Isnin, 13 Mei 2013

fokus :)

Dua orang lelaki baru sahaja selesai menghadapi salah satu peperiksaan. Ramai berpusu-pusu keluar daripada dewan; termasuk mereka. Salah seorang kelihatan muram, seorang lagi kelihatan gembira.

"Kenapa kau nampak sedih ni?" Lelaki tersebut memulakan bicara.

Sahabatnya mengalihkan pandangan, dan turut berbicara. "Aku tak boleh jawab soalan 3 tadi. Susah. Aku rasa mungkin keputusan aku tidak sebaik engkau. Aku perasan kau senyum sahaja keluar dewan tadi."

Lelaki tersebut memberikan senyuman, seraya berkata: "Owh, soalan 3. Aku pun tak boleh jawab. Tetapi, sekurang-kurangnya, aku dapat rasakan yang Allah membantu aku ketika peperiksaan tadi. Disebabkan itu, aku sentiasa tersenyum. Malah, berzikir kepada Allah. Sebagai tanda syukur kepadaNya."

"Huh? Kau tak boleh jawab soalan 3, jadi apa maksud kau yang Allah bantu kau?" Sahabatnya seakan tidak mengerti.

"Ok. Tadi kita ada 6 soalan. Aku rasa soalan 3 sahaja yang kita tak boleh jawab tadi. Soalan lain mungkin ada kesalahan-kesalahan kecil. Manusia banyak fokus kepada soalan yang tidak boleh dijawab. Tetapi, kenapa kita sukar untuk fokus kepada soalan yang kita boleh jawab?"

Kemudian, lelaki itu menyambung; "Allah sudah membantu kita untuk menjawab 5 lagi soalan. Cuma satu soalan sahaja yang tidak boleh dijawab. Mungkin juga tiada rezeki daripada Allah. Mungkin masih ada dosa yang menghalang kita daripada melakukan yang terbaik."

"UBAH FOKUS KITA. Jika kita hanya fokus kepada soalan yang tidak boleh dijawab, maka kita akan sentiasa merungut dan menyalahkan takdir. Tetapi, sekiranya kita fokus kepada soalan yang boleh dijawab, maka kita akan sentiasa menzahirkan rasa syukur kerana kita sedar bahawa Allah telah membantu kita."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan