Sabtu, 16 September 2017

Tahfiz

Berhampiran Maahad Tahfiz Ittifaqiah adanya Taman Tasik Keramat. Di sinilah tempat pasangan muda bermadu kasih di bawah langit gelap, tidak kurang juga ada yang hidu gam dan hisap dadah.

Ia juga menjadi tempat lepak orang muda dikala malam, terutama hujung minggu. Ada beberapa buah gerai makanan sekitar tasik. Ya, mereka nampak remaja yang sedang bermaksiat ini, namun tidak ditegur.

Dah nama pelajar tahfiz, takkanlah nampak remaja sebaya mereka hisap dadah, mereka biarkan sahaja. Lalu mereka tegur. Namun teguran itu akhirnya membawa kepada tragedi yang lebih besar. Sungguh! Aku tak tahu betapa remuknya hati ini.

Semalam, aku sedapkan hati dengan teori Tahfiz dibakar oleh orang upahan Ahlong. Mereka tak puas hati dengan PPIM, mahu bakar bangunan berkenaan, namun tersalah. Nampak juga rasionalnya.

Sebentar tadi, polis sebutkan ia angkara remaja belasan tahun, hati ini seperti dihiris pisau yang tajam. Generasi apa yang telah kita lahirkan hari ini?

Saya jangka kes buli hingga mati di UPNM dahulu sudah tragis dan kejam, rupa-rupanya kes ini lebih dahsyat! Manusia membunuh manusia dengan membakarnya hingga rentung!

Sebagai manusia yang waras, jangan sekali-kali cepat menuding jari kepada ibubapa pesalah. Boleh sahaja sebut mak ayah pandai lahirkan anak, tak pantau mereka, sibuk bekerja, anak jadi syaitan! Elok kau pakai kondom masa berjimak dahulu dari lahirkan zuriat seperti ini!

Persoalannya, betul ke semua kesalahan terletak kepada ibubapa pelaku? Sudah ke kita kaji bagaimana rumah mereka? Adakah ia rumah yang selesa untuk didiami, atau tempat yang sempit untuk didiami.

Bagaimana pula dengan pendapatan isi rumah? Pekerjaan ibubapa mereka? Tahap pendidikan?

Boleh jadi remaja ini sertai kumpulan-kumpulan gengster di ibukota. Cara mereka mengatur strategi untuk membakar itu terlihat profesional. Seolah-olah, ada mastermind yang mengajar mereka semua ini.

Suka untuk saya katakan, remaja yang membunuh ini juga adalah mangsa. Mangsa bagi kepincangan yang berlaku dalam negara. Baik ekonomi, kos sara hidup yang tinggi, kurangnya skil mendidik anak-anak, tak tahu hala tuju hidup serta pembangunan material tidak disertai dengan membangunan insan.

Saya risau sekali bilamana wajah-wajah mereka tular di whatsapp dan facebook. IC mereka didedahkan, alamat rumah mereka terpampang sana sini. Bukankah semua ini akan membuatkan keluarga mereka tidak selamat?

Boleh jadi ada masyarakat yang cari alamat berkenaan, kemudian belasah mak ayah mereka. Boleh jadi juga balas dendam berlaku, dibakar pula rumah remaja ini.

Akhirnya, ia berbalik kepada kita semua. Masyarakat yang tak pedulikan hal orang lain. Nampak budak couple, raba sana sini, comolot, tangkap gambar mereka, viralkan. Netizen sambung maki-maki.

Nampak remaja yang berpeleseran lewat malam, rempit basikal atau motor, maki sahaja yang kita tahu. Tiada inisiatif untuk menyantuni, bahkan untuk membantu. Percayalah, ada sebab mereka jadi macam tu.

Kita tinggal kawasan rumah flat. Hari-hari kita nampak budak hidu gam dan hisap dadah. Mula-mula rasa marah juga, lama-lama ia jadi kebiasaan. Kita terima ia dengan menganggap ini kebiasaan anak muda di tempat ini.

Tuding jari kepada orang lain memang mudah, yang sukarnya adalah untuk menerima hakikat yang membunuh itu juga berpunca dari kita sendiri.

Kita tu boleh jadi rakannya, jirannya, pemimpin setempat, penduduk sekitar, menteri, penggubal dasar, ustaz, ustazah, guru hinggalah Perdana Menteri.

Jika hal semacam ini tak mampu untuk menyedarkan kita betapa teruknya generasi yang telah kita bina dari sistem yang sedia ada, maka jangan pelik ia akan berulang kembali.

Ketika itu, kita akan nampak betapa bodohnya kita tak belajar dari pengalaman, tak berbuat apa-apa untuk membina generasi baru dalam negara, hanya pandai beri komen, lebih sudu dari kuah!

Sungguh, negara ini sudah layak untuk digelar sebagai #NegaraMurai!

Bak kata Tuan Fdaus Ahmad, "Tuhan ambil anak-anak tahfiz dan tinggalkan kita anak-anak hisap syabu. Padan muka kita!"

Brother Fairuz
Tukang Ceramah Budak Sekolah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan