Ahad, 30 September 2018

Mesin basuh

"Kenapa kain pelikat di kebanyakan masjid atau surau berbau hapak. Telekung kaum wanita pun sama. Bau macam kepam."

Itu persoalan yang dikemukakan oleh salah seorang pengguna media sosial.

Jawapan sebenar mudah sahaja. Tidak basuh. Singgahlah di mana-mana surau, madrasah, musalla atau masjid. Kebanyakannya memang begitu.

Bau kainnya, bau sejadahnya, ya Allah. Soalnya, kenapa ini berlaku? Sekali lagi ulangan jawapan, tidak basuh. Lebih-lebih lagi masjid yang berada di tepi jalan yang menghubungkan satu tempat ke tempat lain. Yang menjadi pilihan musafir untuk singgah solat. Bila berkongsi dengan ramai orang, itulah yang akan terjadi.

Mungkin kita akan cakap, "Orang tempatan tidak ambil basuhkah?'

Senang sahaja kita membuat solusi.

Baru-baru ini saya singgah di salah sebuah masjid ketika dalam perjalanan. Bau sejadah, bau kain pelikat, bau tekung, semuanya wangiii...

Bila saya ke belakang, rupanya masjid itu ada sebuah mesin basuh. Barangkali hasil sumbangan orang ramai. Atau alternatif jawatankuasa masjid yang membeli mesin basuh.

Kita pun tahu fadhilat sedekah. Kita pun tahu banyak kelebihan orang yang bersedekah. Tapi kalau untuk masjid, kita lebih gemar sedekah sesuatu yang sudah banyak. Al-Quran, naskhah Yaa Sin, sejadah, telekung dan sebagainya. Kalau ada duit lebih, apa kata kita sedekahkan mesin basuh pula. Kerana benda ini lebih diperlukan. Bagi orang kaya yang suka menderma dalam jumlah yang besar, mereka lebih suka mengadakan sesuatu yang lebih hebat. Dewan, baiki tandas, karpet dan sebagainya.

Apa kata lepas ini sumbang mesin basuh pula. Harga mesin basuh di pasaran sekarang tidak mahal. Sekitar RM600 ke atas sahaja. Mesin basuh terpakai yang masih elok pula harganya sekitar RM200 atau RM250 sahaja. Kondisinya pun masih elok. Ini lebih bermanfaat.

Satu lagi. Kadang-kadang pihak jawatankuasa tidak terfikir hendak beli mesin basuh. Duit derma saban Jumaat mencecah ribuan ringgit. Tapi tidak terfikir pun hendak beli mesin basuh. Kita yang ada idea ini, sesekali bersembang dengan pihak masjid, usulkan.

Oh ya, bila sudah beli, jangan lupa rantai atau kuncikan. Nanti tidak lama, pencuri angkut naik lori. Dan satu lagi, kita sebagai pengguna jangan pula ambil kesempatan. Guna untuk basuh kain-kain di masjid sudahlah.

Sesungguhnya, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Pakaian kotor, solat tidak sah.

Kredit : Nik Mohd Iznan

CnP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan