Khamis, 29 Ogos 2013

Sama le

Selalu nak cakap macam ni, Alhamdulilah ada insan yang tolong khidmatkan pemikiran ini menjadi tulisan alam maya.  

Nice to read you guys.
Ya, ada yang anda boleh setuju ada yang tidak, well dia bukan Nabi. 

credit: Ibnu Batoota

~Pemikiran Melayu~

Status ini bukan untuk puji diri sebab ketahuilah sesungguhnya aku ini lebih hina dari anjing kurap yang berlumpur...tidak ada satu pun perkara yang boleh dibanggakan dalam diri aku dan aku hanyalah makanan ulat dalam perut bumi tak lama lagi,perut aku hanya dipenuhi najis,tubuh badanku hanya dipenuhi darah dan pelbagai kotoran lain...

Jadi mana mungkin aku layak untuk memuji diri sendiri...

Tapi status ini ditulis sebagai sebuah perkongsian motivasi untuk kita umat Islam memahami hakikat sebenar kekuatan kita sebagai orang Islam...

Bermula sejarah nama "Ibnu Batoota" ni sebenarnya diberikan oleh seorang ulama hadis dari india merangkap guru aku atas sebab aku telah travel ke banyak negara (lebih kurang 10 negara) pada usia yang sangat muda masa itu...

Sebab utama aku suka travel ialah untuk menghapuskan kejumudan(minda sempit) dan meluaskan pengalaman serta untuk mengenali manusia,berdakwah dan ziarah para ulama...

Aku sudah bertemu dengan manusia yang datang dari pelbagai negara,lebih kurang 65 negara. Dan aku ketahui pelbagai ragam manusia dan keadaan umat sedunia.

Sejak kecil aku memang suka berfikir sesuatu diluar jangkauan pemikiran. Kerana aku terpengaruh dengan cara pemikiran para Sahabat Nabi dan tokoh islam lainnya...

Aku sangat teruja dengan pemikiran matang para tokoh Islam...ada yang memimpin empayar besar dan menjadi panglima perang dalam umur 20-an, ada yang bercita-cita syahid seawal umur 10 tahun,ada yang berperang seawal umur 15..

Demi Allah hal ini sangat berbeza dengan umat so-called "muslim" pada hari ini yang masih sibuk dengan dunia cintan cintun masa umur 15..

yang umur 16 sibuk nak jadi gengster sekolah..

yang umur 17 sibuk nak jadi mat rempit..

yang umur 18 sibuk jadi kuli untuk dapat gaji kecik dan beli baju fesyen terkini,gajet terbaru..semua nak bergaya,tapi poket kosong..(Baguslah jadi kuli daripada merompak)...

Aku masih ingat masa lepas SPM dulu,semua kawan-kawan sebaya aku sibuk nak carik kerja...

Aku pulak sibuk cari pekerja untuk bekerja kat company aku yang aku daftar lepas SPM atas nama mak aku.. Aku jadi boss muda masa tu...

Bila duit dah banyak,aku keluar dari bumi Malaysia pergi melihat dunia seawal umur 18...

Kini aku sedang terbaring sebagai seorang bapa yang ada baby comel tengah meniarap atas perut aku sambil aku tulis status ni ketika aku berumur 23 tahun...

Memang hakikatnya aku masih muda...

Tapi aku kira mungkin tak ramai anak muda yang punya pengalaman yang sama macam aku...

Dari pengalaman ini,aku dapati kaum-kaum majoriti di sesebuah negara yang aku pergi,mesti jadi kuli..manakala yang jadi boss pulak adalah golongan minoriti...

Bila aku lihat Malaysia yang majoritinya MELAYU...memang itu lah hakikatnya...ramai melayu jadi kuli dan yang buat bisnes dan jadi boss pulak adalah golongan minoriti...

Kenapa kita tak boleh pecahkan mind set yang ditanam oleh penjajah dari otak kita?

Tadika-->sekolah-->universiti-->kerja

itu je tertib hidup kita dan anak-anak kita?

Kita tak perasan pun yang hidup kita sedang dicaturkan oleh "the hidden hand"...

