Ahad, 18 Ogos 2013

4rata

PADA ketika ini ibu bapa sedang sibuk membuat persiapan untuk anak-anak mendaftar di Pusat Pengajian Tinggi sama ada IPTA atau IPTS, lain keadaannya dengan anak saya.

Walaupun beliau memperolehi CGPA 4.00 semasa mengikuti Program Asasi Sains (Hayat) di Universiti Malaya (UM), beliau gagal mendapat tempat di UM atau mana-mana IPTA dalam bidang perubatan sebagaimana yang dipohon mengikuti kelayakan dan minat beliau.

Beliau ditawarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang merupakan pilihan kelapan. Kenapa ini terjadi?

Kalau semasa memohon disenaraikan pilihan pertama hingga ke 12, dan selepas gagal untuk pilihan pertama, ke mana pergi pilihan kedua, ketiga atau keempat?

Atau adakah keputusan CGPA 4.00 masih dikira tidak layak untuk kursus perubatan?

Apabila dikemukakan persoalan ini kepada pihak UPU mereka mengatakan ini keputusan universiti sendiri. Apabila diajukan kepada universiti, dipersalahkan pihak Kementerian Pendidikan. Inilah jawapan 'standard' untuk melepaskan kepertanggungjawaban masing-masing.

Cadangan saya kepada pihak UM, sekiranya tempat untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah hanya terhad kepada beberapa ratus sahaja, tidak perlulah mengambil pelajar asasi sehingga beribu-ribu. Ukur baju di badan sendiri.

Jangan menjadikan pelajar sebagai bahan kajian dan jangan memberi harapan tinggi kepada pelajar yang akhirnya akan mengecewakan diri pelajar itu sendiri, terutama anak bangsa Melayu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20130814/fo_03/Anak-dapat-CGPA-400-gagal-ikuti-kursus-perubatan#ixzz2cLCUTkQ0
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan