Pada zaman dahulu, di sebuah kampung di tanah Arab, hiduplah sebuah keluarga di dalam keadaan yang sangat sederhana. Setiap hari, sebelum keluar ke pasar untuk berniaga, sang ibu akan memasak roti dan kemudiannya meninggalkan roti itu di atas meja untuk anaknya makan.
Selalunya sang ibu akan memastikan yang anaknya masih lagi tidur agar anaknya itu tidak tahu bahawa dialah yang telah menguli tepung dan juga memasak roti itu.
Apabila ditanya oleh sang anak, "Dari mana roti ini datang, wahai ibu?"
Sang ibu menjawab,"Roti ini datang daripada Allah."
Begitulah jawapan sang ibu kepada sang anak setiapkali ditanyakan hal yang sama. Bahkan dia sebenarnya memang sengaja mengajar anaknya begitu supaya anaknya akan menjadi orang yang kuat kepercayaan serta keyakinannya terhadap Allah. Tambahan pula, setiap hari anaknya itu akan ditinggalkan seorang diri di rumah kerana dia dan suaminya perlu keluar bekerja.
Sampailah kepada suatu hari. Setelah kedua-dua sang ibu dan sang bapa siap berniaga, barulah sang ibu teringat bahawa pagi itu dia telah lupa hendak memasak roti untuk anaknya! Maka kelam-kabutlah kedua-duanya segera pulang ke rumah.
Sebaik sahaja mereka tiba di rumah, sang ibu sangat terkejut apabila melihat sang anak sedang memakan roti.
Sang ibu bertanya, "Dari mana kau dapat roti ini, nak?"
Sang anak menjawab, "Bukankah ibu mengajarkan saya, bahawa roti ini datang daripada Allah?"
Sang ibu terus menangis kerana menyedari yang anaknya memang benar-benar telah percaya dan yakin kepada Allah, melebihi dari dirinya sendiri. Bersyukurlah sang ibu kepada Allah kerana Dia benar-benar telah menghantar rezeki dari langit buat anaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan