Sabtu, 13 Februari 2016

Telah nikah

KAMU TELAH DINIKAHKAN

Suhaimi dan Rozana adalah pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Oxford, London. Suhaimi anak kelahiran Naka, Padang Terap, Kedah. Rozana pula anak kelahiran Taiping, Perak. Semasa di tahun dua, Suhaimi dan Rozana bersetuju melangsungkan perkahwinan. Sebagai anak yang tidak mahu mengecilkan hati ibu bapa, kedua- dua mereka menghubungi ibu bapa masing- masing melalui panggilan telefon menyatakan hasrat mendirikan rumah tangga. Pada dasarnya ibu bapa Suhaimi bersetuju dengan hasrat anak mereka, tetapi memohon tempoh kerana ingin berjumpa ibu bapa Rozana terlebih dahulu. Rupa- rupanya ibu bapa Rozana pun begitu juga. Mereka juga ingin berbincang dengan ibu bapa Suhaimi.

Selang dua hari selepas percakapan Suhaimi dengan bapanya, maka ibu bapanya berangkat ke Taiping untuk menemui ibu bapa Rozana. Di Taiping, ibu bapa Suhaimi disambut oleh ibu bapa  Rozana dengan sambutan yang sangat mesra walaupun sebelum ini, mereka tidak saling mengenali. Hasil pertemuan lapan mata, kedua- dua ibu bapa Suhaimi dan Rozana bersetuju supaya anak- anak mereka disatukan.

Suhaimi dan Rozana tidak dapat balik ke Malaysia dalam masa terdekat untuk melangsungkan perkahwinan kerana belum cuti semester. Setelah menghubungi Tuan Kadi, beliau menasihatkan bapa Rozana supaya akad nikah diuruskan di Malaysia tanpa kehadiran pengantin lelaki dan pengantin perempuan dengan syarat disempurnakan wakalah terlebih dahulu iaitu Rozana mengizinkan bapanya sebagai wali untuk menikahkannya dengan Suhaimi dan Suhaimi mewakilkan kepada bapanya menerima nikahnya dengan Rozana bagi pihaknya.

Sehari sebelum majlis akad nikah, Suhaimi dan Rozana menghubungi bapa masing- masing melalui panggilan telefon.
Rozana : Ayah, Zana izinkan ayah nikahkan Zana dengan Suhaimi dengan mas kahwin RM1000.00 tunai
Bapa Rozana : Ayah setuju nikahkan Zana dengan Suhaimi.
Suhaimi : Ayah, saya wakilkan kepada ayah untuk menerima nikah saya dengan Rozana.
Bapa Suhaimi : Ayah setuju menerima nikah Rozana bagi pihak kamu.

Pada hari Jumaat, selepas solat Asar, akad nikah antara Suhaimi dan Rozana dilangsungkan tanpa kehadiran mereka. Dengan disaksikan dua orang saksi, bapa Rozana dan bapa Suhaimi saling berijab kabul.
" Aku nikahkan akan Suhaimi dengan anak aku, Rozana dengan mas kahwinnya RM1000.00 tunai " bapa Rozana melafazkan ijab. Dengan serta merta lafaz kabul disambut oleh bapa Suhaimi, " Aku terima nikahnya Rozana bagi pihak anak aku, Suhaimi dengan mas kahwinnya RM1000.00 tunai ". Selesai akad nikah, bapa Suhaimi menyerahkan RM1000.00 sebagai mas kahwin bagi pihak Suhaimi. Bapa Rozana menerimanya bagi pihak Rozana. Semasa upacara akad nikah, pengambaran berbentuk gambar mati, video dan kamera handphone turut dirakamkan oleh ahli keluarga kedua- dua belah pihak.

Sebelum majlis bersurai, bapa Suhaimi dan bapa Rozana menelefon anak masing- masing memberitahu bahawa mereka telah selamat  dinikahkan dan kini sah menjadi suami isteri. Setelah itu, gambar akad nikah berbentuk gambar mati dan video dihantar kepada Suhaimi dan Rozana melalui whatsapp sebagai bukti pernikahan mereka.

Di London, Suhaimi dan Rozana mula menjalani kehidupan sebagai suami isteri.  Setelah diberitahu kepada rakan- rakan sepengajian, mereka kehairanan kerana tidak berlaku langsung majlis akad nikah antara mereka berdua di tempat mereka iaitu London. Setelah dijelaskan proses yang sebenar, mereka mula faham dan menerima hakikat bahawa Suhaimi dan Rozana adalah suami isteri. Malah ada di kalangan pelajar yang merancang perkahwinan berhasrat mengikut proses perkahwinan seperti yang dilakukan oleh Suhaimi dan Rozana. Tujuannya untuk memudahkan urusan.

ULASAN DAN KOMENTAR
1. Perkahwinan secara wakalah adalah sah sama ada wakalah daripada wali kepada wakilnya atau bakal suami kepada wakilnya atau daripada kedua- duanya sekali.
2. Sebelum akad nikah dilangsungkan,  wakil hendaklah memastikan pihak yang mewakilkan kepadanya masih berkelayakan meneruskan perkahwinan. Jika hilang kelayakan, wakalah adalah batal dan akad nikah tidak boleh diteruskan. Jika diteruskan juga, akad nikah tidak sah.
3. Lelaki dan perempuan yang berada di luar negara sedangkan wali berada di dalam negara, bolehlah melangsungkan perkahwinan mereka melalui salah satu cara berikut,
a. Berkahwin di sana dengan menggunakan wali hakim. Apabila kembali ke tanah air, hendaklah dalam tempoh enam bulan hadir ke pejabat agama untuk mendaftar semula perkahwinan dengan membawa segala dokumen yang diperlukan untuk tujuan tersebut.
b. Berkahwin di sana dengan menggunakan wali nasab yang berada di dalam negara dan wali nasab mewakilkan kepada seseorang di sana untuk menikahkan perempuan mauliyahnya. Apabila kembali ke tanah air, hendaklah segera ke pejabat agama untuk pendaftaran semula perkahwinan seperti yang dihuraikan pada ( a )
c. Akad nikah dilangsungkan di dalam negara walaupun bakal suami dan bakal isteri sedang berada di luar negara. Mereka dinikahkan secara wakalah seperti yang diterangkan dalam cerita ini.
4. Mereka yang berada di luar negara dan ingin melangsungkan perkahwinan, maka saya syorkan mengikut cara (  c ) kerana banyak kebaikannya. Antaranya tidak perlu mendaftar semula perkahwinan apabila kembali ke tanah air nanti kerana perkahwinan mereka telah didaftarkan. Ibu bapa dan keluarga kedua- dua pihak lebih gembira dengan cara ini kerana terlibat secara langsung dengan perkahwinan anak masing- masing.
5. Sesiapa yang berkahwin di luar negara, hendaklah dalam tempoh enam bulan selepas kembali ke tanah air, mendaftar semula perkahwinannya di pejabat agama. Kegagalan berbuat demikian adalah suatu kesalahan yang apabila disabitkan boleh dihukum denda atau penjara atau kedua- duanya sekali.
( Coretan Syeikh Ahmad Faisol Hj Omar )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan