Ada banyak kejadian dimana Rasulullah S.a.w tahu apa yang diniat atau dirancangkan oleh seseorang, walaupun sama ada ketika itu Baginda S.a.w berada dekat mahupun jauh dari orang tersebut. Begitulah seorang rasul mendapat berita dari langit sama ada direct dari Allah S.w.t ataupun melalui malaikat Jibrail a.s. Berikut di antara yang sempat saya kumpulkan setakat ini.
Muslihat yang membawa kepada hidayah
Tidak berapa lama setelah Perang Badar, Umair ibnu Wahab al-Jumahy duduk bersama Shafwan ibnu Umayyah di teduhan Ka'abah. Umair termasuk salah seorang 'Syaitan Quraisy' yang menyakiti Nabi Muhammad S.a.w dan para sahabat ketika mereka masih di Makkah. Anaknya Wahab ibnu Umair, termasuk salah seorang tawanan Perang Badar.
Sewaktu duduk dengan Shafwan itulah Umair menyebut-nyebut para korban Perang Badar yang tertimbun di telaga tidak bertuan serta musibah yang menimpa mereka. Maka Shafwan berkata, "Demi Allah, pasti akan ada suatu kebaikan dalam hidup setelah kematian mereka."
Umair pun membalasnya, "Demi Allah engkau benar. Demi Allah, kalau aku tidak mempunyai tanggungan hutang yang perlu dilunaskan dan tidak mempunyai keluarga yang ku khuatirkan nafkah hidup mereka jika aku meninggal, nescaya aku telah menunggang unta menuju kepada Muhammad lalu membunuhnya. Tambahan pula, aku ada suatu alasan untuk memerangi mereka, iaitu kerana anakku menjadi tawanan di tangan mereka."
Shafwan lantas memanfaatkan kesempatan ini dengan mengatakan, "Akan ku tanggung hutangmu. Aku akan selesaikan untukmu. Sedangkan keluargamu akan tinggal bersama keluargaku. Aku akan menolong mereka selagi mereka masih hidup. Aku sama sekali tidak keberatan untuk menjaga mereka."
Maka Umair meminta kepadanya, "Kalau begitu, rahsiakanlah kesepakatan kita ini." Shafwan pun membalas, "Aku akan melakukannya."
Selepas itu, Umair menyuruh orang untuk menguruskan pedangnya, sehingga pedang itu diasah sehingga tajam dan diletak racun. Kemudian dia pergi membawa pedang itu sehingga sampai di Madinah.
Pendekkan cerita, Umair pergi bertemu Rasulullah S.a.w. Rasulullah S.a.w bertanya, "apakah yang membawamu ke mari, wahai Umair?" Umair menjawab, "Aku datang kerana tawanan yang ada di tangan kamu. Aku minta kamu berbuat baik kepadanya."
Rasulullah S.a.w bertanya lagi, "Lantas, bagaimana dengan pedang yang tadi ada di lehermu?" Umair menjawab, "Allah telah menjadikannya termasuk pedang-pedang yang buruk. Maka apakah pedang itu masih berguna bagi kami?"
Rasulullah S.a.w mula mendesaknya, "Jujurlah padaku! Apa yang menyebabkanmu datang ke mari?" Umair masih juga menjawab, "Aku datang hanya untuk itu."
Tidak ada pilihan lain bagi Rasulullah S.a.w kecuali berkata, "Bahkan engkau telah duduk bersama Shafwan ibnu Umayyah di teduhan Ka'abah. Kamu menyebut-nyebut para korban Quraisy yang dipendam di telaga tidak bertuan. Lalu engkau berkata, "Kalau aku tidak mempunyai tanggungan hutang dan keluarga, nescaya aku pergi untuk membunuh Muhammad." Maka Shafwan bersedia memikul hutangmu dan nafkah keluargamu, agar engkau boleh membunuhku. Demi Allah, mustahil engkau boleh melakukannya."
Umair yang terkejut, hanya boleh berkata, "Aku bersaksi sesungguhnya engkau adalah Rasul Allah. Wahai Rasulullah S.a.w, kami dahulu selalu mendustakan berita langit yang engkau bawa kepada kami. Kami juga mendustakan wahyu yang turun kepadamu. Hanya aku dan Shafwan yang tahu persoalan ini. Oleh itu, demi Allah, aku sedar sesungguhnya hanya Allah lah yang memberitahu persoalan ini kepadamu. Maka segala puji bagi Allah yang telah memberikanku hidayah kepada Islam serta menganugerahkanku aliran air yang sejuk ini."
Selepas itu Umair pulang ke Makkah dan tinggal di sana dengan mendakwah orang ramai kepada Islam. Melaluinya, ramai orang yang masuk Islam. [1]
Anak Abu Huqaiq yang menyembunyikan harta
Meskipun perjanjian telah disepakati, dua orang anak Abu Huqaiq masih menyembunyikan banyak harta. Mereka berdua menyembunyikan kotak penyimpanan minyak wangi yang berisikan harta dan perhiasan milik Huyaiy ibnu Akhtab, yang dulu dibawa ke Khaibar tatkala Bani Nadhir diusir.
Ibnu Ishaq menyatakan, "Rasulullah S.a.w membawa Kinanah ibnu Rabi' yang menyembunyikan harta simpanan Bani Nadhir. Baginda menanyakan tentang harta itu, namun dia menolak untuk memberitahu kepada Baginda S.a.w. Tiba-tiba muncul seorang Yahudi yang berkata, "Aku pernah melihat Kinanah berpusing-pusing di bekas runtuhan bangunan ini setiap pagi." Maka Rasulullah S.a.w berkata kepada Kinanah, "Bukankah engkau tahu bahawa jika kami menemui harta itu padamu, maka kami akan membunuhmu?" Kinanah menjawab, "Ya, aku tahu." Maka Rasulullah S.a.w mengeluarkan perintah, sehingga runtuhan itu digali. Ternyata harta itu memang berada di sana. [2]
Yahudi Bani Nadhir mahu menjatuhkan batu besar ke atas Rasulullah S.a.w
Pada suatu ketika, Rasulullah S.a.w bersama sahabat-sahabatnya berada di dalam rumah orang Bani Nadhir, tiba-tiba ada sekelompok orang Bani Nadhir mahu membuat rancangan jahat terhadap diri Rasulullah S.a.w. Mereka merancang mahu menjatuhkan batu besar dari tempat yang tinggi ke atas Rasulullah S.a.w. Akan tetapi, Rasulullah S.a.w telah waspada dan mengetahui rancangan busuk mereka itu. Lalu dia segera pergi meninggalkan tempat tersebut, yang segera diikuti oleh para sahabatnya.
Kemudian Rasulullah S.a.w mengirim Muhammad ibnu Maslamah untuk mengatakan kepada mereka, "Keluarlah kalian dari negeriku ini, kalian benar-benar telah bertekad untuk membuat khianat. [3]
Daging biri-biri yang diracun
Setelah Rasulullah S.a.w berasa tenteram daripada ancaman Khaibar selepas penaklukannya, Zainab binti Harith isteri Salam ibnu Misykam memberinya daging biri-biri panggang. Sebelum itu dia bertanya kepada orang, bahagian manakah yang paling disukai oleh Rasulullah S.a.w. Telah diberitahu padanya bahawa bahagian yang paling disukai oleh Baginda S.a.w adalah bahagian peha. Maka Zainab meletakkan racun yang sangat banyak pada bahagian peha. Kemudian bahagian-bahagian yang lain juga diletakkan sedikit racun. Selepas itu dia membawakannya kepada Rasulullah S.a.w.
Apabila hidangan itu diletakkan di hadapan Rasulullah S.a.w, baginda terus mengambil bahagian peha. Baginda menguyahnya sekali, tetapi tidak menelannya dan terus memuntahkannya. Kemudian Baginda S.a.w bersabda, "Sesungguhnya tulang kambing ini memberitahuku bahawa dia telah diracun." Selepas itu Baginda S.a.w memanggil Zainab binti Harith untuk mengadap dan dia pun mengakui perbuatannya. Rasulullah S.a.w bertanya, "Apakah yang mendorongmu untuk berbuat demikian?" Dia menjawab, "Jika kau seorang raja, maka pasti kau akan terus mati. Jika kau seorang nabi, maka kau akan diberi perlindungan oleh Allah." Maka Rasulullah S.a.w membiarkannya.
Ketika itu Bisyr ibnu Barra' ibnu Ma'rur ada bersama-sama dengan Baginda S.a.w. Dia telah menelan daging, lalu dia terus meninggal dunia. Riwayat-riwayat yang lain ada juga berbeza pendapat, adakah Rasulullah S.a.w membiarkan wanita itu atau membunuhnya. Jika dilihat kembali, pada awalnya Rasulullah S.a.w membiarkannya, namun setelah Bisyr meninggal dunia, Rasulullah S.a.w menghukum bunuh terhadap Zainab binti Harith sebagai Qisas. [4]
Selepas Pembukaan Makkah (Fathu Makkah)
Fadhalah ibnu Umair datang untuk membunuh Rasulullah S.a.w ketika baginda sedang tawaf. Kemudian Rasulullah S.a.w mengkhabarkan kepadanya tentang apa yang terdetik di hatinya, sehingga dia masuk Islam. [5]
Niat Abdullah ibnu Mas'ud r.a ketika solat bersama Nabi S.a.w
Dari Ibnu Mas'ud r.a berkata, "Pada suatu malam saya solat bersama-sama dengan Nabi S.a.w, kemudian baginda begitu lama sekali di dalam berdiri sehingga timbullah niat buruk saya." Setelah selesai baginda bertanya, "Niat buruk apakah yang timbul di hatimu?" Saya menjawab, "Saya niat akan duduk dan meninggalkan solat bersama baginda." [6]
Dan mungkin ada lagi kisah-kisah lain. Jika anda ada mengetahui kisah-kisah mukjizat Nabi S.a.w yang berkaitan, silakan berkongsi. :-)
Rujukan:
1 - as-Sirah an-Nabawiyyah , jil 1 - Ibnu Hisyam
2 - ar-Rahiq al-Makhtum, Sirah Nabi , bab 37 - Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri
3 - Nuur al-Yaqin - Syeikh Muhammad al-Khudhari Bek
4 - Zaad al-Ma'ad, jil 2 - Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah. Fathul Bari, Jil 7 - Imam Ibnu Hajar al-Asqalany
5 - ar-Rahiq al-Makhtum, Sirah Nabi - Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri
6 - Riwayat Bukhari dan Muslim.