Rabu, 12 September 2018

Post truth

KEDAJALAN ERA 'POST TRUTH'.

Dunia hari ini sedang mengalami senario penipuan yang saling bersahutan. Ia menjadi cara hidup yang mendominasi skema berfikir manusia. Walaupun tipu dan bohong itu telah disepakati secara moral sebagai sifat yang serba negatif, hari ini ia dianggap normal bahkan sebagai keperluan hidup.

Masyarakat dunia hari ini menderita kepincangan moral dan etika hidup yang kronik. Tidak dinafikan, Barat menjadi perintis kepada kebejatan penyakit-penyakit pemikiran dan moral. Kemudian ia dibiakkan ke negara-negara yang mereka gelar sebagai negara dunia ketiga.

⚫ Apakah Itu 'Post Truth'?

Istilah 'Post Truth' diangkat oleh kamus Oxford sebagai 'word of the year' pada 2016. Ia menterjemahkan fenomena Trump dan Brexit yang sinonim dikaitkan dengan kepincangan politik Barat yang penuh tipu daya. Secara literal, 'Post Truth' bermaksud era setelah atau selepas kebenaran. Diibaratkan seolah-olah nilai kebenaran telah pun mati.

Adapun secara konsepnya, 'Post Truth' merujuk kepada budaya politik yang menjadikan elemen emosi sebagai penentu kebenaran. Sementara fakta yang realistik dianggap tidak relevan malah tidak mampu mempengaruhi golongan yang telah disampuk oleh sihir 'Post Truth'. Budaya 'Post Truth' melengkapkan lagi pakej politik populisme yang turut menjadi isu besar bagi politik Barat di era Trump dan Brexit.

⚫ Menipu Demi Penipuan.

Unsur utama 'Post Truth' adalah penipuan. Ia dipersembahkan dalam keadaan bersahaja dan cukup meyakinkan. Inilah yang diungkapkan oleh Menteri Propaganda Nazi, Joseph Goebbels:

"Penipuan jika diulang-ulang, maka ia akan dipercayai"

Dengan anutan matlamat menghalalkan cara, politikus penipu mudah menipu bahkan melemparkan fitnah-fitnah kepada seteru mereka. Situasi tersebut sukar dikawal kerana fitnah sewenang-wenangnya senang direka. Apatah lagi ia dipersembahkan dengan penuh sensasi. Sementara mangsa politik mereka terkial-kial terpaksa menjawab siri-siri fitnah yang memerlukan masa dan hujah balas yang konstruktif.

⚫ Manipulasi Emosi.

Kaedah menjayakan 'Post Truth' adalah dengan mainan emosi yang berkesan. Unsur takut, mengharap, teruja, kebersamaan, dendam, cemas dan simpati diadun sebaiknya untuk mempengaruhi golongan sasaran.

Kita kerap melihat politikus dipaparkan menangis kesedihan, sayu ataupun sebaliknya ceria bersama rakyat bawahan. Orang ramai tahu itu adalah lakonan, tetapi anehnya ia dianggap sebagai kebijaksanaan berpropaganda. Lakonan mereka amat memukau. Sehingga kita terlupa untuk bertanya, sebenarnya apakah upaya idea yang mereka miliki untuk mengatasi masalah hakiki rakyat?

Selalunya slogan-slogan berunsurkan 'wow' dilaung-laungkan lalu membentuk gelombang sokongan yang membuta tuli. Apabila masing-masing ditanya apakah maksud sebenar kepada slogan-slogan yang diangkat tadi? Maka mereka gagal menjawab dengan baik. Situasi seperti ini menampakkan rakyat atau pengikut seakan-akan 'disihir' untuk mendokong suatu perkara yang mereka sendiri tidak faham.

Yang mereka faham adalah politikus sanjungan mereka adalah hero penyelamat yang serba tahu lagi jujur. Sementara seteru mereka adalah penjahat yang perlu segera dihapuskan tanpa zuriat. Dari pembahagian ini, membiakkan sikap fanatik yang cukup tegar. Ketika 'Post Truth' telah menguasai minda, maka hujah dan bukti sudah tidak berfungsi lagi sebagai ukuran.

⚫ Era Langit Dajal.

Internet ibarat pasar. Ada barang halal dan ada barang haram. Dalam realiti pasaran informasi di alam maya, berita-berita palsu mudah tersebar di internet. Pada masa yang sama jika kepalsuan dan pendedahan bersifat 'half truth' telah tersebar, ia hampir mustahil untuk ditarik balik.

Para penganalisa politik Barat mengemukakan persoalan mengapa pada hari ini golongan yang salah semakin lama semakin yakin dengan kesalahan mereka? Konsisten dangkal. Sifat tegar tersebut terhasil dari dorongan internet yang sentiasa menyuap informasi-informasi yang hanya digemari. Aplikasi enjin carian internet berperanan menganalisa kecenderungan pengguna-pengguna mereka secara spesifik.

Justeru apabila sekali seseorang salah memilih pendirian, maka dia akan semakin tenggelam dalam kebohongan. Situasi 'auto' doktrin tersebut berjaya melahirkan golongan yang fanatik dengan pilihannya tanpa mengendahkan nilai hujah yang rasional.

Apabila fanatik telah menguasai minda, maka mereka terlebih dahulu telah membentuk persepsi secara konkrit. Lantas apa jua informasi berita yang berpihak kepada pegangan mereka, maka ia akan diangkat sungguhpun hakikatnya palsu. Apabila disedarkan bahawa ianya palsu, mereka tetap menyebarkannya dengan alasan kononnya ia adalah informasi alternatif.

⚫ Penipuan Dianggap Sebagai Kebijaksanaan.

Dahulu, penipu dianggap sebagai penjahat. Hari ini pula penipu dianggap sebagai orang yang bijak dan boleh diharap. Disebabkan anutan 'Post Truth', selalu kedengaran dalam forum politik kononnya seseorang itu tidak layak dipilih kerana terlalu baik. Bermaksud secara separa sedar, masyarakat sudah cukup bersedia melantik Dajjal sebagai pemimpin mereka.

Yang mahu menipu menggunakan agama pula, sewenang-wenangnya berdalilkan hadith peperangan adalah penipuan secara semberono. Menipu demi menjaga kedudukan, demi meraih sokongan, demi menutup penipuan yang telah dilakukan sejak awal dan ke seterusnya direka sambil berbangga inilah strategi politik yang efektif.

Trump, apabila ditanya mengapa licik mengelak cukai? Beliau menjawab kerana beliau seorang yang bijak. Jawapan selamba tersebut disambut menandakan bahawa beliau adalah politikus bijak yang perlu dipilih.

Kerajaan PH gagal melaksanakan manifesto seperti yang dijanjikan. Mereka selamba menjawab bahawa manifesto tersebut dirangka tanpa kajian yang realistik dan mereka enggan meminta maaf kerana tidak merasa bersalah. Kebohongan yang tulen itu tetap dianggap sebagai berintegriti oleh penyokong-penyokong mereka.

⚫ Ingatan Nabi.

Terdapat banyak hadith yang menyentuh secara langsung berkenaan fenomena akhir zaman 'Post Truth'. Antaranya sabda Nabi:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ , وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ , وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قَالَ : الرَّجُلُ التَّافِهُ يَنْطِقُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

"Akan datang kepada manusia, tahun-tahun yang banyak pembohongan. Padanya dibenarkan pembohong dan orang yang benar dituduh berbohonh. Pengkhianat diberikan kepercayaan dan orang yang jujur dikhianati. Dan ketika itu golongan ruwaibidhah gemar bercakap". Sahabat bertanya "Apakah itu Ruwaibidhah?". Jawab Nabi "Orang yang lekeh tetapi bebas berbicara perkara besar"

Hadith ini menjelaskan fenomena 'Post Truth':

• Penipuan yang dahsyat dan terlalu banyak.
• Ketika itu paradigma manusia menjadi songsang.
• Pembohongan dan pengkhianatan mendapat sambutan.
• Kejujuran dan keadilan disisihkan kerana dianggap sebagai beban.
• Budaya pembodohan dan onar dipupuk. Lalu masyarakat yang telah dibodohkan bebas untuk memberi pendapat dan disuruh memilih.

Itulah gambaran bagaimana suasana penipuan yang serba keliru, mendominasi realiti kita pada hari ini. Apa yang telah melanda Barat, kini sedang melanda kita. Vaksinnya adalah taqwa. Dapatkannya sebelum terlambat.

Abdul Mu'izz Muhammad
13 September 2018.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan