Sabtu, 4 Januari 2014

bahana

Oleh Dr Azman Ibrahim
Isu berkaitan kenaikan harga barang-barang keperluan adalah isu sejagat yang berkaitan langsung dengan kepentingan rakyat kebanyakkan dan menyentuh tentang survival kehidupan seharian mereka.

Sebagai pengguna yang berhadapan dengan arus kenaikan harga barangan yang tak dapat dibendung, rakyat umum tanpa mengira siapa mereka umpama mentimun dengan durian, digilis luka, menggilis pun luka.



Lebih tragis apabila bebannya bukan setakat kerana harga barangan keperluan melambung tinggi, malah lebih memburukkan keadaan apabila bekalannya juga sukar didapati di pasaran.


Tanpa bermaksud untuk mengagungkan negara jiran itu tetapi sekadar menjawab hujah pemimpin Umno/BN yang gemar menjadikan perbandingan kos hidup negara di seberang Tambak Johor itu sebagai antara jawapan untuk menutup mulut rakyat setiap kali kenaikan harga barang berlaku di samping alasan lapuk, rasionalisasi subsidi.

Memanglah secara bandingannya, harga barangan di Malaysia masih murah dibandingkan dengan Singapura, tetapi perlu dibandingkan juga jurang perbezaan pendapatan bulanan rakyat negara kita berbanding dengan rakyat negara jiran di selatan kita dengan contoh, gaji seorang guru secara puratanya mencecah SG$6,000 (RM24,000) sebulan!

Gaji pokok seorang kerani biasa di Singapura mencecah SG$1,000 (RM2,400) sebulan belum lagi dicampur elaunnya, berbanding gaji pokok seorang kerani biasa di Malaysia sekitar RM900 sebulan. Dicampur pelbagai elaun, dapatlah sekitar RM1,400 sebulan.

Apatah lagi kalau dikemukakan hujah bahawa negara kita adalah negara pengeluar yang kaya dengan pelbagai hasil bumi dan sumber asli. Ironinya, keperluan yang sering tiada di pasaran atau harganya sentiasa dalam trend meningkat adalah produk keluaran bumi ibu pertiwi. Bagaikan ibarat…datuk, nenek kita… pohon durian dan rambutan keliling rumah, tetapi anak cucu nak makan pun susah, kalau nak, terpaksalah kena bayar dengan harga mahal. Pelik bukan?

Keterlaluankah perumpamaan ini? Tentu sekali tidak! Perhatikan pohon-pohon kelapa sawit yang menghijau subur bukan hanya setakat di ladang-ladang besar, malah sekarang ini telah memenuhi segenap ceruk kampung tetapi minyak masak sawit sukar didapati di pasaran, yang ada hanyalah minyak jagung dan minyak bunga matahari dengan harga yang berlipat ganda. Aneh sekali.

Impak kenaikan harga barangan dan kos hidup Purata kenaikan gaji rakyat Malaysia 2.5% setahun tetapi kenaikan harga barang-barang keperluan adalah sebanyak 8.5% setahun. Kenaikan harga barangan keperluan yang sangat tidak seimbang dengan peningkatan pendapatan rakyat tentunya membawa kesan negatif yang berpanjangan kepada sosio-ekonomi rakyat. Natijahnya, bila barang naik harga, jatuhlah air mata rakyat…

Perhatikan senario seorang ketua keluarga yang berpendapatan rendah atau sederhana, mereka perlu mengambil kira paling minima setiap bulan keperluan wajib antaranya, bayaran sewa atau ansuran bulanan rumah kediaman, peruntukan ansuran kenderaan, duit minyak dan servis kenderaan, belanja keperluan dapur serta makan minum, duit perbelanjaan sekolah anak-anak, bil elektrik dan air juga gas memasak, pakaian, kos perubatan dan kesihatan, bayaran tol untuk mereka yang berkenaan, saman trafik dan pelbagai lagi yang tentunya memberikan tekanan emosi yang mampu menggugat keharmonian kehidupan.

Apatah lagi kalau hidup di bandar dengan setiap keperluan perlu dibeli.
Situasi yang sangat biasa berlaku sekarang lantaran disebabkan desakan hidup, bagaimana seorang bapa terpaksa keluar meninggalkan rumah diawal pagi untuk mencari rezeki ketika anak-anak belum lagi terjaga dari tidur dan pulangnya pula menjelang lewat malam apabila anak-anak telah lena dibuai mimpi.

Ketiadaan masa berkualiti bersama keluarga akan melahirkan anak-anak yang terabai, ketandusan kasih sayang, rapuhnya institusi keluarga sehingga akhirnya mewujudkan generasi anak-anak yang sarat dengan gejala sosial. Apatah lagi untuk meluangkan masa dengan masyarakat dan persekitaran.
Tekanan hidup yang dibantu oleh faktor nipisnya iman di dada juga boleh mengundang pecah amanah, penyelewengan, rasuah dan pelbagai lagi perlakuan yang menyalahi syariat dan undang-undang.

Bermakna, peningkatan kos sara hidup disebabkan kenaikan harga barangan, jangan sesekali hanya dipandang dari sudut berapa sen kenaikan harga gula, petrol, gas memasak, minyak masak, tarif lektrik dan sebagainya, tetapi impaknya perlu diteliti secara menyeluruh dan saksama kepada kehidupan seorang insan sebagai individu, keluarga, masyarakat dan negara.
Di negara maju yang lain, bila ekonomi negara bermasalah, kerajaan akan potong perbelanjaan yang tak diperlukan, bukannya menjadikan rakyat sebagai mangsa. Kita yang belum maju tetapi bercita-cita untuk maju pula sebaliknya, bila negara tak ada duit, rakyat yang ditekan dengan pelbagai alasan lapuk sedangkan pemimpin bermewahan.

Rakyat pula dikelirukan dengan tiada lagi istilah kenaikan harga barangan itu dan ini, yang ada hanyalah pelarasan subsidi!
Bagaimana kenaikan harga barangan boleh berlaku? Pengeluaran yang banyak tetapi tidak dapat menampung permintaan pengguna.

Negara kita kaya dengan kesuburan tanah dan sumber asli, tetapi kerajaan gagal memanfaatkannya secara optimun, baik dalam sektor pertanian mahu pun pengeluaran sehingga keperluan rakyat gagal dipenuhi.
Antaranya, krisis ketiadaan bekalan minyak masak telah menjadi fenomena rutin yang telahberulang entah untuk kali yang ke berapa walaupun Malaysia memegang status sebagai negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia, tentunya ketiadaan bekalan

minyak masak ini menimbulkan pelbagai persoalan. Apakah pihak pengeluar, pengilang, pemborong atau pengedar yang menjadi puncanya atau siapakah yang menjadi dalang dengan bertindak sewenangnya demi keuntungan mereka tanpa sebarang tindakan berkesan dari agensi penguatkuasaan berkenaan sehingga rakyat terpaksa menanggung kesukaran?

Bekalan gula juga pernah mengalami nasib sama sehingga Idris Jusoh pernah menjual gula dihadapan Wisma Darul Iman ketika menduduki kerusi MB Terengganu dulu.

Dalam tempoh kurang setahun, kerajaan telah menikkan harga gula sebanyak 3 kali. Tanggal 16 Julai 2010, Kerajaan UMNO-BN mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 25 sen/kilo. Pada 4 Disember 2010, Kerajaan mengumumkan lagi kenaikan harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Kira- kira enam bulan kemudian pada 9 Mei 2011, diumumkan sekali lagi kenaikan harga gula sebanyak 20 sen/kilo. Semuanya atas alasan rasionalisasi subsidi.
Umum mengetahui bahawa Malaysia antara pengeluar gula utama dunia. 

Pengeluaran gula di Malaysia dikuasai empat kilang iaitu; Malayan Sugar Manufacturing Co. Bhd atau dikenali sebagai Gula Prai, Central Sugar Refinery Sdn. Bhd, Gula Padang Terap Berhad dan Kilang Gula Felda Perlis Sdn. Bhd.
Kalau bukan pengeluar utama gula, manakan mungkin Raja Gula Malaysia, Robert Kuok Hock Nien boleh menyandang gelaran manusia terkaya di atas muka bumi Malaysia dan di Asia Tenggara untuk beberapa tahun berturut-turut. Pemimpin negara jangan berlagak seperti Pak Pandir dengan mengeluarkan kenyataan, bila gula naik harga, ianya bagus untuk gaya hidup sihat rakyat Malaysia dan menurunkan kadar diabetes.

Kenaikan harga minyak dan kesannya terhadap kenaikan harga barangan
Kenaikan harga minyak memberi impak kepada keseluruhan rantaian pengeluaran bermula dari ladang atau kilang hinggalah sampai ke tangan pengguna. Tindakan peniaga untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan sehingga membebankan pengguna akan berlaku, sekalipun berulang kali kerajaan memberikan jaminan bahawa, walaupun harga minyak dinaikkan, tidak akan berlaku kenaikan harga barangan keperluan.

Minyak dan gas asli adalah sandaran pergantungan kos semasa dunia. Apa sahaja yang berlaku kepada pasaran dan pengeluaran sumber asli ini akan memberi kesan kepada seluruh negara dan masyarakat dunia. Inilah yang disebut ‘magnet tarikan ekonomi berasaskan petroleum’. Kenaikannya akan menyumbang kepada kenaikan kos pengeluaran, pengangkutan serta pemasaran baik di pihak pengilang, pertanian, pemborong, peniaga-peniaga dan begitulah seterusnya apabila barangan sampai ke tangan pengguna.

Lantaran itulah, penafian pihak kerajaan terhadap kenaikan harga barangan pada setiap kali berlakunya kenaikan harga minyak adalah suatu penafian yang tidak bersandarkan kepada teori dan kaedah ekonomi.

Pergantungan kepada sumber import
Pergantungan keterlaluan negara kita kepada sumber bahan-bahan makanan yang diimport. Lantas, sebarang bencana alam yang berlaku kepada negara lain akan turut memberi kesan kepada negara kita. Banjir di Thailand tetapi orang kita juga tumpang susah. Bukan setakat menyebabkan harga beras meningkat, malah berlaku juga kenaikan harga sayur-sayuran, ayam dan ikan. Semua ini disebabkan kita masih bergantung kepada sumber makanan dari luar khususya negara jiran.

Bayangkan jika negara-negara yang menjadi tempat kita bergantung import makanan selama ini menghadapi bencana serentak- banjir, ribut, kemarau panjang, gempa bumi atau terlibat dalam kancah peperangan. Krisis makanan tentulah akan memuncak dan mampukah bekalan yang dihasilkan di dalam negara untuk menyuap mulut rakyat kita seramai 28.6 juta dan pendatang asing seramai 2.3 juta?

Ahli hikmat ada berkata, ketika saat ketiadaan bekalan makanan, mereka yang mempunyai stok makanan adalah orang yang paling kaya. Lebih kaya dari mereka yang mempunyai emas berbongkah-bongkah. Lihatlah dalam sejarah, bagaimana pengeluaran sumber makanan Negara Mesir yang dirancang dan dilaksanakan dengan begitu bijak oleh Nabi Yusof AS sehingga kemarau panjang selama 7 tahun tidak menyebabkan rakyatnya kebuluran malah mampu untuk membantu menyuap mulut rakyat negara-negara berdekatan. Beginilah Islam mengambil berat dengan keperluan asasi rakyat.

Di manakah silapnya sistem pertanian kita. Dengan keluasan dan kesuburan muka bumi anugerah Allah, berbilion ringgit peruntukan tahunan, sungai-sungai yang membelah daratan membentuk dataran yang subur, rakyat yang sedia membanting tulang, tetapi pertanian kita belum lagi mencapai tahap sara diri apatah lagi untuk diimport.

Dengan kata lain, kerajaan telah gagal! Hujahnya, Malaysia telah membelanjakan sejumlah RM13 bilion setiap tahun untuk mengimport keperluan makanan seperti sayur, ikan, daging, kentang, bawang serta buah-buahan. Jumlah import beras dari Thailand sahaja mencecah 307,000 tan metrik setahun.

Ada isu besar yang perlu diteliti. Di Terengganu contohnya, masih banyak tanah sawah terbiar lantaran masalah infrastruktur serta pengairan. Projek-projek yang dikira boleh menghasilkan sumber makanan negeri seperti projek ternakan kambing kaprima Telaga Papan Setiu, projek ternakan ikan dalam sangkar Zon Industri Akuakultur Tasik Kenyir, Projek tanaman kelapa pandan di Rhu Tapai semuanya gagal walaupun ratusan juta telah dibelanjakan. Wang peruntukan lesap tapi di mana kambing, ikan dan kelapa pandan?

Gahnya bunyi projek dengan sasaran hasilnya akan dieksport, akhirnya melopong! Belum disebut lagi projek tanaman strawberry yang namanya pun dah dilupakan orang. Terkini projek udang Setiu. Sasarannya juga untuk dieksport sebagaimana Mat Said pernah bercita-cita untuk mengeksport kelapa pandan dari Rhu Tapai ke Jepun!

Kelemahan penguatkuasaan dan urus tadbir
Kelemahan penguatkuasaan masih belum berjaya diperbaiki sepenuhnya sehingga berlakunya monopoli dan memberi ruang kepada peniaga menaikkan harga sewenangnya.

Tindakan menyorokkan barangan keperluan bagi tujuan menaikkan harga oleh para peniaga memburukkan lagi keadaan.
Persoalan kuota bekalan juga sering dibangkitkan. Sering terdengar rungutan yang menyatakan punca kekurangan bekalan barangan di pasaran seperti minyak masak adalah disebabkan pembekal menggunakan alasan pengurangan bekalan, disebabkan kuota baru yang ditetapkan kerajaan.

 Kuota yang digunakan dalam kes minyak masak pula telah berusia hampir empat tahun. Sekiranya itulah antara sebabnya, maka tentu sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa kuota tersebut adalah tidak relevan lagi, ia perlu ditambah.

Mana mungkin kuota yang diberikan sejak empat tahun lepas boleh sama dengan sekarang dengan pertambahan bilangan pasar raya besar dan kedai runcit serta bilangan pengguna.

Kerajaan juga perlu mengetatkan penguatkuasaan terhadap pembelian bahan kawalan itu bagi mengelakkan penyelewengan selain memastikan hanya rakyat tempatan membeli dan menikmati subsidi yang diberi kerajaan.
Kita juga sukar untuk mempercayai bahawa alasan penggunaan dan pembelian oleh rakyat negara jiran menjadi punca kekurangan malah ketiadaan bekalan untuk rakyat tempatan. Kalau sungguh bagai dikata, di mana agensi penguatkuasaan kita?

Antaranya, alasan pembelian minyak masak keluaran Malaysia oleh rakyat Selatan Thai didakwa menjadi punca kekurangan bekalan di negara ini. Sebenarnya masyarakat muslim Selatan Thai kebanyakkan mereka telah menggunakan minyak masak keluaran Malaysia sejak zaman berzaman lagi lantaran mereka sebenarnya meragui status kesucian minyak masak keluaran negara mereka sendiri. Apatah lagi bila kekurangan bekalan dilaporkan turut berlaku di seluruh negara dan bukan hanya melibatkan negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran.

Apa peranan kita?
Menghadapi arus kenaikan harga barangan, sebolehnya elakkan pembelian tidak terancang. Belilah hanya barang-barang yang benar-benar diperlukan, mengurangkan pembelian menggunakan kad kredit dan yang paling utama, Tolak BN (Barang Naik).

* Penulis adalah seorang doktor pergigian dan menjadi calon PAS di Terengganu dalam beberapa pilihan raya lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan