Ahad, 2 November 2014

Fitnah

Kisah Imam Malik :: Tangan Si Pemandi Mayat Melekat Di Tubuh Si Mati ::

Pada zaman Imam Malik, terdapat seorang wanita yang buruk akhlaknya. Dia selalu tidur bersama lelaki dan tidak pernah menolak ajakan lelaki (pelacur). Tiba pada hari kematiannya, ketika mayatnya dimandikan oleh seorang wanita yang kerjanya memandikan mayat, tiba-tiba tangan si pemandi mayat itu terlekat pada batang tubuh jenazah wanita itu.

Semua penduduk dan ulama' gempar akan hal itu.Mana tidaknya, tangan si pemandi mayat terlekat sehingga semua orang di situ mati akal untuk melepaskan tangannya dari mayat wanita terbabit.
Terdapat berbagai cadangan dan pandangan untuk menyelesaikan masalah itu. Akhirnya ada 2 pandangan yang dirasakan sesuai tetapi berat untuk dijalankan.

Pertama, memotong tangan wanita pemandi mayat dan yang kedua pula tanam/kebumikan kedua-duanya iaitu pemandi mayat dan jenazah itu sekali gus.

Oleh kerana kedua-dua cadangan tersebut masih lagi kurang sesuai, salah seorang dari mereka mereka memutuskan untuk meminta pendapat daripada Imam Malik.

Imam Malik bukan calang-calang orang yang memberi fatwa. Apabila Imam Malik sampai dan melihat apa yang berlaku, Imam Malik bertanya kepada wanita pemandi mayat itu :

"Apakah kamu lakukan atau berkata apa-apa kepada si mati semasa memandikannya"?

Perempuan memandikan mayat tersebut bersungguh-sungguh menjawab bahawa dirinya tidak berbuat atau tidak berkata apa-apa pun ketika menguruskan jenazah.

Selepas diasak dengan berbagai pertanyaan dan takut tangannya akan dipotong atau ditanam sekali dengan mayat, akhirnya wanita pemandi mayat itu berkata bahawa dia ada berkata :

"Berapa kalilah tubuh ini telah melakukan zina sambil menampar-menampar dan memukul-mukul berkali pada batang tubuh si mati".

Imam Malik berkata : "Kamu telah menjatuhkan Qazaf (tuduhan zina) pada wanita tersebut sedangkan kamu tidak mendatangkan 4 orang saksi. Dalam situasi begini, di mana kamu nak cari saksi? Maka kamu harus dijatuhkan hukuman hudud 80 kali sebatan kerana membuat pertuduhan zina tanpa mendatangkan 4 saksi."

Semasa wanita pemandi mayat itu dikenakan hukuman, bila tiba sebatan yang ke 80, maka dengan kuasa Allah SWT, terlepaslah tangannya dari mayat tersebut...

PENGAJARAN :

Jaga lidah jangan sebarkan fitnah. Jangan bersangka buruk dengan kuasa Allah Taala. Kalau kita tahu dia itu seorang pelacur sekalipun, tapi kalau kita tak pernah lihat perbuatan zinanya, maka kita dilarang menuduhnya berzina. Diharap kisah Imam Malik dan Pemandi Mayat ini dijadikan sebagai tauladan dan ikhtibar.

Kerana itu ingatlah, apabila kita membantu menyebar sesuatu perkara buruk dalam masyarakat,negeri atau negara, yang mana kita tidak menyaksi dan tiada saksi, maka tunggulah suatu hari, kita akan menerima balasannya, walaupun peristiwa berlaku.
Berhati-hatilah semua dan jangan terjerat dengan jarum-jarum kejahatan.

Sabtu, 1 November 2014

10 batal solat

Solat merupakan antara kewajipan paling penting dalam kehidupan umat Islam. Nabi SAW diisrakkan ke langit untuk menerima perintah solat. Solatlah amalan pertama yang akan dihisab di akhirat kelak.Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama baiki mutu solat kita. Maksud hadis:

“Amal seorang hamba yang pertama kali dihisab kelak ialah solat, jika solatnya rosak, maka amal lainnya pun akan rosak.” (HR Thobrani)

Berikut merupakan kesalahan-kesalahan solat yang tidak kita sedari, berdasarkan hasil pembelajaran dan kajian saya selama ini. Semoga post kali ini memberi manfaat kepada kita, insya Allah…

Tidak berdiri lurus. Berdiri lurus bagi yang berkemampuan merupakan salah satu rukun solat. Apa yang diperhatikan, seseorang yang sakit tidak berdiri lurus semasa solat. Mereka terus duduk, tanpa berdiri lurus. Sewajibnya, mereka berdiri lurus dahulu, kemudian, barulah mereka boleh duduk. Ini adalah kerana mereka masih boleh berdiri dan berjalan! Macam mana mereka ke masjid sekiranya mereka tidak boleh berjalan? Perkara ini terkecuali sekerinya seseorang itu memang betul-betul tidak mampu untuk berdiri

Takbiratul Ihram dilafazkan dengan salah. Contohnya, bertakbir dengan lafaz ﭐﷲ di mulut, dan ﺃﻛﺒﺮ di dalam hati. Walhal, lafaz takbiratul ihram adalah RUKUN QAULI, maka, ia WAJIB dilafazkan 100% di mulut tanpa meninggalkan satu hurufpun dalam kalimah ﭐﷲ ﺃﻛﺒﺮ . Selain itu, sekiranya makhraj lafaz takbiratul ihram ini salah, maka ia boleh juga membatalkan solat. Contohnya, melafazkan takbiratul ihram dengan suara angin (seperti suara orang berbisik).

Terdapat kesalahan dalam al-Fatihah. Al-Fatihah merupakan RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul. Sekiranya membaca al-Fatihah dalam hati atau menggunakan suara angin, maka, ia boleh membatalkan solat.

Tidak thomakninah (berhenti seketika) dalam rukuk dan sujud. Kadar minimum untuk rukuk dan sujud adalah dengan kadar lafaz “subhanallah”. Maksud hadis:

“Seburuk-buruk pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya.” Sahabat bertanya, “Bagaimana caranya mencuri solat itu wahai Rasulullah?”

“Yaitu, yang tidak menyempurnakan rukuk, sujud dan bacaan di dalam solatnya” (HR Ahmad)

Sujud yang tidak sempurna, anggota sujud tidak dikenakan ke atas lantai. Tujuh anggota sujud tersebut adalah: muka (termasuk dahi dan hidung); kedua tapak tangan; kedua lutut dan penghujung 2 tapak kaki (ibu jari), sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

“Aku telah memerintahkan agar sujud keatas tujuh tulang: keatas dahi, dan beliau mengisyaratkan ke hidungnya, 2 tangan, 2 lutut dan pada penghujung 2 tapak kaki (ibu jari).” (Muttafaqun ‘Alaih)

Lafaz tahiyyaat akhir yang salah. Perkara ini merupakan antara kesalahan yang amat biasa dilakukan tetapi ramai yang tidak menyedarinya. Lafaz tahiyyaat wajib disebut dengan makhraj yang betul kerana ia adalah rukun qauli. Sekiranya lafaz tahiyyat itu dilafazkan dengan suara angin juga, ia akan membatalkan solat. Namun begitu, amat sukar untuk diterangkan berkaitan lafaz tahiyyat akhir yang betul di dalam ruang yang terbatas ini. Sebaik-baiknya, rujuklah guru agama yang hak.

Lafaz salam dibaca dalam hati, dilafaz dengan suara angin, atau melafazkan salam dengan makhraj dan huruf yang salah juga boleh membatalkan solat. Lafaz yang tepat adalah ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ (assalaamu’alaikum warahmatullaah). Sekiranya menyebut “asalaamu’alaikum”, “salaamu’alaikum”, menukar huruf ﻉ kepada ﺃ, huruf ﺡ kepada ﻫ, atau apa sahaja sebutan yang selain daripada ﭐﻟﺴﻼﻢﻋﻠﻴﻜﻢﻭﺭﺣﻤﺔﭐﷲ , ia akan membatalkan solat. Menyebut salam dalam hati juga boleh membatalkan solat, kerana lafaz salam pertama adalah rukun qauli, ia WAJIB dilafazkan 100% oleh mulut dengan makhraj dan tajwid yang betul.

