DARIsemasa ke semasa saya akan menemuduga calon-calon wartawan Sinar Harian. Tidak ramai mereka yang terpilih untuk menghadiri temuduga. Sepuluh orang calon pun sudah dikira ramai kerana sekurang-kurang separuh hari diambil untuk menemuduga.
Bukan semua calon yang terpilih itu akan terus menerima tawaran. Ada yang meminta tangguh melapor diri, ada yang menolak kerana mendapat tawaran lain dan ada juga yang tak jadi terima kerana tidak mahu bertugas di daerah yang kami tawarkan. Tidak kurang juga yang mendiamkan diri atau mematikan telefon bila dihubungi di atas sebab yang mereka sendiri tahu. Pelik.
Lazimnya setelah calon-calon menyudahkan ujian IQ dan penulisan, temuduga lisan akan dijalankan. Selain daripada soalan-soalan mengenai isu-isu semasa, soalan saya turut berkisar mengenai kerja semasa mereka, apa yang mereka ingin lakukan bila diterima sebagai wartawan dan apa pelan kerjaya peribadi mereka. Soal gaji akan dibincangkan andainya saya mengesan potensi calon itu. Kemudian, saya pula akan membuka peluang buat calon untuk bertanya soalan pula.
Di sinilah ujian buat mereka. Sebenarnya, saya lebih gemar ditanya daripada bertanya. Ini ialah kerana, tugas sebagai wartawan adalah di antara kerja untuk orang yang pandai bertanya. Sebahagian besar daripada kehandalan seseorang calon itu dikesan dengan bentuk pertanyaan atau sepandai mana dia bertanya.
Andainya dia bertanya soalan-soalan mudah yang hanya memerlukan jawapan ‘ya’ atau ‘tidak,’ saya akan segera ucapkan terima kasih kepada calon itu. Sebaliknya jika dia bertanya soalan hingga saya terpaksa memandang siling untuk mencari jawapannya, maka saya tidak teragak-agak untuk mengambilnya menyertai team Sinar Harian.
Namun, berdasarkan pengalaman saya, tidak ramai calon yang pandai bertanya. Malah, ramai yang hanya menggeleng tidak mahu bertanya apabila diminta untuk menyoal. Di luar sana, di dalam majlis-majlis forum, wacana dan persidangan, tidak ramai di antara para peserta yang pandai bertanya mahupun mengemukakan persoalan ~ petanda ramai yang tidak cukup membaca atau membuat homework mengenai topik yang dibincangkan. Dalam pada itu, ramai pula yang mengambil peluang mengemukakan soalan dengan menjadi ahli panel pula dengan bersyarah panjang mengeluarkan pandangan.
Soalan adalah satu bentuk serangan. Menjawab pula adalah satu cara bertahan. Oleh itu, jika kita sentiasa rajin bertanya, maka besar kemungkinan kita boleh menjadi orang yang dihormati. Kerana itu, dalam dunia kejurujualan, salah satu teknik untuk menjual sesuatu barangan itu ialah dengan memulakan promosi dengan bertanya. Melalui pertanyaan, bakal pelanggan akan dipimpin untuk menjawab soalan-soalan yang akhirnya menunjukkan yang dia benar-benar mahukan produk yang dipromosikan itu. Dia akan membeli produk itu kerana dia sendiri yang kata yang dia perlukan produk itu.
Bertanya atau menyoal, sebenarnya mempunyai maksud yang berbeza. Bertanya lebih menjurus kepada komunikasi lisan secara tidak formal. Menyoal pula mempunyai konotasi komunikasi yang serius dan formal. Bertanya, dalam perhubungan tidak formal seperti dengan anggota keluarga dan rakan-rakan adalah petanda keprihatinan.
Andainya pertanyaan itu diutarakan kepada pihak yang lebih berautoriti, ia menggambarkan si penyoal itu berminat dengan apa yang disarankan oleh pihak atasan. Kerana itu, staf yang rajin bertanya itu mudah mendapat perhatian ketua.
Dalam pada itu, ada juga pertanyaan seseorang kepada seseorang yang lain itu bertujuan untuk menguji orang yang ditanya. Jika tidak pun, orang yang bertanya itu sebenarnya ingin memberi gambaran yang dia lebih tahu dari orang yang ditanya itu. Ada juga pertanyaan seseorang dalam sesebuah majlis itu bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dengan para hadirin. Dia sebenarnya sudah tahu jawapannya. Tetapi dia berharap, bila soalannya dijawab, para hadirin akan mendapat ilmu.
Bertanya itu lambang kecerdikan. Menandakan orang yang bertanya itu adalah insan yang sentiasa menyerap ilmu yang disampaikan melalui jawapan kepada pertanyaannya. Kanak-kanak yang bijak itu dapat dikesan melalui kerajinannya bertanya. Kerana itu, rajin-rajinlah bertanya.
Rasulullah s.a.w bersabda: “Ilmu itu seperti gudang, dan kuncinya adalah bertanya. Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberi rahmat oleh Allah Taala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertama orang yang bertanya. Kedua guru yang menjawab. Ketiga orang yang mendengar jawapan itu. Keempat orang yang cinta kepada mereka.” (Riwayat Ali bin Abi Tholib r.a)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan