Isnin, 4 Disember 2017

Pengalaman

*PERKONGSIAN PENGALAMAN BELAJAR*

Ini cuma satu perkongsian. Ia pengalaman hidup saya sendiri. Mana-mana yang baik daripada coretan ini bolehlah dipungut sebagai panduan, yang buruk pula sila ketepi dan abaikan.

Boleh dikatakan saya menempuh kehidupan belajar pada peringkat menengah di sekolah menengah harian dan matrikulasi memang agak tidak berapa bergantung kepada guru kerana kekurangan/kelemahan saya sendiri disebabkan masalah penglihatan dan pendengaran yang kurang baik. Memang tidak dinafikan kebanyakan guru telah melaksanakan tugas mereka dengan baik, tetapi ia tidak begitu berjaya menyampaikan apa yang saya perlu faham dan notakan walaupun pada tahap 40%. Memang ada juga seorang guru yang jarang melaksanakan tugas di kelas (semasa tingkatan 5), cuma selalu memberi tahu pelajar buat kerja sendiri, namun sikap guru ini saya terima sebagai sesuatu yang sangat berharga. Semua keadaan ini menjadikan saya sedar bahawa untuk berjaya saya perlu berusaha keras dan berusaha sendiri. Oleh kerana itu, saya terpaksa membaca buku teks daripada kulit depan sehingga ke kulit belakang dan membuat nota sendiri dan berusaha merumus isinya dengan meringkaskan nota-nota itu. Saya juga terpaksa mencari buku-buku latihan daripada kedai buku dan membuat latihan dan memeriksa jawapan akhir di belakang buku-buku itu secara bersendirian kerana tidak ada kawan yang mengambil aliran sains di kampung saya. Jadi itulah yang saya buat sebagai rutin kehidupan belajar saya. Hasil usaha ini saya menyelesaikan SRP dengan agregat 11 dan SPM dengan 24 unit. Subjek yang gurunya tidak begitu melaksanakan kelas itu saya telah  mendapat gred yang baik (iaitu A1). 

Oleh kerana keputusan gred 1 SPM yang saya perolehi itu di sempadan antara gred 1 dan gred 2, jadi pada mulanya saya cuma ditawarkan ke Tingkatan 6. Selepas sebulan kursus Matrikulasi yang dikendalikan oleh  universiti bermula, saya mendapat tawaran panggilan kedua kursus matrikulasi untuk mengisi tempat yang dikosongkan oleh lepasan SPM yang cemerlang yang ditawarkan belajar di luar negara. Saya menerima tawaran itu. Tanpa kelas-kelas tambahan untuk pelajar yang ditawarkan lewat dan tanpa apa-apa nota khas diberikan oleh guru matrikulasi yang mengajar saya pada masa itu, saya terpaksa meneruskan pembelajaran dan meneruskan perjuangan dengan kesedaran bahawa untuk berjaya dalam pelajaran saya perlu meneruskan perjuangan yang telah saya mulakan semasa di sekolah menengah. Akhirnya saya berjaya di peringkat pengajian matrikulasi walaupun tidak secemerlang pelajar lain yang telah melalui pendidikan di sekolah asrama penuh yang ramai boleh mengikuti kursus perubatan dan kursus lain yang berprestij. Saya hanya mampu mengambil kursus Fizik di peringkat ijazah pertama. Kalau di negara barat, pelajar fizik adalah pelajar yang memang lebih hebat kelayakan mereka daripada kursus lain kerana sifat subjek itu sendiri sangat memerlukan begitu, berbeza dengan kita di sini.  Dengan berbekalkan pengalaman belajar yang penuh kesukaran dan kerja keras, saya belajar di universiti sehingga akhirnya saya mendapat ijazah kepujian kelas dua tinggi dan dianugerahkan pingat emas universiti untuk bidang fizik.

Sesuatu yang jelas kepada saya adalah ilmu yang diperolehi semasa mengikuti program ijazah adalah tidak mencukupi dan perlu ditambah dan diperkukuhkan serta digilap  semasa mula bekerja. Semasa bekerja, kita akan banyak membuat refleksi dan interpretasi semula berkenaan teori yang telah dipelajari semasa belajar. Apabila ini berlaku, kita mampu mencabar, mengupas dan mempersoalkan idea dan perkara dalam subjek kita yang diberikan oleh orang yang dianggap lebih kanan dan berpengalaman daripada kita. Oleh kerana pentingnya proses ini, memang penting wujudnya housemanship untuk profesional seperti untuk bidang Perubatan.

Setelah saya mengajar, saya membuat refleksi semula kenapa saya boleh berada di situ dengan segala kisah yang diperihalkan itu. Saya menyimpulkan bahawa untuk seseorang pelajar berjaya dengan baik,  peranan guru yang penting yang saya sendiri tidak pernah perolehi semasa belajar adalah memberikan ilmu berkenaan kemahiran dan teknik belajar (termasuk kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif) dan melaksanakan program untuk menyedarkan pelajar bahawa usaha dan amalan pembelajaran sendiri itu sangat penting untuk berjaya dalam pendidikan dan kehidupan.

Sepanjang kerjaya saya, memang saya tidak mengharapkan jawatan istimewa walaupun saya dengan salah seorang Pengarah yang mana saya lama bertugas di bawahnya dulu (1986 - 2009) boleh dikatakan rapat. Saya kenal beliau lebih kurang 14 tahun sebelum beliau bertugas pada jawatan itu. Keluarga beliau memang mengenali keluarga saya dan anak beliau memang pernah belajar sekelas dengan anak saya dan berkawan baik. Saya tidak pernah meminta apa-apa pos daripada beliau,  selain saya pernah meminta daripada beliau supaya saya dikeluarkan daripada sektor di bawah pengurusan beliau yang ketuanya menghalang saya menyumbang dalam bidang yang saya berkemahiran.

Sebagai perkongsian, saya bertugas sebagai pendidik bukanlah melalui laluan biasa seperti tuan/puan yang telah melalui kursus Diploma Pendidikan terlebih dahulu. Ilmu berkaitan pendidikan saya perolehi melalui kursus-kursus pendek (anjuran Unit Penasihatan Pengajaran dan Pembelajaran di universiti di mana saya bertugas), pengalaman dan pembacaan/rujukan sendiri. Ilmu  berkaitan penyelidikan pendidikan pun diperolehi melalui penerokaan dengan pembacaan sendiri dan penglibatan dalam kajian secara berkumpulan.

Segala kekurangan yang saya lalui semasa belajar daripada peringkat sekolah menengah dulu saya cuba perbaiki untuk pelajar saya. Tetapi usaha ke arah itu memang sukar dan menerima tentangan daripada ketua-ketua yang mementingkan pameran keputusan peperiksaan dengan gred-gred yang hebat walaupun pada pemerhatian saya semua itu adalah cuma kepalsuan.

Sekian, sahaja perkongsian saya untuk kali ini.

==================

Nota:
InsyaAllah 'perkongsian' ini akan dimasukkan dalam kenangan peribadi saya.

MAMJ.
4/12/2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan