membutakan diri tentang sejarah bahasa Melayu dan sejarah negara ini. Mereka seperti rakyat yang tidak tahu bersyukur. Sepatutnya di mana bumi dipijak di situlah langit di junjung. Seolah-olahnya golongan tersebut ibarat kacang lupakan kulit dan habis manis sepah dibuang. Tidak keterlaluan agaknya jika kedengaran ada yang mengumpamakan hal tersebut seperti pepatah melepaskan anjing yang tersepit, akhirnya yang melepas dan menolongnya pun digigit? Justeru eloklah kewujudan  sistem vernakular dikaji semula dan pertubuhan yang ternyata sejarah ekstremnya diharamkan sahaja daripada terus menggugat sistem pendidikan dan perpaduan anak bangsa negara ini. Tugas besar Kementerian Pendidikan ialah terus menjadikan bahasa Melayu bahasa penghantar tunggal dalam sistem pendidikan di negara ini dari sekolah hingga universiti, mewajibkan bahasa Inggeris untuk semua, manakala Mandarin dan Tamil wajib bagi kaum Cina dan India di samping pelajar Melayu diwajibkan memilih sama ada Mandarin, Tamil atau Arab. Ribuan pakar pendidikan dan bahasa di universiti dan KPM bolehlah berbincang lanjut tentang kaedah dan pelaksanaannya sama ada bermula dari peringkat rendah atau menengah dan sebagainya dengan meneliti pelaksanaan di beberapa negara maju lain serta disesuaikan dengan negara kita. Banyak profesor berpengalaman luas di negara ini yang sedia membantu. Antaranya termasuk Profesor Emeritus Datuk Dr. Isahak Haron, Prof Datuk Dr. Ir Wan Ramli Wan Daud, Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Prof Emeritus Dr. Shaharir Mohd. Zain, Prof. Datuk Dr. Mohd Yusof Othman, Dr. Alinor dan lain-lain. Negara kerugian amat besar jika kepakaran dan pengalaman mereka terbazir begitu sahaja dan hanya khidmat pakar luar negara sahaja yang digunakan yang belum tentu memahami mendalam akan kompleksnya sistem ekobudaya masyarakat negara ini. 


Kamal Shukri Abdullah Sani,

Ketua Kluster Bahasa, Budaya, Sejarah dan Seni, 

MAJLIS PERUNDINGAN MELAYU MALAYSIA (MPM)


(0122002811)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan