FEBRUARI lalu, seorang kawan menghantar wang kepada anaknya yang menuntut di sebuah pusat pengajian terletak di sebuah kawasan pedalaman Jepun.
Oleh kerana wang tersebut hanya boleh dihantar ke satu-satunya bank kerajaan dan bukan komersial yang terdapat di pekan Tottori, 670 km dari Tokyo, maka ia perlu dilakukan dengan menghantar wang menerusi sebuah bank pelaburan Amerika Syarikat berpejabat di Kuala Lumpur.
Dalam lain perkataan, prosesnya melibatkan penukaran mata wang ringgit kepada dolar Amerika sebelum akhirnya di tukar ke yen Jepun.
Untuk memendekkan cerita, bagi satu amaun dalam ringgit yang dikirimkan pada bulan Februari, si anak telah memperolehi kira-kira 34,000 yen. Namun pada akhir Mei, ketika kawan itu menghantar amaun sama dalam ringgit, jumlah dalam yen diperolehi oleh si anak jauh lebih rendah dengan kerugian kira-kira RM100 bagi penghantaran bersamaan RM1,000.
Apa yang berlaku tentulah agak memeranjatkan. Setiap hari kerajaan Umno-BN menerusi Perdana Menterinya merangkap Menteri Kewangan, anggota Kabinet lain dan agensi kerajaan yang berhubung-kait dengan ekonomi membuat kenyataan tentang prestasi ekonomi Malaysia yang cukup memberangsangkan atau setidak-tidaknya mampu bertahan tatkala keadaan ekonomi global dilanda krisis.
Sebagaimana diketahui umum, prestasi ekonomi negara bergantung kepada banyak faktor. Apabila terdapatnya penurunan dalam mana-mana faktor, seperti eksport misalnya, maka prestasi ekonomi secara keseluruhannya turut terjejas,
Namun sementara para menteri dan agensi berkenaan sibuk memanupulasi perkataan bagi menggambarkan ekonomi Malaysia kebal dan kalis krisis-global, sejak Mei lalu ringgit Malaysia rupa-rupanya jatuh ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun akibat daripada kemorosotan nilai eksport, kelembapan ekonomi serta trend pelabur asing yang lebih memilih dalam menanam modal terutama dengan wujudnya pasaran aset baru yang lebih menjanjikan.
Sejak 9 Mei lalu, ringgit telah susut 8.8 peratus berbanding dolar Amerika dan menjadikan mata wang negara sebagai antara mata wang paling buruk prestasinya tatkala pelabur global menarik diri daripada melabur berlatar belakangkan ura-ura kerajaan Amerika Syarikat akan menghentikan rangsangan mata wangnya.
Begitupun cerita yang diselindungkan oleh kerajaan pimpinan Umno-BN tidak berakhir di situ. Kecuali kebanyakan pengundi Umno di kawasan-kawasan luar bandar yang kurang pendedahan kepada arus perdana ekonomi dunia dan mudah ditemberangkan oleh pemimpin Umno-BN, apa yang berlaku ke atas ekonomi Malaysia sebenarnya jauh lebih buruk daripada apa yang diperhebohkan.
Selain daripada penarikan diri pelabur global yang mengakibatkan kemorosotan nilai ringgit berbanding dolar Amerika, Malaysia juga berdepan dengan permasalahan ekonominya sendiri. Unjuran pertumbuhan ekonomi yang disemak dan dikurangkan kepada angka yang lebih rendah menandakan ada yang tidak kena dengan ekonomi Malaysia di sebalik kisah-kisah indah daripada lidah para menteri dan kenyataan agensi kerajaan dan media terkongkong.
Realitinya, ekonomi Malaysia ‘menyiput’ untuk sukuan pertama tahun ini dengan kadar terendah dalam masa tempoh tiga tahun. Sementara jumlah eksport merudum pada kadar terburuk dan menjejaskan imbangan dagangan dan tukaran wang asing, kerajaan pula terhutang sekian banyaknya dengan pihak asing. Menurut seorang pakar ekonomi Asia, hutang kerajaan Malaysia kepada pihak asing ialah dalam kiraan 49.5 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang.
Tidak lama dulu, Fitch Ratings, sebuah agensi pengkadaran global menurunkan pengkadaran-kredit Malaysia daripada ‘stabil’ kepada ‘negatif’ dengan menamakan pengurusan kewangan awam sebagai ‘kelemahan utama pengkadaran’.
Para penganalisis utama di seluruh dunia pula, termasuk Bank Dunia mengatakan Malaysia sedang berdepan dengan risiko mencatatkan defisit akaun semasa untuk pertama kalinya sejak 1997. (Beberapa minggu lalu, Bank Dunia telah menurunkan angka ramalan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk tahun 2013 ini dari 5.6 kepada 5.1 peratus).
Di sebalik senyuman ‘saya-tahu-apa-yang-perlu-dilakukan’ yang dipamerkan oleh Najib Tun Razak, ramai sangsi beliau benar-benar memiliki kemampuan, teknikal mahupun politik, dalam memperbetulkan keadaan yang melanda kini.
Dalam keadaan pengurusan ekonomi yang jauh daripada berhemah dan cermat serta dibumbui pula oleh pelbagai sogokan tunai yang tidak memberikan apa-apa impak kepada prestasi ekonomi negara, semakin jelas slogan ‘transformasi ekonomi’ Najib bukan sahaja jauh panggang dari api tetapi tidak lebih sekadar angan-angan seorang Menteri Kewangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan