Isnin, 28 Januari 2019

Cerai

Re-post

BERCERAI

Duduk sebentar sementara menunggu penghawa dingin kuda besi siap diservis, terpandang tajuk utama di salah sebuah akhbar tempatan '3 pasangan mendaftar cerai setiap satu jam.'

Hadir mekanik kedai yang sang faqir panggil dengan panggilan Abg J bersuara, "huhh! Menyesal beli paper hari nie, tajuk entah apa-apa, pasangan bercerai lah, itulah, inilah. Ini semua sebab ekonomi, sebab tu jadi macam tu."

Sang faqir seperti biasa, akan tersenyum dahulu sebelum bersuara.

Tambah Abang J, " kalau ekonomi ok, mesti takde semua nie." Sambil memasang api pada rokoknya di tangannya.

Sang faqir bersuara, " bukan pasal ekonomi Abg J, salah tu. Yang sebenarnya adalah ILMU."

"Macam mana tu? Apa kena mengena dengan ilmu? " Tanya Abg J.

" Abg J, ekonomi itu adalah penting, betul, tapi yang terlebih penting adalah ILMU, yang teramat penting adalah AMAL, dan tersangat penting adalah REDHA dan IKHLAS."

Sang faqir menyambung apabila melihat Abg J mula memberi perhatian;

"Banyak pasangan bermasalah datang jumpa saya, dan artikel dalam 'paper' tu betul, tapi, nak cerita di sini kebanyakan yang datang jumpa saya, asyik menuding jari kepada pasangan, suami kata isteri, isteri kata suami, macam dalam paper sebut tu, 'isteri curang, suami tidak bertanggungjawab', tapi... tapi... lepas saya tanya soalan pada suami, berapa kali mandi bersama isteri? Berapa kali tadarus Al Quran bersama isteri?  Bila kali terakhir usap tangan isteri sambil ucap 'i love you' atau seangkatan dengannya? Bila kali terakhir solat jemaah dengan isteri? Lebih spesifik, qiamulail berjemaah. Pada isteri pula, bila kali terakhir picit kaki suami tanpa suami minta? Bila kali terakhir bancuhkan air pada suami tanpa suami minta? Bila kali terakhir  mohon maaf, minta ampun pada suami walaupun tidak buat salah? Semua yang saya tanya ini, kebanyakannya saya hanya dapat jawapan Alif Fathah 6 Harkat, Abg J faham maksudnya? "

" Tak faham ustaz. Apa yang 6 harkat tu?" Soal Abg J.

"Maksudnya, Aaaaaaa tu panjang sambil mata tengok ke langit, faham? " Terang sang faqir.

"Ooo faham." Abg J mengangguk.

Sang faqir menambah lagi, " orang kata bercerai pasal kos sara hidup tinggi, ekonomi jatuh, macam-macam, tapi mereka lupa bahawa ALLAH yang beri rezeki, baiki hubungan dengan ALLAH, solat 5 waktu macam mana?  Apabila tanya, jawabnya 'eh tak sempat pasal nak siapkan kerja', jadi macam mana kita nak dapat rezeki lain kalau rezeki masa kita tak jaga, MASA adalah rezeki, bukan main-main tu, sebab tu ALLAH tegur kita pasal masa. Itu belum cerita bab qiamulail. Ada juga yang solat pasal hendak minta ALLAH tambah rezeki, itu yang silap, tambah atau kurang rezeki kerja DIA, kerja kita adalah berusaha raih Rahmat dan Redha DIA, itu kerja kita, berusaha raih, dapat atau tidak, itu kerja DIA."

Sang faqir teruskan lagi membebel, Abg J tertunduk dan menggeleng-geleng kepala.
"Kenapa adanya orang letak solat pasal nak tarik rezeki? Pasal Ilmu. Ilmu yang sepatutnya ambil tahu, ambil berat, tidak diendahkan. Apa ilmu yang perlu diambil berat? Ilmu Aqidah. Kebanyakan pasangan yang bermasalah, apabila diajukan soalan, 'berapa rukun syahadah?', 'apa sifat syahadah?', 'sudah faham semua 68 aqaidul iman?' , 'berapa rukun solat?', 'bagaimana sifat solat?', 'nyatakan semua tajwid dalam Al Fatihah beserta sifat huruf.' Tak cukup dengan tu, ada juga yang sibuk nak menambah cawangan, bila ditanya, 'berapa jenis warna darah haid wanita dan apakah warnanya?' Jawapan yang saya dapat adalah Alif Fathah 6 harkat. Sebab itu saya berani kata, ekonomi bukan penyebab runtuhnya rumahtangga. Goyangnya rumahtangga adalah disebabkan kurangnya ilmu dan lemahnya amal."

"Betullah ustaz, baru saya sedar, faham. Solat bukan pasal rezeki, tetapi hendak rahmat dan redha ALLAH." Abg J mengangguk tertunduk.

Sang faqir menambah, "saya bercakap atas dasar pengalaman yang tidak seberapa Abg J, saya nikah masa belajar, mas kahwin pun saya hutang dengan isteri, rm88.88, hutang duit isteri, untuk mas kahwin dia, dapat anak pun masa belajar. Hidup susah, makan minum tak teratur, tapi kami pastikan yang teratur adalah ILMU dan AMAL. Jadi, insyaALLAH, jika kita pegang kukuh Aqidah kita, genggam kemas Ibadah kita, peluk erat Akhlak kita, faham benar hakikat hidup mati kita, tiada apa yang dapat memisahkan antara suami isteri kecuali sudah memang ada ketentuan dari ALLAH."

Abg J mengangguk, datang staf Abg J duduk di sebelah Abg J, turut khusyuk mendengar bebelan sang faqir.

" Hendak dinding rumah cantik, bumbung rumah cantik, tiada masalah, yang penting tiang dulu kena kukuh dan kuat, insyaALLAH dinding teguh, bumbung ampuh. Dari situ akan timbul sikap menghargai antara satu sama lain" Sang faqir menyambung.

"Jadi, saya rasa, kalau pasal ekonomi yang membuatkan pasangan suami isteri bercerai, bermaksud mereka sebenarnya perlu membaiki hubungan mereka dengan ALLAH, pasti akan nampak jalannya. Carilah ALLAH, kenallah ALLAH, insyaALLAH bertemu jalan kebahagiaan." Sang faqir mengakhiri sesi bebelan di bengkel orang.

Kedua-dua mereka tertunduk malu dan segan, kerana mereka ternyata jauh lebih berumur dari sang faqir.

"Terima kasih banyak-banyak ustaz, ilmu hari nie, banyak saya belajar. Banyak lagi kena belajar." Ucap Abg J sambil bersalaman dengan sang faqir.

"Sama saja kita Abg J, kena sama-sama banyak belajar. Ok, saya jalan dulu, ada urusan di kilang. AssalaamuAlaikum WarahmatULLAHi Wabarakaatuh." Jawab sang faqir mengangkat tangan sambil mengundurkan kuda besi dan terus berlalu pergi.

***********************

Betapa hari ini, ketandusan bab Aqidah, Ibadah dan Sakhsiyyah (Akhlak) sebab utama keruntuhan rumahtangga.

Ekonomi, kos sara hidup dan lain-lain adalah sekadar tabir kepada permasalahan sebenar.

Kenal ALLAH, raihlah Rahmat dan Redha ALLAH. Kerana ALLAH itu bersifat Istighna' (Maha Kaya) dan Iftiqor (Berkehendak). Tidak akan miskin mereka yang bertauhid, kerana mereka yakin ALLAH tidak kedekut dengan RahmatNYA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan