Sabtu, 5 September 2020

niat

 Ikon 2 - Abu Al-Husayn Al-Nuri


Suatu hari Al-Nuri melihat sebuah sampan yang dipenuhi botol arak lalu bertanya kepada orang yang mendayung sampan tersebut. 


"Apa yang terdapat dalam sampai itu?" 

"Botol botol ini milik Khalifah al- Mu'tadid." 


Dengar jawapan itu, Al-Nuri terus naik atas sampan dan pecahkan satu per satu botol tersebut dengan tongkatnya. Sampailah botol terakhir, beliau berhenti. Tidak pecahkan botol terakhir.


Kemudian datang la pegawai keselamatan dan menangkap Al-Nuri lalu dibawa menghadap Khalifah. 


Dalam keadaan marah Khalifah sebagai pemilik botol arak tu pun berkata, 


"Siapa engkau?!" 

"Saya pengawas kerajaan" 


"Siapa yang melantikmu jadi pengawas kerajaan?! " 

"Pihak yang sama yang melantik Khalifah." 


Maksudnya Allah yang lantik. Pada zaman tu pemimpin dilantik bukan dilantik macam sekarang, bukan melalui pilihan raya. Tapi dilantik sebab keturunan. Bila ayah meninggal, anak yang gantikan.  


Bila Khalifah dengar jawapan Al-Nuri, Khalifah tundukkan kepala. 


Kemudian Khalifah angkat kepala dan tanya lagi. 


"Mengapa engkau pecahkan botol botol tersebut?"

"Kerana sayangkan Khalifah. Saya hendak menyelamatkan Khalifah dari murka Allah." 


Khalifah tundukkan kepala lagi. 


Kemudian Khalifah angkat kepala dan tanya lagi. 


"Apabila engkau pecah botol tersebut, mengapa engkau meninggalkan botol terakhir?"


Jawapan Al-Nuri agak panjang. 


"Apabila aku naik ke sampan dan mula pecahkan botol botol itu, aku melakukannya kerana Allah. Pada saat itu aku tidak peduli dengan sesiapapun. Apabila tiba botol terakhir, hati berasa ujub. Aku merasa hebat kerana memiliki keberanian ini. Apabila ujub telah menusuk dalam hati, aku tidak pecahkan botol terakhir itu." 


Bila Khalifah mendengar jawapan Al-Nuri tersebut, beliau pun berkata : 


"Pergilah. Aku lepaskan dirimu. Ubahlah kemungkaran sekehendakmu"


[al-Bidayah wa al-Nihayah 11: 101]

.

.


Siapakah Abu al-Husayn al-Nuri dalam kisah tersebut ? Beliau merupakan seorang tokoh sufi dan zuhud di Baghdad. Nama sebenarnya beliau ialah Ahmad bin Muhammad al-Khurasani al-Baghawi. Beliau menimba ilmu dengan tokoh tokoh besar seperti al-Sari al-Saqati dan Ahmad bin Abi al-Hawari. Beliau juga bersahabat dengan Imam al-Junayd al- Baghdadi.


Pengajaran daripada kisah Al-Nuri. 


1- Pentingnya niat. Contoh dalam menuntut ilmu, bila niat untuk perbaiki diri dengan ilmu tersebut, Allah akan mudahkan.  


2- Tuntut ilmu bukan kerana jawatan dan populariti. 


3- Niat hati boleh berubah. Boleh jadi pada awalnya kerana Allah tapi penghujungnya kerana kepentingan dunia. 


4- Bila terdetik ingin berbuat baik, terus buat.  Jangan tunda tunda.


5- Bersikap sederhana. Jangan terlalu cinta dan benci. Sahabat hari ini boleh menjadi musuh esok hari dan sebaliknya. Jadi usah terlalu terbuka dengan sahabat dan terlalu tertutup kepada musuh.


Rita Mappiare

~Catatan nota Niat Boleh Berubah-Ubah daripada buku IKON RIJAL


🖋https://t.me//pEnA_BeRbIcArA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan