Patut Lea DAULAT teman bnyk dh hilang....
*KISAH MUFTI YANG MENGHAPUSKAN AMALAN ‘TABAL JIN’ & MENCABAR JIN DI ISTANA PERAK*
Alfatihah diucapkan buat Allahyarham Harussani Zakaria, Mufti Perak ke-8 yang baru saja menghembuskan nafas terakhir.
Nama Harussani tidak perlu diperkenalkan lagi kerana insan ini adalah orang yang paling lama menjawat jawatan Mufti (sejak 1985) dan cukup lantang dalam menyuarakan pandangan. Malah, tak kurang juga yang menggelarkannya sebagai salah seorang mufti kontroversi di Malaysia.
Artikal ini akan membawakan kisah tentang usaha beliau menghapuskan amalan khurafat dan syirik di Istana Perak ketika di awal tempoh pelantikannya sebagai Mufti. Usaha tu termasuklah seperti…
Menghentikan amalan memasang ‘sangkar-sangkar’ di sekeliling istana.
Pada suatu hari beliau masuk ke Istana Perak dan melihat alat yang dikenali sebagai ‘sangkar-sangkar’ di sekeliling istana.
Bila ditanya kepada petugas istana, mereka menjawab yang itu semua adalah adat. Bila mendengar jawapan tu, Harussani bertanya lagi – sama ada yang tinggal di istana ini manusia atau jin? Mereka jawab manusia iaitu Sultan dan Harussani pun berkata:
“Kalau sultan yang tinggal di istana itu, kenapa kita pasang sangkar-sangkar untuk jin ini? Sultan bukan jin. Sultan adalah manusia. Apakah orang Perak bersultankan jin?
Selepas itu, Harussani mengarahkan supaya semua sangkar itu dibuang, walaupun dapat bantahan daripada Orang Besar Istana.
Selain itu, ada juga amalan menyembelih kerbau, dan kepala kerbau itu tadi ditanam di bawah tempat mandi. Amalan itu turut dibantah dan dihapuskan oleh Harussani kerana mengandungi unsur syirik.
MEMANSUHKAN UPACARA 'TABAL JIN'
DAN PEMAKAIAN ULAR EMAS
Antara amalan yang menjadi masalah besar menurut Harussani di Istana Perak pada masa itu adalah amalan ‘Tabal Jin’ iaitu adat menabal jin pada sebelah malam dan siangnya pula Istiadat Pertabalan Sultan Perak. Ini kerana, dipercayai bahawa seseorang sultan itu didampingi oleh jin-jin.
Berdasarkan cerita beliau, amalan ini bermula apabila semua orang yang berpakaian hitam masuk ke dalam dewan, menutup lampu dan hanya menyalakan lilin. Selepas itu, Pawang Diraja akan menyempurnakan upacara berkenaan.
Maklum tentang amalan itu, Harussani kemudiannya segera menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah (almarhum) dan bertanya tentang rasionalnya amalan tu diteruskan. Harussani juga membacakan ayat 6 dari Surah Jin yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” – Surah Jin, ayat 6.
Tambah Harussani, disebabkan kesombongan jin itulah mereka berani minta kita memberikan sajian seperti sembelihan lembu, kambing, ayam dan sebagainya. Amalan-amalan itu tidak lain dan tak bukan hanya menjerumuskan kita semua ke dalam lembah syirik semata-mata.
Mendengar nasihat dan penerangan itu, Sultan Azlan bersetuju dengan Harussani dan memperkenankan supaya amalan Tabal Jin dimansuhkan dari istiadat Istana Perak. Amalan itu kemudiannya diganti dengan Istiadat Tabal Pusaka yang hanya sekadar diiringi paluan nobat sebagai alat kebesaran dan dijirus air mawar, selain tak ada mentera yang digunakan.
Dalam pada itu, beliau juga ada mengarahkan supaya adat pemakaian perhiasan emas berbentuk ular dimansuhkan selepas mendapat perkenan daripada Sultan Perak.
“Saya beritahu kepada Sultan, pada zaman Firaun menjadi raja dahulu, dia memakai perhiasan sedemikian kerana ular itu lambang tuhan mereka, sebab ular membunuh orang.”
Walaupun begitu, usaha beliau ini pun datang dengan risiko sebab ia berkait rapat dengan alam mistik. Peha Harussani bengkak menggelembung, selepas mencabar jin dan menghapuskan khurafat.
Dalam usahanya menghapuskan amalan khurafat di istana, pada suatu malam Harussani meminta petugas-petugas istana menunjukkan kepadanya di mana tempat yang dikatakan ada jin di istana berkenaan. Para petugas pun menunjukkan sebuah kerusi yang didakwa menjadi tempat duduk jin di istana.
Disebabkan mahu menghapuskan khurafat, beliau pun memberanikan diri mencabar jin itu menunjukkan diri dan duduk di atas kerusi berkenaan. Tapi pada masa itu, tidak ada apa-apa yang terjadi sampailah Harussani sedar yang pehanya bengkak menggelembung secara tiba-tiba bila sampai di rumah.
Jadinya, selepas solat subuh – Harussani pun tanya kepada jemaah di masjid kalau-kalau mereka kenal sesiapa yang pandai tentang ilmu berkait gangguan jin. Jemaah pun bagitau tentang seorang tua penggunting rambut di Sungai Rokam. Harussani pun berjumpa dengan lelaki tua itu, dan sambil gunting rambut, beliau pun tanya sekali pasal pehanya yang bengkak secara tiba-tiba itu.
“Tukang gunting itu meminta saya bawakan sirih-pinang. Saya sememangnya sudah bersedia dengan bahan itu sebab telah tahu serba sedikit tentang permasalahan dengan jin"
Esoknya, Harussani sekali lagi berjumpa dengan tukang gunting itu untuk berubat. Tukang gunting itu ada bertanya kenapa beliau berani sangat cabar jin? Kemudiannya, orang tu pun tiup ke dalam telinga Harussani dan dengan sendirinya bengkak itu pun hilang.
Bagaimanapun, ada juga adat-adat tertentu yang masih dikekalkan sehingga sekarang.
Salah satu amalan yang menurut Harussani masih belum berjaya dihentikan olehnya adalah ‘perasap keris’ iaitu amalan yang dilakukan apabila alat-alat di istana (keris, tombak, perkakas diraja, alat-alat kebesaran diraja dan semua jenis senjata) berpindah tangan daripada sultan yang telah mangkat kepada sultan yang baru ditabalkan.
Bagaimanapun, masih ada beberapa amalan yang masih dibenarkan dan dikekalkan sehingga ke hari ni seperti ‘Istiadat Mencecah Kaki di Beting Beras Basah’ dan ‘Istiadat Mengambil Air Bersiram Tujuh Kuala Sungai Perak’.
Ini kerana, bagi Harussani – Beting Beras Basah hanya perbuatan simbol Sultan Perak pertama yang bercemar duli turun di beting berkenaan. Manakala, air tujuh kuala sungai pula, menunjukkan lambang tujuh kuasa daerah di Perak yang pada masa dulu menjadi sempadan negeri.
Jadinya, apa yang dilakukan oleh Harussani ini memang sesuatu yang berani kerana ada di antara amalan yang dimansuhkan itu dah pun diamalkan sejak sekian lama. Ia juga membuktikan yang Harussani seorang Mufti yang tegas, terutamanya berkaitan isu kesucian Islam. Sumbangan beliau akan terus dikenang sampai bila-bila.
*Artikel ini banyak merujuk buku: ‘Memoir Harussani Zakaria: Dia Akan Jadi Mufti’ terbitan UUM Press.
Kredit : SOSCILI.MY