BON ODORI, FESTIVAL MERAI DAN MEMUJA ROH MATI
Baru-baru ini tular di media sosial tentang sebuah perayaan atau tarian kebudayaan masyarakat Jepun yang dinamakan Bon Odori. Isu ini telah tersebar di banyak platform media sosial dan menjadi tanda tanya sama ada boleh hadir festival tersebut atau tidak?
Bon Odori adalah sebuah pesta yang diraikan oleh masyarakat Buddha-Jepun sejak 500 tahun dahulu dengan tujuan bagi merai dan menghormati kepulangan roh nenek moyang mereka yang telah mati. Bon membawa maksud Perayaan Hantu Lapar yang sudah menjadi amalan bagi kaum Buddha, manakala ‘Odori’ bermaksud tarian Jepun. Ia diraikan pada setiap pertengahan tahun yang dianggap sebagai perayaan Bulan Hantu yang disambut oleh masyarakat Cina.
Jemput baca maklumat lanjut berkaitan sejarah ringkas Bon Odori 👇👇
Di sisi sejarah perayaan ini, kebanyakan orang mengetahui tentang kisah perayaan ini adalah melalui tukang cerita profesional, yang menceritakan sebuah kisah bertajuk “The Transformation Text on Mu-lien Saving His Mother from the Dark Regions”. Kisahnya tentang seorang pengikut Siddhratha Gautama Buddha, yang bernama Mu-Lien (Sanskrit: Maudgalyayana) yang mempunyai kebolehan untuk melihat alam ghaib, serta misinya untuk mencari kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia. Kisah ini juga tertulis di dalam Ullambana Sutra (juga dikenali Yulanpen Sutra yang dipercayai ditulis antara 266- 313 Masihi).
Ketika Maudgalyayana sedang bertapa, dia ternampak ibunya sedang merana di dalam neraka akibat daripada balasan amalan buruk ibunya semasa hidup. Ibunya itu menjadi hantu lapar yang memiliki leher yang sempit tetapi perut yang besar. Leher yang sempit itu menyebabkan ia sukar untuk menelan makanan manakala perut yang besar menyebabkan perut selalu kosong dan dalam keadaan lapar. Ini adalah balasan kepada ibunya kerana tidak membelanjakan wang peninggalan suaminya dengan memberikan makanan kepada orang ramai sepertimana diwasiatkan oleh suaminya itu.
Hal ini membuatkan Maudgalyayana berasa sedih, terseksa dan bertekad untuk menyelamatkan ibunya. Dia telah mengurangkan seksaan ibunya itu dengan meminta tunjuk ajar daripada Buddha cara untuk memberi makan kepada ibunya itu. Buddha mengarahkan untuk meletakkan makanan di atas pinggan yang bersih dan membaca mantera tertentu sebanyak tujuh kali, dan memetik jari untuk memanggil roh yang telah meninggal lalu meletakkan makanan itu di atas lantai yang bersih.
Perbuatan Maudgalyāyana ini telah dapat menyelamatkan ibunya dan ibunya menjadi anjing yang dijaga oleh sebuah keluarga bangsawan. Dia lalu meminta bantuan Buddha lagi sekali untuk menghidupkan kembali ibunya menjadi manusia. Buddha pun menetapkan suatu hari (iaitu hari ke-14 bulan ke-7 tahun lunar) di mana Maudgalyāyana perlu memberi makan kepada 500 bhikkhu (para sami), sehingga akhirnya ibunya telah dapat dihidupkan kembali dalam bentuk manusia.
Lalu peristiwa ini mula dikenang dan diadakan secara konsisten oleh penganut Buddha. Ia dikenali sebagai Ullambana. Ketika agama Buddha mula masuk ke Jepun sekitar abad ke 4 M. Ullambana ini mula dikenali sebagai Bon, hari merai roh nenek moyang.
Artikel penuh boleh dibaca di link berikut:
https://askislam.me/ms/2019/07/22/bon-odori-di-atas-nama-budaya-sebenarnya-ia-tarian-menghiburkan-hantu/?fbclid=IwAR1iT-VL6ZaqCkEDqla3fGG4e1z7Pa8bTWztZg7k4nK398OEwT_S82ESFy0
SAMBUTAN DI MALAYSIA
Sambutan festival Bon Odori di Malaysia pada awalnya diperkenalkan oleh orang-orang Jepun yang menetap di Malaysia kepada anak-anak mereka sekitar tahun 1976 agar tidak melupakan budaya dan tradisi nenek moyang mereka. Kini, festival ini telah menjadi satu acara tahunan yang sangat dinantikan sehingga dikatakan purata yang hadir kira-kira ribuan peserta setiap tahun.
Dalam isu ini, kita bimbang jika ada sebahagian masyarakat yang terkeliru dengan ramainya orang Melayu Islam yang menyertai perayaan ini, sehingga kemudian beranggapan bahawa tiada apa-apa masalah untuk menyertainya. Allahu Akbar.
“APA SALAHNYA KALAU KITA SERTAI, INI KAN SEKADAR NAK PERKENALKAN BUDAYA JEPUN?”
Inilah JARUM HALUS yang terkadang kita tak sedar. Semua perkara nak dicuba-cuba, nak biasakan tanpa teliti bahawa ada unsur-unsur yang boleh memudharatkan akidah orang Islam.
“Sudah bertahun-tahun acara ni dibuat, kenapa baru hari ini nak ulas?”
“Festival ini hanya sebuah sambutan budaya yang membawa ciri-ciri khas tarian-tarian Jepun, biasalah tu silang budaya masyarakat majmuk di Malaysia.”
“Bukankah festival ini boleh mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama antara Jepun dan Malaysia?”
Allahu Akbar, banyak lagi persoalan-persoalan yang diajukan seolah-olah ingin menyatakan Islam itu agama yang sempit.
Sahabat, Islam itu mudah tapi jangan ambil mudah dan ia juga tidak jumud (tertutup) tetapi jangan sampai hanyut. Sebenarnya dengan membenarkan umat Islam sertai acara seperti ini akan membuka ruang yang boleh mendatangkan keburukan sedangkan kita ada batas dan panduan yang perlu diikuti.
Di dalam fiqh, terdapat satu kaedah yang dinamakan سَدُّ الذَّرَائِعُ yang bermaksud menutup sesuatu perkara yang boleh mendatangkan keburukan. Maka, sebagai umat Islam lebih baik kita mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak menyertai acara ini agar terhindar daripada perkara yang boleh membawa keburukan.
WAHAI IBU BAPA, SELAMATKAN IMAN ANAK-ANAK KITA 😢
Ibu Bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk anak menjadi insan berguna sama ada untuk keluarga, masyarakat atau agama. Seperti yang disebutkan di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih), ibu bapanya lah yang mencorakkannya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi."
(HR Bukhari, hadis sahih)
Allahu Akbar. Memang berat tugas kita sebagai Ibu Bapa dalam mendidik dan membentuk anak-anak. Saya juga ada 7 orang anak yang diamanahkan di dunia ini, akan tetapi itulah yang menentukan kejayaan kita sebagai Ibu Bapa yang Allah redhai atau tidak. Jika kita biarkan anak-anak dengan cara mereka sendiri dengan alasan supaya mereka mengenal dunia, bimbang sikap kita termasuk dalam kalangan orang yang redha kepada maksiat. Kata ulama
إِنَّ الرِّضَا بِالْمَعْصِيَةِ مَعْصَيَةٌ وَإِنَّ الرِّضَا بِالْكُفْرِ كُفْرٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya redha dengan perkara maksiat maka ianya juga merupakan maksiat, dan redha dengan perkara kufur maka ianya juga merupakan kekufuran."
Tuan Puan,
Kemungkaran yang dimaksudkan tidak semestinya berkaitan akidah sahaja, tetapi kita dapat jangkakan pasti akan berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan tanpa kawalan, pakaian yang tidak mengikut syariat, isu halal haram makanan yang dijual, dll.
Firman Allah SWT:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلٰۤىِٕكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُوْنَ اللّٰهَ مَآ اَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُوْنَ مَا يُؤْمَرُوْنَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.
(Surah at-Tahrim: 6)
Anak itu amanah, maka jagalah mereka sebaiknya. Didik dan bentuk mereka dengan acuan keimanan agar kelak mereka menjadi penyebab kita dimasukkan ke dalam Syurga Firdaus tanpa hisab dan azab, bukan punca kita dihumban ke dalam api neraka yang meluap. 😔
Semoga Allah SWT sentiasa membimbing dan memelihara akidah kita semua agar sentiasa terhindar daripada dosa-dosa maksiat dan kemungkaran yang berleluasa.
Sahabat, mari kita bersama amalkan doa ini agar sentiasa ditetapkan di atas jalan agama dan dijauhkan daripada sebarang kemaksiatan.
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan
#UAHSahabatDuniaAkhirat