Selasa, 27 Ogos 2013

hati

Kita biasa mendengar dalam kuliah agama di masjid, surau, atau televisyen – hadis Rasulallah SAW yang maksudnya, "Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." 

Daging atau hati yang saya faham dari hadis ini merujuk kepada jiwa manusia. Jika sekadar daging atau hati organ manusia yang sakit, eloklah berjumpa doktor dan makan ubat. Tetapi jika jiwa yang sakit, memang banyak masalah yang bakal timbul.

Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini sering diulas oleh para agamawan mahupun pakar motivasi dalam pelbagai majlis dan program. Namun, sejauh manakah kita sebagai pendengar memahami intipati hadis ini khususnya yang terkait isu jenayah yang makin berleluasa pada hari ini?

Ya, semua orang akur bahawa penjenayah yang melakukan jenayah itu hatinya “rosak dan kotor”. Jika berdasarkan statistik dan laporan kejadian jenayah yang disiarkan di media massa, kita dengan mudah membuat kesimpulan bahawa kadar jenayah semakin meningkat.  

Perlu diingat jenayah bukan sekadar merompak dan mencuri – bahkan membuli, buang bayi, memukul isteri, menipu dan pelbagai macam.

Apakah penyelesaiannya? 

Kosong! Tiada jawapan! Kerajaan pusat bercadang menambah bilangan anggota polis demi menyeimbangkan nisabah antara polis dan penduduk. Kerajaan negeri Selangor pula memohon mewujudkan pasukan polis tambahan. 

Kerajaan juga melalui pelbagai agensinya bersiapkan untuk menambahkan lagi Closed-circuit television (CCTV). Selain itu, pelbagai kempen diadakan sama ada kerajaan mahupun swasta demi mencegah berlakunya jenayah. 

Semua tindakan dan cadangan itu bagus dan saya sokong. Namun, pada masa yang sama, sehingga kini tiada tanda-tanda kejadian jenayah akan menurun. Di manakah kelemahan tindakan tersebut?

Jawapannya ialah kembali kepada agama dan fahami dengan jelas hadis di atas tadi. Barangkali ada sesuatu yang kita terlepas faham.

Yang pertamanya, sebagai orang Islam kita mesti yakin bahawa hanya melalui Islam sahajalah segala permasalahan ini dapat diselesaikan. Tetapi bagaimana? Orang boleh berhujah bahawa di Kelantan yang dipimpin oleh seorang ulama pun masih kerap berlaku kejadian jenayah berat, sama seperti negeri-negeri lain.

Ya, betul hujah itu. Namun, kita perlu melihat bahawa kuasa yang ada pada Menteri Besar Kelantan begitu terhad. Pihak keselamatan tidak berada di bawah bidang kuasanya. Sejauh mana yang beliau mampu buat?

Jika kita melihat kembali sejarah silam, Umar Abdul Aziz pernah menjadi gabenor (sekarang kira-kira setara Menter Besar), banyak manakah yang beliau mampu buat untuk membetulkan kerajaan Bani Umaiyah. Hakikatnya, Umar Abdul Aziz bukan calang-calang tokoh dalam kerajaan. Beliau merupakan menantu Perdana Menteri/Khalifah. Selepas bapa mertuanya meninggal dunia, iparnya pula menjadi Perdana Menteri/Khalifah. Sebagai gabenor, kuasanya terhad seperti Menteri Besar Kelantan juga.

Hanya setelah beliau dilantik menjadi Perdana Menteri/Khalifah barulah keadilan Islam dapat dikembalikan danditegakkan dalam pemerintahan.

Jadi, permasalahan ini hanya dapat diselesaikan hanya apabila Islam memerintah bukan diperintah! Islam bukan sekadar memberi nasihat tetapi mengeluarkan arahan! Mari betulkan minda kita bahawa para ulama tugasnya bukan hanya memberi nasihat kepada umara tetapi ulama mesti menjadi umara. Ulama mesti memimpin, bukan hanya sekadar makan gaji! Dan Umar Abdul Aziz adalah contoh seorang individu berstatus ulama dan umara sekali gus.

Tetapi jangan salah faham, Perdana Menteri tidak semestinya ulama! Ramai kalangan umara yang berjaya seperti Harun al-Rasyid, Sultan Saifudin Qutuz, Salahudin al-Ayubi, dan Muhamad al-Fateh. Mereka berjaya menegakan keadilan Islam apabila tunduk dan hormat kepada ulama (ulama tersebut tidak makan gaji dengan mereka) – segala teguran dan nasihat ulama tersebut dipatuhi!

Yang kedua, hadis tersebut menyatakan hati yang “rosak dan kotor” – biasanya kita lebih nampak kaitannya dengan orang yang melakukan jenayah seperti merompak bank, meragut beg tangan dan sebagainya sahaja. 

Namun, hadis tersebut menyentuh manusia secara umum, yakni hati yang rosak dan kotor tidak mengira darjat dan kedudukan. Kita jangan hanya berfikir hati penjenayah kecil-kecilan sahaja yang rosak. 

Kita juga sewajarnya jangan lupa bahawa hati yang rosak dan kotor itu boleh terpalit kepada para penguasa, perdana menteri, wakil rakyat, ketua jabatan, ketua kampung dan yang seumpamanya. Jika golongan ini rosak dan kotor hatinya kesannya lebih buruk berbanding penjenayah biasa. Pemimpin yang hatinya yang rosak dan kotor juga akan melakukan jenayah atau merompak. Cuma mereka tidak bawa pistol dan serbu kedai emas atau sebagainya.

Mereka mungkin merompak hak rakyat atas nama projek pembangunan, rasuah, salah guna kuasa dan bermacam lagi. Ya, sudah tentu kesannya lebih besar daripada perompak biasa. Jika pemimpin sudah rosak dan kotor hatinya, tidak mustahil  rakyat akan turut rosak dan kotor hatinya. Maka, terhidanglah pelbagai kisah jenayah setiap hari di media massa.

Jadi, pada pandangan saya, untuk mengatasi masalah jenayah yang berlaku wajarlah hati pemimpin yang rosak dan kotor itu dibersihkan dahulu. Jika ini berjaya dilakukan, maka secara beransur-ansur jenayah “orang kecil” menurun ke paras minimun, jika tidak dapat dihapuskan terus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan