Jumaat, 23 Februari 2018

Solat meeting

20 orang undi setuju lewatkan solat!

Seorang bos, mahu menangguhkan dahulu mesyuarat dan menyambungnya selepas solat. Oleh kerana beliau adalah bos yang amat bertimbang rasa, maka diundi samada tangguh atau teruskan. Menakjubkan bila ramai kakitangan beliau yang setuju diteruskan.

Maka, apakah jawapan lazim bagi seorang bos bila ramai yang undi teruskan mesyuarat dan solat dilewatkan?

Saya pasti, isu solat ketika mesyuarat merupakan cabaran yang besar. Jika majikan pun ada yang tunduk kepada orang bawahan yang majoriti mahu dilewatkan solat, apalagi jika anda orang bawahan yang terpaksa ikuti bos yang sengaja melewatkan solat.

Solat vs Mesyuarat

Jika anda berada dalam situasi di atas, saya yakin ada pelbagai cara yang kalian akan usahakan. Dan apa kata, kita renung sejenak beberapa perkara yang akan dinyatakan ini.

Dalam Al-Quran, Allah nyatakan jika kamu mahu mendapat bantuan dari Allah, maka serahkan diri kepada Allah.

Muhammad 47:7

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا إِن تَنصُرُوا ٱللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Allah sesekali tidak memerlukan kita untuk membela dan membantu agamaNya. Namun, Allah beri tawaran yang hebat bagi orang yang membela agamaNya iaitu mereka ini nanti akan dapat bantuan Allah.

Apa guna bantuan Allah?
Oh, ia amat penting. Jika dalam mensyuarat berbincang mahu selesaikan masalah, tiada penyelesaian terbaik melainkan yang mendapat bantuan Allah.

Salah satu cara mendapat bantuan Allah, adalah dengan bina hubungan denganNya. Bina hubungan yang terbaik.

Saya kongsikan 1 dari 2 cara bina hubungan dengan Allah iaitu mendirikan solat. Ada 3 perkara yang perlu diberi perhatian. Ini sebenarnya masih standard solat biasa. Dan bila bercakap mahukan bantuan Allah termasuklah dalam mesyuarat, minimum adalah dengan perhatian 3 perkara ini iaitu:

1. Surah 11:114. Perlu tahu waktu solat. Ada 5 waktu yang perlu diketahui iaitu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Isya.

2. Surah 4:103. Bukan sekadar tahu ada 5 waktu, bahkan perlu dihafal bila waktunya itu. Contoh, jadual solat di Shah Alam untuk 22 Feb 2018 ialah: Subuh pada jam 6.10, Zohor pada jam 1.30, Asar pada jam 4.47, Maghrib pada jam 7.39 dan Isya pada jam 8.39.

Untuk apa dihafal waktu solat itu? Antara hikmahnya agar kita jelas dalam menyusun aktiviti harian kita selari dengan waktu solat. Dan ini akan memudahkan perkara berikutnya iaitu:

3.2:238. Iaitu dengan jaga sungguh solat. Bila sudah tahu ada 5 waktu solat wajib, waktunya dihafal dahulu, agar kita benar-benar menjaga masa yang telah ditetapkan. Ini tuntutan minimum dalam solat. Bila isya masuknya waktu pada jam 8.39, maka orang yang solatnya standard biasa adalah orang yang boleh mendirikan solat pada waktu tersebut.

Maka bagaimana saya boleh melewatkan solat, jika saya amat perlu kepada bantuan Allah. Dan bantuan Allah itu ada kaitannya dengan solat. Maka bagaimana mahu menjemput bantuan Allah sedang kita bertindak tidak mendirikan solat dengan cara terbaik.
 Wallahua'lam

Sebagai penutup, saya ada 2 cadangan untuk orang yang bermesyuarat.

1. Fahami sungguh-sungguh tuntuan solat yang dinyatakan oleh Allah.

2. Susun waktu mesyuarat bersungguh-sungguh. Janganlah dah nak dekat asar baru nak mula mesyuarat. Nanti hampir maghrib baru nak habis mesyuarat tu!

Jadi sekarang, perlu terus mensyuarat yang diundi oleh majoriti atau tangguh sebentar mesyuarat untuk mendirikan solat?

#pengurusankonflik

Tiada ulasan:

Catat Ulasan