Tangan berayun-ayun semasa i’tidal. Pergerakan anggota besar 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Tak tahulah kenapa orang suka sangat ayun tangan semasa i’tidal, yang macam buayan tu.

Tidak berhenti seketika, yakni i’tidal selepas rukuk.


Dada berpaling dari kiblat

nafsu

Dalam sastera Arab, nafsu bermaksud “jiwa kehidupan” atau “ghairah dan hasrat duniawi”.

Apabila orang mendengar perkataan nafsu, pasti akan ingat perkara yang jahat-jahat sahaja. Sedangkan, nafsu itu adakalanya baik dan adakalanya jahat. Jika dilatih nafsu itu ke arah kebaikan, pasti nafsu itu boleh membawakan kita ke syurga.

Bak kata Imam Al Ghazali, nafsu itu seperti anjing. Jika dilatih dan dijinakkan ia pasti akan menjadi baik.

Nafsu ialah organ rohani manusia yang memiliki pengaruh paling banyak dan paling besar di antara anggota rohani yang lain. Nafsu mengeluarkan arahan kepada anggota jasmani untuk melakukan sesuatu tindakan.

Pembahagian nafsu secara umumnya boleh dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu:

– 7 peringkat yang ditempuh oleh diri atau nafsu manusia
– 10 rupa nafsu yang menggambarkan jiwa atau sifat tercela yang ada pada manusia.

Memetik sebuah perkongsian yang digarap semula dari blog ini, kami megajak anda untuk mengenali jenis-jenis nafsu yang kita harus ‘jinakkan’ atau dalam erti kata yang sama perlu dikawal dengan sebaiknya.

Artikel ini akan menghuraikan secara ringkas 10 rupa nafsu (jiwa/sifat tercela) yang ada dalam diri manusia, yang perlu dijinakkan atau dihapuskan/dihindari.

(1) Nafsu kalbiyah
– Sifat anjing
– yang kewujudannya antara lain suka memonopoli

(2) Nafsu himariyah
– Jiwa keldai
– yang pandai memikul namun tidak mengerti sedikit pun apa yang dipikulnya
– dengan kata lain, ia tidak memahami masalah

(3) Nafsu sabu’iyah
– Jiwa serigala
– suka-suka menyakiti atau menganiaya orang lain dengan cara apa pun

(4) Nafsu fa’riyah
– Hati tikus
– sebangsa merosak, atau semacamnya

(5) Nafsu dzatis-suhumi wa hamati wal-hayati wal-aqrabi
-Jiwa binatang penyengat
– berupa sebagai ular dan kala jengking
– senang menyindir-nyindir orang, menyakiti hati orang, dengki, dendam, dan sepertinya

(6) Nafsu khinziriyah
– Sifat babi
– suka kepada yang kotor, busuk, hapak, dan yang menjijikkan

(7) Nafsu thusiyah
– Nafsu merak
– antara lain suka menyombongkan diri, suka beraksi, berlagak, busung dada, dan sebagainya

(8) Nafsu jamaliyah
– Nafsu unta
– tak punya rasa santun, kasih sayang, tidak bermasyarakat, tidak peduli kesusahan orang lain
– yang penting dirinya selamat dan untung

(9) Nafsu dubbiyah
– Jiwa beruang
– biarpun kuat dan gagah, tapi pendek akal dan dungu

(10) Nafsu qirdiyah
– Jiwa beruk
– diberi ia mengejek, tidak diberi ia mencebik
– sinis dan suka melecehkan/memandang ringan

Sumber asal: Buku “Kenali 7 Peringkat Nafsu”.

Bahlul



Perkataan 'Bahlul' sering kita dengar diucapkan oleh masyarakat setempat terutamanya untuk menyatakan seseorang itu bodoh atau lurus bendul. Tapi tahukah anda asal usul perkataan Bahlul itu sendiri? Tahukah anda yang sebenarnya asal-usul orang-orang terdahulu melemparkan perkataan 'Bahlul' kepada seseorang itu adalah sebagai satu doa yang baik?


Bahlul merupakan satu perkataan yang berasal dari arab dan ia berasal dari satu nama jolokan yang diberikan kepada seseorang yang bernama Wāhab ibn Amr. Wahab ibn Amr atau Bahlul hidup pada zaman Khalifah Harun Al-Rasyidin. Sebenarnya Wāhab ibn Amr terkenal sebagai seorang hakim dan juga ilmuan Islam pada zamannya. Dia dikenali sebagai Bahlul kerana dia telah meninggalkan kekayaannya dan hidup dengan gaya yang selekeh.

Terdapat banyak kisah-kisah yang memaparkan kebijaksanaan Bahlul sendiri. Disini kami paparkan tiga cerita berkenaan bahlul.

Cerita 1
Pada suatu hari, Khalifah Harun Al-Raysid bersama isterinya lalu dihadapan Bahlul yang sedang membuat rumah dari tanah liat. Maka Harun berlakukan dialog antara Al-Rasyid, isterinya dan Bahlul.

Harun : Hey Bahlul, kau buat apa?
Bahlul : Aku sedang buat rumah rumah syurga.
Isteri Harun : Boleh aku beli?
Bahlul : Boleh..
Isteri Harun : Berapa?
Bahlul : 10 Dirham
Isteri Harun membayar jumlah tersebut kepada Bahlul.
Harun : Kau dah kena tipu hidup-hidup dengan Bahlul.

Pada malamnya Harun Al-Rasyid bermimpi satu rumah besar yang tersangat cantik yang tertulis nama isterinya, Siti Zubaidah di dalam syurga. Harun cuba untuk masuk ke dalam rumah itu tetapi dihalang oleh pengawal di rumah itu.

Harun : Ini rumah isteri aku.
Pengawal : Memanglah, tapi ini bukan rumah kau.

Bagun pada pagi berikutnya Harun Al-Rasyid bangun dan kelam kabut pergi mencari Bahlul.

Harun : Bahlul, aku nak beli rumah kau.
Bahlul : Boleh.
Harun : Berapa?
Bahlul : 10,000 Dirham.
Harun : Eh, kenapa semalam 10 Dirham?
Bahlul : Semalam kau tak nampak..Hari ni kau dah nampak!

Cerita 2
Pada suatu hari, Harun Al-Rasyidin memberikan Bahlul sebatang kayu dan berkata, "Batang kayu ini ya Bahlul, milik seorang lelaki yang paling bodoh atas muka bumi ini. Jika kamu terjumpa dengan seorang lelaki yang lebih layak memiliki kayu ini lebih dari kamu, berikanlah kepadanya". Dan Bahlul menjadi bahlul mengambil batang kayu tersebut.

Beberapa tahun selepas itu, Harun Al-Rasyid jatuh sakit dan tak ada sebarang ubat-ubatan yang boleh menyembuhkannya. Bahlul datang untuk melawan Harun Al-Rasyid untuk bertanya khabar dan terjadi satu perbualan yang menakjubkan.

Harun : Tak ada apa yang boleh menyembuhkanku!
Bahlul : Kau mahu ke mana?
Harun : Aku akan pergi ke dunia lain.
Bahlul : Kedunia lain? Berapa lama kau akan pergi? Bila kau akan balik?
Harun : O Bahlul! Tak ada siapa yang akan kembali selepas ke dunia itu.
Bahlul : Jadi kau mesti dah buat persiapan rapi untuk perjalanan ini. Perjalanan yang kekal. Kau dah siapkan tentera untuk tunggu kedatangan kau? Sebagai persiapan apabila kau sampai disana?
Harun : Tak ada yang pergi dengan kau Bahlul. Dan aku tak membuat sebarang persiapan.
Bahlul : Ya Amirul Mukminin, sebelum ini kau menghantar tentera sebagai persiapan rapi untuk satu perjalanan yang hanya berjumlah sehari dua! Dan kini kau akan pergi ke satu tempat yang kau akan tinggal disitu selamanya. Dan kau tidak membuat sebarang persiapan untuk menghadapinya?
Bahlul : Nah ambil batang kayu ini. Nampaknya aku dah jumpa seseorang yang lebih layak untuk memilikinya.

Cerita 3
Berikut pula adalah kisah Bahlul dengan Sheikh Junid, seorang ulama sufi dan juga wali Allah. Satu hari Syeikh Junid Al-Baghdadi bertemu Bahlul lalu meminta nasihat. Bahlul lalu bertanya:

Bahlul: Bagaimana kamu makan?
Junid: (Menerangkan adab2 makan berdasarkan Sunnah dan doa2 makan)
Bahlul: Bagaimana kamu berpakaian?
Junid: (Menerangkan adab2 makan berdasarkan sunnah dan doa berpakaian)
Bahlul: Bagaimana kamu tidur?
Junid: (Menerangkan adab2 tidur mengikut sunnah dan doa2 tidur)
Bahlul: Sebenarnya jawapan2 kamu tidak tepat. Sekiranya kamu makan mengikut adab dan doa sekalipun tapi sekiranya makanan itu dari sumber yang haram buat apa? Sekiranya kamu berpakaian dengan adab dan doa tapi tidak menutup aurat serta sumbernya adalah haram buat apa? Sekiranya kamu tidur dengan adab dan doa tapi di hatimu masih menyimpan dendam dan kebencian sesama Muslim buat apa?

Menurut dari tiga cerita ini jelas sekali Bahlul bukanlah seorang yang bodoh atau lurus bendul. Dia sebenarnya bijak dan juga sarkastik. Sedangkan Sheikh Junaid sendiri pun datang mengadap Bahlul untuk mendapatkan nasihat dan dari cerita yang ketiga jelas Bahlul ini seorang wali Allah.



Suatu ketika Khalifah Harun al Rasyid yang sedang meminum arak, bertanya kepada Bahlul al Majnun yang datang berkunjung kepadanya mengenai arak. 
Sang Khalifah bertanya kepada Bahlul, “Apakah haram memakan anggur?” Bahlul menjawab, “Tidak”


Sang Khalifah bertanya lagi, “Bagaimana jika, setelah memakan anggur, seseorang itu meminum air?” Bahlul menjawab, “Tidak ada masalah”
“Setelah memakan anggur dan meminum air, seseorang itu berjemur di bawah mentari?” tanya Sang Khalifah lagi. Bahlul menjawab, “Tidak ada masalah”
Sang Khalifah kembali bertanya, “Lalu, mengapa apabila anggur dicampur air yang dibiarkan di bawah mentari bagi tempoh tertentu menjadi haram?” 


Bahlul kembali bertanya kepada Sang Khalifah, “Apabila tanah diletakkan di atas kepala seseorang, apakah ada bahayanya?” Sang Khalifah menjawab, “Tidak”
Bahlul menyambung lagi pertanyaannya, “Setelah itu, air disiram ke atas tanah di kepala itu, apakah akan mengakibatkan kesakitan?” Sang Khalifah menjawab, “Tidak”


Bahlul lalu menyoal lagi, “Dan jika tanah itu digaul dengan air untuk dibuat bata, lalu dilontarkan ke kepala seseorang, apakah akan menyebabkan kesakitan?” Sang Khalifah menjawab, “Benar, bahkan akan mencederakan kepalanya”
Bahlul lalu menjelaskan, “Sepertimana tanah dan air yang diadun untuk menjadi bata bisa mencelakai seseorang, begitulah juga campuran anggur dan air yang menjadi sesuatu yang memudharatkan yang oleh syariah dilarang dan ditetapkan sebagai tidak suci. Meminum arak membawa kemudharatan dan peminumnya wajib dihukum”.


Sang Khalifah berasa sangat tertekan dengan jawaban Bahlul, lalu mengarahkan pelayannya membawa pergi arak tersebut.

Hari ini penggunaan perkataan bahlul telah disalah ertikan oleh masyarakat yang menggunakanan perkataan itu untuk menyatakan seseorang itu bodoh. Sebenarnya perkataan itu dilemparkan oleh orang-orang tua kepada seseorang seperti ibu kepada anak adalah sebagai satu doa yang baik. Mengharapkan orang itu menjadi seperti Bahlul. Namun apabila lama kelamaan perktaan itu disalah ertikan oleh masyarakat kita. Wallahualam.. -