Isnin, 7 Januari 2019

Sbp

SBP

Tahniah. Tahniah kepada murid, termasuk ibu bapa sekeluarga yang mula memasuki sekolah berasrama penuh pada minggu ini. SBP bererti semua anak murid tinggal di asrama dengan segala keperluan seharian disediakan dalam kampus sekolah. Sekolah yang akhir2 ini ditimbulkan isu tentang siapa yang sepatutnya layak memasuki.

SBP di awal pasca kemerdekaan hanya beberapa buah bilangannya. Terdapat di KK (MCKK), Ipoh (STAR), Tg Malim (SDAR), Seremban (TKC) dan JB (STF). Kemasukannya bermula daripada tingkatan satu kerana pelajar perlu melalui kelas peralihan, daripada Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Terdapat peperiksaan khas bagi pelajar2 darjah 6 terpilih untuk ditapis memasuki sekolah ini. Pelajar ini berakhir di tingkatan 6 sebelum melanjutkan pengajian dalam dan luar negara. Selepas pasca 1969 ditubuhkan satu lagi kategori SBP yang bahasa pengantarnya Bahasa Melayu. Tertubuhlah Sek Alam Shah, SSAH (Jenan) dan Sek Men Kolam Ayer. MTD pula merupakan bentuk SBP yang tersendiri. Kemasukan awal SBP akiran Melayu ini bermula daripada tingkatan 4 atau 6 rendah, iaitu berdasarkan keputusan SRP atau SPM. Lulusan sekolah ini ramai yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, termasuk Indonesia. Perkembangan seterusnya mengujudkan beberapa kategori baru SBP iaitu SMS, MRSM, Sek Agama Wilayah dan Sek Men Intergrasi. Kemasukan pelajar bermula seawal tingkatan satu.

Dahulu SBP adalah matlamat kebanyakan pelajar luar bandar. Kemasukan ke SBP mencerahkan peluang untuk memasuki universiti yang jumlahnya sekadar bilangan jari sebelah tangan. Di SBP anak2 kampung ini terbuka mindanya terhadap kemajmukan kaum Melayu Malaysia, khususnya daripada sudut dialek percakapan, walapun pada peringkat awalnya merupakan seperti satu bentuk kejutan budaya. Kemudahan penginapan dan makanan yang disediakan melebihi kebiasaan di rumah masing2. Proses pembelajaran lebih terfokus dengan tunjuk ajar dan bimbingan para guru serta dengan bantuan kemudahan dan peralatan pembelajaran. Lulusan SBP berjaya menjadi peneraju kepimpinan utama dalam pelbagai organisasi dan institusi pemerintah serta swasta di samping politik dan badan2 amal. Kesimpulannya, SBP adalah satu kejayaan cemerlang pemerintah yang tidak boleh dinafi.

Namun, kini kedengaran suara2 latar tentang pemilihan kemasukan ke SBP. Andainya di awal2 dahulu murid yang terpilih lebih tertumpu kepada gulungan kebanyakan berpendapan rendah dari perkampungan, kini dipaparkan seolah2 lebih didominasi oleh kumpulan elit, yang ibu bapanya adalah alumni SBP sendiri.  Tanpa perlu terus mempolemikkan isu ini, syarat dan prosidur pemilihan kemasukan perlu lebih diperkemas dan telus agar kumpulan sasar sebenar tidak tercicir. Kini yang pasti, pada setiap hujung minggu, kampus SBP sentiasa meriah dengan kehadiran ibu bapa, datang menziarahi sambil membawa bersama segala keperluan anak, termasuk menukarganti pakaian bersih. Sesuatu yang amat berbeza berbanding di era awal penubuhan dahulu. Ibu bapa mungkin hanya hadir sekali ketika menghantar, dan anak perlu belajar hidup berdikari bersama2 rakan seasrama. Dengan duit poket yang berupa biasiswa kecil itulah para pelajar mandiri. Itupun tidak diterima pada setiap penggal, kerana biasiswa tersebut terus dimasukkan ke dalam akun terkumpul sekolah. Sebelum mula bercuti, barulah pelajar boleh memohon mendapatkan pendahuluan. Pada penghujung sesi persekolahan selepas tamat peperiksaan, baharulah akaun masing2 pelajar ditutup. Baki tabungan dikembalikan sepenuhnya kepada masing2 pelajar.  Setiap penghujung penggal, untuk pulang ke kampung arah utara, selatan dan timur disediakan gerabak khas keretapi. Selainnya perlu menaiki bas ke kampung masing2.

Persepsi pelajar sekarang terhadap SBP tidak lagi sama seperti ketika di era permulaan. Anak kepada generasi ke 2 pasca merdeka tidak lagi sama dengan generasi ibu bapanya. Pelbagai bentuk kemewahan sudah dikecapi dalam kehidupan seharian di rumah. Kehidupan di asrama SBP tidak seindah ketika era ibu bapa masing2 dahulu. Sebilangan pelajar menolak tawaran yang dipohon atau minta kembali belajar fi sekolah harian biasa, asalkan tidak tinggal di asrama. Tahap emosi pelajar tahap kanak2 juga menyumbang kepada keadaan. Namun desakan sesetengah ibu bapa seperti memaksa anak untuk terus berada di situ. Sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

Sebagai penutup, SBP berjaya mencapai matlamat asal penubuhan dengan cemerlang. Di sepanjang perjalanannya mungkin ada sikit sebanyak tersasar, tetapi tetap berjaya menuju destinasi. Mungkin kini tiba masanya untuk memastikan yang selepas ini perjalanan akan lebih terancang dan teratur serta telus demi memastikan matlamat asal penubuhannya terus relevan. Kemasukan pada usia semuda 13 tahun juga perlu difikir semula agar lebih peluang diberi kepada pelajar yang telah lebih matang emosinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan