Isnin, 17 Oktober 2011

JaM


Saya teringat ketika saya masih kecil dahulu, ketika "orang-orang dewasa" masih memanggil saya dengan gelaran "budak" (gambar ni bukan gambar saya ye), seringkali apabila dikejutkan dari tidur, saya melihat jam di dinding.

"Alah, baru pukul 6.00, awal lagi".

"Along kena la bangun, nak solat subuh".

"Alaah, ngantuk la".

"Nanti lepas solat subuh boleh la tidur balik".

"Ye lah.....".

"Cepat sikit, dah pukul 6.15 ni, nanti waktu subuh habis pulak".

Demikianlah kisah benar antara saya dengan emak yang saya baru reka tadi. Demikianlah dialog-dialog yang perlu dihafal dan diulang-ulang setiap kali masuk waktu subuh.

Nasib baiklah saya dah besar. Tak payah susah nak hafal skrip tu lagi.

Sebenarnya, ada satu perkara yang rumit sedang berlaku. Saya berfikir. Ada orang kata, kita kena kejar waktu, jika tidak, waktu akan pergi meninggalkan kita. Ketika itu kalau tidak silap pukul 5.45 pagi, sipi-sipi lagi nak masuk waktu subuh. Ketika itu saya masih di bangku universiti.

"Apa itu waktu?". Saya melihat jam saya pula. 5.46 am. Saya dah membazir seminit. Eh silap, tak membazir sebab saya tengah berfikir. "Kenapa saya mesti bangun pukul 5.45 am setiap hari?".

Lama jugak saya termenung, eh silap, bukan termenung, tapi berfikir. Jam menunjukkan 5.47 am. Seminit lagi dah bergerak. Saya ada jadual. Dalam jadual kata saya mesti bangun 5.30 am. Ni dah lajak ni. Jam pun di kunci pada 5.30 am. Lalu saya rasa macam orang bodoh sebab saya selama ini hanya hidup mengikul jadual tanpa diketahui pun apa sebabnya. Fikir punya fikir, tiba-tiba saya terpandang di luar tingkap, melihat langit.


Ada cahaya. Bukan wahyu ye, tapi cahaya matahari. Emm tak nampak matahari pun, cuma langit dah agak cerah-cerah. Akhirnya saya terfikir jugak sesuatu. Akhirnya saya dapat jugak apa yang saya cari selama ni sejak kecil lagi. Alhamdulillah, misteri terbongkar. Dan saya sedar, perbuatan saya melihat jam setiap kali bangun dari tidur adalah satu tindakan yang SALAH.

Hah, habis tu bangun-bangun tak boleh tengok jam ke?

Nak tahu apa jawapannya? Teruskan membaca.

Pertama sekali, sebelum membongkar misteri alam ini, cuba anda perhatikan dahulu jadual hidup anda.

7.00 am : Mandi, bersiap-siap untuk kerja/belajar dan sarapan
8.00 am : Masuk kerja/kelas
1.00 pm : Rehat dan makan tengah hari
2.15 pm : Sambung kerja/kelas
5.00 pm : Balik
6.00 pm : Mandi, rehat-rehat
8.00 pm : Makan
11.59 pm : Berdengkur depan tv


Ya, secara kasarnya, macam ni la jadual hidup kita lebih kurang. Kadang-kadang, walaupun kita sudah mengantuk, tetapi sebab kita lihat jam masih menunjukkan pukul 9.00 malam, kita tidak mahu tidur lagi kerana rasa macam awal lagi. Kalau kita berasa lapar pun, tetapi baru pukul 11.00 pagi, kita biarkan perut kita terus menyanyi dengan suara sumbangnya itu. Dan lain-lain hal, kita banyak mengaitkan kehidupan seharian kita dengan jam dan jadual kita.

(Alamak, terasa macam nak buang air la. Eh, belum pukul 6 lagi. Tahan dulu la)

Cuba anda fikir, kenapa kita mesti bangun pukul 6 atau 7 pagi? Kenapa pukul 7 petang pula kita mesti mandi, bersiap-siap dan lain-lain?

Ada orang cakap kat saya (mungkin dia ni seorang motivator tapi "name tag" dia terjatuh dalam lubang tandas waktu dia buang air tadi kot), "awak mesti susun jadual hidup awak. Tetapkan, pada waktu sekian-sekian, apa yang awak nak buat".

Kalau berfikir pakai otak, memang ada logiknya apa yang dia cakap.

Tetapi cuba anda fikir guna hati. Adakah kita perlu gantungkan hidup kita pada jam? Sedangkan jam itu sendiri tak tahu kenapa dia mesti berpusing 24 jam, kenapa kita mesti ikut je jarum tu?

Jam. Apa itu jam? Jam adalah alat yang digunakan untuk mengukur waktu.

Kenapa kita perlu mengukur waktu?

Supaya kita dapat menguruskan segala pekerjaan kita seharian. Sekarang, cuba anda bayangkan, kalau dunia ni takde jam seperti yang kita guna sekarang, boleh tak kita uruskan kehidupan kita?

Fikir..















Fikir la, jangan tahu skrol ke bawah je...














Jawapannya, kita boleh hidup di dunia tanpa jam seperti yang kita dengan guna ni.

Bagaimana?

Iaitu, dengan menggunakan alat pengukur waktu yang paling hebat di dunia dan paling besar di yang boleh dilihat dan dirasai oleh semua orang di dunia ini.

Apa dia?


Matahari.

Apa?

Biar betul? Nak guna jam matahari balik ke?

Well, I afraid to say so but the answer is "YES".

Biar betul?

Betul la. Takkan nak tipu kot.

Kenapa jam matahari? Sebenarnya bukanlah jam matahari pun, tapi sebenarnya pengukur waktu kita yang paling tepat ialah matahari itu sendiri.

Kenapa?

Kerana hidupan semua bergantung pada matahari.


Kenapa kita bangun tidur?
Kerana hari sudah pagi.

Kenapa kita tidur?
Kerana hari sudah malam.

Kenapa kita berhenti bekerja?
Kerana hari sudah hampir gelap.

Mungkin ada orang akan kata jam matahari ini banyak kelemahan, contohnya kalau hujan dan lain-lain.

Itu hanya alasan. Kelemahan-kelemahan tersebut boleh diatasi kecanggihan zaman sekarang. Malah orang-orang zaman purba juga boleh mengatasi kelemahan jam matahari dengan menggunakan jam air yang masih menyamai fungsi jam matahari.

Ingin mengetahui kehebatan sistem waktu yang berasaskan matahari?


Teruskan membaca.


An-Naba' ayat 10-11. dan Kami jadikan malam sebagai pakaian "dan Kami jadikan siang untuk mencari penghidupan "

Apabila membaca ayat Al-Quran di atas, hati saya lebih yakin. Waktu kita sepatutnya diukur dengan siang malam dan peredaran matahari.

Kenapa kita perlu bersiap-siap pada pukul 7 pagi untuk ke kerja, sedangkan pada sesetengah waktu, pukul 7, matahari sudah pun terbit keseluruhannya dan hari telah cerah. Sedangkan untuk sesetengah waktu pula, pukul 7 pagi masih gelap. Adakah anda uruskan hidup anda berdasarkan siang malam? Atau mengikut jam yang ia sendiri pun tidak tahu kenapa ia harus berpusing?

Mungkin di Malaysia, kesan perbezaan antara jam dengan matahari tidak ketara. Tetapi bagi sesetengah negara, terutama yang mengalami 4 musim berbeza, perbezaannya amat ketara.

Pada musim panas, waktu siang panjang, sehinggakan waktu kerja sudah habis, tetapi matahari masih lagi memancar. Pada musim sejuk pula, siangnya pendek, kerja tak habis lagi hari sudah gelap. Kelemahan sistem ini semakin ketara apabila sistem "Day Light Saving Time" terpaksa digunakan di sesetengah negara untuk menampung kelemahan sistem jam bodoh yang sedang digunakan di seluruh dunia sekarang.

Kenapa? Kerana kita hidup bergantung pada jam dan bukan lagi matahari.


Apabila kita hidup mengikut jam, kita seolah-olah tidak nampak alam sekeliling. Ini kerana jam yang kita gunakan sekarang tidak terikat dengan alam sekeliling dan perubahan siang malam.

Mari kita lihat "jam" ciptaan Allah pula.

Jika mengikut "jam" ciptaan Allah, kita ada beberapa waktu.

Subuh
Syuruk
Dhuha
Zuhur
Asar
Maghrib
Isya

Demikianlah waktu-waktu yang natural ciptaan Yang Maha Agung. Jika jam ciptaan manusia berbunyi setiap jam, contohnya jika pukul 8, jam akan berbunyi 8 kali, dan akan berbunyi 24 kali sehari, manakala "jam" ciptaan Allah pula berbunyi 5 kali sahaja sehari iaitu setiap kali masuk waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isya (bunyinya ialah azan dilaungkan).


Apa simboliknya 5 waktu tersebut?

Simboliknya, Allah nak bagitahu kepada manusia-manusia yang lemah ni akan perubahan waktu.


Apabila waktu malam tamat dan waktu pagi muncul, untuk memberitahu semua manusia, Azan Subuh dilaungkan, sebagai tanda perubahan waktu.


Apabila udara-udara nyaman pagi telah habis diganti dengan kehangatan matahari yang pada kemuncaknya, maka Azan telah diperintahkan untuk dilaungkan pada waktu Zohor, menandakan matahri sudah mulai garang. Sebab tu lah kita disunatkan tidur sekejap sebelum atau selepas Zuhur (qailullah).

Kemudian, apabila matahari yang garang dan menghangat tadi sudah mulai reda, panas pun berkurang, maka Azan Asar pun dilaungkan. Anda boleh bandingkan sendiri bagaimana bezanya panas Zohor dan panas Asar. Panas selepas Asar agak reda kerana itu kita boleh bersukan.


Kemudian apabila petang ingin melabuhkan tirainya, memasuki waktu senja, Azan Maghrib dilaungkan. Apa beza petang dengan senja? Anda boleh rasa sendiri. Ketika senja, otak anda akan terasa "fresh" sikit berbandaing waktu petang tadi.


Kemudian, apabila waktu senja tamat, memasuki waktu malam, Azan Isya' pun dilaungkan.


Demikianlah Allah telah menetapkan kejadian siang dan malam sebagai petanda buat mereka yang berfikir.

Apa pentingnya susunan waktu mengikut matahari?


Jawapannya kerana keupayaan anggota fizikal kita termasuklah otak amat-amat bergantung pada matahari. Otak kita sesuai untuk melakukan sesetengah aktiviti pada waktu pagi dan aktiviti lain pada waktu petang. Ada perkara yang tubuh badan anda sesuai untuk melakukannya pada waktu siang dan tidak malam. Dan begitulah.

Tetapi sistem jam yang diguna pakai dalam sistem kapitalis ini, tiada lain tujuannya selain untuk menjadikan kita robot. Sistem ini telah memaksa kita melakukan satu kerja yang sama dari pagi hinggalah ke petang. Kerana itulah jam yang digunakan dalam sistem kapitalis moden ni tidak terikat pada perubahan matahari. Supaya apa?

Supaya segala tugasan-tugasan pekerja-pekerja dapat dilakukan semaksimum mungkin tanpa dipengaruhi oleh perubahan siang malam. Mereka tidak perlu lagi mencipta robot kerana mereka telah berjaya mengubah manusia menjadi robot yang boleh bekerja tanpa mengira waktu!



Cuba anda perhatikan bagaimana jam dalam tamadun-tamadun purba dicipta? Jam-jam mereka dicipta kesemuanya bersandarkan pada perubahan siang malam dan peredaran matahari. Perubahan pagi petang. Satu fakta yang terpaksa saya bagi tahu ialah,

"Orang-orang zaman dahulu lebih arif tentang kepentingan siang malam berbanding orang sekarang yang hanya hidup bagaikan robot".



Allah yang Maha Penyayang telah mengetahui kepentingan siang malam sering mengingatkan hamba-hamabaNya melalui azan-azan yang dilaungkan dari masjid-masjid. Tetapi hamba-hambaNya yang hina ini sering kali sombong, menangguhkan panggilan tersebut untuk meneruskan kerja masing-masing. Allah mengetahui kita akan menyeksa badan kita apabila terus melakukan kerja dengan melanggar sempadan perubahan waktu dan menyuruh kita berhenti seketika untuk solat.


Dalam sistem dunia baru ciptaan Dajjal ini, manusia-manusia akan ditutup daripada melihat dunia yang sebenar, sehingga manusia menjadi robot. Anda boleh lihat sendiri betapa jauhnya anda dengan alam ciptaan Tuhan. Dari bangun tidur, sehingga tidur kembali, anda melalui dunia ciptaan manusia. Segala apa yang anda lalui, anda hanya akan menemui ciptaan-ciptaan manusia.

Tetapi satu perkara yang tidak mampu dihalang oleh Dajjal, iaitu siang malam. Maka untuk mengekalkan manusia dalam dunia ciptaannya, supaya manusia tidak sedar akan perubahan siang malam yang telah dicipta oleh Allah, maka sistem jam moden telah diperkenalkan.


Jam-jam telah digantung di tempat-tempat yang tinggi, tempat-tempat yang strategik dan hampir di setiap ceruk dunia. Maka dengan itu, apabila manusia ingin melihat waktu, manusia tidak lagi memandang ke langit, tetapi memandang ke arah jam. Sehinggakan untuk menentukan waktu solat sekalipun umat Islam tidak pandai untuk melihat langit, tetapi mereka hanya tahu waktu solat dah masuk ke belum hanya berdasarkan jam semata-mata.



Anda, termasuk saya sendiri, tidak lagi pandai untuk melihat waktu berdasarkan pergerakan matahari. Bodohnya.......

Allah yang lebih pandai.

Wallahu A'lam

http://zharifalimin.blogspot.com/2010/08/jam-moden-vs-jam-matahari.html
SUMBER: 

Putaran jam


Di dalam dunia ni, hanya jam sahaja yang berputar mengikut arah jam. Selain daripada jam, semuanya bergerak mengikut arah lawan jam. Pergerakan ini melibatkan sekecil-kecil perkara seperti ion dan sebesar-besar objek seperti galaxy yang terbentang luas. Cuba kita imbas kembali, setiap kali kita mengacau minuman atau memasak di dapur, kita akan mengacau mengikut arah putaran jam atau mengikut arah lawan jam?


Mengikut sunnah Rasulullah SAW, baginda akan mengacau minuman dan mengacau makanan yang dimasak dengan putaran arah lawan jam. Setiap sunnah yang diajarkan kepada kita memang mempunyai kelebihan dan mempunyai sebab yang tersirat. Mungkin kita bertanya dalam diri kita, mengapa begini dan mengapa bukan begitu ?

Di sekolah dulu, kita pernah diajar Petua Tangan Kanan dalam mata pelajaran Fizik/Sains.

Petua Tangan Kanan 


Petua Tangan Kanan ini digunakan untuk menentukan arah pergerakan berdasarkan arah putaran yang berlaku. Merujuk kepada gambar di atas, 4 jari yang membengkok itu merupakan arah putaran, dan ibu jari merupakan arah pergerakannya. 


Juba praktikan dengan tangan kanan. Sekarang bandingkan ia dengan arah putaran jam. Adakah ia berlawanan dengan arah jam atau mengikut putaran jam?

Dalam hukum yang sama ini, jika ada sebatang konduktor yang di kelililingi oleh arus yang mengalir mengikut arah lawan jam (seperti dalam rajah di bawah), maka akan terhasil suatu daya elektromagnetik yang menghala ke atas. 



Mari Kita Lihat Contoh Lain

Dalam mengerjakan ibadat haji atau umrah, dalam bertawaf para pelaku ibadah haruslah memastikan bahu kiri mereka sentiasa terarah kepada Kaabah. Apabila kita melihat kepada putaran jemaah tawaf ini, mereka pun sedang berputar mengikut arah lawan jam. 


Dengan mengaplikasikan teori yang dinyatakan di atas, ibadat tawaf ini telah menghasilkan satu gelombang elektromagnet yang sangat besar. Putaran arah lawan jam ini telah menghasilkan satu tenaga ke arah atas Kaabah. Kerana itulah berdoa di kawasan Kaabah adalah sangat mustajab, kerana kekuatan doa kita menjadi berlipat kali ganda dan menumpang gelombang eletromagnetik yang dihasilkan. 

Antara contoh lain dalam wayar elektrik.

Arah putaran magnetik menentukan arah pergerakan arus eletrik dalam wayar.

Boleh juga dilihat dalam pergerakan elektron dalam atom.

Pergerakan elektron dalam atom adalah mengikut putaran arah lawan jam


Boleh juga dilihat dalam sistem solar kita.


Bumi, planet lain dan Matahari juga berputar pada putaran arah lawan jam.

Kesimpulan

Jadi apa kesimpulan yang kita perolehi? Sebenarnya Allah telah mencipta pergerakan ini untuk menghasilkan tenaga yang sekaligus untuk menampung dan menjadi keseimbangan dunia ini. Dari sekecil-kecil sehinga sebesar-besar objek memerlukan putaran ini supaya semuanya dalam keadaan yang seimbang.

Selain itu marilah kita cuba mengamalkan sunnah Rasulullah dengan sebaik-baiknya. Belajar membiasakan diri kita dengan mengacau minuman dan memasak dengan putaran arah lawan jam. Semoga ibadah mengacau juga kita boleh amalkan dengan ilmu disamping mendapat manfaat untuk diri kit
a.

AWAS!!!Gambar Anda Itulah Maruah Anda...Salam Peringatan Fisabilillah

http://salamperingatanfisabilillah.blogspot.com/2011/10/awasgambar-anda-itulah-maruah-andasalam.html

Dua hari lepas,kita sekali lagi dikejutkan dengan berita yang terpapar di Harian Metro yang bertajuk ‘Gambar peribadi FB jadi promosi perempuan jalang’. Ini merupakan petikan akhbar yang kami bentangkan kembali untuk renungan bersama.Seorang wanita bukan saja menjadi mangsa penyalahgunaan gambar profil yang menawarkan perkhidmatan pelacuran di facebook (FB) malah dia turut diugut individu tidak bertanggungjawab jika membuat aduan kepada pihak berkuasa.Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam, 8 Oktober lalu, mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lina, 43, sedang melayari laman sembang sosial, facebook sebelum menemui sebuah profil menggunakan gambar diri dan suaminya tanpa kebenaran.Katanya, pemilik profil berkenaan itu turut memberikan nama baru untuk pasangan berkenaan.Dia menerima kejutan yang lebih hebat selepas menemui gambar peribadi yang digunakan sebagai umpan atau promosi perempuan jalang untuk kegiatan pelacuran melalui laman sembang sosial itu.Menurutnya, apabila dia dan suaminya menghantar pesanan ringkas kepada pemilik akaun profil berkenaan untuk mengeluarkan gambar, mereka hanya menerima mesej berbentuk ugutan.Dia berkata, pemilik berkenaan mendakwa tidak akan mengeluarkan gambar mangsa dan suaminya sebaliknya akan menyebarkan lagi gambar terbabit secara meluas di facebook.Seperti yang didakwa, suspek terbabit membuka akaun facebook baru menggunakan nama lain tetapi menyalahgunakan gambar saya dan suami.Malah maklumat peribadi dalam akaun berkenaan menyerupai identiti suaminya, kami bukan saja diaibkan tetapi identiti peribadi kami digodam oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Di atas ini merupakan satu kes yang berlaku baru-baru ini.Ada banyak lagi kes yang turut dilaporkan berlaku hampir setiap minggu sekitar Malaysia.Itu belum lagi di kira negara-negara lain yang sememangnya mudah terdedah dengan jenayah siber dan pemalsuan identiti.

Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Anfal,ayat 25 yang bermaksud:
Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Tidak hairanlah mengapa sejak dari awal kehadiran kami di alam maya ini,kami tidak meminta langsung gambar di kalangan ahli Brigade Zameer Fisabilillah.Apa yang kami harapkan supaya ahli tidak terlalu seronok menayangkan gambar-gambar mereka dengan pelbagai posing-posing pelik.Kemungkinan besar gambar anda bakal disalahguna oleh pihak-pihak tertentu.Alhamdulillah,kebanyakan ahli Brigade Zameer Fisabilillah mengikuti nasihat kami dan menyahut salam peringatan dari kami.Di bawah ini merupakan gambar-gambar yang kami paparkan mengenai kaedah yang sering digunakan seseorang untuk edit gambar anda semua,sekaligus menjatuhkan maruah anda.Sila ambil perhatian!!!







Brigade Zameer Fisabilillah sentiasa hadir setiap waktu memberi peringatan,
Peringatan kami diiringi setiap maklumat penuh debaran dan kejutan,
Lebih ribuan manusia mengenali kami di setiap negeri dari Sabah hingga Kelantan,
Penulisan buku dan perkhidmatan sms dari kami kepada ahli serius satu kelebihan dan kenikmatan,
Disusuli penyerapan ke akaun rahsia kami penerus riwayat sambungan ilmu umpama sebuah jambatan,
Sehingga ada yang mula menyahut salam peringatan kami dan menyebarkannya bahawa kami ayam tambatan,
Maka terhasillah ahli Brigade Zameer Fisabilillah yang berkualiti tersusun dalam satu ikatan,
Ilmu yang tersemat di dada menjadi panduan menentang sebarang anasir kejahatan,
Walaupun musuh kami ada segelintir pendengki hadir bersikap seperti manusia dirasuk syaitan,
Padahal golongan pendengki itu tidaklah ramai pengikut kerana niat mereka salah sukatan,
Komen golongan pendengki itu umpama mewarisi otak budak-budak belum berkhatan,
Atau memang pendengki tidak faham bahasa dan pemalas membaca kerana datang dari hutan?
Bukankah diam itu lebih baik daripada bersikap kurang ajar menentang salam peringatan???
Renung-renungkanlah!!!

Cukuplah sekadar sini sahaja maklumat yang dapat kami khabarkan kepada anda semua, kami tidak mahu berbicara dengan panjang lebar lagi kerana setiap maklumat yang kami ceritakan kepada anda,sudah tentu mengejutkan anda dari lamunan tidur duniawi.Akhir kata dari kami,persiapkan diri anda dengan bekalan yang mencukupi menuju ke akhirat.

Ahad, 16 Oktober 2011

Aura seksual---> petanda negara yang menuju keHANCURan!!

Jika benar, (dan memang benar) masyarakat kita ini sudah digelumangi atmosfera seksual, maka itu petanda masyarakat kita akan hancur.

Akibatnya negara kita juga akan hancur disebabkan oleh spiritual rakyatnya yang sakit, jauh daripada kesucian yang menjadi tonggak kemajuan sesuatu individu, keluarga, masyarakat dan akhirnya negara secara keseluruhannya.

Tidak pelik aura seksual itu semakin berleluasa, semakin menjadi-jadi kerana wujudnya beberapa faktor ini.

Inilah yang ingin saya kemukakan sekian lama, mudah-mudahan kita masih punya harapan untuk melakukan satu penambahbaikan untuk menyelamatkan keadaan sebelum ia terlambat.

Faktor yang menyebabkan tersebarnya aura seksual dalam kalangan masyarakat itu ada banyak.

Saya cuba sedaya-upaya menggariskan beberapa faktor, pertama media.

Sering kali media menyiarkan gambar yang boleh menggoncangkan iman, merangsang hawa nafsu pembaca.

Minda pelajar khususnya pasti akan tercemar dan tidak hairan jika selepas ini mereka tidak mampu menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Faktor kedua, faktor hijab. Seperti yang kita sering lihat, kes zina dan buang bayi berpunca daripada aura seksual yang berleluasa.

Peningkatan aura seksual itu adalah disebabkan kurangnya atau longgarnya kita dalam isu menjaga hijab.

Hijab itu penting untuk mengelak daripada perkara seperti merangsang hawa nafsu yang bukan mahram.

Cuba lihat artis kita yang menjadi figura awam. Lihatlah cara berpakaian artis wanita yang sangat menjolok mata dengan pakaiannya yang seksi, ketat, mendedahkan lengan, paha serta mendedahkan sebahagian dada.

Kita sering menekankan wanita Muslim untuk menutup aurat, memakai tudung. Tetapi bagaimana dengan yang bukan Muslim?

Saya tidak nampak apa bezanya kita hanya menyuruh wanita Muslim memakai pakaian sopan sedangkan wanita bukan Muslim begitu bebas berpakaian mendedahkan sebahagian besar tubuh mereka.

Sekurang-kurangnya kita harus mewajibkan seluruh rakyat Malaysia untuk berpakaian sopan. Ini lebih baik daripada membiarkan sebahagian mereka berpakaian tidak senonoh dan merosakkan mata yang memandangnya.

Saya ingin mengemukakan beberapa cadangan dan penyelesaian yang boleh dipertimbangkan.

Yang pertama ialah mewujudkan pasukan pemantau media cetak daripada menyiarkan gambar yang kurang sopan.

Kedua, memantau media massa daripada menyiarkan iklan yang tidak wajar.

Juga bekerjasama dengan pakar teknologi maklumat untuk menghalang laman web yang tidak sepatutnya seperti laman web pornografi.

Ketiga, satu tindakan yang mewajibkan rakyat tidak kira Muslim atau bukan Muslim untuk berpakaian sopan demi kebaikan bersama.

Keempat, teruskan mengkaji untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah-masalah sosial ini.

Menekankan dan menitikberatkan peranan semua pihak iaitu ibu bapa, guru, persatuan sosial dalam menangani masalah sosial ini sebelum terlambat.

Sabtu, 15 Oktober 2011

YDPA


Berikut adalah senarai Yang di-Pertuan Agong dari yang pertama sehinggalah yang ke-13:
  1. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1895, memerintah pada 1957-1960, mangkat ketika memerintah pada 1 April 1960.
  2. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alaeddin Sulaiman Shah dari Selangor, diputerakan pada 1898, memerintah pada 1960, mangkat ketika memerintah pada 1 September 1960.
  3. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dari Perlis, diputerakan pada 1920, memerintah pada 1960-1965, mangkat pada 2000.
  4. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III dari Terengganu, diputerakan pada 1907, memerintah pada 1965-1970, mangkat pada 1979.
  5. Sultan Abdul Halim Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dari Kedah, diputerakan pada 1927, memerintah pada 1970-1975.
  6. Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim Petra dari Kelantan, diputerakan 1917, memerintah pada 1975-1979, mangkat ketika memerintah pada 29 Mac 1979.
  7. Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah dari Pahang, diputerakan pada 1930, memerintah pada 1979-1984.
  8. Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail dari Johor, diputerakan pada 1932, memerintah pada 1984-1989, mangkat pada 22 Januari 2010.
  9. Sultan Azlan Muhibbudin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzudin Shah dari Perak, diputerakan pada 1928, memerintah pada 1989-1994.
  10. Tuanku Jaafar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan, diputerakan pada 1922, memerintah pada 1994-1999, mangkat pada 27 Disember 2009.
  11. Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj dari Selangor, diputerakan 1922, memerintah pada 1999-2001, mangkat ketika memerintah pada 4 Disember 2001.
  12. Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Syed Putra Jamalullail dari Perlis, diputerakan 1943, memerintah pada 2001-2006.
  13. Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj dari Terengganu, diputerakan 1962, memerintah pada 2006-2011.