Khamis, 9 Februari 2023

Kbat

 KBAT BUKAN NAK BAGI BUDAK PANDAI


Saya nak cerita tentang Bob (bukan nama sebenar). 


Bob baru habis SPM. Tak nak sambung belajar. Nak jual nasi lemak. Ok.


Bob menyasarkan untuk mencapai pendapatan bersih hasil daripada jualan nasi lemak sebanyak 10k sebulan. Kira cincai, mungkin dia perlu menjual sekitar 600 bungkus nasi lemak sehari selama 30 hari. Kita tak ambil kiralah sesuai ke tak jumlah tu dengan skala gerai tepi jalan, tapi yang kita nak kisahkan, siapa 600 orang pembeli tu.


Nak membeli nasi lemak, tentulah orang ada pendapatan. Nak konsisten dapat pembeli yang mampu support jualan selama 30 hari pula, orang tu bukan sekadar ada pendapatan, tetapi pendapatannya TETAP dan MANTAP.


Siapa yang ada pendapatan tetap dan mantap ni? Orang kerja kerajaan? Tak kot. Dorang ni banyak loan. Mungkin yang kerja di syarikat multinasional? Sebab mereka dibayar gaji standard global. Aha!


Maka Bob menyasarkan pekerja syarikat multinasional sebagai pelanggan utama nasi lemaknya. Untuk membantu perniagaan Bob mencapai target, Malaysia kenalah ada banyak syarikat multinasional ni. 


Persoalannya, macam mana nak bawa syarikat-syarikat hebat ni buka kilang di negara kita, beri peluang pekerjaan kepada ramai anak muda, yang menjanjikan gaji tetap dan mantap, dan yang kemudiannya dengan duit tersebut boleh support produk tempatan termasuk nasi lemak Bob?


Mesti ada penilaian yang digunakan oleh syarikat-syarikat ni untuk memilih negara mana yang sesuai untuk pelaburan mereka. Kita ambil satu : FDI (Foreign Direct Investment).


Syarikat-syarikat yang mencari tempat untuk melabur, akan merujuk kepada trend pada FDI. FDI menyediakan data trend berkaitan kos, kestabilan politik, polisi kerajaan, infrastruktur, market size, termasuk juga tenaga pekerja (labor force).


Yang menyediakan data untuk FDI pula ialah OECD (Organization for Economic Co-operation and Development). OECD ni berperanan menyediakan data berkualiti siap analisis untuk membantu memastikan FDI dapat menyumbang kepada ‘informed decisions’ oleh pembuat polisi. 


Macam-macamlah data yang OECD sediakan. Dalam konteks ‘labor force’, nak tahu penduduk negara tu boleh menjadi pekerja yang baik ke tak dalam syarikat yang nak ditubuhkan nanti, mereka kena analisis sistem pendidikan negara.


Maka OECD bekerjasama pula dengan IEA (International Association for the Evaluation of Educational Achievement) yang melaksanakan penilaian antarabangsa seperti TIMMS dan PISA.


Kerana tahap pendidikan yang baik membawa mesej kita ada ‘labor force’ yang baik, yang boleh menjadi pekerja kepada syarikat multinasional yang baik -- maka baik yang diinginkan pada standard antarabangsa ialah kemahiran berfikir dan kemampuan menyelesaikan masalah. 


Nak meletakkan Malaysia pada kedudukan yang baik dalam TIMMS dan PISA, maka kurikulum kita kena berubah. Hence, the HOTS (KBAT : Kemahiran Berfikir Aras Tinggi).


Kita ajar budak berfikir (KBAT dalam kurikulum) -> kedudukan Malaysia dalam TIMMS dan PISA meningkat -> FDI Malaysia positif -> pelabur masuk -> ekonomi berkembang -> rakyat bahagia, negara sejahtera.


Sebab itu, KBAT bukan tentang nak bagi budak pandai. Malangnya, masyarakat pesimis terhadap KBAT. KBAT yang sepatutnya menggalakkan murid berfikir, kreatif, tapi akhirnya jadi terlalu kompleks, panjang, berpusing-pusing -- sampai pening.


Kita kena akui setiap lapisan dalam KPM menyumbang salah. Cikgu di sekolah lah yang paling dekat dengan pelaksanaan KBAT. Kalau cikgu tak faham, cikgu buat soalan yang tersasar jauh daripada matlamat KBAT, kefahaman itulah yang mengalir dalam masyarakat. PPD pula, tak bimbing cikgu ke? Saya di JPN pun sama, tak bimbing PPD ke? KPM pula, bagaimana pelan penyampaian mereka? Dah cukup baik ke?


Kalau semua salah menyalah, tak selesai masalah. Tengok peranan masing-masing, dan ubahlah.


KBAT bukan untuk budak pandai sahaja. KBAT tentang kita.


Kembali kepada cerita Bob dan nasi lemak tadi, kalau Bob nak kaya, maka Bob kena mengalu-alukan KBAT dalam pendidikan negara kita. Faham, Bob? 😉

Tiada ulasan:

Catat Ulasan