Tuesday, 21 January 2014

domino

Punca Kenaikan Harga Barang Dan Kos Hidup

Pasca PRU13 memperlihatkan tekanan yang dihadapi rakyat apabila kenaikan harga barangan keperluan serta kos hidup mereka akibat pelarasan subsidi yang telah dilaksanakan kerajaan. Dengan menggunakan alasan "ke arah negara maju, untuk kebaikan negara" dan lain-lain alasan manis untuk terus "mengangkungkan" minda rakyat bagi menghalalkan segala tindakan mereka.

Umum mengetahui apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan itu adalah bagi menutup segala ketirisan dan keborosan yang dilakukan oleh mereka sehingga menyebabkan negara kini berhadapan dengan masalah ekonomi dan hutang negara yang sangat tinggi.

Rakyat sendiri dapat melihat dengan mudah sebagai contoh, setiap kali pilihan raya kecil berlangsung, kerajaan akan menabur berbilion ringgit dengan janji pembangunan dan sebagainya bagi memancing undi rakyat. Ini tidak termasuk lagi ketirisan dan pembaziran yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan sepertimana yang dilapor oleh Ketua Audit Negara.

Episod Kambing Hitam-Peniaga, Pengusaha Tersepit

Kini apabila rakyat mula menyatakan kemarahan mereka terhadap kenaikan kos hidup yang menggila ini melalui himpunan aman, media sosial dan lain-lain lagi, kerajaan tersedar bahawa tindakan mereka itu mengundang kemarahan rakyat. Maka untuk kembali menjadi hero kepada rakyat, para peniaga pula dipersalahkan.

Dalam beberapa hari ini kita dapat lihat di media, kerajaan cuba berlagak kembali sebagai pembela rakyat apabila Perdana Menteri mengumumkan akan bertindak tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan. Kelmarin, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata, kerajaan akan membatalkan lesen pengedar, pembekal dan pengimport barang keperluan harian jika mereka terus menaikkan harga barang. Maka dalam keadaan kos pengangkutan, penghasilan, bahan mentah dan lain-lain meningkat adakah wajar peniaga disalahkan untuk menampung keuntungan mereka?

Teori Domino Dalam Kenaikan Harga Barangan Keperluan

Untuk memahami perkara asas ekonomi sesebuah negara, kita tidak perlu kepada ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi. Kerajaan juga tidak perlu menubuhkan jawatankuasa khas kononnya bagi mengkaji punca kenaikan harga barang kerana teori domino ini amat mudah difahami.

Sebagai contoh mudah, sebuah kilang pastinya memerlukan tenaga eletrik bagi menjalankan penghasilan sesuatu barangan keperluan, maka dengan kenaikan tarif eletrik, sudah pasti kos penghasilan barangan tersebut juga meningkat, begitu juga dengan bahan api seperti diesel dan petrol yang turut meningkatkan kos penghantaran dan pengedaran barangan keperluan untuk diniagakan. Ini tidak termasuk lagi kos bahan mentah dan lain lain perkara yang terlibat dalam proses penghasilan sesuatu barangan keperluan.

Maka tidak hairanlah mengapa pengusaha dan peniaga terpaksa menaikkan harga barangan keperluan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Jika kerajaan menuding jari sepenuhnya kepada pihak peniaga semata- mata dalam isu ini, maka jelaslah bahawa kerajaan kita merupakan kerajaan yang hipokrit dan zalim.

Kerajaan Boros, Rakyat Tanggung Beban

Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir juga mengakui bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib hari ini boros dalam pentadbirannya dan beliau sendiri menasihati kerajaan hari ini agak tidak boros. Bukti yang jelas kita boleh lihat melalui laporan Ketua Audit Negara yang lepas bagaimana pembaziran yang tidak munasabah dilakukan oleh pentadbiran kerajaan hingga mencecah angka billion!

Akibat keborosan kerajaan dalam mengurus kewangan negara, langkah terakhir mereka untuk memulihkan ekonomi negara adalah dengan menarik subsidi terhadap rakyat yang akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung kos hidup yang menggila dan mereka kian terbeban di bawah kepimpinan kerajaan Barisan Nasional yang mana slogannya ketika pilihan raya umum lalu "BN Menang, Rakyat Senang".

No comments:

Post a Comment