Kebanyakan daripada kita telah biasa dengan buzzword IR 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat. Education 4.0 adalah sebagai respon kepada IR 4.0 iaitu pendidikan dalam era IR4.0 perlu seiring dengan perkembangan teknologi bagi membolehkan berlakunya pelbagai kemungkinan baharu.
Tenaga air dan wap digunakan dalam Industri 1.0 dan diikuti dengan penggunaan tenaga elektrik dalam IR 2.0 untuk menghasilkan produk secara pukal. Dalam era Industri 3.0, teknologi maklumat dan elektronik digunakan untuk mengautomasikan penghasilan produk.
Era Industri 4.0 sangat berbeza dengan 3 era sebelum ini. Teknologi baharu berubah secara eksponential dan sangat berlainan daripada apa yang berlaku sebelum ini. Oleh itu, teknologi baharu ini disebut sebagai "disruptive technology". Kemajuan teknologi dalam era Industri 4.0 disumbang oleh kemunculan kecerdasan buatan (AI), robotik, IoT, kenderaan tanpa pemandu, teknologi nano, percetakan 3D, dataraya, internet mudah alih dan pelbagai lagi. Sebagai respon kepada IR 4.0, timbullah satu usaha dan visi baharu dalam pendidikan yang dinamakan sebagai Education 4.0 yang meletakkan mesin seiring dengan manusia untuk membolehkan pelbagai kemungkinan baharu.
Menurut Fisk (2017), visi baharu pembelajaran membolehkan pelajar bukan sahaja mendapat pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan tetapi juga mengenal pasti sumber untuk mendapat pengetahuan dan kemahiran tersebut. Pembelajaran boleh berlaku di mana-mana dan melalui apa-apa sumber yang dipilih oleh pelajar. Rakan pembelajaran adalah sangat penting kerana mereka belajar bersama dan antara satu sama lain. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator dalam proses pembelajaran.
Fisk (2017) menyatakan terdapat 9 trend yang berkaitan dengan Education 4.0.
1. Pembelajaran boleh berlaku di mana mana dan pada bila-bila masa. Kaedah E-learning dan pendekatan flipped classroom sangat membantu dalam aspek ini.
2. Pembelajaran mengikut kemampuan individu. Tugasan yang lebih sukar hanya diberikan apabila pelajar telah mencapai kemahiran tertentu.
3. Pelajar boleh menentukan bagaimana mereka mahu belajar. Walaupun hasil pembelajaran telah ditetapkan lebih awal berdasarkan kurikulum, pelajar boleh memilih alat dan teknik pembelajaran yang mereka mahukan.
4. Pelajar didedahkan dengan lebih banyak pembelajaran berasaskan projek.
5. Pelajar didedahkan dengan lebih banyak pembelajaran secara hands-on.
6. Pelajar didedahkan dengan interpretasi data iaitu mereka dikehendaki mengaplikasikam pengetahuan teoritikal dan kemahiran penaakulan untuk membuat inferens berdasarkan logik dan trend daripada set data yang diberikan.
7. Pelajar ditaksir secara berbeza. Pentaksiran tentang pengetahuan fakta dibuat semasa proses pembelajaran sedang berlaku manakala pentaksiran kemahiran mengaplikasikan pengetahuan dibuat melalui projek yang dilaksanakan.
8. Pendapat pelajar diambil kira dalam mereka bentuk dan mengemas kini kurikulum.
9. Pelajar menjadi lebih berdikari (independent) dalam pembelajaran mereka manakala guru bertindak sebagai fasilitator.
Berdasarkan apa yang ditulis di sini, Education 4.0 sesuai dilaksanakan pada peringkat pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, pembelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah juga boleh mengguna pakai sebahagian daripada apa yang dinyatakan dalam Education 4.0.
Diharapkan penulisan ini memberi sedikit sebanyak ilmu untuk kita sama-sama meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.
Sumber: Education 4.0 Made Simple: Ideas for Teaching, Anealka Hussin, International Journal of Education and Literacy Studies.Vol 6 Issue 3 (2018)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan