Ahad, 5 Mac 2017

Luahan guru

~ Antara buruh kasar dan seorang cikgu ~

Aku melihat buruh kasar bekerja ditengah panas. Tabah mengangkat batu batu yang berat demi sesuap rezeki. Peluh menitik tiada henti. Penat. Sangat memenatkan. Balik rumah tidurnya lena yang amat akibat seharian keletihan di tengah panas.

Aku melihat sahabatku seorang guru. Hanya perlu mengangkat pen marker sahaja. Ringan. Kerjanya bawah bumbung yang teduh. Bawah kipas berpusing ligat lagi. Namun bebanan kerja yang menanti tidak sedikit. Perlu kejar itu, perlu siapkan ini.

Badannya tidak penat. Tapi masanya sibuk. Kerjanya tidak hanya di sekolah. Sampai ke rumah dibawa pulang lagi. Buat pula kerja dengan peralatan sendiri. Duit poket sendiri.

Laptop itu harganya beribu. Projektor itu pun beribu juga. Printer dan laminate itu harganya beratus-ratus. Belum campur harga scanner, toner dan seribu macam benda lagi.

Tapi dia diam, walau suami dia sering tidak senang. Tidak senang dia sampai ikat perut untuk beli keperluan demi pekerjaannya yang mulia, tidak senang bila masa bersama keluarga terpaksa dikurangkan demi kecintaan pada kerjaya.

Memberi tumpuan pada anak orang lain melebihi anak sendiri. Ya, itulah guru.

Badannya mungkin tidak sepenat si buruh kasar yang bekerja dibawah mentari terik. Namun emosinya penat. Sangat penat.

Emosinya penat bila pasangan mula menyindir kurang perhatian (bagi pasangan yang tidak memahami). Emosinya penat ditekan pihak atasan yang mahu kesempurnaan. Emosinya penat ditekan karenah ibubapa yang terlampau manja dan mengada-ngada.

Ya, emosinya penat. Tolong faham itu.

Tidur si buruh kasar penuh lena lantaran kepenatan tubuh badan. Namun emosi sang guru yang penat merosakkan nafsu tidur. Mencarikkan segala mimpi indah.

Malah, mengurangkan nafsu makan juga. Yang kemurungan pun ada juga.

Mana tidaknya. Dia berkorban segala benda. Dari duit poket, tenaga, masa, malah keluarga. Tapi sedikit salahnya dibesar-besarkan. Dibuat laporan. Dihadap kamar keadilan.

Salah apa dia?

Salahnya kerana dia cinta. Ya, dia cinta akan professionnya.

Salahnya, hanya sedikit sentuhan fizikal untuk mendidik dan mengajar anak orang lain supaya pandai. Supaya berjaya. Supaya menjadi insan berguna. Supaya menjadi manusia.

Buat sahabat guru diluar sana yang diuji ujian sebegini, dibuat laporan dan diserang ibubapa, bertabahlah. Seluruh doa para guru bersama anda.

Semoga yang dihadapkan ke mahkamah menang kes, yang dibuat laporan polis pula laporan dapat ditarik balik.

Kami melihat diri kami dalam kamu. Kerana kamu guru, dan guru itu adalah kami.

 Artikel ini ditulis oleh Cikgu Fadli, penulis buku bestseller, Cikgu Kelas Sebelah.

@copydrFB

Tiada ulasan:

Catat Ulasan