Kita dicaturkan jadi "hamba" mereka sejak kita kecil...

Kita dijanjikan pelbagai peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan...

Jadi kita hantar anak kita ke sekolah,kolej,universiti bahkan berbangga bila anak-anak kita memakai jubah-jubah paderi semasa hari konvokesyen mereka dengan segulung ijazah "palsu" (I mean resit jubah)....

Sedangkan para Sahabat Nabi majoritinya adalah bisnesman dan mereka jadi boss..orang lain yang jadi kuli mereka..

Hari ini kita biar orang-orang kafir jadi bisnesman berjaya dan kita jadi kuli mereka,jayakan syarikat mereka,berpuas hati dengan jawatan-jawatan di syarikat mereka yang bergaji kecil....

Lihatlah orang kafir apabila mereka mencontohi Nabi dan para sahabat,mereka berjaya kuasai dunia..

Lihat pula orang islam,apabila mereka meninggalkan sunnah-sunnah Nabi dan gila royan nak ikut budaya orang kafir..maka dengan teruk mereka ditindas dan dihina..

Bila orang Melayu nak pecahkan mind set: "aku kena hantar anak aku pi sekolah,belajar rajin-rajin,dapat kerja bagus,senang hidup aku"...?

Kenapa kita mind set kan dalam minda kita bahawa anak-anak kita perlu menjadi hamba kepada orang?

Siapa di kalangan kalian yang mahu pecahkan mind set melayu kolot ini dan berazam untuk membuka empayar bisnes muslim sebesar-besarnya mengalahkan semua bisnes lain yang dimiliki orang kafir?

Siapa di kalangan kalian yang "faham" dengan jelas mesej yang ingin aku sampaikan?

Note: orang melayu kolot cakap: "kalau tak ada spm,diploma,degree,nanti besar nak makan apa?"

Aku pulak cakap: "majoriti jutawan dalam dunia ni adalah golongan yang tak habis sekolah pun...jangan hairan kalau pemegang sijil PhD menjadi kuli kepada ketua syarikat yang SPM pun tak amek dulu.."

*So atas sebab tu aku tak mahu anak-anak aku masuk sekolah...aku tak mahu orang luar set kan mind nya,aku lebih prefer home schooling agar aku sendiri boleh set kan minda dia apa patut dia buat dalam hidup dia!

Stop jadi hamba manusia!

Jadi lah hamba Allah sebenar-benar hamba!

Maka seluruh manusia akan menjadi hambamu!

hidayah

Syukur beberapa bulan lalu saya berkenalan dengan seorang Tan Sri. Hidupnya sebelum ini jauh dari amalan Islam. Anak 4 orang. 3 perempuan seorang lelaki. Semuanya tidak pernah solat. Solat dan amalan Islam tidak masuk dalam jadual hidup mereka melainkan puasa sahaja.

Sambil air mata bergenang beliau ceritakan saat 5 tahun lalu dia mula dapat keinsafan dan sedikit kesedaran katanya. Dia pergi belajar agama dan dakwah. Tapi keluarga sedikit pun tidak menghormatinya. Dia ajak anak-anaknya baca hadis tidak dipedulikan langsung. Isteri dan anaknya semua telah remaja tidak pedulikannya.

Pernah dia ajak anaknya, jawab anaknya ayah ni dah tua memanglah kena buat semua ini. Tapi janganlah over sangat. Dulu lain sekarang sibuk nak ajak-ajak orang. Plez yer...

Hatinya bergoncang hancur bila melihat anak-anak daranya yang hidup tanpa tujuan. Bila ditegur, kata anaknya dulu ayah pun selalu pergi sana. Dia bersabar, dan menangis setiap malam. Baca Hadis dalam rumah seorang diri tapi kuat sikit. Setelah istiqamah 2 tahun iseri dan anaknya mula rapat dan ikut beliau.

Kini isteri dan 3 anak perempuannya pakai tudung labuh. Dia menangis dan kata itulah harga bagi agama ini. Ia milik orang yang berusaha, berkorban , dna menangis. Siapa tidak ingin dan tidak buat usaha agama pasti tidak datang dalam hidupnya.

Dalam Al-Quran orang yang tidak hidupkan agama ini, Allah akan binasakan mereka dan gantikan mereka dengan kaum yang lain. Orang melayu di Malaysia ini telah diberi Islam ini begitu lama. Jika kita tidak bersyukur dan tidak mendakwahkannya takut Allah binasakan kita dan beri kepada orang lain yang lebih menghargainya. Semoga Allah jauhkan. Dan kekalkan hidayah untuk kita sampai kiamat - ebit lew

Selasa, 27 Ogos 2013

Kaya

Percaya tidak, acap kali apabila harta bertambah, kita  seolah-olah rasa bertambah ‘miskin’. Apabila mendapat bonus atau naik gaji misalnya, tiba-tiba semakin banyak yang kita inginkan. Kita merancang untuk membeli kereta baru, menukar perabot baru dan lain-lain. Keinginan kita menjadi semakin besar dan  bertambah.

Akhirnya duit yang bertambah menjadi susut akibat keinginan yang meningkat. Sungguhnya, orang yang miskin, bukan kerana kekurangan harta tetapi mereka yang banyak keinginan! Itulah akibatnya apabila bukan iman yang mengendalikan hidup kita.

Diri kita akan hilang kendali seumpama kereta hilang brek dan tiada kawalan. Kita masih mencari dan terus mencari kemewahan dunia sedangkan usia sebenar semakin singkat dan pertemuan kita dengan Allah semakin dekat. Hati kita tidak pernah kita gilap sebab kita masih ghairah memburu harta yang tidak ada kesudahan dan penghujungnya. Tidak salah memburu harta… burulah. Namun ingat, itu cuba alat, bukan matlamat.

Berhati-hatilah menjaga hati. Jangan pemburuan yang dahsyat itu sampai menjejaskan kesihatan hati kita. Jika dapat, bersyukur. Jika gagal, bersabar. Jangan sekali-kali, apabila harta bertambah, kita jadi semakin kufur dan takabbur. Jangan juga apabila gagal memilikinya, kita rasa putus asa dan kecewa. Sungguh, kufur, takabbur, putus asa dan kecewa itulah parasit yang akan menghilangkan ketenangan di dunia dan akhirat.

Dalam pengalaman hidup kita tentu pernah melihat penghuni rumah besar tetapi hatinya sempit. Air mukanya muram, mudah marah dan pantang terusik… mudah marah dan melenting. Apabila kita bertamu di rumah, layanannya layu dan kemesraan dibuat-buat. Dia sentiasa memonopoli perbualan. Makan dan minum yang dihidangkan, bukan dari hatinya. Semuanya kaku oleh basa-basi yang dicorakkan adat dan kebiasaan semat-mata. 

Ironinya, sikaya kehilangan ‘sentuhan kemanusiaan’  di rumahnya yang lapang, akibat jiwanya yang  terhimpit. Namun, lihat  betapa ada simiskin yang begitu ceria melayan kita. Rumahnya sempit tetapi ahli keluarganya mempunyai hati yang lapang. Dengan penuh senyuman, kemesraan dan kasih sayang yang sudah serasi dengan jiwanya itulah dia melayan kita. Dia tidak mengajak orang kagum dengan rumah besar yang tidak dimilikinya, tetapi sebaliknya dia ‘membesarkan’ jiwa   dan hati tetamu yang sedang diraikannya. Di rumah yang kecil, terasa luas apabila penghuninya punya ketenangan.

Jiwa kita akan disapa ketenangan oleh tuan rumah yang punya ketenangan. Dia mungkin tidak punya harta, tetapi kaya ilmu dan akhlak. Sikapnya yang sangat suka memberi menyebabkan kita terhibur. Dia memberi senyuman, nasihat, doa dan kata-kata yang mesra. Sungguh, yang baik akan sentiasa kelihatan cantik!

Betapa kita pernah mendengar keluhan, dulu tangan-tangan sering berjabat salam, solat berjemaah dan zikrullah sentiasa bergetar di dalam rumah yang sederhana tetapi apabila rumah bertambah luas, harta bertambah, perabot sudah bertukar dengan yang mahal-mahal… solat jemaah, bacaan Al Quran dan jabat salam yang dulunya menjadi basahan, kini sudah semakin kurang kedengaran dan segala-galanya menjadi semakin tawar dan longgar. Benarlah sabda Nabi Muhammad SAW bahaya kaya hati alah kaya sebenar, bukan kaya harta.

Orang yang memiliki hati yang begitu, cukup dengan yang sedikit, pemurah dengan yang banyak. Para sahabat Rasulullah ada yang dipuji kemurahan hatinya walaupun miskin hartanya. Sehingga apabila tetamu datang, dikecilkan cahaya lampu rumahnya agar tetamu dapat makan dengan secukupnya sedangkan dia dan ahli keluarga pura-pura sama memakan makanan yang sedikit itu di dalam cahaya yang samar-samar. Sebaliknya sikaya yang kaya harta tetapi miskin jiwa itu sentiasa rasa tidak puas sehingga tega menindas.

Hartanya sudah lebih dari cukup, tetapi dia terus memeras keringat orang lain untuk menjadi lebih kaya. Jika dia memberi, dia memberi dengan muslihat untuk mendapat lebih banyak. Kalau dulu dia punya masa untuk sahabat dan saudara, tetapi kini dia diburu kesibukan yang tidak sudah-sudah… Dulu harta yang cukup, sekarang hartanya tidak cukup-cukup. Tanpa sedar, sikaya yang sedemikian sedang menyusuri jalan Qarun. Jika Qarun ditenggelamkan dalam Laut Mati… tetapi pengikut-pengikut Qarun akan ditenggelamkan dalam hati yang mati.

Hati yang mati sentiasa diburu kesedihan dan ketakutan. Sedih kerana ditinggalkan saudara, sahabat malah oleh anak-anak dan isteri sendiri. Apa tidaknya, siapa yang suka berdamping dengan orang yang sentiasa sibuk, fikirannya sentiasa di tempat lain dan jiwanya yang sentiasa bimbang dan gelisah? Dunia moden menamakan mereka orang yang produktif, tetapi hakikatnya mereka orang yang sakit! Sungguh, alangkah azabnya punya hati yang sedemikian. Hati yang hilang rasa ingin membantu orang lain, hati yang sukar untuk empati kepada kesusahan orang sekeliling, hati yang sudah hilang nikmat persaudaraan dan persahabatan.

Orang yang cuba menukar kualiti jiwa dengan kuantiti harta pasti menderita. Dari Anas bin Malik r.a diriwayatkan Rasulullah SAW pernah bersabda:” Anak Adam yang telah pikun (nyanyuk) dan masih menginginkan dua hal; menginginkan harta dan menginginkan panjang usia.” (riwayat Muslim).
Lihat diri kita dan lihat manusia di sekeliling kita… betapa ramai sahabat, saudara, pemimpin, ahli agama dan ahli keluarga malah diri kita sendiri yang telah berubah apabila harta dan wang semakin bertambah. Marilah kita ingatkan kepada mereka dan kita yang sudah lupa, keinginan terhadap harta adalah dahaga yang tidak pernah sirna!

hati

Kita biasa mendengar dalam kuliah agama di masjid, surau, atau televisyen – hadis Rasulallah SAW yang maksudnya, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." 

Daging atau hati yang saya faham dari hadis ini merujuk kepada jiwa manusia. Jika sekadar daging atau hati organ manusia yang sakit, eloklah berjumpa doktor dan makan ubat. Tetapi jika jiwa yang sakit, memang banyak masalah yang bakal timbul.

Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini sering diulas oleh para agamawan mahupun pakar motivasi dalam pelbagai majlis dan program. Namun, sejauh manakah kita sebagai pendengar memahami intipati hadis ini khususnya yang terkait isu jenayah yang makin berleluasa pada hari ini?

Ya, semua orang akur bahawa penjenayah yang melakukan jenayah itu hatinya “rosak dan kotor”. Jika berdasarkan statistik dan laporan kejadian jenayah yang disiarkan di media massa, kita dengan mudah membuat kesimpulan bahawa kadar jenayah semakin meningkat.  

Perlu diingat jenayah bukan sekadar merompak dan mencuri – bahkan membuli, buang bayi, memukul isteri, menipu dan pelbagai macam.

Apakah penyelesaiannya? 

Kosong! Tiada jawapan! Kerajaan pusat bercadang menambah bilangan anggota polis demi menyeimbangkan nisabah antara polis dan penduduk. Kerajaan negeri Selangor pula memohon mewujudkan pasukan polis tambahan. 

Kerajaan juga melalui pelbagai agensinya bersiapkan untuk menambahkan lagi Closed-circuit television (CCTV). Selain itu, pelbagai kempen diadakan sama ada kerajaan mahupun swasta demi mencegah berlakunya jenayah. 

Semua tindakan dan cadangan itu bagus dan saya sokong. Namun, pada masa yang sama, sehingga kini tiada tanda-tanda kejadian jenayah akan menurun. Di manakah kelemahan tindakan tersebut?

Jawapannya ialah kembali kepada agama dan fahami dengan jelas hadis di atas tadi. Barangkali ada sesuatu yang kita terlepas faham.

Yang pertamanya, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa hanya melalui Islam sahajalah segala permasalahan ini dapat diselesaikan. Tetapi bagaimana? Orang boleh berhujah bahawa di Kelantan yang dipimpin oleh seorang ulama pun masih kerap berlaku kejadian jenayah berat, sama seperti negeri-negeri lain.

Ya, betul hujah itu. Namun, kita perlu melihat bahawa kuasa yang ada pada Menteri Besar Kelantan begitu terhad. Pihak keselamatan tidak berada di bawah bidang kuasanya. Sejauh mana yang beliau mampu buat?

Jika kita melihat kembali sejarah silam, Umar Abdul Aziz pernah menjadi gabenor (sekarang kira-kira setara Menter Besar), banyak manakah yang beliau mampu buat untuk membetulkan kerajaan Bani Umaiyah. Hakikatnya, Umar Abdul Aziz bukan calang-calang tokoh dalam kerajaan. Beliau merupakan menantu Perdana Menteri/Khalifah. Selepas bapa mertuanya meninggal dunia, iparnya pula menjadi Perdana Menteri/Khalifah. Sebagai gabenor, kuasanya terhad seperti Menteri Besar Kelantan juga.

Hanya setelah beliau dilantik menjadi Perdana Menteri/Khalifah barulah keadilan Islam dapat dikembalikan danditegakkan dalam pemerintahan.

Jadi, permasalahan ini hanya dapat diselesaikan hanya apabila Islam memerintah bukan diperintah! Islam bukan sekadar memberi nasihat tetapi mengeluarkan arahan! Mari betulkan minda kita bahawa para ulama tugasnya bukan hanya memberi nasihat kepada umara tetapi ulama mesti menjadi umara. Ulama mesti memimpin, bukan hanya sekadar makan gaji! Dan Umar Abdul Aziz adalah contoh seorang individu berstatus ulama dan umara sekali gus.

Tetapi jangan salah faham, Perdana Menteri tidak semestinya ulama! Ramai kalangan umara yang berjaya seperti Harun al-Rasyid, Sultan Saifudin Qutuz, Salahudin al-Ayubi, dan Muhamad al-Fateh. Mereka berjaya menegakan keadilan Islam apabila tunduk dan hormat kepada ulama (ulama tersebut tidak makan gaji dengan mereka) – segala teguran dan nasihat ulama tersebut dipatuhi!

Yang kedua, hadis tersebut menyatakan hati yang “rosak dan kotor” – biasanya kita lebih nampak kaitannya dengan orang yang melakukan jenayah seperti merompak bank, meragut beg tangan dan sebagainya sahaja. 

Namun, hadis tersebut menyentuh manusia secara umum, yakni hati yang rosak dan kotor tidak mengira darjat dan kedudukan. Kita jangan hanya berfikir hati penjenayah kecil-kecilan sahaja yang rosak. 

Kita juga sewajarnya jangan lupa bahawa hati yang rosak dan kotor itu boleh terpalit kepada para penguasa, perdana menteri, wakil rakyat, ketua jabatan, ketua kampung dan yang seumpamanya. Jika golongan ini rosak dan kotor hatinya kesannya lebih buruk berbanding penjenayah biasa. Pemimpin yang hatinya yang rosak dan kotor juga akan melakukan jenayah atau merompak. Cuma mereka tidak bawa pistol dan serbu kedai emas atau sebagainya.

Mereka mungkin merompak hak rakyat atas nama projek pembangunan, rasuah, salah guna kuasa dan bermacam lagi. Ya, sudah tentu kesannya lebih besar daripada perompak biasa. Jika pemimpin sudah rosak dan kotor hatinya, tidak mustahil  rakyat akan turut rosak dan kotor hatinya. Maka, terhidanglah pelbagai kisah jenayah setiap hari di media massa.

Jadi, pada pandangan saya, untuk mengatasi masalah jenayah yang berlaku wajarlah hati pemimpin yang rosak dan kotor itu dibersihkan dahulu. Jika ini berjaya dilakukan, maka secara beransur-ansur jenayah “orang kecil” menurun ke paras minimun, jika tidak dapat dihapuskan terus.

Isnin, 26 Ogos 2013

bisikan syaitan

Wahai anakku,
Aku tahu kadang-kala engkau terdengar suara di kepalamu. Suara itu menyuruhmu untuk tidak menunjukkan kerjamu selagi ia belum sempurna. Suara itu juga sentiasa menakutkan kamu bahawa kamu belum cukup bersedia.
Suara itu juga kadangkala menyakinkan kamu bahawa kamu takut dan tidak tahan menerima kritikan. Ada kalanya suara itu merendahkan keyakinanmu bahawa kerja yang kamu lakukan masih tidak cukup sempurna.

Suara itu juga kadangkala menyuruh kamu mengejar untuk memastikan segala ruang untuk kegagalan sudah ditutup sebelum kamu membuat sesuatu. Kebanyakan masanya, suara itu juga memujuk kamu mengejar untuk mengambil berat apa yang orang akan fikir dan cakap sehingga kamu tidak berani melakukan sesuatu.

Wahai anakku,
Sedarilah bahawa suara itu adalah bisikan syaitan yang akan membawamu jauh daripada kejayaanmu. Bisikan syaitan selalu menyebabkan kamu tidak dapat bergerak dengan perasaan malas dan perasaan mengejar kesempurnaan di mana kamu tidak boleh bergerak selagi perkara atau situasi yang kamu inginkan belum mencapai tahap kesempurnaan. Selagi perkara tidak sempurna, kamu akan duduk tidak melakukan apa-apa – itulah yang diinginkan suara tersebut.

Wahai anakku,
Jangan endahkan suara itu. Suara itu cuba menjadi sahabatmu, akan tetapi sebenarnya ia adalah musuhmu. Suara itu bukan melindungimu dari kegagalanmu tapi ia membawamu jauh daripada kejayaanmu.

Lawanlah suara itu, wahai anak kesayanganku. Jika kamu ingin melakukan sesuatu, katakanlah pada dirimu sekaranglah masanya, supaya suara itu tidak berpeluang untuk melengah-lengahkan hasrat dan usahamu.
Kamu mesti tekadkan hati dan lakukan perkara yang dirancangmu – yakinkan dirimu untuk berani mencuba dulu walaupun ada risiko kegagalan untuk menilai apa yang bakal terjadi. Pujilah diri kamu sekiranya ada yang mengkritik. Ingatlah hanya orang yang tidak berani melakukan apa-apa sahajalah tidak mendapat sebarang maklum balas. Jangan sesekali membiarkan suara itu menangguhkan kamu dan hasrat kamu untuk menuju kejayaan.

Wahai anakku,
Ingatlah bisikan syaitan yang meniup perasaan malas dan mengejar kesempurnaan sebelum melakukan sesuatu adalah jalan yang merosakkan kamu dan membazirkan masa pemberian Allah kepadamu di dunia ini. Lawanlah dia. Jangan biar suara itu menangguhkan hasratmu untuk mencapai kejayaan di dunia ini dan akhirat.
Senyum