Kisah Nabi Daud A.S
SEWAKTU Nabi Daud memberikan pelajaran akhlak  kepada muridnya, masuk seorang lelaki yang memakai jubah putih,  menyebarkan aroma yang wangi. Lelaki berjanggut itu datang sambil  mengucapkan salam kepada Nabi Daud, tetapi beliau tidak menghiraukannya  dan tidak juga menjawab salam orang itu.
Nabi Daud terus  menyampaikan pelajaran kepada muridnya tanpa menoleh sedikit pun kepada  orang itu. Lelaki itu segera menunaikan solat sebagaimana yang  disyariatkan pada waktu itu. Dia melaksanakan sembahyangnya dalam waktu  yang lama, dengan rukuk dan sujud yang panjang. Selesai sembahyang,  orang itu berdoa dengan mengangkat kedua-dua tangannya dan dengan suara  penuh harap sambil menangis.
Nabi Daud tetap meneruskan  pengajarannya, tanpa memberi perhatian kepada lelaki itu untuk  berkenalan. Dia juga tidak memberi kesempatan kepada muridnya untuk  mengambil perhatian kepada orang itu.
Melihat keadaan demikian,  muridnya kurang senang dengan sikap Nabi Daud. Mereka menganggap Nabi  Daud tidak memberikan contoh baik dalam menghormati tamu.
Lelaki  berdoa panjang dengan penuh tangisan selepas sembahyang. Dia kemudian  keluar dari tempat peribadatan itu, selepas meminta diri dengan  mengucapkan salam. Namun Nabi Daud tetap tidak menaruh hormat sedikit  pun kepada orang itu.
Selepas Nabi Daud mengakhiri pelajarannya  mengenai akhlak baik, seorang muridnya bertanya kepada beliau: “Wahai  Nabi Allah, bolehkah saya bertanya? “Ya, silakan,” jawab Nabi Daud.
Murid itu berkata : “Bukankah Nabi mengajarkan kepada kami bagaimana cara untuk menghormati tamu?”
“Betul,” jawab Nabi Daud.
Murid  itu berkata: “Tetapi mengapa engkau sebagai seorang guru tidak  memberikan perhatian atau menghormati tamu yang datang pada waktu engkau  sedang memberikan pelajaran?” Nabi Daud menjawab: “Aku tidak memberikan  sedikit pun perhatian kepadanya kerana tamu itu tidak mempunyai akhlak  baik.
“Ingatkah bagaimana caranya untuk memasuki majlis ketika  guru mengajar. Mula-mula dia perlu melangkah dengan kaki kanan terlebih  dulu sebagai tanda menghormati tempat ibadah ini. Kemudian dia  sepatutnya tidak mengucapkan salam terlebih dulu , melainkan langsung  duduk ikut mendengarkan pelajaran.”
Salah seorang murid mencelah : “Mungkin tetamu itu belum mengetahui tata cara memasuki suatu majlis pengajian seperti ini.”
Nabi  Daud menjawab : “Tetapi jubah dan serbannya menunjukkan seolah-olah dia  itu orang alim. Apakah layak jika memang dia itu orang yang alim, tidak  mengetahui sopan santun dan tata cara memasuki tempat peribadatan dan  majlis ilmu?
“Orang seperti itulah yang akan menjatuhkan agama  kita. Ini kerana penampilannya tidak sesuai dengan sikapnya dalam  menjalankan agama.”
Muridnya berkata lagi: “Tetapi kita melihat  bahawa orang yang berjubah itu tadi melaksanakan sembahyang dengan lama  sekali, bagaimana dengan itu?” Nabi Daud menjawab: “Itulah tanda  kepalsuannya. Dia hanya ingin menunjukkan kesolehan kepada kita semua,  pada hal dia sebenarnya bukan orang soleh. Dia melakukan sembahyang buat  kita, bukan bagi Tuhan.”
Seorang muridnya bertanya: “Tetamu tadi juga berdoa dengan panjang sambil menangis, bukankah itu menunjukkan kealimannya.”
Nabi Daud menjawab: “Apakah doa yang panjang itu menjamin keikhlasan hatinya?
“Bukankah  Tuhan lebih menyukai doa yang khusyuk dan penuh keyakinan kepada-Nya.  Kalau dia ingin menangis, tidak selayaknya di depan kita.
“Menangislah  dengan penuh kesedihan di depan Allah ketika sendirian dalam sembahyang  malam pada waktu semua makhluk sedang tidur dengan lelap hingga mereka  tidak melihat tangisan itu kecuali Tuhan.”
Seorang murid  bertanya: “Bukankah wajahnya begitu bersih laksana wajah orang yang  sangat ikhlas. Pakaiannya bersih serba putih melambangkan keikhlasan  hatinya. Bukankah dia itu orang yang bertakwa.”
Nabi Daud menjawab: “Takwa itu tidak dilihat daripada rupa dan wajah seseorang, juga tidak dilihat daripada pakaian seseorang.
“Tuhan hanya melihat hati manusia dan menilai dari amal perbuatannya.
“Adakah  amal perbuatan dan sikapnya sehari-hari sesuai dengan hukum syariat dan  akhlak. Manusia itu tidak dihargai daripada kulitnya, melainkan dinilai  daripada isi dan mutu kemanusiaannya yang diukur dengan pelaksanaannya terhadap hukum dan akhlak agama.
 
 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan