Selasa, 23 Februari 2016

Kerajaan

Kerajaan Bumi  Dan Kerajaan Langit

Seorang raja itu, dia berkuasa. Dia memerintah dan mentadbir sesebuah negara. Jentera pemerintahan dan pentadbirannya dinamakan ke-raja-an.

Di zaman tidak ada raja atau raja telah hilang kuasanya, jentera pemerintahan dan pentadbiran tetap dinamakan kerajaan. Bila disebut kerajaan, maka ada berbagai jenis kerajaan. Ada kerajaan langit dan ada kerajaan bumi.

Kerajaan langit ialah kerajaan Tuhan. Segala-galanya di langit di tadbir dan di perintah mengikut hukum-hakam Tuhan. Tidak ada penyelewengan, tidak ada percanggahan sistem dan tidak ada yang tidak taat. Justeru itu, kehidupan di langit aman damai dan tenang. Tidak ada peperangan. Semuanya berjalan dengan licin, lancar dan teratur seperti mana yang Tuhan kehendaki.

Bumi juga satu ketika dahulu, termasuk di bawah pemerintahan kerajaan langit. Semuanya di bumi berjalan dengan baik. Semua makhluk di bumi ketika itu taat dan patuh kepada Tuhan. Tetapi, Tuhan ada jadual dan perancangan-Nya. Diciptakan-Nya manusia supaya menjadi khalifah-Nya di muka bumi. Dihantar-Nya manusia ke bumi dan diserahkan bumi ini untuk ditadbir oleh manusia bagi pihak Diri-Nya.

Maka wujudlah kerajaan bumi yang dikendalikan oleh manusia sebagai tambahan kepada kerajaan langit. Namun, tidak semua perkara di bumi diserahkan kepada manusia untuk ditadbirkan kerana manusia tidak mampu. Manusia hanya perlu mentadbir hal urusan mereka sendiri dan khazanah bumi sahaja. Soal hujan, air, angin, cuaca, iklim, putaran bumi, cahaya matahari, air pasang surut dan sebagainya tetap di bawah pentadbiran kerajaan langit.

Di zaman bumi ini ditadbir dan diperintah oleh orang-orang Tuhan seperti para rasul dan para mujaddid , semua hukum-hakam, peraturan dan sunnah Allah berjalan dengan lancar di muka bumi.

Tetapi di zaman-zaman yang lain, di kala bumi diperintah oleh manusia-manusia yang tidak beriman dan yang melawan dan menentang Tuhan, mereka tolak hukum-hakam Tuhan. Mereka tidak yakin dan tidak percaya dengan peraturan sistem Tuhan. Mereka cipta peraturan dan sistem mereka sendiri. Asalnya mereka dihantar ke muka bumi sebagai hamba dan khalifah Tuhan.

Tetapi mereka memberontak. Mereka tidak rela menjadi hamba. Mereka mahu menjadi tuan dan mahu mentadbir bumi ini ikut selera mereka sendiri. Mereka lupa bumi ini Tuhan punya. Mereka lupa mereka hanya wakil Tuhan. Mereka mahu mengenepikan Tuhan dan mahu mengambil-alih bumi ini menjadi hak mereka dan mentadbirkannya ikut cara mereka. Ini satu rampasan kuasa yang sangat besar dan sangat ketara. Ini satu coup-de-tat yang tidak ada tolok bandingnya.

Ini bukan satu rampasan kuasa di antara sesama manusia. Ini macam hendak merampas kuasa Tuhan atau setidak-tidaknya hendak melepas diri dari kuasa Tuhan. Memang manusia ini tidak tahu malu dan tidak sedarkan diri.

Menumpang di bumi Tuhan tetapi tidak mahu mengikut peraturan dan sistem Tuhan. Cuba bayangkan orang yang kita beri tumpang di rumah kita, tiba-tiba dia hendak ambilalih kuasa di rumah kita. Diubahkan susunan kerusi meja kita ikut selera dia. Ditukar langsir dan alas meja. Dipindahkannya peti ais ke depan dan tv ke dapur. Disusun semula jadual makan, jadual minum dan jadual sarapan. Dia pula yang hendak memerintah dan hendak berkuasa dalam rumah kita. Ini tetamu haprak namanya.

Tambahan pada itu, orang merampas kuasa kerajaan atau kuasa raja, dirampasnya semua kuasa. Bukan sesetengah kuasa sahaja. Tetapi manusia hendak merampas kuasa Tuhan di muka bumi namun tidak pula dia merampas kuasa Tuhan ke atas air, hujan, angin, iklim, cuaca, cahaya matahari dan sebagainya. Dia rampas benda-benda yang dia rasa dia boleh tangani dan boleh handle sahaja.

Tahu pula dia banyak benda dalam dunia ini yang dia tak boleh handle. Itu pun dia nak rampas kuasa juga. Maka manusia mulalah menggunakan segala bentuk kerajaan ciptaan manusia untuk memerintah bumi.

Semuanya berbentuk sekular belaka. Dunia untuk dunia. Dunia habis di dunia. Ada kerajaan komunis. Ada kerajaan demokrasi. Ada kerajaan sosialis. Ada kerajaan beraja. Ada kerajaan republik dan sebagainya.

Diciptalah juga berbagai sistem dan ideologi hasil fikiran akal manusia. Sistem ekonomi kapitalis, pendidikan sekular, kewangan riba, perundangan berat sebelah dan lain-lain lagi. Hasilnya, Tuhan berlepas diri. Apa yang terjadi? Hidup manusia jadi kucar-kacir, huru-hara dan kacau-bilau. Nafsu bermaharajalela. Timbul ketidakadilan, tindas-menindas, tekan-menekan, rebut-merebut dan tikam-menikam. Hilang kasih sayang. Hilang persaudaraan. Hilang perpaduan. Manusia jadi jahat. Jenayah berleluasa. Akhlak manusia rosak. Moral jatuh menyapu bumi. Manusia hidup di dalam ketakutan dan kebimbangan. Sentiasa resah dan gelisah. Hilang ketenangan dan kebahagiaan .

Manusia mula menjadi haiwan. Inilah tamaddun manusia hari ini. Sudah rosak dan merosakkan. Terlalu jauh dengan Tuhan. Dunia sudah jadi neraka. Berlaku kerosakan di lautan dan di daratan hasil usaha tangan-tangan manusia yang telah menolak peraturan, perundangan dan hukum-hakam Tuhan.

Nasib baiklah hujan masih turun. Angin masih bertiup. Matahari masih menyinar dan bumi masih berputar. Kalau semua ini Tuhan serahkan kepada manusia untuk diuruskan, nescaya tidak akan ada lagi manusia di bumi ini.

Di kala mana masyarakat manusia itu jahat, Tuhan akan hantar kepada mereka pemimpin yang jahat sebagi hukuman kepada mereka. Agar mereka rasa bala bencananya. Apabila manusia sedar dan memperbaiki diri, Tuhan akan hantar kepada mereka pemimpin yang baik agar mereka dapat hidup dengan tenang, aman dan damai.

Dan apabila datang pemimpin yang Tuhan tunjuk iaitu orang Tuhan atau pemimpin yang dijanjikan maka kerajaan langit akan membantu kerajaan bumi. Akan turun rahmat dan kasih sayang Tuhan. Kerajaan langit dan kerajaan bumi akan bergabung. Akan wujud kerajaan Tuhan di mukabumi ini. Segala-gala akan berjalan mengikut undang-undang Tuhan. Manusia akan cinta dan takut dengan Tuhan. Manusia akan berkasih sayang dan bersatu-padu. Manusia akan hidup dengan aman dan makmur dan akan mendapat keampunan Tuhan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan