Kisah tawanan perang Badar.
Usai perang Badar, umat Islam berjaya menawan 70 orang tentera kaum musyrikin Mekah. Rasulullah SAW bertanyakan pendapat para sahabat bagaimana mahu menangani para tebusan ini, lantaran pertama kali umat Islam berhadapan dengan situasi sebegitu. Seperti biasa, baginda bertanyakan pendapat Abu Bakr r.a. dahulu. Abu Bakr yang sememangnya terkenal dengan kelembutan hatinya mencadangkan agar mereka dijadikan tebusan; dengan harapan duit tebusan yang diperoleh kelak akan dapat membantu untuk menguatkan kedudukan umat Islam. (Ada juga beberapa orang yang syarat tebusannya adalah mengajar anak-anak umat Islam membaca dan menulis.)
'Umar mempunyai pendapat yang amat bertentangan dengan Abu Bakr. 'Umar mencadangkan agar dibunuh sahaja tebusan-tebusan itu, kerana khuatir andai mereka dilepaskan, mereka akan kembali menjadi ancaman kepada Islam. Sa'ad bin Muadz r.a., salah seorang tokoh Ansar yang amat dihormati juga menyokong cadangan 'Umar ini.
Rasulullah SAW menerima cadangan kedua-duanya. Bahkan baginda menyamakan Abu Bakr dengan malaikat Mikail kerana kelembutan hatinya, manakala 'Umar sebagai Jibril dek 'kekerasan' cadangan yang dilontarkannya. Namun akhirnya baginda memilih untuk menerima dan melaksanakan cadangan Abu Bakr dan ia diterima baik oleh para sahabat, meskipon ada dalam kalangan mereka yang mendokong pandangan 'Umar.
Esoknya (ada yang mengatakan beberapa hari selepas itu), turun firman Allah yang menegur Nabi SAW kerana mengambil tebusan; yang lebih wajar adalah mereka ini diperangi habis-habisan.
"Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawi, sedangkan Allah Taala menghendaki (pahala) akhirat (untukmu). Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu daripada Allah (keizinan tentera Islam untuk mendapat harta ghanimah), nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil."
[al-Anfal, 8:67-68]
Zretttt.
Turunnya firman ini telah membenarkan firasat dan cadangan 'Umar al-Faruq yang mahu dibunuh sahaja kesemua tebusan yang ada.
Ketika firman ini diturun, Rasulullah SAW sedang bersama-sama dengan Abu Bakr. Arakian menangislah mereka sepuas-puasnya, menyesali tindakan dan keputusan mereka yang mahu menjadikan para tawanan perang sebagai tebusan.
Ditakdirkan ketika itu 'Umar melewati tempat di mana Rasulullah dan Abu Bakr berada. Maka dia pon bertanya kepada mereka berdua,
"Mengapa kalian menanges? Beritahulah aku, supaya aku dapat menanges bersama!"
Begitu besarnya chentanya pada ar-Rasul dan begitu besar pula cemburunya pada Abu Bakr.
Lantas ar-Rasul SAW pon menceritakan kepada 'Umar perihal wahyu yang baharu turun itu. Malah baginda berkata,
"Kita hampir terkena azab yang besar kerana tidak bersetuju dengan pendapat 'Umar. Sekiranya diturunkan azab, nescaya kita semua tidak akan terlepas daripadanya kecuali 'Umar."
Nah, sekiranya kita adalah 'Umar ketika itu, apa agak-agaknya reaksi yang akan kita tunjukkan?
Tersenyum sinis sambil membuat tanda aman?
Tertawa kecil sambil menepu-nepuk bahu Nabi?
Atau berkata, "Haaaa! Kan ceq dah habaq dah?? Hampa la ketegaq sangat takmau dengaq!"
Mata pandang ke atas. Ah, gemoknya awan.
Mujurlah bukan kita yang menjadi 'Umar ketika itu. Peluh besar.
Sebaliknya, teresak-esak 'Umar menanges, menginsafi dirinya. Manakan tidak, Allah yang Maha Agung itu telah membenarkan kata-kata seorang hamba marhaen bernama 'Umar, yang menafikan tindakan seorang Nabi, kekasih Allah! Wahai, betapa beratnya beban dan amanah yang ditanggungnya itu!
Dan 'Umar menanges kerana dia tahu dan faham, teguran Allah itu tidak hanya ditujukan kepada ar-Rasul SAW semata-mata, tetapi kepada Abu Bakr, dirinya dan sekalian umat Islam yang lainnya. Bukankah umat Islam itu ibarat satu tubuh badan; sakit sebatang gigi maka akan meranalah seluruh badan tidak tidur malam?
Mata berkaca-kaca.
Lantas, apa ya yang dapat kita pelajari dan contohi daripada sosok agung bernama 'Umar itu?
Dari 'Umar kita belajar menjadi jundiyy yang berani untuk memainkan peranannya.
Dari 'Umar kita belajar erti ketaatan yang penuh dengan kefahaman dan kasih-sayang.
Dari 'Umar kita belajar untuk meraikan perbezaan.
Dari 'Umar kita belajar erti ukhuwwah fillah dalam erti katanya yang sebenar.
Dari 'Umar kita belajar erti keikhlasan dan mujahadah yang benar-benar memerlukan keimanan yang mantap dan jitu.
Dari 'Umar kita belajar erti merendahkan ego, meskipon kita berada di pihak yang benar.
Nanges.
Dan dari insan yang bernama 'Umar ibn Khattab itu, kita belajar erti menjadi hamba.
Bukan sehari dua 'Umar menjadi sebegitu hebat. Bukan kacang cap Pagoda 'Umar bisa mendaki makam yang begitu tinggi. Dan bukan potong kek Resipi Rahsia 'Umar berjaya mentarbiyah hatinya menjadi sebegitu teguh dan ampuh.
Ia memerlukan tarbiyah yang berterusan dan mapan. Tarbiyah yang bagaimana? Tarbiyah ala madrasah Rasulullah SAW. Ia memerlukan mujahadah yang besar. Ia membutuhkan pengorbanan yang tidak murah harganya. Ia memerlukan kecekalan dan azam yang kental, lebih utuh dari pasak gunung yang tidak roboh dan lebih kuat dari besi yang tidak berkarat.
Dan 'Umar berjaya melalui kesemua itu. 'Umar berjaya mentarbiyah hatinya dan mengekang nafsunya, sehinggakan dirinya diserahkan kepada ar-Rasul dan Allah semata-mata. Kechentaannya kepada Allah dan ar-Rasul melebihi segala-galanya. Nyawanya diserahkan kepada Islam; hidup dan matinya hanya untuk menegakkan agama ini.
Tidak hairanlah 'Umar diletakkan dalam kalangan sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk sorga. Tidak hairanlah 'Umar digelar al-Faruq, kerana kemampuannya untuk membezakan antara al-Haq dan al-Batil dengan tegas dan yakin. Dan tidak hairanlah 'Umar diangkat antara khalifah yang terhebat dalam sejarah Islam, kerana keperibadiannya yang tiada tolok tandingnya.
Kerana untuk menjadi seorang 'Umar itu, bukan mudah dan tidak murah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan