Selasa, 5 April 2011

Prosedur nilai prestasi guru wajar diperbetul

Dr Rajiee Hadi 16 Mac, 11 3:42pm

Penulis terima banyak aduan sama ada melalui percakapan tidak formal mahupun menerusi persatuan dan kesatuan guru sama ada semasa lalu mahupun hingga kini, tentang rasa tidak puas hati warga pendidik terutama di kalangan guru-guru atau pegawai perkhidmatan pendidikan; baik yang bertugas di sekolah-sekolah, maktab-maktab perguruan (kini lnstitut Pendidikan Guru Malaysia/IPGM) dan pejabat-pejabat pendidikan daerah.Penulis tidak mahu menyentuh selok-belok di kementerian-kementerian lain.

Tetapi memadailah bahagian-bahagian di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).ltupun bukan semua aspek; sekadar secebis atau sekelumit isu ketidakpuasan hati para penjawat ini.Rata-ratanya menzahirkan rasa tidak puas hati; bukan sahaja di kalangan mereka yang sedang berkhidmat atau mengajar tetapi ramai juga yang berstatus mulia sebagai pesara kerajaan Malaysia; meliputi mereka yang bersara wajib dan bersara pilihan kerana kelayakan dan hak-hak mereka yang tidak boleh dipertikaikan sesiapapun.Ketidakpuasan ini bagaikan rumah siap pahat berbunyi.

Walaupun kini situasi dan peluang kenaikan pangkat amat cerah dalam KPM kerana 'sesiapa yang rasakan dirinya layak boleh memohon sendiri' adalah adil dan bijak tetapi kisah-kisah masa lalu wajar penulis catatkan agar menjadi peringatan untuk generasi pendidik hari ini dan masa akan datang.Semua pihak menyedari bahawa melalui beberapa skim/sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan masa lalu seperti Sistem Saraan baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia (SSM) pada idea asalnya baik dan ada beberapa yang boleh diterima pakai. Tetapi yang menjadi permasalahan pokok ialah pada peringkat perlaksanaannya.

Tanyalah guru-guru di sekolah atau pensyarah-pensyarah di mana-mana IPGM rata-ratanya (tidak semua) tidak berpuas hati dengan markah prestasi yang diperolehi, pemilihan kuota yang menimbulkan ketidakadilan dan kronisme yang diamalkan.Walaupun ini bukan tuduhan tetapi penulis cuma terima reaksi yang menzahirkan sedemikian.Walaupun begitu  penulis cuma mahu bertanya; apakah pihak ketua pejabat atau jabatan seperti Pengarah atau Pengetua ataupun Guru Besar dan Timbalan atau Penolongnya benar-benar mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika melaksanakan memberi markah dan penilaian ke atas maklumat/borang Sasaran Kerja Tahunan (SKT) yang menetukan prestasi penjawat di bawahnya?

Maksudnya adakah Penilai Pertama, Penilai Kedua atau sesiapa yang telah dipertanggungjawabkan berjumpa,bersemuka dan berbincang dengan stiap staf ketika markah prestasi diberikan agar pihak/individu yang dinilai itu bersetuju?Sebenarnya pertemuan bersemuka adalah salah satu prosedur telus dalam pemberian markah. Jika penjawat atau guru yang dinilai itu bersetuju atau tidak bersetuju adalah tidak salah mereka memberi sebab dan alasan-alasan konkrit yang mana akhirnya mereka boleh bersetuju atau menolaknya.Soalnya; adakah prosedur seperti ini ada dilakukan?Penulis tidak menafikan, tidak semua Ketua Jabatan bersikap semborono atau tangkap muat sahaja. Namun sikap ambil mudah dan lepas tangan ini bukanlah mustahil ada terjadi.

Yang mendukacitakan,implikasi dan impak ketua atau penolong ketua seperti ini yang bersikap 'tutup sebelah mata' adalah umpama parasit yang menjahanamkan sesuatu sistem dalam sesebuah organisasi.Walhal tujuan kerajaan; khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia adalah baik dan murni. Namun ada juga segelintir warga KPM pada masa lalu yang iri hati, dengki dan cemburu sesama sendiri. Natijahnya siapakah yang rugi jika ada di kalangan warga KPM khususnya di sekolah dan IPGM  yang hilang keyakinan dan hilang kepercayaan yang mana menjejaskan prestasi kerjaya mereka?Justeru penulis menyeru jika fenomena atau senario ini masih berlaku atau terjadi, kepada warga KPM silalah buat aduan terus ke pihak atasan KPM atau melalui kesatuan-kesatuan dan persatuan perguruan. Ketahuilah hak-hak anda sebagai seorang penjawat awam!

Mana surat panggilan Guru Sandaran Tidak Terlatih?

SAYA merupakan salah seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah berkhidmat lebih dua tahun. Saya ditamatkan kontrak perkhidmatan 31 Disember 2010.

Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, segala tugas dan amanah yang diberikan kepada saya dilaksanakan dengan sebaik mungkin tanpa mengira waktu dan tempat. Ini termasuklah pada hari cuti umum sekiranya pelajar sekolah terlibat dengan aktiviti luar seperti perkhemahan atau aktiviti sukan.

Di sekolah, kami juga tidak terkecuali bertugas seperti Guru Sandaran Terlatih (GST) yang lain seperti menjadi guru kelas, guru kadet dan sebagainya.

Tujuan saya memperincikan tugas ini bukan untuk mendabik dada atau mengungkit apa yang telah kami lakukan. Tetapi ia adalah sebagai renungan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) supaya tidak mengabaikan nasib guru seperti saya. Apa yang membezakan GSTT dan GST adalah daripada segi ikhtisas sahaja kerana dari segi pengalaman dan mutu kerja ada antara kami yang lebih menyerlah berbanding GST.

Kenyataan dan pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 3 Mac 2011 bahawa surat penamatan perkhidmatan yang diberikan kepada guru GSTT ditarik balik selain ingin menyerap golongan guru tersebut sebagai guru tetap melalui Kursus Dalam Cuti (KDC) amat menggembirakan 13,000 orang guru GSTT di seluruh negara. Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Itulah perasaan kami.

Tetapi yang menghairankan sehingga kini berita tersebut yang diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri 'tidak sampai' kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).

Buktinya, sehingga kini kami guru GSTT masih belum menerima sebarang surat panggilan bertugas. Saya berasa amat sedih dan rasa seperti kami dipermainkan sedangkan kami percaya dengan prinsip kerajaan untuk mengotakan setiap apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Oleh itu saya berharap agar Timbalan Perdana Menteri meninjau sekali lagi sama ada arahan tersebut telah dilaksanakan oleh kakitangan KPM atau sebaliknya.

Kami guru GSTT sedia berkhidmat di mana sahaja asalkan kami berpeluang menjadi guru tetap. Kami tidak meminta lebih daripada itu. Yang kami pinta hanyalah renungan kasih pihak kerajaan tentang nasib kami guru GSTT di seluruh negara.

CIKGU GSTT

Taiping, Perak

sumber: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_03.htm

Nasib pensyarah matrikulasi

SAYA ingin meluahkan suara hati mengenai sistem pertukaran pensyarah Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (KMKPM) yang berada di bawah pengurusan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia (BMKPM).

Saya merasakan wujud kepincangan dalam sistem pertukaran pensyarah antara kolej matrikulasi. Akibatnya, ia mengundang rasa tidak senang kepada banyak pihak, terutama pensyarah yang telah memohon berulang kali tetapi tidak berjaya.

Ada pensyarah yang telah berkhidmat sehingga lima tahun di sesebuah kolej matrikulasi tertentu. Malah, ada yang lebih lama daripada itu. Mereka ini telah memohon bertukar sebanyak tiga hingga empat kali tetapi masih gagal. Kegagalan ini bukan kerana tiada kekosongan di kolej matrikulasi yang dipohon, tetapi disebabkan BMKPM hendak menempatkan guru-guru sekolah dan pegawai Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) lain yang mendapat kenaikan pangkat atau gred untuk mengajar di kolej tersebut. Manakala pensyarah yang sedang berada di dalam sistem Matrikulasi KPM, setia berkhidmat serta membangunkan matrikulasi sejak awal penubuhan, tidak diambil berat dan diketepikan.

Jika perkara ini merupakan arahan pihak atasan di KPM, saya berharap mereka sedar dan dapat mengambil tahu bahawa sejumlah besar pensyarah matrikulasi sedia ada yang telah memohon pertukaran sangat berharap permohonan kami diluluskan. Kami bukan tidak mementingkan kenaikan pangkat atau gred pegawai lain, tetapi fikirkanlah juga nasib kami yang telah menunggu sekian lama untuk bertukar. Dalam tempoh tersebut kami terpaksa berjauhan dengan keluarga, suami, isteri serta anak-anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian kedua-dua ibu bapa.

Ramai di antara kami yang perlu berulang jauh hampir setiap hujung minggu untuk berjumpa dengan keluarga masing-masing. Keadaan ini sememangnya mengganggu kualiti tugas dan tanggungjawab kami, sedangkan perkara ini boleh diatasi jika BMKPM dapat menguruskan isu pertukaran pensyarah dengan baik.
Saya yakin, isu yang saya bangkitkan ini mewakili hasrat seluruh pensyarah matrikulasi yang menjadi mangsa kepada sistem pertukaran di BMKPM yang pelik ini.Kepada KPM, BMPKM dan pihak yang bertanggungjawab, kami sama sekali tidak cemburu atau iri hati dengan kenaikan gred dan pangkat pegawai-pegawai KPM lain. Cuma penempatan mereka di kolej-kolej matrikulasi menutup peluang kami untuk bertukar setelah berulang kali memohon, sekian lama berharap dan menanti.

Kita semua sedia maklum bahawa institusi keluarga yang baik dan emosi yang stabil akan memberi kesan baik terhadap mutu kerja seseorang pekerja dan sebaliknya. Bertepatan dengan slogan Perdana Menteri kita, 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan', diharap pihak KPM dapat mengambil tindakan sepatutnya bagi menyelesaikan isu ini.

PENSYARAH MATRIKULASI
Kuala Lumpur

rujukan: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Versi berita harian
sumber: http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pensyarahkecewasistempertukarantidakadil/Article

SAYA ingin menyuarakan berkenaan sistem pertukaran pensyarah kolej matrikulasi yang berada di bawah pengurusan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran.

Sistem pertukaran pensyarah antara kolej matrikulasi mengundang rasa tidak senang kepada banyak pihak, terutama pensyarah yang sudah memohon berulang kali. Ada yang sudah berkhidmat lebih lima tahun di sesebuah kolej malah ada yang lebih lama daripada itu dan sudah memohon bertukar sebanyak tiga hingga empat kali tetapi masih gagal.
Bukan kerana tiada kekosongan di kolej matrikulasi yang dipohon, tetapi disebabkan Bahagian Matrikulasi kementerian hendak menempatkan guru sekolah dan pegawai kementerian lain yang mendapat kenaikan pangkat atau gred untuk mengajar di kolej terbabit.
Manakala pensyarah yang berada di dalam sistem matrikulasi kementerian, setia berkhidmat serta membangunkan matrikulasi diketepikan.

Jika perkara ini adalah arahan pihak atasan di Kementerian Pelajaran, saya berharap mereka sedar dan dapat mengambil tahu bahawa sejumlah besar pensyarah matrikulasi sedia ada yang sudah memohon pertukaran sangat berharap permohonan kami diluluskan.

Bukan tidak mementingkan berkenaan kenaikan pangkat atau gred pegawai lain, tetapi fikirkanlah juga nasib kami yang sudah menunggu lama untuk bertukar. Dalam tempoh itu kami terpaksa berjauhan dengan keluarga, serta anak.

Ramai antara kami terpaksa berulang hampir setiap hujung minggu untuk berjumpa keluarga masing-masing dan hal ini sememangnya mengganggu kualiti tugas dan tanggungjawab kami, sedangkan perkara ini boleh diatasi jika pihak berkenaan dapat menguruskan isu pertukaran pensyarah dengan baik.
PENSYARAH MATRIKULASI,
Kuala Lumpur.

PUM

KENYATAAN MEDIA 5 April 2011

PUM merasa amat kesal dengan pendedahan gambar apa yang didakwa perlakuan dalam video seks yang disiarkan dalam media arus perdana pada hari ini. Atas nama apa alasan sekalipun penyebaran ini adalah suatu tindakan yang jahat, fitnah dan melampaui batasan akhlak, moral dan budaya malah menyalahi etika kewartawanan yang serius.

Trend  membuka aib dan menyebar fitnah bukan norma budaya Melayu Islam. Malah menyalahi undang-undang dan etika mana sekalipun di dunia ini. Mereka yang terlibat dalam pembikinan video, penyimpanan, penyebarannya  adalah jelas HARAM di dalam Islam. Mereka bukan sahaja merosakkan diri, keluarga dan masyarakat, malah turut mempromosikan kejahatan yang bakal mengundang laknat dan bala daripada Allah.

PUM kesal kerana media telah menjatuhkan “hukuman” setelah keaiban dan fitnah didedahkan.  Di samping itu, Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi medan membahaskan usul dan isu besar Negara kini turut mahu dijadikan panggung wayang video seks. PUM  membantah keras penyebaran video yang mengaibkan ini dan tindakan untuk mendedahkannya melalui media dan cadangan untuk ditayang di Dewan Rakyat adalah suatu kerendahan moral parlimen dan menjatuhkannya ke tahap yang hina dan tidak masuk akal.

PUM  sangat kesal terhadap ujudnya golongan yang beria-ia benar untuk menjadikan fitnah seks sebagai isu yang diberi tumpuan terpenting dalam Negara padahal terlalu banyak isu nasional yang lain dan yang lebih penting harus dibahaskan.

Saling cabar mencabar dalam Parlimen untuk menyaksi video lucah menandakan kerendahan akal budi wakil rakyat ketika mereka dianggap sebagai insan yang mempunyai daya pemikiran dan budi yang tinggi.

Pihak yang beralasan bahawa wakil rakyat terlindung dari undang-undang yang membolehkan mereka menonton video lucah sebenarnya dijangkiti penyakit barah politik "sampah" yang busuk dan hanyir.

Bukan sahaja mereka mahu semuanya dihalalkan malah permainan politik sudah tidak lagi dikawal oleh sebarang batas agama mahupun moral. Pokoknya apa sahaja boleh dilakukan demi mempertahankan kuasa .

PUM sekali lagi mengharapkan agar perkara ini dihentikan demi menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara. Pembuka aib dan penyebar fitnah tidak akan selamat dunia dan akhirat, malah dilaknat oleh Allah.

PUM mengharapkan KDN memberi amaran dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pengamal media terhadap penyebaran gambar video ini kerana secara jelas telah menyalahgunakan undang-undang sedia ada. Kegagalan berbuat demikian adalah tanda kepada kemusnahan dan kehancuran negara.

Menyedari kegagalan pihak berkuasa sedia ada, PUM akan memohon campurtangan Majlis Raja-Raja untuk bertindak dengan segera bagi mengambil tindakan `menghentikan kejahatan dan maksiat yang dipromosikan  ini.

DR. MOHD ROSLAN MOHD NOR
Setiausaha Agung
Persatuan Ulama Malaysia

Sembelih enggang, lima askar digantung tugas



Seorang pegawai dan empat anggota tentera lain-lain pangkat yang menyembelih seekor burung enggang di Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak baru-baru ini, dikenakan tindakan gantung tugas mengikut Akta Angkatan Tentera 1972.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semua yang terlibat itu juga akan dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

"Berdasarkan siasatan, ada pemburu lain yang menembak enggang itu sehingga jatuh. Apabila melihat keadaan burung itu yang lemah (hampir mati), anggota-anggota tentera terbabit telah menyembelihnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Keluarga Kelab Anak Rantau di Bagan Datoh, di Shah Alam hari ini.

Ahmad Zahid berkata walaupun anggota tentera terbabit bukan pihak yang bertanggungjawab menembak burung enggang itu, mereka sepatutnya menyelamatkannya dan bukan bertindak menyembelih burung tersebut.

Sehubungan itu katanya, kementerian tersebut terpaksa mengambil tindakan disiplin ke atas semua anggota tentera terbabit.

Akhbar sebelum ini menyiarkan berita bergambar menunjukkan beberapa anggota tentera sedang memegang seekor burung enggang yang telah disembelih dan gambar itu tersebar di beberapa laman web.

Perbuatan itu mendapat bantahan orang ramai termasuk Persatuan Pencinta Alam.