Sektor pendidikan swasta sememangnya berkembang pesat dan dahsyat. Keterbukaan kerajaan dalam membenarkan perkembangan tersendiri sektor swasta sememangnya tindakan yang perlu dikekalkan. Terdapat pelbagai model pendidikan diketengahkan sektor swasta.
Sebahagiannya menampilkan hasil yang memberangsangkan, sebahagian lagi masih dalam fasa percubaan. Tidak dinafikan juga, ada yang berada pada takuk lama dengan prestasi yang kian merudum.
Sebetulnya, tunggak kepada kecemerlangan sektor swasta ini banyak bergantung pada pentadbiran. Berbeza dengan kerajaan, dana yang berterusan menjadikan bahagian pentadbiran tidak memainkan peranan yang besar.
Namun bagi sektor pendidikan swasta, keterbatasan dana benar-benar membutuhkan tahap kecekapan yang tinggi pada bahagian pentadbiran. Sedikit sahaja penyelewengan, sama ada bersifat peribadi mahupun dalam bentuk projek, bakal menarik sesebuah sekolah swasta puluhan tahun ke belakang.
Antara segmen menarik yang ada dalam sekolah swasta adalah keterbukaan mereka menerima graduan baharu yang tidak mempunyai latar belakang pendidikan. Hal ini memberi kesan yang besar terhadap lambakan idea-idea pendidikan baharu, berbeza dengan graduan berlatar belakangkan pendidikan yang kebanyakannya terdedah kepada sistem serta amalan kebiasaan dalam sektor kerajaan.
Daripada lambakan graduan baharu yang tidak berlatar belakangkan pendidikan ini, idea-idea berikut mula terhasil:
Pemikiran aras tinggi
Tersebar satu mind-set baharu dalam kalangan guru-guru, pelajar-pelajar zaman ini lebih berpengetahuan daripada guru. Hanya disebabkan pelajar-pelajar ini lebih mahir berteknologi, mind-set ini akhirnya digeneralisasikan kepada semua bahagian ilmu. Ini adalah satu tanggapan meleset.
Sebenarnya, walaupun mereka mahir berteknologi, namun penggunaannya tidak terarah kepada ilmu-ilmu yang bermanfaat. Lebih-lebih lagi ilmu-ilmu teknikal yang diajarkan di sekolah, memerlukan bimbingan halus daripada guru-guru.
Kesan tanggapan ini, tercetusnya idea menerapkan unsur-unsur pemikiran aras tinggi dalam pendidikan peringkat menengah. Ironinya, sebahagian besar pelajar masih tidak mampu mengikut rentak ini. Masakan tidak, jika benar teknologi sekarang menyediakan pelajar-pelajar yang lebih berpengetahuan daripada guru-guru, mengapa masih banyak kes-kes penipuan siber melibatkan anak-anak remaja kita?
Justeru, perkara sepatutnya ditekankan pada peringkat menengah ini bukanlah pemikiran aras tinggi, tetapi pemikiran berstruktur. Satu disiplin ilmu yang jarang didengar, tetapi ia lebih sesuai dengan aras pemikiran pelajar-pelajar sekolah menengah.
Kritik dan perkecilkan pelajar
Graduan baharu universiti bukan pendidikan kebiasaannya terdedah dengan budaya kritik dan baca sendiri. Siapa yang kurang membaca dan lemah dalam pemikiran kritis, kebiasaannya akan ditertawakan dalam dewan kuliah.
Pensyarah pula biasanya akan memperkecilkan pelajar-pelajar yang lemah seperti ini di hadapan para pelajar lain. Cuma, kesan daripada budaya ini, pelajar semakin bersemangat dan rasa tercabar.
Berbeza dengan pelajar sekolah menengah yang kebanyakannya pada fasa ini banyak mengalami konflik identiti dan kecelaruan dalaman. Jika budaya yang sama diterapkan, pastilah hasilnya berbeza. Mereka akan lebih mudah memencilkan diri, putus asa dan hilang semangat.
Puji dan ganjar pelajar
Di sudut yang bertentangan, terdapat pula sekelompok graduan psikologi yang melihat pendekatan puji dan ganjar adalah mekanisme yang lebih merangsang pelajar untuk lebih cemerlang. Budaya ini pula sangat bertentangan dengan amalan pendidikan turun-temurun yang menggunakan mekanisme denda sebagai pengajaran berkesan kepada pelajar-pelajar.
Penggunaan tanpa kawalan dan syarat dalam mekanisme puji dan ganjar ini dibimbangi bakal melahirkan generasi tidak berdisiplin dan kurang daya saing.
Masa diperuntukkan guru dan kepadatan jadual pelajar
Graduan baharu ini juga lebih cenderung menyediakan tugasan belajar semirip universiti berasaskan projek kerja dan lain-lain. Bagaimanapun, projek-projek kerja ini, sekiranya diberikan setiap guru, adakah tempoh masa yang diberikan kepada pelajar bagi menyelesaikannya cukup?
Dengan lambakan rujukan dan latihan yang perlu pelajar lalui, kaedah penjadualan serta struktur pembelajaran subjek sedia ada ini sudah cukup ideal dibandingkan dengan universiti yang pelajar sendiri boleh daftar dan susun jadual subjek masing-masing?
Pengetatan kaedah pemarkahan
Dalam masa kita ingin aras sekolah menengah searas dengan universiti, namun pemarkahan kita lebih longgar daripada tadika. Sesetengah sekolah swasta, tanpa disedari ibu bapa, meletakkan piawaian sangat rendah dalam tilawah dan hafazan pelajar.
Hasilnya, ibu bapa bangga dengan gred tilawah dan hafazan anak-anak mereka, tetapi hairan mengapa anak-anak mereka ini masih gagal membaca al-Quran dengan lancar dan tidak mampu menjadi imam dengan bacaan surah panjang. Akhirnya kualiti yang diukur dengan gred itu tidak selari dengan apa yang mampu dibuktikan sendiri pelajar tersebut. Sudahkah sekolah menengah bersedia untuk ini?
Kerja pengkeranian guru dibanding dengan pensyarah
Apabila gagasan sekolah menengah ingin menuju status universiti ini dilaung-laung, malangnya idea tersebut datang daripada orang yang tidak memiliki pengalaman lama dalam pengajaran di sekolah menengah. Sehingga kini, tiada lagi kajian ilmiah dilakukan khusus bagi mengukur tugasan-tugasan kerani yang perlu dilakukan guru dan pensyarah.
Cuma, sudah menjadi sesuatu yang maklum dalam kalangan masyarakat, kerjaya sebagai pensyarah tidak seberat kerjaya guru. Ini kerana, pentadiran universiti disokong kukuh pegawai pentadbiran yang cukup. Sedangkan sekolah pula tidak memiliki sistem sokongan sekukuh ini.
Moral vs IQ
Satu lagi sudut yang perlu kita perhalusi sekiranya ingin membawa sekolah ke tahap universiti adalah, sejauh mana sekolah berperanan membentuk moral dan pembentukan jati diri pelajar? Berbeza dengan universiti, fungsi utamanya adalah memperkasa kepintaran sedia ada pelajar-pelajar. Sedangkan sekolah mempunyai peranannya besar dalam membentuk sikap dan moral pelajar.
Sekiranya nisbah peranan sekolah ini diperluaskan setaraf dengan universiti, kita bakal berhadapan masalah besar melihat generasi akan datang yang bijak, tetapi biadab.
Mengambil sample dan model lebih mirip
Kebanyakan kajian ilmiah yang dilakukan pada peringkat sarjana dan kedoktoran, mengambil sample dan model dari dunia barat. Misalnya mekanisme rotan. Hanya merujuk kepada amalan di Amerika Syarikat, akhirnya rotan diharamkan di sekolah-sekolah.
Sedangkan mekanisme rotan di Jepun sangat berkesan. Ini adalah kaedah rujukan salah dalam dunia kesarjanaan. Seperti dalam sektor politik, kita tidak boleh mengambil model Umawiyyah untuk diimplementasikan di Malaysia kerana model Malaysia lebih mirip dengan Abbasiyyah. Oleh itu, kita perlu membuat pemeriksaan semula terhadap gaya dan kaedah kita membuat rujukan sebelum keluar dengan sebarang keputusan dan polisi.
Selepas dibincangkan butiran-butiran di atas, persoalan yang tinggal, adakah kita sudah cukup bersedia dengan modus operandi ini? Dan jika kita benar-benar yakin, idealisme menjadikan sekolah seperti universiti ini adalah tindakan yang benar, sudahkah sekolah-sekolah bersedia melakukan reform dari segi ekonomi, pentadbiran, tenaga kerja berkemahiran, modul, serta infrastruktur?
Jika sekolah bukan penjara, sekolah juga bukan universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan