Sabtu, 10 Ogos 2013

sedekah

Oleh Dr Aminudin Mansor
Islam menggalakkan umatnya bersedekah sama ada dengan wang, makanan mahupun barangan keperluan. Ia bukannya terbatas pada Ramadan sahaja, malah bulan lain juga kita dianjurkan melaksanakannya.
Kadar sedekah (sunat) yang hendak diberikan tidak ditentukan secara khusus oleh syarak, sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing. Namun, ia hendaklah daripada sumber yang halal. 
Begitu juga penerimanya tidak ditentukan kepada orang tertentu, bahkan sesiapa sahaja dikira miskin dan memerlukan kepada bantuan termasuk anak yatim, ibu tunggal serta mereka yang berjuang di jalan Allah seperti orang menuntut ilmu. 

Orang yang bersedekah sangat terpuji bahkan lambang sikap pemurah. Sementara mereka yang berkira untuk melakukannya disifatkan bakhil atau tangkai jering.
Orang yang bersifat bakhil sangatlah rugi. 
Firman-Nya bermaksud: “Dan sesiapa yang memelihara dirinya daripada sifat bakhil, maka mereka adalah orang yang beroleh kejayaan.” (Surah Al-Hasyr: 9) 

Mengenai keutamaan sedekah ini, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tidak seorang Muslim pun yang menanam tanaman kecuali apa yang dimakan adalah sedekah baginya dan apa yang dicuri daripada hasil tanamannya juga sedekah baginya dan tidak juga dikurangi oleh seseorang melainkan ia sedekah baginya sampai hari kiamat.” (Riwayat Muslim) 

Sedekah juga adalah amalan yang membawa keberkatan hingga ke akhirat. Malah, sedekah yang ikhlas dan berpanjangan dapat membantu sseeorang apabila dia meninggal dunia iaitu mendapat ganjaran pahala di akhirat kelak. 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila mati anak Adam, putuslah amalannya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkan untuk orang lain dan anak (baik lelaki mahupun perempuan) yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim) 

Betapa besar ganjaran orang bersedekah iaitu selepas meninggalkan dunia pun masih mendapat ganjaran pahala. Apakah ganjaran ini masih tidak mampu membangkitkan keinginan kita untuk bersedekah? 

Adakah kita masih menunggu sehingga ada orang datang untuk meminta barulah kita menghulurkannya sedikit kemudian beredarnya orang terbabit kita berkata itu dan ini seolah-olah tidak berpuas hati? 

Dalam hubungan ini, Imam al-Ghazali mengatakan: “Adab memberi sedekah hendaklah lebih dahulu memberi sebelum diminta. Sembunyikan pemberian saat memberi dan sesudah memberi. Sayangilah si peminta, jangan mendahului dirinya dengan penolakan.” 

Selanjutnya beliau menjelaskan: “Jangan menjawab dengan keraguan (mengata) dan jangan menjadikan diri dalam golongan orang yang bakhil. Dalam memberi atau menolak kepada peminta, lakukan dengan tutur kata yang baik dan halus.” 

Bagi orang yang meminta pula, janganlah bersikap kepura-puraan, tetapi jujur untuk mendapatkan pertolongan. Tunjukkan keperluan atau permintaan dengan tutur kata yang baik dan manis. 

Selepas diberi pada kadar tertentu, terimalah sedekah dengan kesyukuran dan jangan lupa mengucapkan ‘terima kasih’ walaupun yang diterima hanya sedikit. Doakan pula si pemberi dengan doa yang baik-baik. 

Jika permintaannya ditolak hendaklah dia pulang dengan lapang dada. Jangan terus meminta. Begitu juga jika ada surat dan kebenaran daripada pihak berkuasa, tunjukkan buktinya dan jangan sesekali menipu untuk mendapatkan sedekah. 

Namun, ada sesetengahnya sanggup berlakon daif, tak makan dan kebulur semata-mata ingin mendapat pemberian daripada orang lain, seolah-olah meminta sedekah itu suatu kerjaya menguntungkan. Perbuatan seperti ini sebenarnya dibenci agama dan masyarakat. 

Jika kita lihat kepada sejarah sahabat Nabi SAW, mereka sangat suka bersedekah. Mereka yang berkemampuan membantu golongan susah, sehingga masyarakat Islam tidak mengalami kesukaran hidup. 

Abd Rahman bin Auf pernah berkata: “Aku sangat khuatir kalau-kalau aku ini termasuk orang yang diciptakan mendapat kebaikan di dunia, tetapi tertahan tidak dapat menyusul temanku (di akhirat) disebabkan kekayaanku yang melimpah-limpah ini.” 

Beliau mempunyai harta kekayaan yang banyak seperti unta, kambing dan kibas. Beliau adalah seorang pedagang yang kaya dan besar perniagaannya. Harta kekayaannya digunakan dan dibelanjakan pada jalan Allah SWT. 

Pernah setengah daripada kekayaannya disumbangkan untuk perjuangan jihad bersama Nabi Muhammad SAW dan fakir miskin. 

Justeru, marilah kita sama-sama menetapkan niat supaya kita semua dapat mengikuti dan mengamalkan teladan hidup beliau, terutama bagi sesiapa sahaja di antara kaum Muslimin yang mendapat nikmat dan kurnia Allah SWT dalam bentuk kekayaan melimpah ruah. 


Penulis berkelulusan PhD Persuratan Melayu, UKM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan