Dalam suatu riwayat diceritakan bahawa Abu Zar memanggil Bilal bin Rabbah dengan gelaran ‘wahai anak hitam’, satu ungkapan amat menghiris hati Bilal apabila mendengar panggilan itu mendiamkan diri dan tidak membalas panggilan Abu Zar.
Sebagai manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan, Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah SAW untuk membuat aduan berkaitan perkara itu. Selepas mendengarnya, muka Baginda kelihatan berubah. Rasulullah SAW terus ke tempat Abu Zar berada tetapi hanya lalu saja dan terus ke masjid.
Mengetahui bahawa Rasulullah marah padanya lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah SAW . Baginda Nabi kemudian menyebut: ” Wahai Abu Zar, kamu menghina Bilal dan menghina asal-usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal-usulnya ialah orang jahiliah sebelum masuk Islam dan sesungguhnya dalam diri kamu masih ada sisa jahiliah”
Abu Zar RA berasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar menangis dan merayu kepada Rasulullah SAW dengan berkata: “Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan mintalah Allah ampunkan dosaku…”. Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal lalu dipeluknya sambil memohon maaf kepadanya. Tidak cukup dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata: ” Demi Allah wahai Bilal, aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kamu pijak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina”.
Bilal kemudian mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkat dari tanah. Mereka berdua berpelukan penuh kasih sayang.
Pengajaran daripada kisah ini ialah, jangan sesekali kita menghina orang dalam apa bentuk sama ada perkataan ataupun perbuatan kerana emosi dan perasaan seseorang tidak boleh diperdagangkan dengan bayaran ganti rugi walaupun lumayan.
"Terima kemaafan dan suruh dengan perkara yang baik serta berpaling (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil." (Surah al-Araf, ayat 199)