Khamis, 30 Ogos 2012

khas utk pelajar baru IPT


"Universiti atau IPT sepatutnya menjadi tempat membina manusia yang bertaqwa kepada ALLAH kerana di sana berkumpulnya ramai ilmuan dan majlis-majlis diskusi ilmu selalu dilakukan.  Apa yang menyedihkan kita ialah ada sebahagian besar pemuda/i yang semakin lari dari tarbiyah agama apabila berada di IPT.  Bagaimana caranya agar mereka istiqamah dengan hidup beragama tatkala di IPT dan setelah keluar dari IPT?

1) Luruskan niat.

Dalam apa-apa perbuatan pun, persoalan niat mesti diutamakan dan diberi penekanan. Niat merupakan sebab kepada perbuatan itu samada diterima atau ditolak, samada untung atau rugi. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

ِاِنَّمَا الاَعْمَالُ بِالنِّيَّات

“Semua amalan adalah dinilai dengan niat.”

(HR al-Bukhari dan Muslim)

Jadi, luruskanlah niat kalian. Dan niat yang paling lurus dan beruntung ialah apabila kita niatkan kerana ALLAH Ta`ala. Tidak kiralah apa pun jurusan yang kalian ambil, luruskanlah niat kalian kerana ALLAH Ta`ala. Dunia ini milik ALLAH dan jiwa kita adalah milik ALLAH. Maka sepatutnyalah kita belajar untuk berkhidmat kepada ALLAH Ta`ala.

2) Fokus kepada matlamat.

Selain niat, matlamat perbuatan juga mesti jelas. Matlamat dapat memandu kita ke arah tempat yang dituju. Tanpa matlamat, tentu perjalanan kita akan hilang arah.

Masalah yang berlaku kepada saya dan orang ramai bukanlah tiada matlamat, tetapi tidak fokus kepada matlamat. Disebabkan tidak fokus, perjalanan dalam dunia belajar di universiti bisa tersadai atau kurang cemerlang keputusannya. Justeru, kalian mesti fokus dengan matlamat kalian.

Kalian tentu sahaja mempunyai matlamat masing-masing yang telah terbit dari hati nurani kalian. Terpulanglah, asal sahaja matlamat itu tidak merosakkan diri kalian. Samada matlamat kalian belajar di universiti ingin mendapatkan habuan dunia atau akhirat, semuanya mesti fokus. Jika hilang fokus, maka matlamat akan kabur.

Dan ingin saya mengingatkan kalian akan matlamat kepada semua matlamat yang telah difirmankan ALLAH `Azza wa Jalla kepada RasulNYA sallAllahu `alaihi wasallam:

ِوَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَ الْاِنْسَ اِلَّا لِيَعْبُدُوْن

“Dan tidak AKU telah jadikan golongan jin dan golongan manusia kecuali untuk mengabdikan diri (kepadaKU).”

(Adz-Dzariyaat, 51:56)

Sepanjang menjalani kehidupan di universiti, jangan sekali-kali kalian hilang fokus dari matlamat yang ini. Ia matlamat yang paling utama. Ia matlamat kenapa kita dijadikan. Ia matlamat sepanjang hidup. Samada kalian cemerlang di universiti atau kurang cemerlang atau tidak cemerlang, matlamat inilah yang kalian mesti fokus betul-betul.

3) Jagalah syariat ALLAH

Seterusnya, jagalah syariat dan hak ALLAH seperti tidak sesekali mensyirikkanNYA dengan sesuatu, jaga dan kerjakan solat-solat yang difardhukan, puasa Ramadhan, menutup aurat dan semua yang wajib dalam ajaran Islam.

Jika kalian menjaga syariat dan hak ALLAH, pastinya perjalanan kalian semasa di universiti dijagai ALLAH Ta`ala. DIA akan memberikan kepada kalian petunjuk kepada kebenaran, jalan keluar dari bermacam-macam masalah dan rezeki dari berbagai-bagai punca. Lalu memudahkan kembara ilmu kalian semasa di universiti nanti, insyaALLAH.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam telah menjanjikan hal ini dengan katanya:

َاِحْفَظِ اللهَ يَحْفَظْك

“Jagalah ALLAH, nescaya DIA jaga kamu.”

(HR at-Tirmidzi, katanya hasan sahih)



Jagalah hak ALLAH, nescaya DIA akan jaga kalian dunia dan akhirat. InsyaALLAH akan terbit jati diri yang jitu dari dalam diri kalian jika kalian benar-benar berdisiplin dan jaga sungguh-sungguh akan hak ALLAH. Kalian tidak akan tergelincir. Dan jika kalian tergelincir pun, kalian akan mudah bangun kerana ALLAH jaga kalian.

4) Pilih kawan dan lingkungan yang baik.

Ramai yang berubah disebabkan oleh kawan dan lingkungan. Jika berubah kepada yang lebih baik, tentu sahaja ia suatu yang baik. Apa yang dikhuatirkan ialah jika perubahan yang menimpa diri kalian ialah perubahan yang negatif.

Bukan sedikit yang berubah dari baik kepada kurang baik atau tidak baik. Ia banyak sekali. Mata ini telah melihat banyak sekali perubahan tersebut. Dan majoriti sebab kepada perubahan itu ialah akibat dari pengaruh kawan atau lingkungan.

Di universiti ada banyak persatuan, pergerakan dan kumpulan yang boleh disertai secara langsung atau tidak langsung. Kesemuanya boleh mempengaruhi cara kalian bersosial dan berinteraksi. Ia boleh dijadikan medan yang baik untuk kalian membentuk karisma diri dan pola fikir sebelum kalian masuk ke dunia yang penuh cabaran iaitu dunia pekerjaan, rumahtangga dan kemasyarakatan. Universiti adalah mini masyarakat yang di dalamnya kalian boleh memainkan peranan masing-masing.

Tapi awas, dalam keenakan kalian bersosial sesama sendiri, semuanya itu akan terkesan pada diri kalian. Jika kawan atau lingkungan yang kalian pilih itu suka enjoy, maka enjoylah kalian. Jika mereka kaki games/movies, maka ber’games/movies’lah kalian. Jika mereka kuat berjalan, maka berjalanlah juga kalian. Jika mereka selalu berbohong, maka berbohonglah kalian. Jika mereka selalu bicara tentang wang, wanita dan kedudukan, maka begitulah juga kalian.

Tetapi jika sebaliknya kawan atau lingkungan kalian selalu berbicara tentang perjuangan, tentang amanah, tentang masa depan, tentang pembangunan masyarakat, tentang hidup bermaruah, tentang agama, tentang keadilan, tentang syurga, tentang neraka, tentang ALLAH, maka insyaALLAH kalian akan begitu juga. Ma sha’ ALLAH, beruntunglah kalian.

Hal mengenai pengaruh kawan atau lingkungan ini pernah disabdakan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam yang lebih kurang maksudnya:

“Kawan yang soleh ibarat penjual minyak wangi. Jika dia tidak memberimu minyak wangi, kamu akan dapat mencium keharumannya. Sedangkan kawan yang buruk ibarat tukang besi. Jika kamu tidak terkena apinya, kamu tentu akan terkena asapnya.”

(HR al-Bukhari)

Jadi, berhati-hatilah dalam memilih kawan dan lingkungan. Sungguh, pemilihan kawan dan lingkungan sangat penting dalam pembentukan diri. Jika tidak 100% ia memberi kesan kepada kalian, pasti tertempias juga barang sedikit. Tidak salah cerewet dalam hal memilih kawan dan lingkungan. Kerana cerewet dalam hal yang boleh menyelamatkan diri dari kebinasaan adalah cerewet yang mulia.

5) Mintalah hidayah dan taufiq dari ALLAH sepanjang masa.

Perjalanan hidup kalian di universiti hendaklah diiringi sepanjang masa dengan permohonan hidayah dan taufiq daripada ALLAH Ta`ala. Hasrat hati mahu berjaya dikhuatiri diacu oleh iblis yang dilaknati ALLAH. Kita risau sepanjang perjalanan mengecap kejayaan itu kita langgar perintah ALLAH, kita cuai suruhan ALLAH dan terhijab dari kebenaran dari sisi ALLAH.

Betapa ramai yang terpesong dalam perjalanan mereka menuju kejayaan yang dihajati. Dan betapa ramai juga yang terpesong jalan mereka setelah berjaya memeluk kejayaan yang mereka impikan.

Mintalah pada ALLAH akan hidayah dan taufiqNYA. Mohonlah perlindungan ALLAH dari keburukan diri kalian dan kejahatan amal perbuatan kalian. Di dalam solat sentiasa kita memohon dengan ALLAH akan hidayah dan taufiq melalui surah al-Fatihah yang kita baca setiap rakaat. Jika 17 rakaat kita solat sehari semalam, maka 17 kali jugalah kita meminta dengan ALLAH akan petunjuk. Jika solat lebih dari itu, maka lebih banyaklah kekerapan kita memintanya.

ََاِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْم

“Tunjukkanlah kami jalan yang lurus”

(Surah al-Fatihah)

Pintalah juga dari ALLAH agar DIA tidak membiarkan kalian melangkah sendirian dalam mengejar cita-cita kalian. Pohonlah agar ALLAH sentiasa membimbing dan memperbaiki kita. Nabi sallAllahu `alaihi wasallam pernah mengajar kepada Fatimah akan suatu doa yang sangat syahdu maknanya, iaitu:

َيَا حَيُّ يَا قَيُّوم بِرَحْمَتِكَ اَسْتَغِيث اَصْلِحْ لِي شَأنِي كُلَّهُ وَلَا تَكِلْنِي اِلَى نَفْسِي طَرْفَة عَيْن

“Wahai Yang Maha Hidup, wahai Yang Maha Berdiri Sendiri. Dengan rahmatMU aku memohon pertolongan, perbaikkanlah untukku urusanku seluruhnya. Dan janganlah ENGKAU serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”

(HR Nasa’i, al-Bazzar & al-Hakim, dinilai hasan oleh Nasiruddin al-Albani)

Doa ini juga baik untuk dibaca selalu dengan penuh pengharapan:

َ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِك

“Ya ALLAH wahai Tuhan Yang Membolak-balikkan Semua Hati, tetapkanlah hatiku ini di atas agamaMU.”

(HR at-Tirmidzi)


Doa di atas selalu dibaca oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan diikuti amalan ini oleh para sahabat, tabi`in, tabi`ut tabi`in dan orang-orang soleh selepas mereka. Justeru, amalan memohon kepada ALLAH agar ditetapkan hati di atas agamaNYA sewajarnya dipohon selalu oleh kita.

Dan doa berikut ini mesti dibaca setiap waktu dan dihayati sungguh-sungguh akan maknanya serta dipinta kepada ALLAH dengan penuh baik sangka, harap dan tawakkal, iaitu:

ِرَبَّنَا اَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Tuhan kami, kurniakanlah buat kami di dunia dengan kebaikan dan di Akhirat dengan kebaikan dan peliharalah kami dari azab api neraka.”

(Surah al-Baqarah, 2:201)

Pada doa ini terhimpun semua kebaikan padanya. Jika doa-doa yang lain tidak sempat hendak dipohon, memadailah doa ini merangkum semua hajat-hajat kita yang baik-baik melalui doa di atas.

Berdoalah kepada ALLAH sungguh-sungguh dengan penuh sedar dan harapan. Jangan sambil lewa ketika meminta daripadaNYA.

6) Tambahi ilmu agama dan fahamkannya.

Semasa berada di universiti kalian bukan berada di gedung-gedung beli-belah, pasar-pasar atau majlis keraian. Tetapi kalian sedang berada di dalam gedung ilmu yang suasananya suasana ilmu, ruhnya ruh ilmu. Justeru, manfaat sungguh-sungguh akan suasana keilmuan yang ada padanya ketika kalian berada di dalamnya.

Selain ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran yang kalian cuba dalami dalam bidang masing-masing, jangan lupakan pada ilmu-ilmu agama yang merupakan sebab untuk kalian mendapatkan kebaikan dari sisi ALLAH.

Nabi sallAllahu `alaihi wasallam ada bersabda mengenai hal ini iaitu:

ِمَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّين

“Barangsiapa yang dikehendaki ALLAH kebaikan pada dirinya, dia akan difahamkan pada agamanya.”

(HR al-Bukhari & Muslim)


Rapatkan diri kalian kepada masjid, majlis ilmu, kitab-kitab agama dan orang-orang berilmu tatkala kalian di universiti. Jangan buang peluang ini apabila berada di universiti. Ketika inilah kalian berpeluang memperbaiki amal dan menambah ilmu dan memantapkan kefahaman agama. Sibukkanlah diri kalian bagi memahamkan diri kalian akan agama kerana ia ‘benchmark’ ALLAH mahukan kebaikan buat kalian.

Jika masa kalian ALLAH sibukkan dengan peningkatan diri terhadap ilmu agama, maka ketahuilah bahawa ALLAH sedang meletakkan kebaikan kepada diri kalian. Tetapi jika sepanjang kalian tinggal di universiti kalian sibuk dengan hal-hal lain, maka muhasabahlah diri. Dikhuatiri ALLAH sedang membiarkan kalian tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang mahu diberikan kebaikan dari sisiNYA.

Antara doa yang baik dibaca ialah:

اَللَّهُمَّ رَبِّيْ زِدْنِيْ عِلْمًا وَ ارْزُقْنِيْ فَهْمًا

“Ya ALLAH, Tuhanku, tambahilah diriku akan ilmu dan kurniakanlah buatku kefahaman.”

7) Risau dan harap

Ada yang mengatakan dia risau, seram dan takut untuk berhadapan dengan kehidupan di universiti. Jika kalian berasa risau, seram atau takut akan cabaran yang bakal terhidang di dalam dunia universiti, ya ia perasaan yang wajar ada pada diri kalian. Kerana telah ramai yang gagal mengawal diri lantaran jati diri yang lemah. Kehidupan universiti yang agak bebas telah mencabut perasaan malu dari banyak pemuda dan pemudi. Ramai hilang kawalan dipandu nafsu.

Jadi, perasaan risau atau takut yang ada pada diri kalian akan membuatkan kalian sentiasa awas dan waspada. Kalian tidak akan semborono di sana. Kalian akan menempuhi kehidupan di universiti ibarat berjalan di jalanan yang penuh duri. Hati-hati dan penuh waspada.

Cuma, janganlah keterlaluan dalam mempunyai perasaan risau dan takut itu. Datangkanlah juga perasaan harapan yang menggunung di dalam hati kerana kehidupan di universiti juga tersedia di sana seribu perkara positif dan indah untuk dinikmati dan dipelajari.

Sepanjang menjalani kehidupan di universiti, jalanilah ia dengan rasa risau dan harap berselang-seli secara sederhana. Mungkin ada yang rasa terlalu risau dan takut ketika berada di sana. Dan ada pula yang terlalu yakin lantaran besarnya harapan dalam hati untuk berjaya. Imbangilah rasa risau dan harap itu dengan sederhana.

Rasa risau kepada kegagalan akan membuatkan kalian berhati-hati dan waspada terhadap semua yang menanti di hadapan. Kalian tidak akan terlalu yakin sehingga menyebabkan kalian terbabas.

Rasa harap kepada kejayaan akan membuatkan kalian segar bugar dan bermotivasi untuk mengecap kejayaan. Kalian tidak akan terlalu murung lantaran terlalu risau dan takut kepada kegagalan.

Gabungan kedua-dua rasa risau dan takut ini secara seimbang dan sederhana insyaALLAH akan menatijahkan kebaikan buat kalian. Kalian akan memperolehi emosi dan fikiran yang rasional menghadapi semua mehnah yang tersedia di sepanjang jalan perjuangan ketika di universiti, insyaALLAH.

8) Tawakkal kepada ALLAH.

Sifat tawakkal kepada ALLAH iaitu berserah diri kepada ALLAH selepas melakukan usaha yang gigih adalah suatu sifat yang penting mesti ada pada diri kalian sepanjang kehidupan di universiti. ALLAH akan mencukupkan kalian jika kalian bertawakkal kepadaNYA. ALLAH Ta`ala berfirman:

ُوَمَن يَّتَوَكَّلْ عَلَى اللهِ فَهُوَ حَسْبُه

“Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada ALLAH, maka DIA akan mencukupkan (keperluan)nya.”

(Surah at-Tolaq, 65:3)

Natijah samada baik atau tidak hasil dari usaha kalian belajar dan hidup di universiti itu, serahkanlah pada ALLAH. Pasti ada hikmah pada apa yang berlaku pada diri kalian hasil dari bertawakkal kepada ALLAH. Dengan syarat, tawakkal itu tawakkal yang betul iaitu menyerahkan urusan yang kalian lakukan itu kepada ALLAH selepas berusaha dengan penuh sungguh-sungguh, tekun dan betul cara dan kaedahnya.

Itulah sebahagian nasihat umum yang sangat asas yang mampu saya kongsikan dengan adik-adik sekalian yang bakal melanjutkan diri ke universiti. Banyak lagi tips-tips dan nasihat-nasihat boleh diperolehi daripada orang lain jika kalian bertanya dengan mereka.

Apa yang tersenarai di atas bukan sahaja boleh dipakai nasihatnya untuk dijadikan bekalan menempuh universiti iaitu institusi tempat kalian bakal belajar di sana. Tetapi juga boleh dijadikan panduan dan bekalan untuk menempuhi ‘universiti kehidupan’ yang jauh lebih mencabar dan penuh ujian, insya ALLAH.

Semoga ALLAH pelihara kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA, amin.

Sekadar berkongsi,

muzir.wordpress.com
7 Syawwal 1433
25 Ogos 2012

berani berubah!

Haram  kita tunduk kepada penjajah, kerana penjajahan selari dengan kezaliman. Tidak boleh sama sekali kita tunduk dan patuh kepada penjajah dan redha apa yang dilakukan oleh penjajah. Kedatangan Islam ialah ialah untuk membebaskan manusia daripada belenggu manusia untuk mengabdikan diri  kepada Allah SWT. Ucapan Rubai bin Amir  kepada Rustam adalah kayu ukur kita ketika memperkatakan konsep kemerdekaan.

Rustam bertanya kepada beliau, "Apa tujuan mereka datang ?

Dengan penuh izzah (bangga)  Rubai menjawab dengan kata-kata yang masyhur: "Allah telah mengirim kami untuk mengeluarkan siapa yang Dia kehendaki dari perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri   kepada Allah, dan dari sempitnya dunia menuju keluasan  akhirat, dari penyimpangan agama-agama yang ada menuju keadilan Islam”.

Sebab itu di negara umat Islam majoriti, perjuangan kemerdekaan dipelopori oleh orang-agama kerana mereka lebih memahami erti  kemerdekaan dan arahan agama kepada mereka. Ia membabitkan dosa dan pahala. Berkompromi dengan penjajah dan membiarkan negara,agama dijajah adalah merupakan kemurkaan Allah SWT.

Atas kesedaran ini ulamak membangkitkan kesedaran beragama di kalangan rakyat untuk menentang penjajah. Berada di bawah ketiak penjajah bermakna membiarkan bangsa dan tanah air berada dibelenggu kezaliman penjajah, perbuatan ini adalah haram. Islam mengajar penganutnya tidak boleh sama sekali berkompromi dengan kezaliman dan penindasan. Firman Allah SWT bermaksud

“Jangan kamu cenderung kepada kezaliman, nanti akan disambar oleh api neraka” (Surah Hud 11:113)

Penjajah adalah lambang kerakusan di dalam sebuah negara. Ia memeras ugut rakyat jelata dan menghisap segala hasil bumi.

Tokoh-tokoh awal yang menggerakkan kemerdekaan negara yang terpahat di sejarah perjuangan melawan penjajah di peringkat awal ialah mereka yang terdidik dengan suasana keagamaan dan roh jihad.

Tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong, Tuan Guru Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman dan lain-lain adalah tokoh yang bangkit menghalau penjajah walaupun dengan kapasiti yang kecil tetapi telah memberi kesan kepada penjajah di negara ini.

Kemunculan golongan reformis (Islah) yang pulang daripada Timur Tengah telah  merancakkan lagi kesedaran berpolitik dan bernegara. Nama-nama seperti Syed Sheikh Al-Hadi, Sheik Tahir Jalaludin yang mendapat aspirasi daripada Syeikh Mohamad Abduh di Mesir telah menggerakkan kesedaran untuk menuntut kemerdekaan melalui gerakan organisasi yang tersusun di negara ini.

Slogan yang mereka uar-uarkan kepada masyarakat ialah, bangsa Melayu maju jika ia berpegang kepada Islam yang syumul. Melayu tidak gagah dan perkasa jika meninggalkan Islam.

Daya usaha merekalah, timbul kesedaran berorganisasi. Munculnya Kesatuan Melayu Muda, Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (1945), Umno (1946), Hizbul Muslimin (1948) dan Parti Islam Semalaysia (1951).

Memang jelas mereka yang memahami Islam yang sebenar tidak akan berkompromi dengan penjajah dan anak didik penjajah. Sebab itu penjajah cukup takut dengan ulamak seperti ini kerana mereka bukan sahaja mengajar tetapi juga meniupkan semangat perjuangan kepada anak muridnya. Ini yang menjadi kerisauan kepada penjajah.

Apa erti kemerdekaan jika agama masih dikongkong oleh pihak yang berkuasa. Agama menjadi dagang di negeri sendiri. 55 tahun merdeka masjid masih berkunci dan tidak berfungsi, masjid mati sebelum orang mati kerana ditadbir oleh orang yang bukan ahlinya.

Kecantikan Islam tidak dapat dijelmakan dalam bentuk yang praktikal, ia hanya terdapat di dalam liapatan sejarah dan kitab feqah sahaja.

Oleh itu menuntut kepada kita mendapat kemerdekaan kedua iaitu untuk menuntuk kebebasan kepada penganutnya untuk menghayati Islam yang sebenar. Kini Islam berada di kandang orang salah. Islam dihukum bukan menghukum. Islam menjadi tetamu, bukan sebagai tuan rumah.

Tidak ada makna tangan kanan melaungkan kemerdekaan, sedangkan tangan kiri yang menekan rakyat supaya jangan bersuara lebih dariapda kehendak kerajaan. Kebebasan rakyat untuk bersuara disekat atas alasan keselamatan negara. Walaupun realitinya kerana keselamatan kuasa BN yang memerintah pada hari ini.

Amat malang kepada kita, ketika negara menyambut kemerdekaan kerajaan mengetatkan kebebasan untuk bersuara dan bebas mendapat maklumat. Kerajaan memperkenalkan  Seksyen 114A Akta Keterangan yang menjadi ancaman Kepada Rakyat khususnya kepada warga siber dan ia bertentangan dengan hak setiap individu untuk di anggap tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahan.
Sebaliknya seksyen 114A Akta Keterangan ini lebih bersifat prejudis dengan meletakkan beban pembuktian kepada orang yang kena tuduh dan bukan kepada penuduh iaitu pihak berkuasa.
Tidak cukup lagikah kerajaan dengan Akta OSA, Akta Hasutan, Akta Penerbitan untuk mengongkong rakyat. Ini bukan bermakna tidak perlu ada kawalan dan mengambil tindakan kepada penyebar fitnah. Akta ini orang yang dituduh terpaksa membuktikan yang beliau tidak bersalah. Sudah tentu ramai akan terperangkap apabila ruangan komen Face Book kita ditulis dalam bentuk fitnah dan provokasi yang bakan didakwa ialah pemilik FB. Kesemua ini memerlukan kos untuk pemilik FB  membuktikan mereka tidak bersalah. Sedangkan mungkin beliau tidak melakukan. Persoalannya di manakah ongkos yang perlu di biyai di mahkamah. Sebenarnya ini adalah satu usaha untuk menakutkan rakyat terutama kerajaan yang BN menghadapi PRU 13. Jika PRU 12 kerajaan diancam dengan blog dan portal yang mengimbangi dan menjawab pembohongan media kerajaan. PRU akan datang, kerajaan gerun menghadapi fenomena face book, yang begitu pantas menyiarkan maklumat dan menjawab tuduhan dan fitnah kepada Pakatan Rakyat. Akhirnya kerajaan BN yang sama dengan mazhab mana-mana diktator dunia yang takut menghadapi kebangkitan rakyat, akan menggunakan kuasa untuk menjajah otak rakyat supaya jangan menerima selaian daripada resipi BN. Walau bagaimana pun kerajaan BN perlu ingat, mereka boleh memaksa kuda pergi minum air, tetapi tidak boleh paksa kuda minum air.

setia


Pada suatu hari ada seorang gadis buta yang sangat membenci dirinya sendiri. Disebabkan dirinya yang buta. Dia bukan sahaja membenci dirinya sendiri, tetapi dia juga membenci semua orang kecuali kekasihnya.

Kekasihnya selalu ada disampingnya untuk menemani dan menghiburkan hatinya. Dia berkata akan menikahi gadis itu kalau gadis itu mampu membuka mata melihat dunia.

Suatu hari, ada seorang mendermakan sepasang mata kepada gadis itu, akhirnya dia mampu melihat semua benda, termasuk kekasihnya itu tadi.

Kekasihnya bertanya kepada gadisnya itu, "Sayang, sekarang sayang sudah mampu melihat dunia. Apakah sayang mahu menikahi diriku?” Gadis itu terkejut apabila mengetahui lelaki itu buta. Dan dia menolak keinginan lelaki itu walaupun lelaki itu sangat setia sekali sehingga sanggup mendampingi hidup gadis itu selama si gadis itu buta matanya.

Dan akhirnya lelaki itu pergi dengan menitiskan air mata, dan kemudian menuliskan sepucuk surat ringkast kepada gadisnya itu, “Sayangku, engkau jaga baik-baik kedua-dua mata yang telah aku berikan kepadamu.”

Gadis itu menangis dan menyedari kebodohannya, betapa besar pengorbanan kekasihnya selama ini tapi kekasihnya telah pergi dengan membawa luka dihati.

* Cerita ini banyak versi dan olahan, mungkin cerita ini sama dengan cerita yang lain. Namun, anggaplah cerita ini sebagai ikhtibar untuk kita, bila dah berjanji, kotakan janji, bila setia... teruskan setia... ingat, cinta itu datang dengan mudah, namun pengorbanan itu susah, hargailah insan yang anda sayang. :)

urut badan vs urut hati


Gentarasa

Urutannya tidak seperti biasa. Kali ini agak perlahan dan kurang bermaya. Sambil mengurut, dia bercerita. Cerita sedih yang dialaminya menjelang Hari Raya. “Wak” begitulah panggilan mesra saya kepadanya. Dia seorang pendatang dari negara seberang yang bekerja sebagai buruh binaan di projek perumahan berhampiran dengan rumah saya.

“Saya tidak sangka ustaz, isteri saya buat begini…” katanya sambil mengurut tangan kanan saya. Saya mula mengenali Wak sejak anak lelaki saya tergeliat kakinya dan kami sama-sama mencari tukang urut. Kami temui Wak melalui perbualan dengan seorang kawan tentang adanya seorang tukang urut yang ‘handal’ di pinggir taman tempat kami tinggal. Sejak hari itu, dia akan datang mengurut secara tetap sebulan sekali di rumah saya. Kadangkala bukan kerana sakit, tetapi hanya untuk mengekalkan hubungan saudara seagama.

“Hampir sepuluh tahun saya bekerja di sini, hampir semua hasil pendapatan saya kirimkan kepadanya. Ustaz pun lihat betapa saya begitu berjimat kerana hendak menyenangkan hidup isteri di kampung.”

“Wak memang suami yang setia…” balas saya.
“Malangnya, isteri saya tidak ustaz. Saya dikhianati!”

Setelah sepuluh tahun bekerja di Malaysia, Wak tekad untuk membawa isterinya hidup bersama diperantauan. Biar susah senang, hidup bersama. Begitu azam Wak. Lalu dia bekerja lebih keras lagi, mengumpul wang untuk mendapat visa, tambang dan segala prasarana buat isteri tinggal bersama di Malaysia. Disediakannya bilik dan segala peralatan yang perlu di celah-celah rumah kongsi di tepi tapak projek perumahan dia bekerja. Wak impikan isteri menjadi ‘ratu’ penghias istana hatinya!

Akhirnya Wak berjaya membawa isterinya ke Malaysia. Betapa gembiranya dia saat itu dapat saya rasakan semasa dia mengurut saya sebaik sahaja pulang daripada ‘mengambil’ isterinya.

“Isteri saya sudah di rumah sekarang. Bulan hadapan dia akan mula bekerja.”
“Tahniah Wak,” kata saya sambil merenung matanya yang bersinar. Bayangkan selama sepuluh tahun berjauhan (pulang hanya sekali setahun), kini Wak tinggal bersama isteri. Biarlah bilik di rumah kongsi itu sempit, tetapi bagi Wak, dapat bersama isteri itupun sudah satu kelapangan.

Namun sayang, hanya 6 bulan kemudian… Menjelang Hari raya…
“Dia lari ikut lelaki lain ustaz. Saya ditinggalkan. Saya dapat tahu juga semua harta yang saya belikan untuknya di kampung halaman kami pun turut dijualnya. Saya kosong ustaz. Hati saya kosong, harta saya kosong,” luah Wak hampir menangis.

Spontan tangan saya memegang tangannya. Saya pegang dan genggam erat tangannya. Saya terlupa bahawa saya masih diurut.

“Wak… Allah ada, akhirat ada.”
Itu sahaja yang dapat saya katakan. Saya juga kehilangan kata-kata.
“Ustaz, saya tak layak bersamanya… Saya tak segak. Saya tak kaya. Saya hanya buruh.”

“Tidak Wak. Bukan Wak yang tidak layak dengannya tetapi dia yang tidak layak untuk Wak!” jawab saya tegas. Mata Wak yang redup saya renung. Kulit tangannya yang kasar dan lengannya yang calar balar kerana bekerja keras itu saya pegang. Terasa dia seperti adik sendiri. Ya Allah, berikan ketabahan buat hamba-Mu yang satu ini.

Bukan sehari dua saya mengenal Wak. Dia kuat berpegang kepada agama. Dia tidak merokok, berjudi, minum arak jauh sekali. Solat dan puasanya dijaga. Walaupun dia tinggal bersama kawan-kawan yang berbagai-bagai ragam, di tempat yang terdedah dengan pelbagai kejahatan dan maksiat… tetapi Wak ada ‘class’ tersendiri. Dia umpama permata di celahan kaca. Jangkamasa sejam, kadangkala sampai mencecah dua jam, sepanjang mengurut saya sering dipenuhi oleh ‘diskusi’ agama. Saya dapat banyak maklumat dan ilmu tentang Islam di kampung halamannya.

Wak juga sebenarnya pelajar ‘separuh jalan’ pesantren (semaam pondok agama) di kampungnya. Kesempitan hidup ditambah kedua orang tuanya yang tidak mampu bekerja lagi menyebabkan Wak merantau ke Malaysia. Dia ‘talian hayat’ untuk membantu keluarganya yang melarat.  Bayangkan, dengan rezeki hasil membanting tulang empat keratnya, akhirnya dia bukan sahaja dapat membina rumah untuk orang tuanya tetapi dapat menghantar ayahnya mengerjakan haji.

“Wak ingat cita-cita Wak yang pernah Wak ceritakan pada saya?” kata saya memecah kesunyian akibat melayan fikiran dan lamunan maing-masing.
“Ingat ustaz, saya ingin menunaikan haji!”

“Ya, inilah masanya. Sekarang Wak hanya ada satu cita-cita sahaja… pergi haji. Pergi menuju Allah,” giat saya bersemangat.
“Wak, Allah sedang uji Wak… Uji cinta namanya,” tambah saya lagi.

“Ah, ustaz… saya sudah tua. Cinta bukan untuk saya lagi,” kata Wak tersenyum. Gembira hati saya melihat dia senyum, walaupun saya percaya itu susah sungguh. Tetapi bagi saya itulah senyum yang paling mahal… senyum ketika diasak kesedihan. Kulit pipi Wak yang kering kerana sentiasa dipanah sinar matahari sewaktu bekerja itu nampak berseri.

“Allah putuskan cinta Wak dengan isteri untuk Wak menyambung cinta dengan Allah.”

“Ustaz, saya tak pernah salahkan Tuhan atas apa yang menimpa saya ini. Saya sabar ustaz. Mesti ada yang baik-baik, yang belum saya ketahui di sebalik yang pahit-pahit ini.”

“InsyaAllah, Wak. Kita yakin Tuhan tidak menzalimi kita. Tetapi Tuhan sedang dan sentiasa mendidik kita. Kita usaha jadi orang baik Wak, insyaAllah orang yang baik-baik akan menjadi pendamping kita. Nak jadi baik, susah… nak dapat yang baik pun susah…perlu diuji.”

“Itulah ustaz, ada kawan-kawan saya datang mengapi-apikan saya…”
“Apa mereka kata Wak?”

“Mereka cadangkan saya bertindak. Cari lelaki dan isteri saya dan hukum atas kecurangan itu.”
“Apa kata Wak?”

“Bukan mudah mencari mereka. Malaysia luas. Masa dan pergerakan saya terbatas. Kerja saya banyak. Lagipun, ibu saya di kampung sakit… perlu biaya. Saya perlu terus bekerja. Kalau saya caripun, jika dapat, tapi kalau hati dia sudah tidak suka pada saya, apa gunanya? Saya sudah banyak kehilangan masa, harta disebabkan dia. Biarlah ustaz.”

“Wak, dia tidak layak buat Wak. Sekarang tekad, pertama cinta Allah. Kedua, cinta ibu-bapa. Kumpul duit untuk dua perkara itu saaja. Satu, untuk pergi haji. Kedua, untuk biaya berbakti buat orang tua. Jaga Allah Wak, nanti Allah jaga kita…” kata saya memberi semangat. Jauh di lubuk hati saya, saya berharap akan ada orang yang akan berkata begitu apabila saat saya diuji. Saat itu pasti tiba, kerana hidup memang untuk diuji.

“Apa doa atau bacaan untuk tenangkan hati ustaz?”
“Wak jaga solat. Kemudian, kuatkan doa. Doa pertama, minta supaya Allah beri kecintaanNya. Kedua, minta Allah berikan cinta orang yang menyintaiNYa. Dan ketiga, minta diberi segala jalan dan perbuatan yang boleh membawa kepada kecintaanNya. Pokok pangkalnya ini semua doa cintalah Wak!”

Wak termenung. Diam. Tetapi wajahnya tidak semuram sebelumnya.
“Wak, luka hati ini mengambil masa sedikit… tetapi saya yakin Wak akan sembuh dengan cepat.  Bila susah, datang rumah ni. Saya nak urut lagi. Kerja pun satu cara penyembuhan. Bila sibuk kerja, tak sempat rasa sedih.”
“Betul ustaz. Saya urut badan, ustaz urut hati saya…”

Saya senyum. Tetapi di dalam hati diterjah satu pertanyaan. Saya? Siapa pula yang urut hati saya apabila diuji? Justeru, bukan sahaja Wak yang telah diuji

Kita semua pasti diuji… ujian cinta!

HUDUD ----> hanya yang bersalah takut!


Apa yang nak ditakutkan…? Hudud dan Qisas…ini faktanya 
  Hanya melibatkan penganut beragama Islam, orang yang bukan Islam tidak terlibat, kecuali jika mereka memilih untuk terlibat. 
  Hanya orang Islam yang telah dewasa & sempurna akal fikiran yang terlibat. Kanak-kanak dan yang sakit mental tidak terlibat 
  Apabila sabit kesalahan oleh Mahkamah Syariah 


Hanya melibatkan beberapa perkara sahaja, iaitu: 
  MENCURI 
  MEROMPAK / MENYAMUN 
  BERZINA 
  MENUDUH ORANG BERZINA 
  MINUM ARAK 
  MURTAD  
  QISAS / BALASAN SETIMPAL (Bunuh/ cedera anggota)
***Sekali lagi, orang Islam sahaja…. 


Apakah bertentangan hak asasi…? 
Tujuan Hudud & Qisas adalah untuk menjaga hak asasi manusia, iaitu 5 hak asasi yang asas: 
  Menjaga agama 
  Menjaga nyawa 
  Menjaga harta 
  Menjaga akal fikiran
  Menjaga keturunan/maruah

Oleh itu tuduhan bahawa Hudud bertentangan dengan Hak Asasi Manusia
adalah tidak berasas sama sekali


Adakah perempuan mengandung akibat rogol akan dituduh zina?
  Menghukum ‘mandatori’ pesalah zina begitu sukar sekali. Ia memerlukan 4 
saksi lelaki Islam yang melihat dengan mata kepala sendiri dan bersumpah 4 kali. Orang yang membuat tuduhan zina tanpa bukti kukuh boleh dirotan 80 kali.
  Perempuan mengandung dan mengadu dia mengandung akibat dirogol.. Siapa yang berani menuduh dia berzina (seks sukarela)?? Alamatnya, nak kena 80 rotan..
  Perempuan sabit dirogol tidak disabit berzina.
  Perempuan mengandung kerana dirogol tidak boleh dituduh berzina kecuali si penuduh boleh mendatangkan 4 saksi sahih.


Wanita hamil tanpa suami, setelah disiasat mengaku berzina, Adakah wanita sahaja akan dirotan(rejam) & si lelaki terlepas kerana kononnya wanita tidak diterima kesaksiannya?
  Kebanyakan ulama’ Islam menerimafakta `mengandung tanpa nikah sebagai satu daripada bukti berzina.  
  Sekiranya `mengandung tanpa nikah’ diterima sebagai salah satu bukti zina, sudah tentu maklumat yang diperolehi daripada kandungan tersebut juga dapat dijadikan bukti kukuh menuduh pihak lelaki.
  Melalui teknologi moden, DNA bayi dapat ditentukan dan bapa bayi dapat 
dicari. Oleh itu pihak perempuan tidak perlu bersusah payah lagi menuduh dan 
bersaksi, sebaliknya mahkamah lah yang akan menjadikan bayi kandungannya 
sebagai saksi bagi menuduh pihak lelaki. 
  Pemeriksa DNA hendaklah orang Islam yang baik dengan jumlah yang
mencukupi. Hukuman tidak boleh dijalankan kepada wanita mengandung 
& menyusukan anak, sebaliknya akan dilakukan selepas itu
  Kesaksian wanita tidak 100% ditolak,  sebaliknya terdapat beberapa 
pengecualian yang ditentukan ulama’.


Adakah ramai pencuri akan kudung tangan?
  Hanya pencuri yang betul-betul NEKAD menjadi pencuri sahaja yang boleh 
dikenakan `mandatori’ potong tangan. Iaitu mereka yang memecah masuk 
bangunan, mencuri dan merompak barang yang disimpan dengan selamat.
  Mencuri barang yang disimpan, disembunyikan.
  Barang dicuri mencukupi kadar nisab (Hitungan nilai wang/emas yang 
tertentu oleh pemerintah)
  Latarbelakang pencuri (bukan kerana sebab tertentu seperti kelaparan, 
hubungan keluarga akrab atau lainnya).


Apakah orang ramai boleh menangkap dan memotong sendiri tangan pencuri?
  Tidak boleh sama sekali menjatuhkan hukuman sendiri.
  Hanya hakim yang dilantik yang boleh membicarakan tertuduh mensabit dan menjatuhkan hukuman. Orang ramai boleh menangkap orang yang disyaki 
penjenayah tetapi hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa.


Adakah Mahkamah Syariah perlu rombakan serius?
  Mahkamah Syariah hanya perlu dinaik taraf supaya boleh membicarakan kes-kes Hudud & Qisas serta dibenarkan menjatuhkan hukuman dan
menjalankan hukuman.


Adakah kedudukan hakim bukan Islam terjejas?
  Tidak terjejas langsung. Mereka ada ribuan kes lain untuk diselesaikan di
mahkamah sivil.
  Sehingga sekarang tempoh menunggu perbicaraan pun memakan masa 
bertahun-tahun, menunjukkan banyaknya kerja hakim mahkamah sivil.Masih banyak kes sivil boleh dijalankan.

 Adakah kedudukan Peguam bukan Islam terjejas?
  Peguam bukan Islam mempunyai banyak kes untuk dikendalikan di 
mahkamah sivil. 
  Tertakluk kepada enakmen undang-undang syariah negeri-negeri, Peguam 
bukan Islam juga boleh dilantik oleh anakguam/tertuduh bagi kes di bawah 
Undang-undang Syariah.
  Hanya para hakim/qadhi yang dimestikan terdiri daripada orang  Islam 
yang adil selain syarat-syarat lain yang wajib pada Hakim/Qadhi.

Adakah orang bukan Islam langsung tidak boleh jadi saksi?
  Dalam kes yang 100% melibatkan orang Islam, saksi bukan Islam tidak boleh. 
  Tetapi dalam kes melibatkan orangbukan Islam (cth: Penjenayah beragama 
Islam merompak orang bukan Islam). Sudah tentu saksi bukan Islam, peguam 
bukan Islam akan di terima sekiranya mangsa bukan Islam itu mahu pesalah
dibicarakan dibawah Undang-undangJenayah Syariah.


Tertuduh yang sabit kesalahan, boleh merayu lagikah?
  Sudah tentu boleh. Macam biasalah.. Selagi hukuman tidak dijalankan. Selagi itulah peguam tertuduh boleh merayu ke Mahkamah Syariah dan Hakim yang lebih tinggi.
  Keluarga pihak pendakwa pula ada hak untuk memaafkan pesalah sekiranya mereka ingin berbuat demikian.


Bolehkah keputusan hakim dibantah?
  Membantah keputusan hakim hendaklah melalui prosedur mahkamah 
juga. Tidak boleh melalui tulisan awam  atau demonstrasi awam kerana ia akan menggugat kedaulatan undang-undang.


Adakah ekonomi akan terjejas?
  Ekonomi akan bertambah baik kerana kes-kes rompakan dan kecurian akan 
turun dengan drastik.
  Masyarakat akan berasa lebih aman dan selamat, seterusnya lebih rajin bekerja.


Adakah pelancong akan berkurangan?
  Pelancong datang bukan untuk mencuri, merompak atau membunuh tetapi 
mencari kerehatan atau berniaga. 
  Keselamatan mereka lebih terjaga daripada pencuri, peragut dan 
penjenayah dibawah Hudud. 
  Pelancong bukan Islam masih boleh minum minuman keras sekiranya agama mereka tiada halangan.
  Pelancong yang suka mencari pelacur untuk berzina bukan pelancong yang 
kita mahu… Mereka menyebarkan HIV/AIDS dan moral yang hina…
  Secara keseluruhan bilangan pelancong akan meningkat kerana suasana aman.
  Pelancong makin meningkat keranalebih selamat dan terjamin.


Apa akan jadi pada minuman keras?
  Orang bukan Islam boleh meneruskan aktiviti minuman keras tetapi hendaklah menghormati orang Islam.
  Sebarang hal berkaitan minuman keras hendaklah tidak membabitkan orang Islam.


Adakah masyarakat bukan Islam akan terjejas?
  Tidak akan terjejas.  
  Sebaliknya bangunan, kilang, premis, jiwa/diri orang bukan Islam dan harta 
orang bukan Islam akan lebih terjaga kerana  penjenayah akan berkurangan. 


Apakah Muslim dan bukan Muslim akan berpecah kerana hukuman berbeza?
  Selama ini pun orang Islam dan bukan Islam memang ada perbezaan. Tempat ibadat berbeza, makanan & minuman berbeza, cara kahwin berbeza, 
mengurus mayat berbeza dll tetapi bukan kerana mengikut bangsa.
  Hudud tidak akan memecahkan Islam dan bukan Islam hanya kerana terdapat dua sistem kehakiman iaitu Mahkamah Sivil dan mahkamah Syariah.


Kenapa orang PAS nak sangatlaksanakan Hudud?
  Kerana PAS berpegang kepada perintah Allah SWT. Hudud sama juga seperti sembahyang, puasa, zakat dan Haji. Perintah Allah di dalam al-Quran yang wajib dikerjakan oleh orang-orang Islam. (al Baqarah ayat 38)
  Hukum melaksanakan Hukuman Jenayah Syariah Hudud dan Qisas adalah 
Fardhu (wajib).
  Pengajaran agama oleh PAS adalah jelas.PAS mahu membetulkan tanggapan dan akidah umat Islam.
  PAS yakin dengan hukum dan peraturan Allah boleh menjamin kehidupan 
manusia seluruhnya.
  PAS percaya, Allah jadikan manusia dan jadikan peraturan/ hukum untuk 
menjamin kesejahteraan manusia dan mengelak dari gejala sosial. Seperti juga sembahyang, puasa, zakat dan Haji yang tidak mengganggu orang bukan Islam, Hudud juga tidak akan mengganggu orang bukan Islam.
  Dengan perlaksanaan Hudud dan Qisas, negara akan menjadi aman dan 
makmur, rakyat akan hidup selesa, rezeki akan melimpah ruah yang akan 
dinikmati oleh semua kaum kerana kadar jenayah akan turun dengan 
drastik. Itulah janji Allah yang telah terbukti dalam sejarah. 
  PAS berusaha agar orang bukan Islam turut memahami dan menghormati 
konsep hukum Islam.


Kenapa sebahagian orang lain (Khususnya di kalangan orang UMNO) tak mahu melaksanakan?
  Mempunyai agenda politik.
  Pengetahuan tentang Islam kurang jelas.
  Kefahaman lemah walaupun mengetahui bahawa itu hukum Allah.
  Diputarbelitkan oleh golongan ulama dalam UMNO sendiri.
  Mereka membaca al-Quran yang sama dengan yang dibaca oleh orang PAS 
tetapi tiada keyakinan. Ulama UMNO terlalu takut untuk berkata benar
  Penghayatan agama dan terapan nilai keyakinan pada Allah tiada atau lemah sangat. Mereka lebih yakin pada hukum-hukum yang dibentuk oleh akal dan kesan peninggalan penjajah.


Adakah pelaksanaan HUDUD akan meningkatkan jenayah?
  Jenayah akan berkurangan kerana itu peraturan Allah (Pencipta manusia
sendiri).
  Terjamin agama, jiwa (nyawa), akal, harta, keturunan.
  Gejala sosial berjaya dibendung Masalah kekeluargaan akan terhindar.
  Bebas dari pertikaian, permusuhan antara kaum, bangsa dan aliran
pemikiran. 


Adakah orang bukan Islam perlu beri sokongan?
  Masyarakat Non-Muslim perlu beri sokongan supaya masyarakat muslim 
dapat mempraktikkan agama anutan mereka.
  Kalau orang bukan Islam boleh membantu orang Islam membina
masjid, membantu orang Islam membina bangunan ZAKAT, membantu 
orang Islam ke Mekah, maka orang bukan Islam juga boleh membantu 
orang Islam laksanakan Hudud.
  Jikalau Hudud dapat dilaksanakan oleh orang-orang Islam, orang bukan Islam akan sama-sama dapat merasai keamanan dan keberkatannya..

p/s- sila sebarkan! Jazakallah