1. Ustaz sebut "Tidak islamkah lagi negara kita yang selamat daripada riba?"
Saya ingin tanya, benarkah kita telah selamat daripada riba?
Beberapa contoh saya ambil, lihat kebanyakan perbankan di Malaysia, hanya beberapa bank sahaja yang mempunyai Panel Syariah, selebihnya bank-bank konvesional yang ada Interest dan fatwa pengharaman Interest ke atas satu-satu pinjaman adalah Ijma' (disepakati seluruh ulama dunia) tentang haramnya. Pembelian rumah, kenderaan dan lain-lain kebanyakkannya masih menggunakan sistem ini. PTPTN juga masih diteruskan sedangkan ia jelas riba. Mangsanya ialah rakyat awam yang tidak banyak pilihan untuk tanggungjawab harian.
2. Ustaz sebut "Adakah masih tidak dinamakan islam hanya kerana tidak melaksanakan hudud,"
Saya ingin sebut, yang menjadi masalah bukan setakat tidak mahu laksanakan, bahkan hina hudud dengan mengatakan "tidak sesuai", "tidak releven dengan negara" dan sebagainya, bahkan suara-suara sumbang suatu masa dulu menyebut "siapa mahu makan sup tangan boleh ke Kelantan."
Jangan kita lupa, ketika Kelantan ingin laksanakan undang-undang hudud, satu penegasan secara hitam putih diberikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS pada tahun 1994. Dan hingga kini, pusat masih bertegas akan mengambil tindakan tegas sekiranya hudud dilaksanakan.
Ustaz ada bagi contoh "Adakah kerana hudud dibuat, dan 90% lagi yang lain tidak dibuat adakah itu islam, contohnya negara yang buat hudud misalnya, tetapi rakyat menderita, makan minum takde, makanan halal takde, adakah ia islam.." saya nak tanya, cuba ustaz sebut negara mana yang ustaz maksudkan yang keadaannya sebegitu rupa.
3. Ustaz kata "hudud akan dikumandangkan setiap kali pilihanraya sebagaimana lagu raya akan dipasang ketika musim raya." dan menyatakan ia hanya untuk memancing undi Melayu.
Inilah masalah kita, ketika PAS menyatakan secara terang ingin laksanakan hudud, ramai yang menentang kerana mengatakan ia tidak sesuai dengan negara majmu' Malaysia, lalu PAS menggunakan pendekatan berbeza dengan memperkenalkan Negara Berkebajikan, terdengar pula suara mengatakan PAS telah lari dari perjuangan asal. Saya ingin sebut, kalau kita tidak mahu menyokong, jangan jadi pengongkong.
4. Ustaz sebut "orang menolak kamu bukan kerana masalah hudud, orang menolak kamu kerana kamu bersekongkol dengan puak-puak komunis, libralism dan pluralism."
Saya qoute ayat "bersekongkol dengan puak-puak KOMUNIS"
Sepatutnya ustaz perlu lebih teliti dan berhati-hati ketika melontarkan kata-kata. Siapa komunis? Adakah ustaz ingin maksudkan DAP komunis? Sungguh hati saya cedera dengan lontaran ini. Komunis dengan istilah mudahnya ialah kafir harbi iaitu kafir yang memerangi islam, menumpahkan darah umat islam, sedangkan orang-orang bukan islam yang tinggal di negara islam dan menghormati perlembagaan negara dalam masa yang sama tidak memerangi umat islam dinamakan kafir zimmi. Kafir zimmi wajib diadili sebagaimana orang-orang Islam yang lain, wajib dilindungi hartanya, keselamtannya, dan juga diberi kebebasan untuk mereka laksanakan tuntutan agama mereka.
Apakah ustaz lupa siapa yang menjadi penunjuk jalan kepada Nabi ketika Hijrah Nabi saw bersama Abu Bakar dari Mekah ke Madinah? Bukankah dia seorang Kafir musyrik yang bernama Abdullah bin Uraiqit? Mengapa saat segenting itu, ketika Nabi sedang dikejar dan dicari oleh orang-orang kafir untuk dibunuh, nabi masih lagi memilih orang-orang yang mahir dari kalangan kafir musyrik untuk menjadi penunjuk jalan? Mengapa nabi tidak risau kemungkinan ada agenda tersembunyi untuk memerangkap Nabi Saw bersama Abu Bakar lalu dibunuh? Inilah satu pengajaran dan pelajaran besar yang Nabi saw tinggalkan untuk kita.
Saya petik ucapan Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi dalam Fiqh Daulah (kenegaraan) :
"Dan termasuk dalam berbuat baik (al-bir) dan berlaku adil terhadap bukan Islam yang tinggal dalam masyarakat Muslim. Diberikan hak kepada mereka untuk menjadi wakil dalam Dewan ini (Parlimen) supaya mereka boleh menyuarakan tuntutan kelompok mereka, sebagaimana wakil wanita menyuarakan tuntutan jantina mereka.
Dan agar mereka (bukan Islam) tidak berasa dipencilkan dari warganegara mereka sendiri, lalu (perasaan terpinggir itu) diambil kesempatan oleh musuh-musuh Islam untuk menanam dalam jiwa mereka kemarahan dan permusuhan kepada orang-orang islam. Dalam perkara ini (memencilkan non-muslim dalam negara) mengandungi mudharat dan bahaya ke atas seluruh orang-orang islam dan bukan islam."
Apapun, teruskan dakwah ustaz buat seluruh umat islam, mudah-mudahan Islam lebih subur dan bersinar suatu hari nanti. Amen
Insan Fakir lagi Dhaif
Ahmad Kailani Zahari
Mu'tah, Jordan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan